>>test
Showing posts with label Journal Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Journal Malaysia. Show all posts

Monday, July 18, 2011

3 Bulan Yang Penuh Semangat




Hm.. Apa nak ditulis?

Sudah hampir 2 bulan di Malaysia.

Satu tempoh yang sangat, ah, indah terlalu!!



Saya pulang di kala Malaysia sedang meriah dengan pengisian. Pengisian ilmu, fikrah, juga gerak kerja menuju pilihanraya umum ke 13.

Awal-awal sampai, memang mengeluh kebosanan. Belum start enjin lah katekan..

Untung saya menjadi anak orang yang aktif berprogram. Boleh join sekaki. Bermula dengan usrah peringkat kawasan, yang akhirnya membuka jalan untuk ke program-program lain.

Menariknya pada malam usrah itu, saya mengangkat tangan untuk bertanya soalan. Lantas moderator itu, "Ya, err... Syi!".

Rupanya, kami kenalan di facebook. Malah panel forum juga tersenarai dalam rakan facebook saya.

Malam itu juga, ada seorang mak cik menghulurkan RM300 untuk saya. 'Buat belajar', katanya.


SIRIH PULANG KE GANGGANG

Cuti kali ini memberikan saya peluang untuk kembali dekat dengan orang kampung.

Selama ini, sejak menjadi budak sekolah asrama, hingga ke universiti, balik ke rumah terlalu jarang. Waktu cuti biasanya banyak program yang mengisi dan perlu diisi. Kalau balik pun, selalunya terperap di rumah. Ini, zaman sekolah lah. Sejak masuk matrikulasi, memang dah tak terperap di rumah.

Emak dan ayah maklum tentang minat saya dengan program-program. Jadi mereka selalu ajak bila ada program terdekat.

Ceramah umum :)


Malam itu, saya bagaikan benar-benar sirih pulang ke ganggang.

Bila bersalam dengan makcik- makcik, kawan-kawan emak, sungguh hati saya sayu.

Tangan dan raut wajah itu, kali terakhir saya tatap masih anggun, memimpin kami adik beradik di program-program.

Tapi rupanya, hampir 10 tahun telah berlalu. Urat-urat semakin kasar, kedut makin ketara, tapi yang jelas, semangat mereka masih seperti dahulu.

10 tahun dahulu merekalah yang menyusun kerusi di dewan untuk ceramah. Hari ini, mereka masih melakukan kerja yang sama. Ada yang menjaga trafik, ada yang menjaga PA system, mengangkat kipas. Penuh ikhlas.

Terdetik di hati, 'Mana saya yang kononnya nak berjuang untuk masyarakat?'. Sedih.

Diri masih asyik menelaah buku (sudahlah tak menelaah sangat, apalah yang aku buat?), masih belum waktunya turun ke medan ini.

"Siapa ni? Anak Liza ke? Ya Allah dah besar panjang!"

Malah ada jiran yang tak mengenali saya!

Terukkan? Apa yang dibuat di luar sana, hingga tak bersua dengan orang sendiri entah!

Yang lucu, bila dah panjang lagi besar ini, mulalah ada ayat-ayat seperti,

"Kenal Iman?"
"Iman...?"
"Tu, yang pakai baju merah tu. Ha tu la Iman.."
"Er..."

Anaknya Iman, lelaki! Adesss

Juga bila berusrah dengan makcik-macik,
Makcik A : "Baru nampak muka, hari tu pakai purdah tak nampak muka. Putih!"
Makcik B : "Cepat-cepat, siapa nak booking buat menantu"

Adei!


BERSIH 2.0

"Jadi AJK Publisiti BERSIH ke? Tahniah!!"

Sampai ada yang beranggapan begitu, berikutan aktifnya wall fb saya dengan BERSIH.

Nak BERSIHkan fikrah orang, kena la rajin sikit, hehe.

Agaknya, saya ni memang jiwa teroris. Suka benar pada demonstrasi. Hehe.

Entah, seronok beramai-ramai bagai berani mati.

Kali ini diberi peluang untuk menjadi petugas keselamatan BERSIH. Tugasnya ialah, meleraikan provokasi sekiranya dibuat oleh peserta.

Bila bersama dengan demo kali ini, terasa diri terlalu tua, apabila duduk dengan pelajar IPT. Semuanya comel-comel, muka suci semangat tinggi!

Padahal, diri sendiri pun mahasiswi lagi.

Tapi bila rakan-rakan sebaya semuanya dah bekerja, malah ada anak, atau paling kurang meneruskan pengajian di peringkat lebih matang (hehe), pastilah diri ini terasa kerdil sungguh.

Cerita BERSIH panjang, sangat.

Tapi cukuplah kalau saya katakan, saya sangat rindu melihat pengorbanan dan perjuangan tulus orang kita.

Mengaji tak tinggi, tapi lebih faham dari kita yang dok bertamren sampai bengkak mata.

Sungguh, rindu dengan jiwa-jiwa ini. Pakcik makcik, anak muda. Kerana masing-masing berada dalam medan sebenar, tak sempat mempelajari fiqhnya, teorinya, terus praktiskan.

Tidur berlantaikan simen,
Habiskan beratus ringgit untuk satu hari,
Sanggup kongsi, beri apa sahaja untuk orang lain,
Duit minyak, letih memasak, semuanya bagaikan tidak wujud

Kita, teorinya naik mabuk, suruh buat pengorbanan redah hujan pun sudah tak mampu.


BENGKEL PERLEMBAGAAN


Suatu hari, senior saya menjemput kami alumni ke satu bengkel perlembagaan, yang dikendali sendiri oleh Prof Aziz Bari.

Siapa yang tak mengenali Prof Aziz Bari, memang sah tak ambil tahu tentang politik. :)

Sudahlah bengkelnya percuma.

Sangkaan saya, peserta akan dibentangkan perlembagaan Malaysia, dan dijelaskan satu persatu.

Tapi tidak. Kaedahnya ialah Q&A. Peserta tanya, Prof akan jawab dan jelaskan. Tentang apa-apa isu politik semasa, bagaimana Prof melihat ia dari sudut perlembagaan.

Seperti, fungsi Agong, hak orang Melayu, dan sebagainya.

Jujur saya kata, saya lost dalam bengkel ini. Terlalu banyak isu yang saya terlepas.

Yang menyertai bengkel ini, sememangnya bukan calang-calang orang. Hanya 40 peserta sahaja dihadkan. Mereka terdiri dari aktivis politik, badan pemikir, malah peguam.

Saya? Heh!

Ada juga sebenarnya yang hendak disuarakan, tapi saya diam mati dalam bengkel.

Benarlah telahan, "Syi balik dari Jordan makin pendiam, pemalu"

Pendiam dari sudut menyuarakan perkara yang patut, pemalu yang bukan ditempatnya.

Pendek kata, makin penakut! Telefon teksi pun suruh orang lain yang cakapkan.


Sebelum cuti, di Irbid hari tu, entah macam mana saya terbuka cd lama, mengandungi gambar dan video saya sewaktu di UTHM.

Ada satu ucapan saya dalam cd itu.

Sungguh, saya tak percaya dengan orang yang bercakap itu. Benarkah itu saya?? Jauh sungguh dengan sekarang!

Hm.. Apa sudah jadi?


MUJIB OH MUJIB

Ini, sememangnya manis :)

Mujib adalah adik bongsu saya. Begitu istimewa. Autistic kid.

8 tahun, masih menggunakan lampin pakai buang, tidak mampu bercakap. Tapi suaranya, bising!!

Memandikan, menidurkannya, adalah sesuatu yang cukup menenangkan jiwa.

Satu benda yang saya tak pernah tahu, bahawa sentuhan sangat memberi kesan, memberi satu rasa yang sangat damai.

Mujib suka 'melepek' dekat orang. Sebesar-besar katil, dia kan baring atas badan kita.

Kadang-kadang tangan saya diambil, dilekap dibadannya. Suruh peluk.

Tapi, bab nakal pun memang boleh tahan.

Tinggal 5 minit, balik semula, katil penuh sos cili.

Cawan pecah,
Air sirap disimbah,
Sabun mandi sebotol kosong, habis disapu di badan yang berbaju, konon mandi!

Nak dimarah, bukan dia faham. Mengeluh sahaja lah..



"Anak-anak muda la yang kami harap.. Kami ni, lutut nak berdiri pun dah tak larat! Tapi sebab tak ada orang nak buat.."

5 tahun lagi makcik.. 5 tahun..

Umur sebegini, saya rasa sudah sepatutnya kembali berbakti di sini.

Tapi nampaknya, Allah masih belum mengizinkan.

Argh, seksa sungguh jiwa. Rasa penuh tenaga bila berada di sini, sama-sama menghulur kudrat yang masih banyak ini untuk masyarakat.

Malaysia,
Akan ku lepaskan dalam dakapan paling erat
Bersabarlah menanti kepulanganku,
Kerana aku sendiri akan berjuang untuk sabar,
Untuk kembali ke pangkuanmu!




p/s : kelawar hijau masih hidup. Payah nak bunuh spesis ni. Memang jenis payah mati. Tapi sayang tak pernah ditawar bersama X Men di kaca tv


Friday, December 12, 2008

Pengakhiran Membuah Permulaan. Misi Menawan Malaysia


World-Class future leaders, insya Allah


Lewat hampir 2 minggu untuk mengulas tentang hari bermakna buat saya dan sahabat. Gara-gara hobi saya yang suka mengolah gambar sedangkan idea dan kreativiti tak seberapa. Mohon ampun buat 12 muslimin dan 5 muslimat yang setia menanti.



2 dan 3 Disember lalu MYTEAM serata Malaya menerjah bumi Kelantan untuk berkumpul kembali memautkan cinta. Rehlah Mahabbah Myteam 2008. Rata-rata muslimin sudah pun berada di sana seminggu lebih awal dengan projek ntah apa-apa mereka. Asalnya rehlah ingin dilaksana pada 25 dan 26 Nov, tapi nampaknya mejoriti muslimat terlampau aktif dikampus masing-masing (hehe) hingga akhirnya seorang sahaja muslimat yang mampu hadir pada tarikh tersebut.

Atas permintaan, tarikh ditukar ke awal Disember. Tapi muslimin tetap dengan perancangan asal, maka berehlahlah mereka dengan lebih awal.

Ini adalah pertama kali saya berprogram di resort bersebelahan pantai. Pemilihan lokasi di Sri Nipah Resort, Bachok sangat saya puji. Bukan sekadar tempat, malah bab pengurusan, dana, dan makanan amat-amat layak diberi anugerah buat skuad Projek Khas yang mengelola majlis.

Saya, Khalisah (Diksu) dan Zuraida (Jue) tiba ditapak program kira-kira pukul 9 pagi setelah sesat bersama pakcik teksi yang beriya-iya mahu menghantar kami ke pintu resort. Hingga pukul 10 pagi, kelibat peserta muslimin masih belum ada bayangnya. Kalau mengikut tentatif, sepatutnya upacara pembukaan diadakan.

Sekitar 10 lebih, 4-5 muslimin tiba. Sungguh, hampir 2 tahun tak bertemu, terasa gelombang lama mula bergetar. Ini bukan masalah hati, tapi tautan hati..

Mat, Kori, Faisal dan Abe Din merangka kembali program

Makin lama, makin ramai muslimin yang hadir. Kami 3 kuntum bunga makin rasa tak mahu keluar bilik. Malu rasanya sekadar bertiga untuk berprogram dengan 10 muslimin. Masing-masing sedaya upaya hubungi segala myteam sekitar Kelantan. Alhamdulillah, Afifah tiba lewat tengahari. Tapi bilangan kami masih jauh ketinggalan!


Kemaskini cerita masing-masing

Sesi dimulakan dengan pengenalan semula dengan ahli. Mendengar cerita-cerita baru, perancangan masa depan dan tak lupa resipi Myteam yang tak basi - buat lawak tak habis-habis. Boleh dikata hampir semua kini memegang potfolio besar di kampus masing-masing. Alhamdulillah, hasil pembentukkan Allag selama setahun di matrikulasi. Cerita nikah tunang mula kedengaran. Em, dah dewasa sangatkah Myteam ni.. Oh ya, tak lupa jemputan Kori ke rumahnya 20 Disember ini. Entah walimah al arus atau apa, kita tunggu sahajalah.

Makan tengahari diangkut dari Kota Bharu dengan seekor Unser Abe Din. Disebabkan dengan bilangan muslimin yang lebih meriah, kami merendah diri membawa makanan jauh ke chelet kami.

Usai Zohor diisi dengan modul Ice Breaking oleh Faisal. Sekali lagi, disebabkan bilangan peserta muslimat yang jauh ketinggalan, perjalanan acara agak kaku oleh malu-segan kami. Akhirnya kami diselamatkan dengan kehadiran Hidayati bersama keluarganya ke lokasi.

Antara saya, Jue, Dqsu dan Afifah, boleh kata saya yang paling kenal Yati kerana kami dulunya satu blok kediaman. Biliknya jarang saya terjah, tapi tudungnya pernah juga lah saya rembat. Yati pada mata saya hari itu tampak terlalu kurus. Jauh beza dengan Yati yang saya kenal dulu. Kalaulah Aisyah, bekas roomate Yati yang juga sepatutnya hadir; ada di situ, pasti dia juga akan terkejut. Em, kenapa ya Yati?

Jemput Yati naik ke chalet, Asar sudah pun masuk. Jadi yang bukan musafir siap-siaplah untuk solat. Sedang solat, pintu chalet kami diketuk. Hanya saya yang telah jama', maka dengan berdebarnya saya buka pintu. Faisal. Dia hulur sebiji telur ayam yang dianalogi sebagai Myteam yang harus dijaga.

Disebabkan muslimat lain masih belum selesai solat, maka saya seorang termangu-mangu dengan telur, cari idea. Saya balut ia dengan plastik dan sumbat ke dalam bekas kecil, dengan penuh harapan kekukuhan bekas itu tak akan rosakkan telur. Usai solat, chalet kami digegar, paksa penghuninya keluar.

Bekas kecil berisi 'Myteam' ditangan Jue


Kami sebenarnya tak menyangka 'Myteam' yang bujur itu akan diuji sebegitu rupa. 'Myteam' menjadi ujikaji pertama dan pecahlah ia. Keciwa juga dihati ini, tapi tak apalah, memang kami tak sedia. Kalau tak..

Yang muslimin pula, macam-macam dibungkusnya 'Myteam' itu. Ada dengan kasut, sampah, sabut kelapa, macam-macam. Ada satu kumpulan yang tak pecah selepas diuji, tak silap kumpulan Amir, kan?


Aktiviti diteruskan dengan solat Asar buat muslimin dan kemudian acara boling pantai. Satu permainan yang menarik di kala langit kian mendung dan angin seakan-akan ingin bermesra. Boling dengan menggunakan buah kelapa, apalah sangat daya kami muslimat yang lemah-lembut (ahaks!). Tergeliat jugalah tangan. Tapi seronok!

Lewat hari itu kami dimaklumkan Hajar chomey akan tiba di Kota Bharu. Rancangan kami, Diksu akan pandu kuda besi Amir. Tapi nampaknya, Abe Din yang bijak lestari mengangak jalan utama ke KB dinaiki air, dan hanya angsa besinya mampu berenang atasnya. Maka pergilah kami bertiga, Abe Din, Diksu dan daku.

Ha.. Dalam kereta banyak cerita kami kongsi. Tapi, rahsia kami tiga orang la..

Senja itu, barulah hujan ingin menyapa kami di bumi Kelantan. Hujan barokah mungkin. Sejuk yang mengundang kantuk. Terlena juga dalam angsa Abe Din. Setibanya di lokasi, sayup-sayup kelihatan semua berkumpul di chalet pertama, mendengar kuliah. Bagi diri yang lewat ini, kurang dapat tangkap isi perbincangan. Tapi yang pasti, ia tentang hidup haraki seorang mahasiswa, kan?

Usai solat, kami ke acara paling seronok. Apa lagi kalau bukan MAKAN! Bbq ayam yang sudah diperap oleh ma Jue. Bukan pakar, malah tak pernah pun libatkan diri dalam acara bakar-bakar ni. Jadi, berpeluh juga la. Tapi seperti biasa, dibereskan oleh muslimin yang pakar.


Hasilnya, mengiurkan! Bak kata Pipah, teringat ayat-ayat cinta. Makan ayam atas bumbung berlaukkan nasi kerana banyaknya ayam. Aduhai, daku yang alah ayam ni dalam hati menjampi-jampi tiap keping ayam tersebut. Moga malam ini wajah ku tak terseksa dek gatal. Dengan bismillah, kami ganyang ayam tersebut.

Memang enak!

Hajat dihati ingin dibuai saja mata yang sudah berat itu. Tapi nampaknya Bukhari ada rancangan lain. Sedikit brainstorming dibuat. Ya, ini yang aku tunggu. Ini yang buat aku ingin ke mari. Ingin tahu apa disebalik 'Gagasan Menawan Malaysia'. Satu retorik kritikal, bak kata Bukhari.

Kita berhajat melahirkan amilin yang pakar dalam bidang masing-masing tapi di waktu yang sama mantap jiwa daie, murabbi. Amilin yang boleh kita pantau aktif-senyapnya, amilin yang akhirnya memakmurkan bumi Malaysia.

Menarik!

Malam itu, dengarnya sang lelaki ada modul tambahan. Mungkin simpati dengan jumlah muslimat, kami dibenar beribadah senyap. Yahoo!! Tapi dibenar pun, pukul 3 juga tidurnya..

Pagi, suria keluar dengan penuh minat. Masya Allah, adakah berkat kami yang datang dari kejauhan, menghasilkan cuaca yang selesa buat Bachok? Ehehe.. Astagfirullah, masalah aqidah nih.

Pagi itu, aktiviti terbuka buat semua. Tapi pasti, semuanya menuju ke pantai. Muslimat turun dengan sebuku roti, jem dan biskuat. Hehe.. Jamu sarapan di gigi air.. Tak terasa kenyangnya. Kaki dah tak sabar untuk dibasahkan dengan air laut. Jadi, saya, Jue dan Yati warming up untuk menjelajah pantai. Photographer of the day is saudari Afifah!


Jalan-jalan melihat ciptaanNya yang mengasyikkan. Tak sedar Jue dah hilang. Huhu.. Dan tak sedar langit kian tinggi. Yati pun kian pulang ke pangkuan.. Tinggal daku berlari-lari anak kembali ke tepian. Sayup kelihatan yang lelaki telah kuyup dibasah air masin. Sedang bercanda mungkin, menanam Bukhari yang kepingin bernikah awal.


Matahari kian melangit, cuaca kian terik. Tanpa sedar, hampir tiba ke penghujung majlis. Semua dijemput ke bangsal belakang chalet. Di depan mataku, tersusun kerusi-kerusi. Entah kenapa, hati ini terdetik 'Macam tahu je, cuak'.

Nampaknya firasat orang beriman selalu tepat. Tiba-tiba Faisal bersuara, melarang sebarang senyuman mahupun suka-suka. Dia membelek borang biodata ahli. Bukhari dan Zuraida disuruh berdiri. Bak taaruf, Faisal memekik. Ditanya latar belakang Bukhari dan Zuraida. Bila tak tahu dimarahnya, macam biasa.

Kecut juga perut dibuatnya. Entah dari mana, tiba-tiba datang senyum dari bibir Faisal. "Gurau je lah.. Dah.. Dah, senyum" Hampeh. Sesi penutup itu diisi dengan pembongkaran Skuad Projek Khas. Cerita yang mengundang memori.

Kami dikembalikan pada musim Minggu Keterampilan Minda. Waktu semua sedang kalut dengan pantun dan bahas. Skuad inilah yang menyamar menulis surat untuk muslimat, menggesa menyiapkan pantun buat peserta. Skuad ini jugalah yang pernah memberi misi mencari bahan serta kek coklat, selain buatkan air untuk masjid. Ditunjukkan jua surat-surat yang masih disimpan kemas. Ah, waktu itu kembali bermain di minda lagi.

Akhirnya majlis diakhiri dengan kata-kata pengarah program. Dan tak lupa, beberapa nama disebut, termasuk namaku. 'Apo pulok nih?'. Faisal serahkan sekeping sampul duit raya bertampal JKR didepannya. Ah, agakku, duit. Tepat sekali, duit raya haji yang lebih awal. Baru daku perasan, semua yang luar Kelantan diberi sama.


Terasa terharu dijiwa. Sudahlah penginapan dan makanan kami ditanggung semuanya, ini dapat duit pula. Masya Allah, entah bank mana Skuad Projek Khas ni rompak.. Siqah lah, halal. Hehe..

Biarpun rehlah ini tamat secara rasminya pada tengahari 3 Disember, tapi rehlah secara tak rasminya terus berjalan. Kami sempat singgah makan tengahari di rumah Afifah di Bachok. Hanya sebahagian muslimin yang dapat serta, Amir (driver kami), Faisal dan Abe Nik. Yang lain setia bersama angsa Abe Din menghantar pinggan mangkuk ke kedai ma Jue di Kota Bharu.

Alhamdulillah, dapat juga berkenalan dengan ayah Afifah yang saling tak tumpah rupanya dengan Pipah. Hehe.. Bagus juga ada muslimin yang bersama, kalau tak keras kami tak pandai berbasa basi dengan En Wan Ghazali. Boleh la die pilih mana satu nak buat menantu, kan Pipah.. Rugi la muslimin lain..

Kami bergerak ke KB dalam pukul 4 petang. Alhamdulillah, bas tiba tanpa perlu menunggu lama. Rasanya, kami sahaja penumpang bas hingga ke KB. Kantuk yang tersimpan dilepas dalam bas puas-puas, tak ada orang lah katekan..

Hajar terus pulang, sedang saya, Jue dan Diksu membetulkan mamai di gerai ma Jue. Kami kemudian berjalan sekitar KB, mencari ole-ole untuk dibawa pulang. Adalah satu dua berjaya dirembat Diksu. Tapi buat diri ini yang memang tak reti beli jubah atau tudung kerna selama ni merembat umi punye je keje, tak ada satu pun dibeli.

Bila melewati satu tempat, terasa seperti ada tenaga yang dikenali. Ah, Abe Din and the geng tengah menyantap dengan lahap! Buat-buat tak nampak je la..

Kononnya hendak terus menunggu hingga malam, 8.30 malam Diksu akan berlepas ke Seremban. Tapi dek abang Jue yang rajin nak ulang alik, dapatlah kami balik dan bersihkan diri dahulu. Sebelum balik, kami sempat disapa oleh muka-muka yang dah terlalu biasa, Abe Din and the geng.. Rupanya angsa besinya diparkir berdekatan dengan kedai ma Jue. Masing-masing dengan ramahnya menyapa. Eleh, macam tak tau, nak tunjuk baik depan ma Jue..

Bila batang tubung mereka masuk ke perut angsa, ku tanyakan soalan cepu emas buat ma Jue. 'Ma, nok pilih hok mano so buat nantu?' Ma dengan coolnya menjawab 'Biarlah Jue pilih hok dio nok..' Ahaha..

Sampai di rumah Jue, penat, rimas, semua ada. Ikutkan hati nak labuhkan badan sahaja. Tapi sayang pula kalau tak hantar Diksu sama. Rupanya Diksu satu gerabak dengan Nazoro. Aih, jumpa lagi la puok-puak tu di stesen bas. Bila nazoro ditinggal oleh kaumnya di stesten, kami tetap setia bersama Diksu. Apalah sangat KBMall tu..



Malam itu juga ku beli tiket ke Kuala Lumpur. Kononnya nak ronda-ronda melawat umi di belakang Hosp Pakar Perdana. Tapi ada pula panggilan yang menuntut ku pulang segera. Alahai.. Tetap, Kuala Lumpur, 9.00 pagi.

Pagi esoknya, sekali lagi, Myteam dipertemukan. Sejurus daku dan Jue keluar rumah, angsa besi Abe Din pun muncul bersama Wali, Azim dan Kimi. Sangkaanku akan naik sekali bersama Kimi ke Kuala Lumpur. Rupanya, satu bas dengan orang Raub pulak.. Aduhai dunia.. Jeles pula Kori mendengarnya. Ahaha..

Maka berakhirlah kembara kami di bumi Kelantan. Sungguh, masih terasa manisnya. Paling ku ingat, bagaimana Nazri melabel ahli Myteam sesukinya, Kimi manusia paling pelik tapi istimewa, Amir macam dah berumah tangga, Azzam orang yang paling tenang dalam dunia, Kori macam tak matang. Ahaha..

Semua ini mengundang suka, jua duka buat daku yang bakal pergi. Trimas buat semua yang hadir. Hadiah paling bermakna buatku sebelum berlepas. Memang rugi buat yang tak dapat hadir. Tak apalah, nanti boleh buat lagi insya Allah.

Buat adik beradikk, terus thabat dalam perjuangan ini. Jadi bak air, biar disekat terus mengalir. Dihangat ia terbang ke udara, disejuk ia keras dan menyakitkan. Teruskan usaha menawan Malaysia. Ins Allah, doa daku iring hingga akhir waktu. Moga ukhuwah kita tak terbatas dengan sempadan waktu dan negara, mahupun alam mana-mana.

Sirru 'ala Barkatillah..

Diksu juga ada menulis Ukhuwah fillah lestary selamanya

Afifah juga ada menulis Coretanku cuti ini

Thursday, November 27, 2008

Tarbiyah Aqliyah Cuti Ini


Sesungguhnya ini bukan kedai buku Freedom di Parit Raja..

Pulang dari berkenduri-kendara saya sempat menerjah kedai buku, satu hobi yang saya suka tapi boleh buatkan pengiring saya boring menunggu - lama sangat melepak dalam kedai buku.

Sempat saya rembat TIGA buah buku, maka cairlah RM63 saya dihujung waktu ni. Tak apalah, asalkan cuti ni otak saya tak kering dek duk sajo, nanti doso pula..





Dibeli pada 11.30 pagi, setengah buku telah saya layan hingga 12 tengahari dan langsung tertidur kepenatan kenduri. Saya rasa saya ketinggalan zaman bila baru sekarang beli dan membicarakan buku ini, kerana ia telah pun diterbitkan pada Ogos lepas. Apa nak buat, baru jumpa depan mata.

Ia lahir hasil keluh-kesah penyokong PAS apabila muzakarah PAS-UMNO diwar-warkan untuk diadakan. Tapi itu bukan sebab utama saya buru buku ini. Tapi kerana ingin berkenalan dengan suasana kemelut PAS di bawah Dato Asri Muda sebagai Yang DiPertua PAS pada tahun 1981. Pada waktu itu Tn Guru Nik Aziz Nik Mat merupakan Ketua Dewan Ulama'

Tulisan Tn Guru tak pernah menjemukan saya. Membaca tulisannya terasa seperti sedang duduk di depannya, melihat bibirnya berkata-kata. Terasa telinga ini terdengar-dengar bibit bicaranya. Bicara yang penuh pesan, kiasan, mengolah masalah kini dengan membawa saya menyusuri sirah Nabi. Sungguh mengasyikkan!

Walaupun saya dilabel islamik, tapi saya bukannya fanatik Tn Guru. Pernah saya mengungkap, 'Alah, Tn Guru tu sama je dengan ulama-ulama di Malaysia ni. Pelik betul kenapa orang minat sangat dengan dia'. Memang saya pelik, melihat berduyun-duyun manusia sanggup datang dari jauh mendengar kata-pesan beliau, padahal boleh sahaja dibeli cd atau kaset ceramah agama yang berlambak di kedai.

Hinggalah saya bertemu dengannya di Kota Bharu Kelantan sekitar Mei 2007 dahulu, air mata berderai melihatnya buat kali pertama. Entah kenapa. Bagai ada embun dingin dihati melihat dia, mendengar ucapnya. Penuh lembut. Ah, kau hanya satu di bumi Malaysia ini.

Buku karangan beliau yang pertama saya baca ialah Muhammad SAW Insan Teladan Sepanjang Zaman (ITSZ). I do judge a book by its cover. Layout muka depan menarik, serta warna tulisannya yang perang menarik hati saya. Walaupun dalam hati terasa tak perlu membelinya kerana banyak lagi buku sirah di rumah. Mula saja saya membacanya, aduh, memang terasa 'sentuhan' membekas di jiwa. Beli, jangan lokek. Sekarang buku ITSZ dipinjam oleh adik di TF. Usai dia habis nanti aku tuntut semula =)



Kenduri semalam, ditayangkan dokumentasi pendek tentang kegemilangan dan kejatuhan Islam. Tantang 4 khilafah Ar Rasyidin, Muawiyah, Abasyiah, kesarjanaan Cordova, tentang Sultan Muhammad Al Fateh yang menguasai Constantinopol pada usia 24 tahun, tentang Salahuddin Al Ayubi yang gagal dihancurkan eranya selama 800 tahun, dan 'cemerlang gemilang terbilang' Malaysia dengan anak luar nikah, kebejatan sosial dan banyak perkara busuk lagi keji (ayat yang agak femes waktu kenduri).

Di akhir dokumentasi itu, tertera ayat 'Siapa yang akan menggantikan Umar? Adakah hanya mahu menanti?'. Terkesan dengan ungkapan itu, lantas saya pasak dalam hati, 'Aku akan ciptakan Muhammad Al Fateh, aku akan ciptakan Salahuddin Al Ayubi, aku akan ciptakan Ummu Sulaim!' Ya Allah, kau bantulah aku..

Buku ini saya beli untuk memotivasikan diri disamping mencari resepi kegemilangan mereka. Masih berbalut dalam plastik lagi bukunya. Ia ditulis oleh Dr Muhammad Nurhakim yang merupakan seorang pensyarah di Universitas Muhammadiah Malang, Jawa Timur. Memperoleh PhD dalam bidang Akidah dan Pemikiran Islam di Universiti Malaya. Jadi saya yakin serta percaya, buku ini dikarang bukan suka-suka mencari duit poket dan menambah lambakan buku seumpamanya, tapi ditulis atas kajian yang telus.




Bidang antropologi sentiasa menarik minat saya. Tambah-tambah buku ini ditulis oleh Ust Pahrol Mohd Juoi, seorang penulis profilik yang saya kagum lagi segani. Beliau berkelulusan Diploma Makanan, tapi yang jelas pemikirannya sangat luas. Pernah bekerja sebagai wartawan, pada saya cukup membuktikan 'kesahihan' (sebenarnya saya tak tahu perkataan apa yang patut diguna untuk menyampaikan maksud di hati) tulisannya. Juga merupakan penulis kolum Kemudi Hati untuk Majalah Anis. Kini merupakan Pengarah Penyelidikan Modul Pengurus Besar di Fitrah Perkasa, satu badan yang pernah dianggotai oleh Ust Hasrizal.

Awal perkenalan saya dengannya (baca : tulisannya) adalah melalui buku Tentang Cinta yang saya kutuk apabila terbaca tajuk bukunya. Ah, satu lagi picisan menghalalkan cinta murahan konon Islami!. Lantas saya beli untuk mencari kebrobrokkannya. Selesai kulit terakhir, jiwa saya penuh ilmu dan iman!

Dilema Melayu-Islam adalah isu penting yang perlu segera dikaji dan diambil tindakan. Bimbang dengan senario politik semasa, pemimpin bertelagah hingga lupa memikir masa depan rakyatnya. Pernah saya terfikir, mungkin suatu hari nanti orang Melayu di Malaysia mendapat nasib seperti pribumi Australia. Rakyat Australia sebernya bukan berkulit putih berhidung mancung seperti hari ini, tapi sebenarnya adalah orang asli berkulit gelap seperti orang Afrika. Tapi dek kurang ilmu, hak mereka dirampas oleh pejajah berkulit putih yang hari ini mengaku sebagai warganegara Australia.

Kalau orang Melayu mengekalkan sikap meLAYUnya, tak mustahil Melayu Malaysia hilang di dunia. Maka salahlah teori Hang Tuah..

Insya Allah, plastik buku ini baru saya robek. Malam ini kami akan berkhalwah. Tapi nampaknya K.Salwa sedang membawa lari. Nanti le, malam ni aku terjah bilik dia.

Pesan-pesan buat sahabat, tarbiyah itu bukan hanya tentang ruhiyah. Ruhiyah itu akan bertambah subur dengan emelen tarbiyah aqliyah. Malas membaca bukan sifat pejuang Islam.

Kelab Iqra, orang-orangnya mestilah ulat buku, kan? Duk saja, hah, berdoso la nanti =)

p/s : Buku Men From Mars Women From Venus ku digelamerkan waktu kenduri oleh k.Asma. Satu lagi buku yang dah berabad keluar baru beli. Aduhai..

Sunday, September 28, 2008

Bulan Itu Bulan Yang Memudahkan


KMPh diselimuti malamNya

Lewat malam itu aku dengar ketukan pintu bilik. Cahaya bilik suram, tanda penghuni sepatutnya tidur, paling tidak bermalasan atas katil. Ah, ketukan itu pasti dia, moga malam ini ada rezeki buat aku dan teman sebilik.

Pintu kami kuak dengan gembira. Benar, Zu, memang dia. 'Nah nasik lebih'. Kagum aku pada kesungguhannya, berniaga pada malam yang amat selesa untuk menelaah. Bungkus-bungkus nasi kami sambut dengan penuh suka. Bismillah, mula iftar dan pra sahur kami berempat. Aku, Syud, Tiki dan Rima si gadis orang Asli yang baik 'Melayu'nya.

Malam itu aku bangun dengan penuh cinta. Untung sungguh, surau benar-benar dihadapan bilik ku. Tanpa perlu menjejak koridor, aku langkah terus masuk ke perut rumahNya. Malam itu seperti malam-malam biasa bulan ini. Malam untuk bercanda melafaz cinta, hanya aku dan Dia.

Usai subuh ku ambil kitab suci. Kucup penuh ta'zim. Targetku mahu habiskan bacaannya bulan ini. Kalau benar, satu rekod baru buat aku yang selama ini sesat dengan fatamorgana. Ku belek tanda, ya, rekodku amat baik. Bulan ini cukup mudah. Lagi-lagi selepas fenomena Ayat-ayat Cinta, membaca kalamNya dimana-mana sudah menjadi budaya. Kadang menunggu sang pengerusi memulakan acarapun, aku dan Salihah sempat berlumba membaca.

Makan tengahari yang tiada, amat mendamaikan jiwa. Kalau tak, orang asyik bertanya 'Kenapa tak makan? Diet?'. Sahabatku mengerti, tapi tak mungkin aku tegar untuk menjadi tempat dia beramal mulia. Jika tidak, sekeping roti pengalas lapar akan dipandang hina. Tapi bulan ini bulan yang mendamaikan. Tengahari itu kami bersama mengisi rohani.

Ah, sungguh, damainya hari-hari yang dilewati.

Pabila petang mula menyinggah, yang lelaki sibuk membeli juadah. Kami hanya akan menanti di tangga masjid, menunggu arahan andai mereka perlukan dulang tambahan. Sana-sini dicelah rak Al Quran ada yang sedang berbicara sendirian, meneliti kata-kata dari Tuhan.


Kami akan beratur dikaki tangga, ada juga yang berlari-lari memakai sarung kaki untuk turut serta mengangkut dulang dibawah. Biar badan letih, tapi masing-masing berlumba beramal.

Bisik-bisik mula kedengaran, siapa imam malam ini? Ah, Rozi, pemuda yang lunak suaranya. Lembut jiwa mendengar dia mengalun pesan Sang Pencipta. Ruang masjid terasa bahang kerana penuh dengan mereka yang ingin mengaut pahala. Biar begitu, kamilah yang paling sukacita. Selama ini lantai masjid hanya dipenuhi oleh serangga, tapi kini oleh sang hamba.

Ah, indahnya bulan ini ya Illahi! Kenapa tidak Kau lanjutkan saja ia ke 11 bulan yang seterusnya?

Penghujungnya tetap tiba. Sang cinta merintih hiba, kerana tiada lagi yang seumpama ini, entah akan berjumpa kembali entah tidak.


27 Ramadhan 1427
Kolej Matrikulasi Pahang
Ramadhan ku yang pertama
Sejak diri ini diterima semula olehNya

Saturday, March 8, 2008

Entah Apa Di Hati Mereka,,,





Saya cemburukan rakyat Kelantan. Walau ditohmah dengan pelbagai kejian, mereka tetap memiliki sesuatu yang tiada galang gantinya di Malaysia.

Dulu saya juga termakan dengan propaganda media. Negeri miskin, kotor, kolot!

Tapi setelah saya jejakkan kaki ke sana sewaktu Muktamar Tahunan di Putik tahun lepas, saya jatuh cinta pada Kelantan!


PEMBANGUNAN MODAL INSAN

Rakyatnya tidak dibangunkan dengan bangunan mencakar langit, projek yang mencurah-curah, tapi mereka dibangunkan dari dalam. ROHANI



Lihatlah bagaimana Tuan Guru berjaya membawa ribuan hati ini untuk bersama memperhambakan jiwa pada Pencipta seawal 3 pagi!

Saya menangis, cemburu!



Tuan Guru bukan menangis kerana takutkan kekalahan pada PRU 12, tapi takut andai tidak selamat di hari akhirat.

Allah, indahnya andai AKU dipimpin oleh golongan sebegini.

PEMIMPIN MEMANG MENDIDIK RAKYAT

Pagi tadi saya berpeluang bertugas di lokasi pembuangan undi. Buat pertama kali saya menghadirkan hati dalam pilihanraya Malaysia. Saya memang dibesarkan dengan suasana parti, hingga saya meluat dengan isu politik.

Tapi setelah saya faham tentang Islam (yang semestinya bukan difahamkan oleh kurikulum pendidikan Malaysia), saya memandang suasana dari sudut berbeza.

Melihat seorang wanita Barisan Nasional, ku sangka dia berbangsa Cina. Berambut pendek berseluar ranggi. Rupaya Melayu Islam! Bersalam, pegang dengan semua, tak kira jantina, tak kisah suami orang mahupun berwajah ustaz.

"Kita hancurkan mereka, kuburkan mereka! Mereka pertualang negara!"

"Barisan Nasional pertualang agama!"

"Ah, bukan agama yang tadbir negara!"

Bila dikatakan padanya bahawa mufti telah memperingatkan, jari itu akan disoal depan Allah, dia menjawab. "Mufti pun manusia biasa, tak boleh percaya sangat".

Allah... Sungguh, saya simpati melihatnya.

Tidak adakah secebis hidayah dalam hatinya Ya Allah?

Atau ini yang ditarbiyahkan dari pimpinan mereka?

SISPAN : SEKITAR MUNAJAT PERDANA


Modal Insan




Rebung dilentur di 2/3 malam




Cukuplah mereka menzalimi kami Ya Allah




Dijulang rakyat tetap menghamba

Wednesday, May 23, 2007

Tarbiyah Eksklusif Dari Allah


Dalam kebisuanku satu-due hari ni, otak ligat buat resolusi. Tiap kali terfikir perkara yg menimpa ni, begenang air mata.

Bukan tak redha dengan tentuan illahi. Tapi hakikat hati tak boleh ditolak. Kesedihan itu pasti bertamu.

Malam tadi umi dok crita, dia sampai termimpi-mimpi anak pompuannye yg sorang nih masuk ke satu universiti tuh. Gelora jiwa waktu mendengarnya, tuhan saja yg tahu. Betapa seorang ibu kepingin anaknya ke U. Tapi?..

Setelah berkali-kali dok muhasabah, satu pujukan datang dalam diri. Ni lah didikan untuk menguatkan jiwa+iman. Bukan nk kate diri hebat, tapi terase juga keberuntungan dipilih sebagai test sirim iman oleh Allah. Andai orang lain yg mengganti tempat aku sekarang ini, mampukah dia? Bergelut dgn harapan keluarga, sahabat dan cita-cita sendiri, payah juga rasanya.

Terngiang-ngiyang di telinga, surah al-Baqarah : 286 "Allah tidak akan membebankan seseorang melainkan dengan kesanggupannya". Ya, Allah pilih aku kerana Dia tahu aku mampu menempuhinya. DIA dah pun maklum dgn situasi aku. Bagaimana nasib anak seorang nelayan, mempunyai ibu tua yg sakit, adik beradik berduyun, di uji mcm aku dpt ni? Tentu lebih berat untuk dia menanggungnya.

Didikan ini bukan semua boleh lalui. Lavel setiap manusia berbeza. Seperti yg aku katakan td, ini bukan satu pembuktian bahawa diri ini hebat! Nauzubillah! Tapi kalau diselak album hidup aku, memang aku dibentangkan jalan yg agak payah. Semua ini agar aku terbentuk menjadi somebody, yg aku sendri tak tahu siapa.

Cukuplah setahun aku berlabuh di daratan itu. Setelah setahun menggali, harta karun tak aku temui. Harta karun yg dinilai terlalu tinggi oleh mata kasar. Ya, aku temui harta lain, yg pada aku lebih bernilai. Aku temui sekelompok manusia yg mencari cintaNYa. Setahun, perlukah lagi aku menambah masa untuk menggali harta yg satu itu? TIDAK! Aku tak sanggup lagi. Izinkan aku untuk meneruskan pelayaran, berlabuh di dataran yg lain pula. Moga-moga rezekiku tertulis di sana.

Buat sahabat yg meminta aku meneruskan kembara di daratan yg sama, aku pohon pengertian.

Tiap kali membaca sms dari sahabat, meminta aku bersabar, aku sebak. Ya, kesabaran mula mekar di hati. Tapi bila melihat kedua orang tua, bagaikan gunung menimpa kesabaran itu. Lemah aku melihat kesedihan mereka. Tak sanggup!

Ya Allah, aku meletakkan sepenuh tawakalku kpdMu Ya Allah! Tempatkan aku dan sahabat di sebaik-baik tempat.

Monday, May 21, 2007

Ujian Atau Balasan?

Waktu ini saya buntu.


Sedih? Sebentar tadi ya, mengalir sekejap air mata.
Geram? Pada siapa? Nk geram pd diri sendri pun dah tak berguna.

Saya baru mendapat keputusan akhir SemII Matrikulasi.
Terkejut? Ya! Sangat-sangat!
Satu keputusan yg sangat sy tak jangkakan.
Satu keputusan yg membuatkan saya berfikir panjang.

Keputusan saya bukan milik sy seorang. Itulah masalah utamanya. Bukan hanya perlu diketahui oleh keluarga dan empunya diri. Tapi perlu dihebah utk direkod.

Aduh, malu bukan isu.
Kemanakah sy boleh melangkah selepas ini?

Ketika ini sy terfikir.
Ini adalah ujian atau balasan?

Andaikata ia balasan, mungkin juga. Sy mmg ada masalah study selama setahun di matrik. Memang layak kalau sy kata 'padan muka aku!'.

Tapi sy tak rasa kata-kata itu sesuai untuk keadaan genting sebegini.

Andaikata ia ujian, atas usaha apa sy diuji? Kuat sgtkah iman sy sampai sy tiba ke tahap ini? Bagi sy hanya org yg benar-benar mantap imannya akan diduga. Saya? Layakkah?

Baru saja sy ditarbiyah mengenai akidah dalam perjuangan. Betapa Allah akan menguji seorang pejuang dari sudut rezekinya.

Sekali lagi saya tanyakan diri, layakkah ini dipanggil ujian? Layakkah sy menyakini bahawa Allah akan sediakan satu tempat lain buat diri ini? Atau seperti yg sy katakan tadi, ini adalah balasan?

Aku buntu, keliru, tak tahu nk mengadu kpd siapa lagi. PadaNya pun aku malu...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2009 Terbang | Lihat | Tafsir. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates | Blogger Styles | WP by Masterplan