>>test

Monday, August 27, 2007

Mengintai Tabir, Menghitung Hari Berbulan Madu


Mungkan Kita Akan Sampai Padanya?

27 Ogos 2007, bersamaan 14 Sya'ban 1428H. Bermakna ada 16 hari lagi.

Kita menghitung detik. Dalam sekalian warganegara ternanti akan perayaan ke 50 Malaysia, ada satu perayaan lagi yang semacam tak diendah kehadirannya.

Ramadhan, kami seru kedatanganmu.

Mengimbas Ramadhan yang lalu, saya masih ingat pesanan saya buat anak-anak usrah, "Jangan-jangan ini Ramadhan kita yang terakhir. Nikmatilah ia dengan sepenuh jiwa..". Kata-kata itu masih saya pegang. Siapa tahu, jemputan ajal kita lebih awal dari menjelmanya anak bulan, walaupun dalam waktu sesaat dua sebelum Ramdhan datang.

Sungguh, hati ini rindukan Ramadhan. Bulan yang merupakan temu janji eksklusif buat seorang hamba yang mahukan rahmat dan maghfirah (keampunan) dari Nya. Sebenarnya, dari dulu saya impikan untuk melaksanakan ibadah ini, suatu lafaz cinta untuk Nya di rumah Nya sendiri, Baitullah hil Haram. Menziarah makam kekasihNya, Muhammad Bin Abdullah.

Tapi cukupkah sekadar rindu untuk menyambut bulan mulia ini?

Andaikata anda yang bakal mendirikan rumah tangga, bagaimana dengan persiapannya?

Rumah dibersihkan, diwangikan, diubah suai.

Diri dimanjakan, dihantar ke spa.

Kemahiran dipertingkat, memasak, mengemas rumah, tutur kata diperbetulkan.

Ekonomi diperkukuh, kerja semakin bersungguh, demi memastikan orang tercinta tak 'sakit' dengan serangan kewangan masa kini.

Tips-tips kebahagiaan rumahtangga dicari, buku-buku dibaca, orang tua dirujuk.

Semua persediaan dirapikan, dipastikan kesempurnaannya.

Beribu-ribu ringgit dihabiskan, membeli keperluan, memenuhi temujanji.

Semakin menjengah hari itu, hati semakin berbunga, jiwa semakin bergelora, debaran semakin memuncak.

Segalanya demi menyambut ketibaan hari bahagia, mengikat hati, melafaz cinta, menuruti fitrah manusia berlandaskan garis panduan Nya.

Bandingkan persediaan kita dengan ketibaan Ramadhan. Nilailah diri kita masing-masing dari sudut iman secara peribadi. Rata-rata sibuk melebihkan persiapan Syawal sebelum munculnya Ramadhan lagi.

Ramadhan tak seharusnya dipandang sebagai bulan yang melaparkan, melelahkan. Sebenarnya, Ramadhan ialah bulan sejuta kekenyangan, buat yang pandai 'cari makan'.

Apa yang kenyang? Rohani kita! Kenyang dengan apa? Kenyang dengan amal, kembung dengan air mata taubat, senak dengan ketenangan, sendawa dengan kalimah zikir buat Allah yang kita CINTA. Inilah Ramadhan yang sebenarnya!

Biarlah yang lapar bukan kita, tapi NAFSU. Biar NAFSU itu letih, kurus, dan moga-moga ia tunduk dengan iman. Mendidiknya bukan mudah, sedangkan Allah, Tuhan yang Maha dalam segalanya-galanya, NAFSU dengan bongkaknya tidak mengaku yang ia adalah hamba, sedang DIA adalah tuhannya.

Bulan yang bakal tiba adalah hari saringan buat Jundullah (tentera Allah). Bulan ketenteraan untuk melihat kemampuan tentera (kita), menilai siapa yang layak untuk berdiri megah di barisan hadapan di mahsyar nanti. Barisan pertama untuk melepasi mizan dan berlari kencang menuju yang dirindu, ALLAH.

Moga kita berjaya melepasi saringanNya ini. Dan pastinya, satu-satunya cara untuk berjaya ialah membuat persediaan awal, samada secara peribadi mahupun berjemaah.

Saya sendiri masih tercari-car, apakah persembahan terbaik perlu saya sediakan, perlu saya biasakan agar saya tak canggung untuk bulan madu yg bakal menjelang.

Ia hampir tiba. Ya Allah, sampaikan kami ke bulan Ramadhan.

Wednesday, August 22, 2007

Bonus Buat Pendakwah


Pulang sahaja dari program Biro Tata Negara (BTN) di Samudera Resort, Tanjung Bidara, Melaka, saya terus menghadap laptop. Ok, bukan laptop saya, milik teman serumah saya, K.Asma.

Dalam galeri videonya, saya jumpa beberapa video menarik berbentuk ceramah, dokumentasi islamik, dan lain-lain.

Tapi ada dua tiga video yang lebih menarik pada saya untuk dikongsi bersama pendakwah-pendakwah sekalian. Perlu diingat, setiap manusia yang mengaku beriman adalah pendakwah.

Video yang pertama ialah dokumentasi yang menayangkan kebesaran Allah yang turut diiringi dengan nasyid nyanyian Saff One : Memuji Allah dan UNIC : Hakikat Bahagia.

Download MahaSuciAllah_Umum
*Klik kanan dan pilih 'Save Target As' atau 'Save Link As'


Manakala video yang kedua ialah konsert Yusuf Islam berjudul I Look I See.

Download I Look I See
*Klik kanan dan pilih 'Save Target As' atau 'Save Link As'


Kenapa saya mempromosikan dua video ini? Kerana ia sangat sesuai untuk dijadikan bahan dakwah untuk menfitrahkan kembali saudara-saudari di sekeliling kita. Maksud saya, dua video ini boleh dijadikan modal untuk mempromosikan Islam kepada mereka yang bukan Muslim.

Caranya mudah,
  1. a. ajak mereka menonton bersama anda
  2. b. pinjam pendrive @ laptop mereka, dan 'copy'kan di tempat yg mudah mereka perasan.
  3. c. ikut kreativiti. Korang kan kreatif..
Perlu saya ingatkan, dakwah ini tak boleh terhenti setakat memberi video ini kepada mereka. Perlu ada 'follow-up' dan anda mesti bijak bersiasah dan bersahsiah terhadap mereka (ayat mudah : tonjolkan rupa diri muslim agar dapat menambat hati mereka).

Sewaktu menghadiri Seminar Pendidikan Islam campus (nama luaran, nama dalaman ialah Ancaman Kristianisasi), saya disuntik dengan rasa bersalah andai terlepas satu jiwa daripada mengenalkan Allah, Rasul dan Islam. Sepertimana diceritakan kepada saya, kisah Nabi menangis apabila mayat seorang Yahudi diusung di hadapan baginda. Apabila ditanya oleh sahabat, Nabi menjawab "aku telah terlepas satu jiwa dari kalimah allah"

Semoga kita semua diberi kekuatan jiwa untuk menyebarkan dan paling kongsi berkongsi keindahan Islam kepada semua. Jangan dipandang kepada hasil, kerana itu adalah hak mutlak Allah. Tugas kita ialah BERUSAHA.

ISLAM UNTUK SEMUA.

Tuesday, August 21, 2007

50 Tahun Merdeka, Rakyat Menangis Hiba.




Saya anak Malaysia, pasti saya sayang akan negara saya. Bangga? Saya perlu fikir berkali-kali. Dari segi pencapaian Malaysia, kalau hendak dibanding dengan negara Asia Tenggara yang lain, mungkin boleh dibanggakan. Tapi setelah 50 tahun negara ini merdeka, masih ada yang derita.

KEMISKINAN

Semalam, pulang dari Malam Gala Busana Muslimah Siswi, saya dibawa ke pondok pengawal kediaman oleh teman bilik, Nor Mas Azura Bt. Mohd Zuhan (Kak Mas). Di sana ada satu kotak berlabel 'Derma Mangsa Kebakaran'. Lantas dia menceritakan tragedi yang meragut 5 nyawa ahli keluarga sahabat se'UTHM saya.

Di sini, saya muatkan berita dari akhbar KOSMO! Jumaat, 10 Ogos 2007:

5 beranak rentung

KLUANG-Kasih anak. Itulah yang dapat digambarkan kepada tiga beradik yang mati rentung bersama ibu mereka dalam kebakaran di Kampung Tengah di sini awal pagi semalam.

Semasa kejadian pukul 4.30 pagi, ketiga-tiga beradik itu, Hisamuddin 13, Nurul Mercella 10, dan Izwanuddin 9, ditemui mati bersama ibu bapa mereka Kasmuri Jasman 44 dan Sufiah Abdul Karim 41.

Mayat Kasmuri dijumpai bersama mayat anaknya, Hisamudiin di dalam bilik air rumah kayu setingkat.

Mayat Hisamuddin ditemui tersorok di bawah sinki bilik air itu.

Mayat Sufiyah yang ditemyi di bahagian dapur pula, menindih anak bongsunya, Nurul Mercella.

"Mereka masuk semula ke dalam rumah untuk membantu kedua ibu bapa mereka yang rebah.

"Jika mereka tidak masuk semula berkemungkinan ketiga-ti ga mereka selamat kerana ketika ini mereka telah berada du pintu depan rumah selepas diarah keluar oleh ibu mereka," cerita jiran mereka, Zainita Ali 27.

Turut rentung Proton Wira Aerobak milik keluarga malang itu turut hangus.

Bagaimanapun, dalam kejadian tersebut, seorang anak kepada pasangan itu, Nurul Farhana 15, selamat.

Menurut Zainita, Nurul Farhana juga mahu masuk semula ke dalam rumah itu tetapi dia, suami, Mohd. Shahril Ali 30-an dan adiknya, Mohd Idham 23, sempat menarik gadis itu keluar.

"Bagaimanapun, kami tidak sempat menyelamatkan tiga lagi adik beradik Nurul Farhana yang masuk semula ke dalam rumah untuk membantu ibu bapa mereka," katanya.

Zanita memberitahu, Nurul Farhana yang trauma selepas menunggu ibu bapa dan adik-adiknya yang tidak lagi muncul terpaksa dibawa pulang ke rumahnya yang terletak hanya beberapa meter dari rumah mangsa.

Sebelum kejadian, kampung tersebut dilanda hujan dan angin kencang dan kebanyakkan jiran sedang tidur waktu itu.

Pasangan Kasmuri dan Sufiah, turut mempunyai tiga anak lain yang menuntut di Institusi Perngajian Tinggi Awam (IPTA) iaitu Salahuddin 19, Faezah Nor 20, dan Juliana 18.

Salahuddin menuntut di Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUITTHO), Faezah di Universiti Putra Malaysia dan Juliana di Kolej Matrikulasi Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.


Guna lilin sebab elektrik dipotong

KLUANG-Allahyarham Kasmuri Jasman, 44, yang mati rentung bersama-sama isteri dan tiga anaknya terpaksa menangguhkan pembayaran bil elektrik rumahnya kerana mahu menggunakan wang bagi membiayai pengajian tiga lagi anaknya yang menuntut di institusi pengajian tinggi awam tempatan.

Jiran dan tuan tanah kepada keluarga mangsa, Jamliah Othman, berusia lingkungan 60-an, berkata, beliau dimaklumkan perkara itu oleh isteri Kasmuri, Sufiah Abdul Karim beberapa hari lepas.

"Sudah lima malam rumah mereka bergelap selepas Tenaga Nasional Berhad (TNB)memotong bekalan elektrik kerana mangsa tidak menjelaskan bayaran.

"Akibatnya, mangsa sekeluarga terpaksa menggunakan lilin," katanya semasa ditemui di rumahnya, yang terletak bersebelahan rumah mangsa.

Jamilah berkata, beliau hanya menyedari tentang kebakaran itu apabila dikejutka oleh menantunya yang tinggal bersama-samanya pada pukul 3.30 pagi.

"Jiran-jiran tidak dapat membantu mangsa kerana kejadian berlaku terlalu cepat, ditambah pula penduduk semua sedang nyenyak tidur," katanya.



Apa yang saya sedihkan, 50 tahun Malaysia merdeka, masih ada rakyatnya berlilin dalam gelap. Bapa keluarga ini, Allahyarham Kamsuri bukanlah pengganggur, tetapi seorang kakitangan syarikat pembuat jublin, Malaysia Mosaic manakala isterinya bekerja sebagai pembantu kedai makanan.

Walau kedua-duanya berkerja, namun gaji yang diterima masih belum mampu menanggung sejumlah 9 orang ahli keluarganya.

Saya hanya mengetengahkan satu kes, walhal berlambak-lambak lagi kes kemiskikan melarat di negara kita ini.

Pasti terdetik di hati kita selepas membaca artikel ini, menunding jari ke sesetengah pihak. Siapa? Kerajaan, kerana tidak prihatin terhadap kebajikan rakyat tapi dalam waktu yang sama dengan rakus meratah kekayaan? Jiran sekeliling, kerana tak sedar keluarga ini bergelap demi berhajat melihat anak-anak berjaya? Media, kerana tak menghebahkan kisah mereka?

Kenapa kita tak tunding jari pada DIRI SENDIRI, KITA!?

Barisan MAHASISWA yang kini kaku, lesu dan 'mati otak' dalam membicarakan isu seperti kemiskinan dan lain-lain, tak lagi mampu menggugah dan mengejutkan pemimpin negara yang sedang lena diulit kemewahan.

Pasti ada yang bermonolog 'Ah, bukan kerja aku. Kerja aku belajar, 4 flat, kerja. Cukup lah!'

Kalau begitu, jangan hidup sebagai warga Malaysia, kerana ada sifat 'tanggung perut sendiri'.

"Tidak sempurna iman jika kau tidur dalam kelaparan, sedang jiran tetanggamu menangis kerana kelaparan"

Dalam hal ini, mereka bukan lagi menangis kelaparan, tapi sudah suara itu telah pun diambil illahi.

Banggakah kita menyambut perayaan ke 50 negara?

Tuesday, August 7, 2007

Lafazkan Cinta





Ucapkanlah kasih,
Satu kata yang ku nantikan,
Sebab ku tak mampu, membaca mata mu,
Mendengar bisik mu

Nyanyikanlah kasih,
Senandung kata hati mu,
Sebab ku tak sanggup mengartikan, getar ini,
Sebab ku meragu, pada diri mu

Mengapa berat, ungkapkan cinta, padahal ia ada,
Dalam rinai hujan, dalam terang bulan, juga dalam sedu sedan

Mengapa sulit, mengaku cinta, padahal ia terasa,
Dalam rindu dendam, hening malam, cinta~, terasa ada


Mungkin ada yang sinis sebaik sahaja membaca lirik ini, yang sekarang ini popular di kalangan muda mudi Malaysia dan Indonesia, hinggakan Asma ul Husna jatuh carta. Tidak dinafikan juga, ada pembaca yang tak pernah dengar sekalipun lagu ini. Hm, ana tidaklah sesiqoh kalian..

Secara jujur, saya meminati lagu ini. Nanti, saya tidak bermaksud menyukai lagu ini kerana Irwan Shah, Acha (betul ke ejaan nama mereka?) mahupun kerana meminati cerita Love is Cinta. Secara peribadi, saya memandang kosong filem tersebut, kerana mempromosikan cinta murahan buat tatapan masyarakat. Maaf buat peminat-peminat Acha dan Irwan Shah ye..

Jadi, kenapa saya meminati (meminati bukan perkataan terbaik, suka mungkin) lagu ini, hingga sanggup memuatkannya dalam blog hijau ini? Saya memandang lagu tersebut dari perspektif yang berbeza, sama seperti mana saya memandang lagu-lagu cinta yang lain.

Bergantung kepada individu, samada ditujukan buat suami/isteri, anak-anak, sahabat, keluarga, mahupun kekasih. Lagu cinta menjadi indah, syahdu, malah mendapat pahala andai dinyanyikan terhadap sasaran yang tepat.

Saya? Cinta yang tertinggi semestinya dikuasa vetokan, dimutlakkan semata-mata hanya pada Allah, pemilik cinta agung. Dan dariNya tercabanglah pelbagai cinta. Ibu bapa, keluarga, sahabat handai, guru, masyarakat sekeliling mahupun haiwan.

Walaubagaimana tinggi sekalipun cinta kita, andai tak pernah mengungkapkannya, cinta itu tiada makna. Letaklah dalam jiwa, sulamlah didasar paling dalam di hati (bak kata Dato' Siti Nurhaliza dalam Percayalah nya), andai lidah tak pernah melafaz, amal tak pernah membuktikan, cinta itu dikira kosong!

IMAN DAN CINTA



Saya kira ramai telah arif bahawa syarat iman itu terbahagi kepada tiga, iktiqad dalam hati, lafaz dengan lidah, dan beramal dengan perbuatan. Nah, bukankah ini suatu syarat cinta yang telah digariskan oleh Allah?

Saya pernah menulis tentang Tanda-tanda Orang Bercinta yang menceritakan simptom biasa orang bercinta dan cara menyalurkankan pada PENCIPTA.

Cinta, andai dihayati dengan baik dari segi makna dan fitrahnya, seterusnya ditujukan kepada yang HAQ, pasti jiwa-jiwa manusia tidak akan kosong, kerana dengan sendirinya mereka telah lulus syarat IMAN, lantas berjaya menjadi MUKMIN dan bukan sedakar seorang muslim.

Perlu diingat, seorang muslim belum mencapai tahap mukmin selagi belum menepati 3 prasyarat di atas. Dan perlu juga kita perhatikan dalam kalamullah, betapa mukmin lebih dipandang berbanding muslim semata-mata sebagaimana disebut 'Ya aiyuhal lazi na AMANU' dan bukan 'Ya aiyuhal lazi na ASLAMU'!.

UNGKAPAN PENGUAT RASA

Merenung kembali persahabatan ukhuwah ikatan hati antara saya dan sahabat-sahabat, betapa lidah kami amat mudah meluah apa yang dirasa. Pada awal perkenalan, saya merasa janggal dan segan dengan sifat berterus-terang yang tampak jiwang pada saya. Huhu. Tapi akhirnya, resipi yang dibawa berjaya. Sungguh, walau sehari tidak berjumpa, rindunya bergulung-gulung. Bila dah nampak depan mata, masing-masing melafazkan 'Ey, rindunyeee..'.Hingga hari ini, tautan hati (ehem..pipah..) kami sangat kuat, rasa ingin hidup dan mati bersama!

Saya menulis bukan sekadar suka-suka. Tapi berdasarkan sebuah hadith yang mafhumnya lebih kurang begini:

Seorang pemuda bertemu dengan Rasulullah, menyatakan masalah membelengu jiwanya.
'Ya Rasul Allah. Sesungguhnya aku sangat cintakan seorang pemuda'.
Rasul menjawab, 'Pergilah kepadanya, dan sampaikanlah maksudmu'
Maka pemuda tersebut datang kepada orang yang dicintainya dan melafazkan "Ahabbakallah lima ahbabtani iyyahu!"


Nabi mengajarkan sahabat-sahabat agar melafazkan terus tanpa melengah rasa cinta mereka.

Bagaimana dengan kita?

REALITI KINI

Setiap hari media massa akan menghidangkan pelbagai kes jenayah. Kes-kes yang terlalu kejam, kreatif, dan tak selayaknya dilakukan oleh manusia berstatus khalifah. Anak merogol ibu, ibu mendera anak, sahabat bertikam-tikaman, malah ada yang dibomkan.

Kenapa?

Kerana cinta yang wujud dibiar dalam jiwa. Lama kelamaan ia mati tanpa dibaja, apatah lagi dijaga. Dengan cabaran masa alaf baru, yang mengekang waktu untuk manusia bertemu dan mengukuh tali cinta, serta cabaran yang menambahkan lagi rasa sakit pada manusia. Sakit apa? Sakit iman!

Bagaimana saya berubah, dari seorang remaja yang liar dan sudah sesat di alam yang menipu ini? Hakikatnya, hanya kerana saya suka menghayati lagu cinta. Dan lagu-lagu cinta yang paling terkesan di jiwa adalah dari kumpulan In-Team. Sekeliling saya mencemuh mereka kerana lagu-lagunya boleh dikatakan agak jiwang. Entah kenapa, saya yang juga anti jiwang ini boleh terkesan dengan bait-bait lagu In-Team itu. Dari mereka saya kenal Rabiatul Adawiyah, seorang pengemis cinta illahi.

Dan saya mula mencari cintaNya.

Jangan pula kita lupa, ungkapan 'Setiap patah kata ialah DOA'.

Mulai saat ini, lafazkanlah cinta anda. Tapi pastikan ia diucapkan kepada yang hak. Jangan jadikan cinta sebagai perkara murahan!

Umi & Abah, Along, Angah, Bangchik, Azrul n Mujib, Dida sayang kalian, sayang sangat-sangat!


Buat guru-guruku, dari PASTI At-Tauhid Selayang, TASKI Kuang, S.K Kuang, S.K.A Kuang, MRSM Terendak, dan KMPH, saya rindu pada kalian!"


Kepada sahabiahku di serata Malaysia, aku cintakan kalian!


Saya tinggalkan pembaca dengan sebuah lirik yang sangat bermakna. Hayatilah, saya tujukan ia buat yang MAHA PENCIPTA, PEMILIK CINTA.

Engkau bagai air yang jernih
Di dalam bekas yang berdebu
Zahirnya kotoran itu terlihat
Kesucian terlinding jua

Cinta bukan hanya di mata
Cinta hadir di dalam jiwa
Biarlah salah di mata mereka
Biar perbezaan terlihat antara Kita

Kuharapkan KAU kan terima
Walau dipandang hina
Namun hakikat cinta kita
Kita yang rasa

Suatu hari nanti
Pastikan bercahaya
Pintu akan terbuka
Kita langkah bersama

Di situ kita lihat
Bersinarlah hakikat
Debu jadi permata
Hina jadi mulia

Bukan khayalan yang aku berikan
Tapi keyakinan yang nyata
Kerana cinta lautan berapi
Pasti akan kurenang jua
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2009 Terbang | Lihat | Tafsir. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates | Blogger Styles | WP by Masterplan