>>test

Tuesday, August 21, 2007

50 Tahun Merdeka, Rakyat Menangis Hiba.




Saya anak Malaysia, pasti saya sayang akan negara saya. Bangga? Saya perlu fikir berkali-kali. Dari segi pencapaian Malaysia, kalau hendak dibanding dengan negara Asia Tenggara yang lain, mungkin boleh dibanggakan. Tapi setelah 50 tahun negara ini merdeka, masih ada yang derita.

KEMISKINAN

Semalam, pulang dari Malam Gala Busana Muslimah Siswi, saya dibawa ke pondok pengawal kediaman oleh teman bilik, Nor Mas Azura Bt. Mohd Zuhan (Kak Mas). Di sana ada satu kotak berlabel 'Derma Mangsa Kebakaran'. Lantas dia menceritakan tragedi yang meragut 5 nyawa ahli keluarga sahabat se'UTHM saya.

Di sini, saya muatkan berita dari akhbar KOSMO! Jumaat, 10 Ogos 2007:

5 beranak rentung

KLUANG-Kasih anak. Itulah yang dapat digambarkan kepada tiga beradik yang mati rentung bersama ibu mereka dalam kebakaran di Kampung Tengah di sini awal pagi semalam.

Semasa kejadian pukul 4.30 pagi, ketiga-tiga beradik itu, Hisamuddin 13, Nurul Mercella 10, dan Izwanuddin 9, ditemui mati bersama ibu bapa mereka Kasmuri Jasman 44 dan Sufiah Abdul Karim 41.

Mayat Kasmuri dijumpai bersama mayat anaknya, Hisamudiin di dalam bilik air rumah kayu setingkat.

Mayat Hisamuddin ditemui tersorok di bawah sinki bilik air itu.

Mayat Sufiyah yang ditemyi di bahagian dapur pula, menindih anak bongsunya, Nurul Mercella.

"Mereka masuk semula ke dalam rumah untuk membantu kedua ibu bapa mereka yang rebah.

"Jika mereka tidak masuk semula berkemungkinan ketiga-ti ga mereka selamat kerana ketika ini mereka telah berada du pintu depan rumah selepas diarah keluar oleh ibu mereka," cerita jiran mereka, Zainita Ali 27.

Turut rentung Proton Wira Aerobak milik keluarga malang itu turut hangus.

Bagaimanapun, dalam kejadian tersebut, seorang anak kepada pasangan itu, Nurul Farhana 15, selamat.

Menurut Zainita, Nurul Farhana juga mahu masuk semula ke dalam rumah itu tetapi dia, suami, Mohd. Shahril Ali 30-an dan adiknya, Mohd Idham 23, sempat menarik gadis itu keluar.

"Bagaimanapun, kami tidak sempat menyelamatkan tiga lagi adik beradik Nurul Farhana yang masuk semula ke dalam rumah untuk membantu ibu bapa mereka," katanya.

Zanita memberitahu, Nurul Farhana yang trauma selepas menunggu ibu bapa dan adik-adiknya yang tidak lagi muncul terpaksa dibawa pulang ke rumahnya yang terletak hanya beberapa meter dari rumah mangsa.

Sebelum kejadian, kampung tersebut dilanda hujan dan angin kencang dan kebanyakkan jiran sedang tidur waktu itu.

Pasangan Kasmuri dan Sufiah, turut mempunyai tiga anak lain yang menuntut di Institusi Perngajian Tinggi Awam (IPTA) iaitu Salahuddin 19, Faezah Nor 20, dan Juliana 18.

Salahuddin menuntut di Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUITTHO), Faezah di Universiti Putra Malaysia dan Juliana di Kolej Matrikulasi Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.


Guna lilin sebab elektrik dipotong

KLUANG-Allahyarham Kasmuri Jasman, 44, yang mati rentung bersama-sama isteri dan tiga anaknya terpaksa menangguhkan pembayaran bil elektrik rumahnya kerana mahu menggunakan wang bagi membiayai pengajian tiga lagi anaknya yang menuntut di institusi pengajian tinggi awam tempatan.

Jiran dan tuan tanah kepada keluarga mangsa, Jamliah Othman, berusia lingkungan 60-an, berkata, beliau dimaklumkan perkara itu oleh isteri Kasmuri, Sufiah Abdul Karim beberapa hari lepas.

"Sudah lima malam rumah mereka bergelap selepas Tenaga Nasional Berhad (TNB)memotong bekalan elektrik kerana mangsa tidak menjelaskan bayaran.

"Akibatnya, mangsa sekeluarga terpaksa menggunakan lilin," katanya semasa ditemui di rumahnya, yang terletak bersebelahan rumah mangsa.

Jamilah berkata, beliau hanya menyedari tentang kebakaran itu apabila dikejutka oleh menantunya yang tinggal bersama-samanya pada pukul 3.30 pagi.

"Jiran-jiran tidak dapat membantu mangsa kerana kejadian berlaku terlalu cepat, ditambah pula penduduk semua sedang nyenyak tidur," katanya.



Apa yang saya sedihkan, 50 tahun Malaysia merdeka, masih ada rakyatnya berlilin dalam gelap. Bapa keluarga ini, Allahyarham Kamsuri bukanlah pengganggur, tetapi seorang kakitangan syarikat pembuat jublin, Malaysia Mosaic manakala isterinya bekerja sebagai pembantu kedai makanan.

Walau kedua-duanya berkerja, namun gaji yang diterima masih belum mampu menanggung sejumlah 9 orang ahli keluarganya.

Saya hanya mengetengahkan satu kes, walhal berlambak-lambak lagi kes kemiskikan melarat di negara kita ini.

Pasti terdetik di hati kita selepas membaca artikel ini, menunding jari ke sesetengah pihak. Siapa? Kerajaan, kerana tidak prihatin terhadap kebajikan rakyat tapi dalam waktu yang sama dengan rakus meratah kekayaan? Jiran sekeliling, kerana tak sedar keluarga ini bergelap demi berhajat melihat anak-anak berjaya? Media, kerana tak menghebahkan kisah mereka?

Kenapa kita tak tunding jari pada DIRI SENDIRI, KITA!?

Barisan MAHASISWA yang kini kaku, lesu dan 'mati otak' dalam membicarakan isu seperti kemiskinan dan lain-lain, tak lagi mampu menggugah dan mengejutkan pemimpin negara yang sedang lena diulit kemewahan.

Pasti ada yang bermonolog 'Ah, bukan kerja aku. Kerja aku belajar, 4 flat, kerja. Cukup lah!'

Kalau begitu, jangan hidup sebagai warga Malaysia, kerana ada sifat 'tanggung perut sendiri'.

"Tidak sempurna iman jika kau tidur dalam kelaparan, sedang jiran tetanggamu menangis kerana kelaparan"

Dalam hal ini, mereka bukan lagi menangis kelaparan, tapi sudah suara itu telah pun diambil illahi.

Banggakah kita menyambut perayaan ke 50 negara?

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2009 Terbang | Lihat | Tafsir. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates | Blogger Styles | WP by Masterplan