
Pertamanya, tulisan ini adalah respon saya sebagai orang biasa dalam agama. Saya menulis atas kefahaman saya yang cetek. Dan tulisan ini juga diharap dapat diperbetulkan oleh golongan yang arif mengenai perundangan Islam.
30 Julai, hari sepatutnya saya bertolak ke Kelantan untuk menyertai Hari Hiburan Islam Kelantan. Pagi itu hujan renyai-renyai. Saya batalkan perjalanan kerana ibu bapa saya lebih dahulu keluar rumah.
Saya bangun membuka berita, aktiviti biasa setiap pagi.
KUALA LUMPUR, 30 Julai — Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, yang gagal dalam permohonan menukar namanya kepada Aleesha Farhana selepas menjalani pembedahan jantina, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu awal pagi ini - MalaysianInsider
Allah!
Malam sebelumnya, Buletin Utama memaklumkan bahawa beliau dimasukkan ke hospital berikutan mengalami kemurungan melampau.
Saya mengikuti isu ini sejak mahkamah menolak permohonan beliau untuk menukar namanya di MyKad.
Bila meneliti fakta-fakta kes, apa yang boleh saya katakan (sekali lagi, sebagai orang yang masih cetek ilmunya) adalah beliau layak dari sudut agama.
Kenapa? Laporan perubatan mengesahkan bahawa beliau mempunyai masalah hormon. Media tidak menjelaskan lanjut mengenai laporan perubatan ini. Boleh jadi beliau mempunyai lebih kromosom wanita (kromosom X) dalam gennya.
Ibunya turut memaklumkan bahawa alat kelamin beliau tidak berfungsi dengan normal.
Ini juga memungkinkan bahawa beliau boleh diklasifikasikan sebagai khunsa. Dan perbincangan kami beberapa pelajar perubatan bersama pelajar syariah, kami berandaian beliau mengidapi ambiguous genitalia atau pun Female Pseudohermaphrodite
Biasanya bila mana pesakit begini akil baligh, fizikal dan psikologinya akan berubah daripada lelaki kepada perempuan. Dalam Islam, pesakit berhak menentukan jantinanya berdasarkan penelitian daripada doktor pakar.
Teliti pula kenyataan dari Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan penyakit sebegini.
Berdasarkan bacaan dan perbincangan kami, Aleesha @ Ashraf LAYAK.
Cuma, ya, kami tidak mempunyai fakta kes yang solid. Semuanya berdasarkan maklumat media.
Saya tak berminat sebenarnya untuk berhujah. Lagi pun itu bukan bidang saya. Apa yang saya kesalkan,
1) Kenapa ilmuan di Malaysia TIADA yang tampil untuk membantu menyelesaikan kekeliruan ini? Sedangkan, ia mendapat liputan yang luas. Menyerahkan bulat-bulat kepada doktor dan peguam semata-mata menyempitkan ruang perbincangan. Lebih-lebih lagi, maaf kata lah, mahkamah kita di Malaysia ini memang sudah sewel
2) Rata-rata mengecam tindakan Aleesha @ Ashraf, dituduh membelakangkan agama, tidak menerima takdir Allah, ibu bapanya dituduh tidak pandai mendidik anak, mempertikaikan ciptaan Allah dan sebagainya. Saya yang membacanya terasa amat pedih. Padahal, permohonan arwah dibuat bukan atas dasar suka-suka. Berkali-kali juga saya cuba tembus ruang komen itu untuk memberi sedikit buah pandangan. Tapi komen saya tak muncul-muncul.
Bayangkan, seorang yang biologinya wanita, terpaksa hidup sebagai seorang lelaki. Memakai pakaian lelaki (disuruh buka baju di khalayak mungkin? Kerana badan bukan aurat bagi lelaki), hidup cara lelaki (kerja berat-berat), malah duduk (tinggal) bersama lelaki.
Hal ini sama dengan kes mak nyah, yang pernah saya baca laman web mereka. Mereka sangat marah dengan petugas agama yang menyerbu, meraba dada mereka dengan sengaja, kerana mereka adalah lelaki. Ya, kes mak nyah kes lain. Tapi siapa tahu, mereka juga adalah sebenarnya mengalami masalah genetik seperti Aleesha @ Ashraf? Dan kalau pun mereka itu memang suka-suka jadi mak nyah, tolonglah, show some respect! Jangan berakhlak bagaikan orang tak ada Tuhan.
3) Orang akan melihat kononnya agama Islam ini sangat menakutkan bagi golongan begini. Kita sangat sensitif pada agama, terlalu fokus pada syariah hingga mengenepikan sunnatullah (saintifik). Kenapa ini boleh berlaku, kerana masyarakat kita dididik untuk malas berfikir. Kejahilan itu merata-rata, dan tidak pula dilenyapkan dengan cahaya ilmu dari bijak pandai, walaupun katanya sudah 50 tahun sebagai sebuah negara Islam contoh.
Kematian Aleesha @ Ashraf adalah satu tragedi yang amat besar bagi saya. Betapa sentimen agama sememangnya boleh membunuh nyawa. Lebih-lebih lagi beliau adalah saudara kita seagama, yang sepatutnya kita jamin nyawanya.
Kalau pun Aleesha tidak patut membuat permohonan begitu, seharusnya sokongan moral diberikan kepadanya. Terapi, kaunseling dan sebagainya oleh jabatan agama dan pakar. Dengan mengecam, disuruh bertaubat, hanya memberikan tekanan kepada golongan sebegini.
Membaca kenyataan Aleesha bahawa beliau sanggup dibunuh jika mengundang kucar-kacir, sudah pun membunyikan siren amaran, yang sepatutnya diambil serius oleh pihak bertanggungjawab.
Sungguh. Saya sangat kecewa dengan masyarakat kita. Kecewa dan marah. Hari ini sahaja saya terkejut dengan kaedah 'motivasi' pencegahan jenayah, dengan memasukkan pelajar ke dalam penjara. Yang akhirnya pelajar tersebut membuat laporan mereka telah dibelasah sewaktu dalam penjara.
Juga seorang lelaki buta sebelah matanya kerana penyokong Harimau Malaya menyalakan mercun dalam stadium.
Aduhai, sudah gilakah orang kita?
Masalah sikap.
Pendidikan. Agar masyarakat kita ada rasa hormat dengan orang lain, ada kesedaran sivik dan common sense. Itu kuncinya.



