>>test

Wednesday, September 11, 2013

Jasa Hidup


anehnya Tuhan mengatur hidup kita
jalan hitam yang kau lalu dulu
segala sedih pecah jiwa yang kau rasa dulu
satu hari, setelah puluh tahun, setelah bangkit dgn diri yang baru
kau menjadi guru -- bertemu dengan anak-anak yg patah beribu
saat itu kau tahu
Tuhan melaluikan kau dulu, untuk membantu
kau lupa segala sedih, demi memberi seribu kasih
kerana kau lebih tahu perit pedih, bila tak ada tempat mengadu nasib

anehnya Tuhan mengatur hidup kita
kau dicurah segala kasih
cinta mesra menjadi tasbih
satu hari kau bertemu seorang guru
guru yang memberi seribu kasih
buat anak-anak patah beribu
hatinya terpancar bersih
senyum dan tawanya gemersik
mudah sekali dia menjadi teman mu

guru itu rupanya kosong
saat itu kau tahu
Tuhan melaluikan kau dulu, untuk membantu
kerana memberi kasih itu, mudah bagi kamu
sedang dia keras bagai batu
dan dia, perlukan kamu

anehnya Tuhan mengatur hidup kita
saat kita berkata; Oh terima kasih Tuhan
kerana menjalankan aku
atas jalan apa pun
kerana aku tahu, pengalaman ini bukan untuk aku
ia rupanya bekal untuk insan yg bakal aku temu

-------------------------


I feel so blessed today :)
Kalau lah kau (kamu-kamu) tahu jasa 'hidup'mu ke atas aku..

Kemudian tiba-tiba aku tertanya, sudah sampaikah 'jasa hidup' aku pada insan yang menunggu?

kbye

Tuesday, July 2, 2013

Bisik

Saat ini ada sesuatu yang mengacau jiwa
Oh sebenarnya, taklah SE suatu yang meresahkan. Tapi tulisan ini mahu bicarakan satu perkara -- ceh itu pun nak kepoh

Tentang suara saya. Yang lantang online, tapi beku bila offline.

Zaman ini ramai menilai 'suara' dan peribadi kita lewat tulisan -- facebook. Kerana kita kurang masa, atau sengaja mengurangkan masa kerana rasa sudah dekat di depan skrin. Kita menjadi rapat dengan kenalan lain benua. Rapat bagai kekasih jiwa.

Sentiasa saya geletar, bahawa teman-teman lewat tulisan ini, bila bertemu, mereka tidak mendengar suara yang selalu bergema dalam kepala mereka.

Entah kenapa ya, bila offline saya sendiri lebih suka menikmati suasana. Membiarkan mata yang menelan suara-rupa orang di sekitar. Kemudian hati menilainya. Dan kemudian! Bersuara di alam maya!

Risau. Jika saya menjadi orang yang membosankan bila bertemu mata.

Risau. Jika kita sebenarnya hilang upaya untuk menjalin rasa yang sebenarnya.

Kecuali topiknya dimula berat, tentang isu-isu yang sentiasa saya perjuangkan, hah waktu itu tak mahu kalah. Malah mahu semua mendengar.

Cuma, manusia, kita bukan sentiasa bicara hal serius. Ada perkara hati ke hati -- oh yang ini lagilah menjadi kaca -- kelmarin skype dengan orang Irbid, dia tanya; rindu tak? saya buat-buat talian tak menyampaikannya. hahah!

Agaknya nanti suami isteri pun main tampal nota di peti ais. Oh apakah kejadah ini. Mungkin!


"di antara bisik-bisik itu,, kau teriak keras"


Wednesday, May 15, 2013

Sesuatu Yang Laku

gambar bermotif politik. hahah


hidup
memang banyak pilihan
cuma, tak ramai yg membina jalan

maka jadilah kau perintis
menebas segala semak
cantas tebang pokok besar
tangan kaki luka berdarah
peluh keringat campur nangis tak sudah

kalau akhirnya kau sesat,
atau tengah jalan kau menyerah
ah, tebaslah semak lain!
manalah kau tahu, jalan yang kau rintis itu
dilalu oleh budak sama gila seperti kamu

jalan lagi. jalan lagi


----------------------------------------

banyak benda perlu diambil kira. oh ya, saya dalam proses menyambung (memilih) pengajian.
bidang -- katakan sudah-sudahlah pada sains keras
masa depan kerjaya bidang tersebut -- hey sudah tua, sudah patut kerja sebenarnya
jarak -- ingin terbang sejauh Sabah (atau sejauh UK sebenarnya!); tapi (baca seterusnya)
komitmen -- ingin terus berkhidmat di Selangor (yang sudah diberi ruang) atau teroka tempat lain
circle of influence -- ada tak universiti yang ahlinya sebijak ahli PERMAI? ahah

serta, ada pasung yang asyik mengingatkan kisah lama -- mampukah kau (sambil tergelak sinis)

sungguh panjang perjalanan. samada aku tak bernasib baik, atau memang aku kena lalui tanah tak berturap. sebab aku luarbiasa (peh perasan)

doakan. 5 tahun lagi PRU semula. ingin sekali waktu itu, aku sudah menjadi manusia yang boleh memberi sesuatu. sesuatu yang laku

Saturday, April 13, 2013

Agar Saya Tidak Lupa, Tiap Kali Merasa


Jiwa yang banyak dosa
Bila ditusuk duri, berdarah, merah warnanya
Menangis dan sakit, iya

Tapi bukankan itu yang dipinta?
Kerana banyaknya dosa
Hingga terlalu miskin tak mampu membeli syurga
Sanggup, untuk menebusnya di dunia

Seperti pohon yang mengugurkan daun-daunnya
Semoga

Maka bertahanlah. dan terus percaya
Setia. dengan CINTA
[64 : 11]




Sabtu, 13 April 2013
Setelah penat merasa untuk satu hari


Monday, December 17, 2012

Meyakini Masa Depan Itu Milik Islam


Dalam satu hari ini saya 'ditemukan' dengan sisi gelap sebuah negara Arab yg pernah saya duduk selama empat tahun; Jordan. Istillah Honour Kilings adalah sesuatu yg baru, tapi amat dasyat. Tak terbayang di kalangan rakan-rakan Arab saya, mereka rupanya dibawah undang-undang gila sebegini.

Teman saya, Fatimah memberitahu :

If you're being raped, these are the choices you have (in Jordan):

You are being subjected to 'honor-killing'
You are being forced to marry the rapist
You keep silent and nothing happen

Dalam setahun, dalam 15-20 orang perempuan telah dibunuh atas nama honor-killing, kerana mereka telah menjadi mangsa rogol. Dan pembunuh perempuan-perempuan ini juga adalah kaum kerabat perempuan itu sendiri (sepupu, etc). Lebih malang, perogol itu juga adalah kaum kerabat mereka sendiri.

Friday, December 9, 2011

The Road Not Taken



9 Disember. Hari untuk menghela nafas dengan lega, habis sudah peperiksaan pusingan kedua.

Tapi lega tak datang

Malah kertas terakhir yang saya duduki, saya masuk ke dewan peperiksaan dengan penuh rasa terpaksa, rasa terhutang budi pada insan-insan yang sentiasa menyokong saya.

Friday, November 25, 2011

Pencuri



Kunci syurgaku dibawa lari
Dan aku hanya melihat sepi
Menangis sendiri


Kunci syurgaku dibawa lari
Siapa yang curi?
Atau, akukah yang cuai menjaganya rapi?

Kunci syurgaku dibawa lari
Aku, tak daya merayunya kembali
Aku, tak daya mempertahankannya lagi


Sendiri, dengan cinta
Cinta yang direbut berkali-kali
Cinta yang tinggal serpihan barangkali
Cermin wajah yang retak
Bayang tubuh kusam hitam
Jiwa yang koyak
Ditutup dengan selendang
Kian nipis tapi warnanya cemerlang
Diintai sekalian orang
Antara membenarkannya pergi, bertarik tali

Kesetiaan yang ada pada jiwa
Dalam lagi membakar
Sering gagal diterjemah melalui anggota
Tinggal dalam laut kalam dan nota
Tapi, kau, mengerti, bukan?


Kunci syurgaku dibawa lari
Tolong, sebelum aku musnah dengan sendiri,
Tolong, kuatkan aku merampasnya kembali,
Tolong, lenyapkan dia yang asyik mencuri
Tolong! Kerana sungguh, aku tak ada daya lagi..

Tuesday, October 25, 2011

Kejayaan Yang Diraikan


Diskusi angka-angka. Menelaah bersama Biostatistik, hingga ke jam 3 pagi


Tahun 2 Perubatan, beza, memang berbeza.

Material exam sangat banyak,
Nak menyebut perkataan baru yang sangat membeliti lidah
Wajib juga menghafal segala benda alah, yang, faham pun entah pun tidak
Allah.

Thursday, September 29, 2011

Angka 20


[Gambar kertas target markah setiap subjek bagi semester ini]


Saya bukan tak mahu update blog.
Sangat-sangat mahu!

Kalau boleh, nak bercakap, kemudian orang taipkan, boleh?

Heh, bajet bizi. Padahal, bila saya terbaca blog post terbaru orang kuat PERMAI, skorer pulak tu, istiqamah lagi dengan hafalan Al Quran, pastilah tertanya pada diri sendiri,

"Kau bajet bizi ape ha Syahida Majid oiiii"

Maka, jawabnya mudah. TAK TAHU MENGURUS DETIK. Noktah


Ya, saya dah naik ke tahun 2. Ha tengok, saya nak balas ucapan Faaein Talip Roy, Salsabila, Along di Tanta, di sini, dengan ucapan, trimas!

Punyalah pemalas saya nak menaip keyboard. Haih!

Tuesday, September 20, 2011

Jalan Cinta Para Pejuang



Di sana, ada cinta dan tujuan
Yang membuatmu menatap jauh ke depan
Di kala malam begitu pekat
Dan mata sebaiknya dipejam saja
Cintamu masih lincah melesat
Jauh melampaui ruang dan masa
Kelananya menjejakkan mimpi-mimpi


Lalu di sepertiga malam terakhir
Engkau terjaga, sadar, dan memilih menyalakan lampu
Melanjutkan mimpi indah yang belum selesai
Dengan cinta yang besar, tinggi, dan bening
Dengan gairah untuk menerjemahkan cinta sebagai kerja
Dengan nurani, tempatmu berkaca tiap kali
Dan cinta yangs selalu mendengarkan suara hati

Teruslah melanglang di jalan cinta para pejuang
Menebar kebajikan, menghentikan kebiadaban,
Menyeru pada iman
Walau duri merentaskan kaki,
Walau kerikil mencacah telapak
Sampai engkau lelah, sampai engkau payah
Sampai keringat dan darah tumpah

Tetapi yakinlah, bidadarimu akan tetap tersenyum
Di jalan cinta para pejuang

-Salim A. Fillah-




Allah,
Kuatkan aku untuk melangkah
Jadi mujahidah
Jadi wanita hati kental lagi tabah
Yang tak pernah lelah, apatah lagi rebah


Selamat datang warga baru ke tanah Sham

Selamat datang wahai diri ke kisah yang baru, -- tahun 2 Perubatan, akhirnya


Sunday, August 21, 2011

Belasungkawa : Pak Azizi Abdullah




Facebook kurang mengancam akhir-akhir ini. Menjadikan saya kembali dekat dengan Yahoo Messenger

Offline message : al fatihah buat azizi abdullah

Segera saya buka blog rasmi Pak Azizi, http://aziziabdullah.blogspot.com/. Tak ada berita pun. 'Biar betul', getus hati saya.

Tapi, Bernama mengesahkannya.

Ada rintik sejuk di hati saya.

.
.
Saya tidaklah mengenali beliau lewat bicaranya. Tak seperti Pak Samad, yang telinga ini jelas tutur kata dari lidah saktinya.

Antara tulisan Pak Azizi yang saya awal kenali, adalah novel Seorang Tua di Kaki Gunung. Itu pun, saya baca bila saya jejak kaki ke bumi Urdun.

Aneh, Urdun tempat kami berkenalan.

Mungkin orang nilaikan ia sebagai biasa. Tapi pada saya, ia sangat berbau lelaki. Ya, begitulah saya melihat tulisan-tulisan Tuk Ya. Tajam, setajamnya matanya menilai. Tapi halus, hanya yang teliti jelas apa yang dimaksudkan.

Selain mengikuti tulisan-tulisan beliau dalam blog, (kerana berada jauh di tanah air, mana mungkin saya dapatkan naskhah beliau di tanah asing), saya sendiri punya pengalaman peribadi dengan Pak Azizi.

Ya, aneh. Baru kenal lewat novel, tiba-tiba boleh pula saling berhubung.

Saya cuma tinggalkan sekerat komen di blog beliau.

Tak sangka, beliau rupanya singgah balas ke rumah saya ini. Ya, inilah.

Membayangkan bahawa beliau membaca tulisan-tulisan dari tangan yang cukup hijau ini, adalah satu kenikmatan. Orang besar, meneliti hasil kerja orang kecil. Siapa yang tidak seronok?

Waktu itu, saya masih menggunakan nama pena Kelawar Hijau. Haha, bikin malu. Nampak sungguh masih belum matang

sdra kelawar hijau,
saya tertarik dengan artikel di sini. macam mana kalau sesekali saya angkat ke akhbar utusan pengguna saya yang terbit dua bulan sekali. ada faedahnya kalau cerita sang pengembara ini.
hubungi saya;
e-mail : tukya_azizi1426@yahoo.com.my

azizi



Ya, itu tulisan beliau buat saya, saya! Boleh lihat di sini

Jemputan itu, bagaikan satu jemputan dari langit.

Siapa yang tidak mahu, tulisan diangkat sebegitu tinggi.

Tapi saya tolak dengan penuh rasa kecewa. Kecewa pada diri. Kerana saya lebih tahu, lebih takut andai displin diri yang tulis ikut suka, menyusahkan team redaksi.



Pak Azizi,
dengan penuh hormat, saya mendoakan kesejahteraan Pak Azizi di dunia sana.

Tulisan bapak, akan terus kami baca.
Cerita bapak, akan kami ceduk hikmahnya.

Bapak tenanglah di sana.


Allahumma ighfirlahu, war hamhu, wa 'aafihi, wa'fu 'anhu


Kami telah kehilangan (lagi) lidah bangsa.



Tuesday, August 16, 2011

Raikan Sebuah Kehidupan




Ya ya, musim exam semangat pula update blog. Studi sambil cedok bahan bacaan dari internet lah katekan..

Video diatas adalah mengenai Anecephaly, satu birth defect kepada janin, yang mana janin tak mempunyai tempurung kepala yang menutup otaknya.

Anecephaly berlaku apabila hujung cephalic pada neural tube gagal untuk bertemu dan tutup (close), biasanya antara hari ke 23 hingga hari ke 26 kandungan.




Bayi yang lahir dengan keadaan begini biasanya buta, pekak, tidak sedar, dan tidak boleh merasai kesakitan.

Magiknya, bahagian lain badan terbentuk cantik, cuma tempurung tiada, yang mungkin juga menyebabkan otaknya tak menjadi.

Kebanyakkan besar janin sebegini tak akan hidup (terus mati bila dilahirkan), dan kebanyakkan doktor menyarankan termination dalam bahasa kejinya, janin perlu digugurkan sekiranya dikenal pasti awal. Doktor tak menggalakkan ibu teruskan kandungan.


"It's a waste of pregnancy", kata doktor.

Tapi,

Kalau jadi doktor nanti, apa yang kita akan buat?

Benar, kecacatan mengganggu sistem. Rawatan, sosial, masalah kepada pihak kerajaan (kena buat akta atau sekolah khas dan sebagainya). Tapi, tetap sebuah kehidupan!

Barangsiapa membunuh seseorang manusia bukan kerana orang itu membunuh orang lain atau membuat kerosakkan di muka bumi, maka dia seolah-olah telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya - (al-Maidah : 32)


Mungkin kata, inilah hujah membolehkan pengguguran, kerana mereka 'membuat kerosakan'.

Iye ke?

Rasanya, lebih ramai orang normal dan cerdik pandai buat kerosakan di bumi ini, memecah belahkan orang, engkar pada agama (hah!), berbanding yang kurang upaya, kan?

Ambik!

Hm...

Video di atas dibuat oleh seorang ayah, yang anaknya mengalami masalah yang saya sebutkan.

I made this slide show to remember my son and to raise awareness about open neural tube defects like anencephaly (which is fatal). My son lived for almost 4 hours after birth by the grace of God. The odds were against him because about 75% of children do not live full term or through the stress of labor and delivery. Taylor did and we took as many pictures as we could to document his short but meaningful and precious life.

To cupels that might be faced with the situation that you just found out you little baby that is in side of you has this birth defect. I encourage you to continue with the pregnancy. Celebrate the miracle that the baby was conceived. Find healing in the fact that the child has to opportunity to touch lives and give others strength. These children remind us all how precious each and every life is even if they don't get to take a breath.

All I can say is that I have found healing in how other mothers and fathers and people planing on have kids have been touched by my sons life. My son was loved and will always be remembered. I have found healing in helping other couples find a small sense of peace when faced with what could possibly be one of the worst things in life.

I am so glad that I got to see, hold and kiss my son even after he past.

I want to thank all of my family, friends, the tripler army hospital staff and scott from NILMDTS.

Thank you for taking the time to view this and share in remembering my son



Ibu bapa begini, pasti anaknya itu sentiasa mendoakan syurga buat keduanya. Menerima walau apa pun.


Hm..

Nak jadi bayi yang normal, masha Allah, macam sangat susah. Tiba-tiba kita lahir normal, sedangkan biasanya ibu tak ambil banyak langkah pencegahan pun. Hebat sungguh Allah, menjaga kita tanpa ada siapa yang suruh hingga kita jadi sempurna.

Sudah tu, dah Allah cipta kita cukup cantik, kita buat apa atas dunia ni? Sudahkah kita tunaikan tugas Allah hantar kita ke dunia? Sebagai khalifah, juga sebagai hamba.


*musim exam, nak ke tandas pun fikir banyak kali. Terasa seperti buang masa. Haha. Tapi update boleh pulak ye. Takut hilang rasa dan idea.. Ceh alasan

*exam Khamis ini!


Tuesday, August 2, 2011

Tragedi Aleesha @ Ashraf




Pertamanya, tulisan ini adalah respon saya sebagai orang biasa dalam agama. Saya menulis atas kefahaman saya yang cetek. Dan tulisan ini juga diharap dapat diperbetulkan oleh golongan yang arif mengenai perundangan Islam.

30 Julai, hari sepatutnya saya bertolak ke Kelantan untuk menyertai Hari Hiburan Islam Kelantan. Pagi itu hujan renyai-renyai. Saya batalkan perjalanan kerana ibu bapa saya lebih dahulu keluar rumah.

Saya bangun membuka berita, aktiviti biasa setiap pagi.

KUALA LUMPUR, 30 Julai — Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, yang gagal dalam permohonan menukar namanya kepada Aleesha Farhana selepas menjalani pembedahan jantina, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu awal pagi ini - MalaysianInsider



Allah!

Malam sebelumnya, Buletin Utama memaklumkan bahawa beliau dimasukkan ke hospital berikutan mengalami kemurungan melampau.


Saya mengikuti isu ini sejak mahkamah menolak permohonan beliau untuk menukar namanya di MyKad.

Bila meneliti fakta-fakta kes, apa yang boleh saya katakan (sekali lagi, sebagai orang yang masih cetek ilmunya) adalah beliau layak dari sudut agama.

Kenapa? Laporan perubatan mengesahkan bahawa beliau mempunyai masalah hormon. Media tidak menjelaskan lanjut mengenai laporan perubatan ini. Boleh jadi beliau mempunyai lebih kromosom wanita (kromosom X) dalam gennya.

Ibunya turut memaklumkan bahawa alat kelamin beliau tidak berfungsi dengan normal.

Ini juga memungkinkan bahawa beliau boleh diklasifikasikan sebagai khunsa. Dan perbincangan kami beberapa pelajar perubatan bersama pelajar syariah, kami berandaian beliau mengidapi ambiguous genitalia atau pun Female Pseudohermaphrodite

Biasanya bila mana pesakit begini akil baligh, fizikal dan psikologinya akan berubah daripada lelaki kepada perempuan. Dalam Islam, pesakit berhak menentukan jantinanya berdasarkan penelitian daripada doktor pakar.

Teliti pula kenyataan dari Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan penyakit sebegini.

Berdasarkan bacaan dan perbincangan kami, Aleesha @ Ashraf LAYAK.

Cuma, ya, kami tidak mempunyai fakta kes yang solid. Semuanya berdasarkan maklumat media.



Saya tak berminat sebenarnya untuk berhujah. Lagi pun itu bukan bidang saya. Apa yang saya kesalkan,

1) Kenapa ilmuan di Malaysia TIADA yang tampil untuk membantu menyelesaikan kekeliruan ini? Sedangkan, ia mendapat liputan yang luas. Menyerahkan bulat-bulat kepada doktor dan peguam semata-mata menyempitkan ruang perbincangan. Lebih-lebih lagi, maaf kata lah, mahkamah kita di Malaysia ini memang sudah sewel


2) Rata-rata mengecam tindakan Aleesha @ Ashraf, dituduh membelakangkan agama, tidak menerima takdir Allah, ibu bapanya dituduh tidak pandai mendidik anak, mempertikaikan ciptaan Allah dan sebagainya. Saya yang membacanya terasa amat pedih. Padahal, permohonan arwah dibuat bukan atas dasar suka-suka. Berkali-kali juga saya cuba tembus ruang komen itu untuk memberi sedikit buah pandangan. Tapi komen saya tak muncul-muncul.

Bayangkan, seorang yang biologinya wanita, terpaksa hidup sebagai seorang lelaki. Memakai pakaian lelaki (disuruh buka baju di khalayak mungkin? Kerana badan bukan aurat bagi lelaki), hidup cara lelaki (kerja berat-berat), malah duduk (tinggal) bersama lelaki.

Hal ini sama dengan kes mak nyah, yang pernah saya baca laman web mereka. Mereka sangat marah dengan petugas agama yang menyerbu, meraba dada mereka dengan sengaja, kerana mereka adalah lelaki. Ya, kes mak nyah kes lain. Tapi siapa tahu, mereka juga adalah sebenarnya mengalami masalah genetik seperti Aleesha @ Ashraf? Dan kalau pun mereka itu memang suka-suka jadi mak nyah, tolonglah, show some respect! Jangan berakhlak bagaikan orang tak ada Tuhan.


3) Orang akan melihat kononnya agama Islam ini sangat menakutkan bagi golongan begini. Kita sangat sensitif pada agama, terlalu fokus pada syariah hingga mengenepikan sunnatullah (saintifik). Kenapa ini boleh berlaku, kerana masyarakat kita dididik untuk malas berfikir. Kejahilan itu merata-rata, dan tidak pula dilenyapkan dengan cahaya ilmu dari bijak pandai, walaupun katanya sudah 50 tahun sebagai sebuah negara Islam contoh.



Kematian Aleesha @ Ashraf adalah satu tragedi yang amat besar bagi saya. Betapa sentimen agama sememangnya boleh membunuh nyawa. Lebih-lebih lagi beliau adalah saudara kita seagama, yang sepatutnya kita jamin nyawanya.

Kalau pun Aleesha tidak patut membuat permohonan begitu, seharusnya sokongan moral diberikan kepadanya. Terapi, kaunseling dan sebagainya oleh jabatan agama dan pakar. Dengan mengecam, disuruh bertaubat, hanya memberikan tekanan kepada golongan sebegini.

Membaca kenyataan Aleesha bahawa beliau sanggup dibunuh jika mengundang kucar-kacir, sudah pun membunyikan siren amaran, yang sepatutnya diambil serius oleh pihak bertanggungjawab.


Sungguh. Saya sangat kecewa dengan masyarakat kita. Kecewa dan marah. Hari ini sahaja saya terkejut dengan kaedah 'motivasi' pencegahan jenayah, dengan memasukkan pelajar ke dalam penjara. Yang akhirnya pelajar tersebut membuat laporan mereka telah dibelasah sewaktu dalam penjara.

Juga seorang lelaki buta sebelah matanya kerana penyokong Harimau Malaya menyalakan mercun dalam stadium.

Aduhai, sudah gilakah orang kita?

Masalah sikap.



Pendidikan. Agar masyarakat kita ada rasa hormat dengan orang lain, ada kesedaran sivik dan common sense. Itu kuncinya.



Saturday, July 23, 2011

Ketika Kader Menyintai Dakwahnya





foto : Amirah Labibah. Bulatan-bulatan cinta batch kami


Luahan hati seorang kuli dakwah
Yang mulanya aku kongsikan kerana ayatnya yang memikat
Tapi kini aku kongsikan
Dengan menahan sendu yang dalam

Jalan dakwah,
Nampaknya masih ramai yang belum terpikat


Kata-kata "Sang Murabbi" KH Rahmat Abdullah

Aku rindu zaman ketika halaqah adalah keperluan,
Bukan sekadar sambilan apalagi hiburan

Aku rindu zaman ketika membina adalah kewajiban,
Bukan pilihan apalagi beban dan paksaan

Aku rindu zaman ketika daurah menjadi kebiasaan,
Bukan sekadar pelangkap pengisi program yang dipaksakan

Aku rindu zaman ketika tsiqah menjadi kekuatan,
Bukan keraguan apalagi kecurigaan

Aku rindu zaman ketika tarbiyah adalah pengorbanan,
Bukan tuntutan, penghujahan dan perdagangan

Aku rindu zaman ketika nasihat menjadi kesenangan,
Bukan su’udzan atau menjatuhkan


Aku rindu zaman ketika
Kita semua memberikan segalanya untuk da’wah ini

Aku rindu zaman ketika
Nasyid ghuroba manjadi lagu kebangsaan

Aku rindu zaman ketika
Hadir liqa adalah kerinduan
Dan terlambat adalah kelalaian

Aku rindu zaman ketika
Malam gerimis pergi ke puncak mengisi daurah
Dengan wang yang cukup-cukup
Dan peta yang tak jelas

Aku rindu zaman ketika
Seorang ikhwah benar-benar berjalan kaki 2 jam di malam buta
Sepulang menyampaikan da’wah di desa sebelah

Aku rindu zaman ketika
Pergi liqa selalu membawa infaq, alat tulis, buku catatan dan Quran terjemah
Ditambah sedikit hafalan

Aku rindu zaman ketika kader menangis karana tak bisa hadir di liqa

Aku rindu zaman ketika
Tengah malam pintu diketuk untuk mendapat berita kumpul di subuh harinya

Aku rindu zaman ketika
Seorang ikhwah berangkat liqa
Dengan duit dibahagikan buat belanja esok hari untuk keluarganya

Aku rindu zaman ketika seorang murobbi sakit dan harus dirawat,
Para kader yang bersamanya mengumpulkan dana apa adanya

Aku rindu zaman itu..



Ya Rabb
Jangan Kau buang kenikmatan berdakwah dari hati-hati kami

Ya Rabb
Berikanlah kami keistiqamahan di jalan dakwah ini




Erti hidup pada memberi?
Hampir sahaja saya berputus asa dari slogan ini!



Monday, July 18, 2011

3 Bulan Yang Penuh Semangat




Hm.. Apa nak ditulis?

Sudah hampir 2 bulan di Malaysia.

Satu tempoh yang sangat, ah, indah terlalu!!



Saya pulang di kala Malaysia sedang meriah dengan pengisian. Pengisian ilmu, fikrah, juga gerak kerja menuju pilihanraya umum ke 13.

Awal-awal sampai, memang mengeluh kebosanan. Belum start enjin lah katekan..

Untung saya menjadi anak orang yang aktif berprogram. Boleh join sekaki. Bermula dengan usrah peringkat kawasan, yang akhirnya membuka jalan untuk ke program-program lain.

Menariknya pada malam usrah itu, saya mengangkat tangan untuk bertanya soalan. Lantas moderator itu, "Ya, err... Syi!".

Rupanya, kami kenalan di facebook. Malah panel forum juga tersenarai dalam rakan facebook saya.

Malam itu juga, ada seorang mak cik menghulurkan RM300 untuk saya. 'Buat belajar', katanya.


SIRIH PULANG KE GANGGANG

Cuti kali ini memberikan saya peluang untuk kembali dekat dengan orang kampung.

Selama ini, sejak menjadi budak sekolah asrama, hingga ke universiti, balik ke rumah terlalu jarang. Waktu cuti biasanya banyak program yang mengisi dan perlu diisi. Kalau balik pun, selalunya terperap di rumah. Ini, zaman sekolah lah. Sejak masuk matrikulasi, memang dah tak terperap di rumah.

Emak dan ayah maklum tentang minat saya dengan program-program. Jadi mereka selalu ajak bila ada program terdekat.

Ceramah umum :)


Malam itu, saya bagaikan benar-benar sirih pulang ke ganggang.

Bila bersalam dengan makcik- makcik, kawan-kawan emak, sungguh hati saya sayu.

Tangan dan raut wajah itu, kali terakhir saya tatap masih anggun, memimpin kami adik beradik di program-program.

Tapi rupanya, hampir 10 tahun telah berlalu. Urat-urat semakin kasar, kedut makin ketara, tapi yang jelas, semangat mereka masih seperti dahulu.

10 tahun dahulu merekalah yang menyusun kerusi di dewan untuk ceramah. Hari ini, mereka masih melakukan kerja yang sama. Ada yang menjaga trafik, ada yang menjaga PA system, mengangkat kipas. Penuh ikhlas.

Terdetik di hati, 'Mana saya yang kononnya nak berjuang untuk masyarakat?'. Sedih.

Diri masih asyik menelaah buku (sudahlah tak menelaah sangat, apalah yang aku buat?), masih belum waktunya turun ke medan ini.

"Siapa ni? Anak Liza ke? Ya Allah dah besar panjang!"

Malah ada jiran yang tak mengenali saya!

Terukkan? Apa yang dibuat di luar sana, hingga tak bersua dengan orang sendiri entah!

Yang lucu, bila dah panjang lagi besar ini, mulalah ada ayat-ayat seperti,

"Kenal Iman?"
"Iman...?"
"Tu, yang pakai baju merah tu. Ha tu la Iman.."
"Er..."

Anaknya Iman, lelaki! Adesss

Juga bila berusrah dengan makcik-macik,
Makcik A : "Baru nampak muka, hari tu pakai purdah tak nampak muka. Putih!"
Makcik B : "Cepat-cepat, siapa nak booking buat menantu"

Adei!


BERSIH 2.0

"Jadi AJK Publisiti BERSIH ke? Tahniah!!"

Sampai ada yang beranggapan begitu, berikutan aktifnya wall fb saya dengan BERSIH.

Nak BERSIHkan fikrah orang, kena la rajin sikit, hehe.

Agaknya, saya ni memang jiwa teroris. Suka benar pada demonstrasi. Hehe.

Entah, seronok beramai-ramai bagai berani mati.

Kali ini diberi peluang untuk menjadi petugas keselamatan BERSIH. Tugasnya ialah, meleraikan provokasi sekiranya dibuat oleh peserta.

Bila bersama dengan demo kali ini, terasa diri terlalu tua, apabila duduk dengan pelajar IPT. Semuanya comel-comel, muka suci semangat tinggi!

Padahal, diri sendiri pun mahasiswi lagi.

Tapi bila rakan-rakan sebaya semuanya dah bekerja, malah ada anak, atau paling kurang meneruskan pengajian di peringkat lebih matang (hehe), pastilah diri ini terasa kerdil sungguh.

Cerita BERSIH panjang, sangat.

Tapi cukuplah kalau saya katakan, saya sangat rindu melihat pengorbanan dan perjuangan tulus orang kita.

Mengaji tak tinggi, tapi lebih faham dari kita yang dok bertamren sampai bengkak mata.

Sungguh, rindu dengan jiwa-jiwa ini. Pakcik makcik, anak muda. Kerana masing-masing berada dalam medan sebenar, tak sempat mempelajari fiqhnya, teorinya, terus praktiskan.

Tidur berlantaikan simen,
Habiskan beratus ringgit untuk satu hari,
Sanggup kongsi, beri apa sahaja untuk orang lain,
Duit minyak, letih memasak, semuanya bagaikan tidak wujud

Kita, teorinya naik mabuk, suruh buat pengorbanan redah hujan pun sudah tak mampu.


BENGKEL PERLEMBAGAAN


Suatu hari, senior saya menjemput kami alumni ke satu bengkel perlembagaan, yang dikendali sendiri oleh Prof Aziz Bari.

Siapa yang tak mengenali Prof Aziz Bari, memang sah tak ambil tahu tentang politik. :)

Sudahlah bengkelnya percuma.

Sangkaan saya, peserta akan dibentangkan perlembagaan Malaysia, dan dijelaskan satu persatu.

Tapi tidak. Kaedahnya ialah Q&A. Peserta tanya, Prof akan jawab dan jelaskan. Tentang apa-apa isu politik semasa, bagaimana Prof melihat ia dari sudut perlembagaan.

Seperti, fungsi Agong, hak orang Melayu, dan sebagainya.

Jujur saya kata, saya lost dalam bengkel ini. Terlalu banyak isu yang saya terlepas.

Yang menyertai bengkel ini, sememangnya bukan calang-calang orang. Hanya 40 peserta sahaja dihadkan. Mereka terdiri dari aktivis politik, badan pemikir, malah peguam.

Saya? Heh!

Ada juga sebenarnya yang hendak disuarakan, tapi saya diam mati dalam bengkel.

Benarlah telahan, "Syi balik dari Jordan makin pendiam, pemalu"

Pendiam dari sudut menyuarakan perkara yang patut, pemalu yang bukan ditempatnya.

Pendek kata, makin penakut! Telefon teksi pun suruh orang lain yang cakapkan.


Sebelum cuti, di Irbid hari tu, entah macam mana saya terbuka cd lama, mengandungi gambar dan video saya sewaktu di UTHM.

Ada satu ucapan saya dalam cd itu.

Sungguh, saya tak percaya dengan orang yang bercakap itu. Benarkah itu saya?? Jauh sungguh dengan sekarang!

Hm.. Apa sudah jadi?


MUJIB OH MUJIB

Ini, sememangnya manis :)

Mujib adalah adik bongsu saya. Begitu istimewa. Autistic kid.

8 tahun, masih menggunakan lampin pakai buang, tidak mampu bercakap. Tapi suaranya, bising!!

Memandikan, menidurkannya, adalah sesuatu yang cukup menenangkan jiwa.

Satu benda yang saya tak pernah tahu, bahawa sentuhan sangat memberi kesan, memberi satu rasa yang sangat damai.

Mujib suka 'melepek' dekat orang. Sebesar-besar katil, dia kan baring atas badan kita.

Kadang-kadang tangan saya diambil, dilekap dibadannya. Suruh peluk.

Tapi, bab nakal pun memang boleh tahan.

Tinggal 5 minit, balik semula, katil penuh sos cili.

Cawan pecah,
Air sirap disimbah,
Sabun mandi sebotol kosong, habis disapu di badan yang berbaju, konon mandi!

Nak dimarah, bukan dia faham. Mengeluh sahaja lah..



"Anak-anak muda la yang kami harap.. Kami ni, lutut nak berdiri pun dah tak larat! Tapi sebab tak ada orang nak buat.."

5 tahun lagi makcik.. 5 tahun..

Umur sebegini, saya rasa sudah sepatutnya kembali berbakti di sini.

Tapi nampaknya, Allah masih belum mengizinkan.

Argh, seksa sungguh jiwa. Rasa penuh tenaga bila berada di sini, sama-sama menghulur kudrat yang masih banyak ini untuk masyarakat.

Malaysia,
Akan ku lepaskan dalam dakapan paling erat
Bersabarlah menanti kepulanganku,
Kerana aku sendiri akan berjuang untuk sabar,
Untuk kembali ke pangkuanmu!




p/s : kelawar hijau masih hidup. Payah nak bunuh spesis ni. Memang jenis payah mati. Tapi sayang tak pernah ditawar bersama X Men di kaca tv


Friday, May 27, 2011

Eat, Pray, Love




Di hari lahir,
Ada orang mengharapkan ucapan,
Ada juga yang menanti kek berlilin,
Tak kurang yang bayangkan hadiah, berangan,

Tapi,
Baru aku sedar,
Hadiah terindah kita sebagai insan,
Adalah kawan-kawan



Al kisahnya, dah lama mengajak Nad makan di kedai steak kegemaran saya. Tapi tiap kali dia mengingatkan, pada waktu-waktu genting. Tengah malam lah, tengah exam lah.

26 Mei,

Saya : Nad, nak makan steak tu tak? Jom, lepas Asar
Nad : Boleh! Tapi lepas exam terus la, malas nak tunggu-tunggu

Nad datang rumah, saya ketiduran.. Batal kejadian hari itu.


27 Mei,

Saya : Sorry for yesterday.. Tindakan luar sedar. Hari ni jom?

(tanpa ada niat nak meraikan apa-apa. Sekadar memenuhi janji sekian lama)

Nad : Takpe je. Nak habiskan Al Kahfi kejap. Petang nanti kan?

Terdetik dalam hati, pernah cerita tentang niat ini ke Syaza. Dan teringat yang rumah mereka tu sangat kasihan. Kalau tak megi, pesan makanan luar.

'Ajak sekali lah Nana dengan Syaza'

Sudah ajak Nana dan Syaza, terfikir juga Bella dengan Asmat. Tapi, budak dua orang ini tak makan daging. Er, senyap-senyap ajelah.


Petangnya, hampir terpanjang lelap juga.

Nana telefon banyak kali.

"Kedai tu dekat mana? Saya dekat Tatoo ni"
"Bla.. bla.. bla (memberi arahan)"

Kiranya, saya bayangkan Nana dan Nad sudah ada di sana, sementara Syaza menanti saya solat Asar.


Bila tiba di kedainya, 'Eh, Bella. Nabil', getus hati, belum ada rasa apa-apa.

Saya minta tukar tempat duduk, duduk di bahagian dalam. Lebih privasi bagi saya. Saya mulakan langkah dahulu.

Setelah selesa duduk-duduk, seorang demi seorang datang, dan, mata melihat,

BUNGA! KEK!

Maka berlagulah 'Happy Birthday to youuu~'.

Ahaha! Tersegan seketika. Sungguh tak sangka.


Cerita Sebelah Mereka

Nana : Bella, hari ni birthday K.Syi.
(nana pun baru tahu sebab terbaca sesuatu)

Bella : Alah K.Syi selalu macam tu, lari-lari masa birthday dia.

Nana : Agak-agak dia tahu tak? (nak buat surprise)

Bella : K.Syi tu bukan budak-budak, mesti die dah boleh agak dah

.
.
.

Naif seketika hari ini.

Cuma, cantik sungguh, kan? Kalaulah saya tak tertidur lena semalam, pasti hari ini tak ke kedai makan sana. Pasti akan tidur lena (lagi) di rumah. Dan pastilah tiada apa yang berlaku hari ini.


Diorang dok kata muka saya matang waktu ni. Chait! Itu mengeji dalam pujian rasanya. Huu


Terima kasih atas doa-doa, facebook mahu pun doa dalam diam. Doa sebegitu selayaknya dipulangkan berganda-ganda lebih baik untuk kalian.

Dengan adanya kawan-kawan,
kita pasti,
rasa setiap hari dilahirkan!


Sudilah, Untuk 23 Tahun Lagi




Saya jarang meluahkan ini. Maka dengarlah.

Sewaktu melihat kawan-kawan menelaah Respiratory System untuk exam, aku pun, meraba tangan ke dada, merasakan adanya udara. Lantas aku bertanya, apakah yang mengisi jasad ini hingga aku bernyawa?


Terlintas depan mata, video-video mayat yang ditoreh-toreh, keras kaku, sewaktu pembelajaran anatomi.

Yang keras itu, dahulunya seperti aku. Tapi sewaktu dadanya dibelah, di manakah 'dia'?

Dan itulah juga, bakal diriku.

Lantas aku bertanya lagi, Tuhan, kenapa kau beri aku nyawa? Tidakkah aku ini sia-sia? Tidak menghamba, tidak juga memberi makna pada dunia. Ada atau tiada, bukankah sama?

Atau, akukah dulu yang beriya, merayu dihantar ke dunia, berjanji suatu yang hebat, hingga terbelakang nyawa-nyawa, hingga aku yang Engkau pilih masuk ke rahim ibuku?

Menyesalkah aku pada permintaan aku dahulu itu?


Di saat usia mencecah 23, entah apa yang aku buktikan.



Dalam keluarga, aku satu-satunya puteri. Sering juga aku tertanya, adakah aku istimewa?

Perempuan, biasanya dia lebih warna. Lebih beri ceria, lebih juga beri derita. Rencah pelbagai diadun segala rasa, itu yang menyebabkan dia lebih berharga.

Budak perempuan, kecil-kecil dah pandai mengada, memeningkan kepala.

Merajuk sedikit, gedegangggg! Habis pintu dihempasnya. Aku lah tu.

Bergaduh dengan Umi, itu selalu.

Kena buli dengan abang, menangis, Abah kurung abang di luar rumah, menangis pula merayu bagi abang masuk. Complicated feelings

Dalam ramai-ramai, akulah yang sering naik pentas. Oh, bukan banyak anugerah, tapi segala pertandingan aku sertai.

Bermula dari bercerita, solo nasyid, drama, debat, public speaking, mewarna peringkat negeri, hingga Abah berkata 'Banyak sangat sijil kakak ni, penat photostet'.

Dalam ramai-ramai, mungkin kerana aku perempuan, akulah yang terpilih untuk memilih hidup dalam dakwah. Yang mana, satu legasi Umi Abah. Ya aku, satu-satunya yang mewarisi.

Dalam ramai-ramai, aku jugalah yang suka buat masalah. Along yang blur-blur, paling kurang habis belajar. Angah yang merempit, paling kurang rajin di kuliah. Pandai bawa kereta, memudahkan mak ayah. Mimi yang emo, keputusan peperiksaannya boleh menghilangkan segala gundah. Azrul yang, er, dia dengar kata kan? Mujib, tak payah cerita lah.

Aku?

Masuk matrik buang duit. Habis matrik bergaduh besar dengan Umi. Masuk universiti lari kuliah tanpa sebab sebulan lamanya. Sudah berada di sini tak lepas-lepas juga. Paling memeningkan kepala, lagi menipiskan poket.

Kan?

Itu belum masuk bab nak menikah (uhukk). Nasib baik.

In short, aku tak selayak jadi anak pada dua insan, anugerah terindah.

Selama 23 tahun, masih sabar dan setia. Masih sudi untuk menjaga dan memelihara. Walaupun bila berhadapan, **** (nama panggilan di rumah, seganlah nak cakap di sini *.*) keras, pemalas, macam tak ada perasaan, kejam, bila cakap semua yang lawan balik, er, jarang (macam tak pernah pun ada) bercakap kat rumah, busuk; tapi sungguh, **** sangat sayang Umi Abah.


*er Along, pinjam gambo grad. Boleh la mencapap sekali

Selaut, segunung cinta dan terima kasih atas segala yang tak terbalas.

Sudilah lagi kiranya 23 tahun mendatang, bersabar, berpening, mengeluh, tersenyum yang kejap, menerima **** sebagai anak.

Redha kalian, itulah syurga terindah buat ****.

Semoga, rasa kalian hari ini, adalah rasa sewaktu menerimaku 23 tahun dahulu. 27 Mei, 11.30 pagi, Batu Pahat, Johor.

Er.. harap rasa itu bahagia lah kan. hoho

*kenapa kata jarang meluahkan benda begini? Sebab sebenarnya, seboleh mungkin sorokkan tarikh hari lahir. Selalu-selalu orang salah wish, sebab saya main tukar-tukar tarikh. Awal tahun hari tu dah check kalender, 27 Mei hari Jumaat, 'Yes! Boleh lari tempat lain, menyorok!'.

Saya boleh kata, tak pernah wish orang, jadi tak mahulah orang buat sweet dekat saya. Eleh, macam lah ade kan? Seganlah, heh.

Tahun ini berjaya! Hanya seorang yang wish lewat malam tadi, dan seorang lagi baru sekejap tadi. Tahun depan, kita tengok nanti. Hehe.

*selalu berharap lupa akan tarikh ini, supaya tak mengelabah tak memasal seperti malam semalam dan sekarang ni. Haha



Wednesday, May 25, 2011

Marvelous Mouth-Melting


Terima kasih ^^,


It's not just that,
It's marvelous heart-melting too


*dah, itu aje nak post. Tak reti lah nak buang Read More bawah ni kalau post pendek. Hish buat segan!

Sunday, May 15, 2011

Ibuku Guru




Siapa guru kita?

Kalau disenaraikan orang yang mendidik kita, berapa panjangkan senarai itu?

Saya melalui 2 sekolah tadika. Bilangan subjek tak ingat.
2 sekolah rendah. Bilangan subjek mungkin 8. Tapi ada 6 tahun.
Satu sekolah menengah. Bilangan subjek berbelas, 5 tahun.
Setahun matrikulasi, 5 subjek.
Setahun setengah diploma IT, tiga semester, 5-6 subjek
Setahun di Al Bayt, 3 subjek
Dan kini tahun ke dua di JUST

Berapa?


Belum dikira yang memberi kita ilmu, samada akademik atau pun ilmu tentang hidup.
Yang kita jumpa tepi jalan
Rakan-rakan di alam maya
Termasuk alam, gunung, pokok dan burung yang memberi makna

Betapa, terlalu ramai guru kita!

Maka layakkah, untuk kita berlagak sombong atas sesuatu?

Ada satu kata-kata, yang saya lupa dinukilkan oleh siapa,


"Hebatnya saya yang anda kenal dan lihat hari ini, adalah 100% hasil 'ciptaan' orang-orang yang hebat"





Hari Guru kali ini saya tujukan buat ibu, guru yang paling lama, paling setia.

Sejak belum melahirkan, malah pasti sejak beliau belum menikah sekali pun, beliau telah mendidik, kan?

Umi lulusan Fizik Gunaan UKM, bergelar graduan di usia seawal 21 tahun. Terus berkahwin dan menemani Abah ke Jepun bagi bidang Fizik Nuklearnya.

Pulang ke Malaysia Umi menjadi guru PASTI.

Kamilah anak muridnya yang pertama. Along ke PASTI, kami semua join sekaki. Hatta persembahan pentas pun kami sertai. Maka berPASTIlah kami adik beradik bertahun-tahun.

Tak lupa, didikan di PASTI dibawa balik ke rumah.

Teringat, adik saya Hilmi tidak ditadikakan. Hanya Umi yang mengajar di rumah. Menampal abjad dan gambar di lelangit katil dua tingkat kami, mengajar flash kad, membeli video-video Bahasa Inggeris. Ah, sampai kini buku bersiri awal bacaan novel Bahasa Inggeris tersusun di almari. Juga Hikayat Rakyat, Ensiklopedia Sains, semua!

Kalau mengajar mengaji, saya selesa mengaji dengan Abah. Kerana Abah cool lebih tentang bacaan. Tapi tidak pada Umi, tajwid, cara sebut, kalau salah, siaplah!


Dalam selamba-selamba Umi, terlalu banyak yang saya pelajari, tanpa beliau sedar.

Cuma satu, yang tak dapat saya kuasai, ilmu masaknya!


Umi, setiap hari adalah harimu!






Pagiku cerahku matahari bersinar
Ku gendong tas merahku di pundak
Slamat pagi semua ku nantikan dirimu
Di depan kelasku menantikan kami..

Guruku tersayang
Guru tercinta
Tanpamu apa jadinya aku
Tak bisa baca tulis mengerti banyak hal
Guruku terima kasihku

Nakalnya diriku kadang buatmu marah
Namun segala maaf kau berikan

Guruku tersayang
Guru tercinta
Tanpamu apa jadinya aku
Tak bisa baca tulis mengerti banyak hal

Guruku terima kasihku...





Wahai Allah, Tuhan segala Rahmah, pulangkan segala kebaikan, pada insan-insan yang pernah memberi faham dan erti pada diri. Mudahkan mereka jalan, dunia dan akhirat. Seterang ilmu di hati kami, seterang itu juga rumah mereka di syurga nanti.


*eh exam lagi 3 hari, sempat update ya? Doakanlah!

Tuesday, April 26, 2011

Masih Belum Terlambat





Luka yang lama belum kita lupakan
Hangat terasa bahang yang menyakitkan
Harapan dan keyakinanmu membutakan segalanya
Hanyut dalam genggaman memusnahkan kita

Segala yang berlaku bukanlah niatku
Maafkanlah diriku keterlanjuran lalu

Masih belum lewat untuk kita bertaubat
Menilai dosa walau diri terhina
Redha dan keampunan-Nya mengatasi segalanya
Sirna dalam gelita
Harapan terbina


Dosa itu lebih baik seandainya ia membuatkan engkau merendah, berbanding pahala yang menjadikan rasa lebih bagus - Syeikh Hamza Yusuf



Tapi sampai bila nak merendah, harus ada juga kehormatan kita untuk dipersembahkan pada Allah bukan?


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2009 Terbang | Lihat | Tafsir. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates | Blogger Styles | WP by Masterplan