>>test

Friday, July 20, 2007

Kembara Solo Kembali Bermula


kembara solo


Hampir sebulan saya tidak mengeluarkan artikel baru. Bukan bermakna saya langsung tidak menjenguk-jenguk blog ini dan tak berbuat apa-apa. Saya sedaya mungkin menulis untuk mengeluarkan dua artikel. Hampa, idea saya mati. Tulisannya melalut. Ceritanya hambar. Panjang, tapi macam tiada isi. Itulah komen blogger yang tak bertauliah seperti saya. Huhu..

Julai ini banyak perkara berlaku. Mengguris hati sendiri, dan tak kurang mengguris hati banyak pihak. Saya kembali mengembara menjejak ilmu. Dahulunya, sekolah menengah di Melaka, matrikulasi di Pahang, kali ini saya dicampakkan ke Johor. Daerah kelahiran saya, Batu Pahat.

Ya, saya telah bergelar MAHASISWA 18 Julai yang lalu. Pendaftaran sepatutnya satu hari sebelumnya (17 Julai). Tapi dek protes saya yang tinggi, ia tertangguh. Allah Maha Berkuasa, Maha Bijaksana dalam melukis cerita-cerita pada kanvas kehidupan saya.

Gembirakah saya pada kali ini? Bagi yg setia mengikuti blog saya tentu pernah terbaca Tarbiyah Eksklusif Dari Allah dan Salam Mahasiswa yang mana mengisahkan keadaan saya pada waktu itu. Secara logik, pembaca petut merasakan saya gembira, kerana akhirnya saya 'dianugerahkan' juga title itu.

Tapi saya masih bersedih.

Sedih bukan ungkapan yang tepat bagi menggambarkan perasaan saya. Tapi yang pasti, rasa gembira terlalu jauh di hati saya hingga sukar sekali dirasa.

Tidak bersyukurkah saya?

Saya punya alasan atas semua ini. Pertama, ini bukan atas pilihan saya. Satu surat rayuan dihantar ke Kementrian Pelajaran Tinggi, meminta saya diizinkan ke IPTA walau dengan apa jua kursus! Saya marah, kerana bukan saya yang membuat rayuan itu.

Saya tak bermaksud marah kerana membuat rayuan, tapi saya geram kerana ia dibuat tanpa pengetahuan saya. Mungkin pengirimnya mahu berbuat baik, membantu saya. Terima kasih atas niat itu, tapi caranya tetap tidak kena.

Saya sendiri telah merisik beberapa IPTS, kerana merasakan tiada harapan buat saya di IPTA, kecuali dengan kursus dan tempat yang sekadar menempatkan saya di sana. Risikan saya dijawab. Dan saya berkobar-kobar untuk mengambil Tahun Asas (Foundation) setahun di UniSel pada 25 Julai ini.

Tidak berhakkah saya dalam menentukan masa depan saya? Saya setuju andai didakwa masih mentah dalam hidup. Tapi tiadakah ruang berbincang untuk saya?

Atas nasihat 'seseorang', saya gagahi jua HATI yang terkoyak-rabak, terkeliru antara CITA dan CINTA. CITA saya memprotes, CINTA saya memujuk. Akhirnya saya pasrah. Dalam tangisan mengemas beg, dalam ngantuk yang teramat (tak tidur secara luar biasa kerana dalam tekanan), saya ke Batu Pahat dengan Transnasional.

JEJAK ASING

Pendaftaran seperti biasa. Hati saya menahan rasa. Tak mahu saya kisahkan persekitaran dan keadaan kampus. Lebih merobek hati kiranya. Tapi saya kembali mengiyakan hipotesis diri saya, 'Sekali lagi aku SENDIRI!'.

Dahulu sewaktu ke MRSM, saya sendiri ke sana. Langsung tiada teman dari sekolah rendah. Malah tak silap saya, sayalah satu-satunya pelajar Kuang yang ke MRSM. Sendiri.

Ke Matrikulasi begitu juga. Hinggakan saya sempat menukar nama dan watak, mengambil peluang bahawa tiada siapa mengenali saya di matrik. Sendiri.

Sendiri menjadi satu-satunya anak perempuan dalam keluarga.

Banyak lagi fakta-fakta yang membenarkan hipotesis itu. Tak perlulah saya tulis semuanya.

Dan dikampus, saya sendiri dalam rumah kediaman saya. Sebesar-besar rumah, mempunyai 3 bilik tidur untuk 2-3 orang sebilik, saya sendirian di dalamnya!

Tapi saya pasti, semua ini ada sebab dan akibat di sebaliknya. Ini yang kita katakan HIKMAH

Waktu ini saya redha. Yakin dengan taqdirNYA, pemberi taqdir terbaik buat saya. DIA tak pernah silap. Taqdirnya menjadikan saya 'seseorang'. TaqdirNYA yang menjadikan saya pemimpin, sewaktu saya memutuskan untuk tidak ke MRSM Jasin. TaqdirNYA menjadikan saya berani dek sering sendiri. Insya Allah, taqdirNYA akan membuahkan sesuatu sepanjang kembara ilmu di kampus!

Buat mereka yang saya calarkan hatinya, jauh dalam jiwa saya menyesal. Kerana emosi akal binasa. Kerana celuparnya saya, Syaitan berjaya! Pasti golongan api itu ketawa besar dengan kegagalan saya menahan gelodak rasa. Harap Allah membantu dalam memperbaiki hubungan saya dan mereka yang terguris.

Baru 3 hari lepas mendaftar, sudah ada 3 asigment perlu dibereskan. Adus..bukan sesuatu yang mendamaikan buat saya.

"Ya Allah! Andai Kau taqdirkan aku sendiri di dunia, temanilah aku selamanya. Dan jangan pula Kau biarkan aku sendirian di akhirat sana!"


kelawarHijau
Diploma Teknologi Maklumat
Fakulti Teknologi Maklumat dan Multimedia
Universiti Tun Husin Onn (UTHM)

Friday, July 6, 2007

Sebuah Hijrah Demi CINTA

Setiap patah katanya, ada terasa cinta kepada Dia. Moga istiqamahlah kita semua membawa hidup pulang kepada-Nya.

Kredit untuk damaiTV.com


Turning Point of Norkumalasari

Tuesday, July 3, 2007

Apa Rasanya Disalah Erti?




Apa rasanya jika diri anda disalah tafsirkan?

Lain yang dicakap, lain pula yang difaham.

Memang mengecewakan. Apatah lagi jika suara kita untuk membetulkan tafsiran itu tidak diendahkan. Jika dalam kehidupan secara personal, kita akan meronta dan memberontak untuk membetulkan persepsi orang terhadap kita, maka kehidupan berkelompok akan menjadikan perasaan itu berganda.

ISLAM DAN MUSLIM YANG DISALAH ERTIKAN

Tidak ada pihak yang lebih disalah erti selain Islam dan Muslim.

Salah faham terhadap Islam dan Muslim amat berleluasa.

Ia bukan isu baru. Sudah sejak sekian lama. Sejak zaman gelap Eropah, hinggalah ke era Islamophobia hari ini.

Allah dan Muhammad disalah fahami…

Solat dan Zakat disalah erti…

Jihad dan hudud diputar belit pada definisi…

Malah janggut dan tudung pun menjadi mangsa persepsi…

BUKAN SOAL ILMU DAN MAKLUMAT SEMATA

Salah faham seperti ini bukan berpunca daripada kekurangan ilmu dan maklumat semata-mata, tetapi juga kerana pemikiran yang berbeza rangka. Cara fikir dan cara faham yang berlainan.

Demi menepatkan penjelasan tentang Islam terhadap cara faham yang berbeza-beza, maka pelbagai metodologi telah berkembang. Ada yang sejauh Ilmu Kalam, ada yang selurus Mazhab Dhahiri. Kesemuanya adalah reaksi kepada cabaran salah faham manusia yang pelbagai terhadap Islam.

Semasa IYEP berlangsung, saya tekun meneliti bilah-bilah kata Karen Armstrong.

Miss Karen Armstrong


Huraiannya tentang Islam, kepada Muslim dan non-Muslim yang hadir, sungguh teliti, tetapi tidak dijumudkan oleh istilah dan terminologi. Penuh bersahaja, sesekali lucu dan mengundang ketawa, tetapi hati dan akal bekerja keras menyatu faham terhadap huraiannya tentang Islam.

Tetapi…

”Why should a non-Muslim speaks about Islam??? I don’t understand”, soalan ini terngiang-ngiang kembali di telinga saya.

Ia hanya hearsay. Saya tidak mendengar sendiri. Saya mendengar rakan-rakan bercerita. Tetapi khabarnya Karen Armstrong telah ditempelak dengan soalan ini oleh seorang Muslim yang hadir ke majlis ucapannya sehari sebelum IYEP berlangsung.

”I’m doing this because you are not here!”, jawab Karen Armstrong dengan tenang.

“Jika kamu boleh bercakap tentang Islam dalam bentuk yang boleh difahami oleh Kongres dan Senat Amerika Syarikat, oleh orang Barat, maka saya dan orang seperti John Esposito boleh berundur dan tidak lagi diperlukan”, katanya lagi.

Kenyataan ini ditegaskan oleh Karen Armstrong di dalam temuramahnya bersama akhbar New Straits Times bertarikh 18 Jun 2007.

BERFIKIR SECARA ADIL

Pelajaran paling berharga yang saya perolehi hasil membaca karya-karya Karen Armstrong adalah kaedah berfikir tentang agama tanpa prejudis dan prasangka. Bersikap adil terhadap diri sendiri dan rakan, kawan dan lawan.

Buku pertama Karen Armstrong telah saya baca pada tahun 1999 iaitu semasa di Ireland. Ia adalah hadiah pertama bekas tunang saya (yang kini bergelar isteri) kepada saya selepas majlis pertunangan kami. The Battle for God, telah menyebabkan saya ‘tersangkut’ dengan Karen Armstrong dan mula merangkak keluar dari disiplin pengajian saya di dalam Pengajian Islam, kepada rangka Eropah menganalisa politik vs. agama.

Buku kedua Karen Armstrong yang saya baca adalah Muhammad: A Biography of the Prophet yang dihadiahkan oleh teman saya Anthony yang memeluk Islam kerana buku itu.

Karen Armstrong mempertahankan Islam tanpa meletakkan dirinya sebagai seorang Muslimah. Namun, prinsipnya yang menghormati kebenaran, itulah yang menjadi motif untuk beliau bertahan mempertahankan Islam.

Sikap inilah yang wajar diteladani oleh kita semua, dan saya tidak berasa malu untuk memperkatakannya.

ADIL TERHADAP KEBENARAN

Bukankah ini ajaran Allah yang Maha Adil itu?

Ketika Permaisuri Saba’ mendapat tahu akan kedatangan Sulaiman ’alayhi al-Salaam ke negerinya, beliau telah memberikan komen yang dirakamkan Allah di dalam al-Quran. Kenyataan itu menyebut:

“Raja perempuan itu berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina…”


Kenyataan Permaisuri Saba’ yang merupakan seorang penyembah matahari, telah diiktiraf oleh Allah SWT dengan firman-Nya yang melengkapkan ayat itu:

“dan demikian itulah yang dilakukan oleh mereka (kebanyakan raja-raja tersebut)”
(An-Naml 27 : 34)


Penyebut kenyataan itu adalah Permaisuri Saba’ yang agamanya berpaksikan matahari. Namun apabila beliau bercakap benar, maka yang benar mesti dibenarkan. Lantas Allah SWT sendiri mengiyakannya.

Inilah keluhuran syariat Tuhan yang mengajar manusia berlaku adil. Adil terhadap kebenaran.

Apabila Karen Armstrong berhempas pulas berusaha menerangkan kepada masyarakat Barat tentang Islam yang dipelajarinya, adalah suatu kemalangan akal apabila orang Islam melatah-latah mengkritik dan mengharamkan bukunya.

MELIHAT DIRI SEBELUM ORANG LAIN

Sama ada kita sedar atau tidak, salah faham terhadap Islam dewasa ini semakin disulitkan oleh ketidak upayaan kita sendiri menerangkan Islam dengan betul. Kita bukan sahaja gagal memahamkan Islam kepada non Muslim, malah ramai umat Islam sendiri yang gagal memahami Islam yang ada di dalam buku dan ceramah yang berlambak di arus perdana.

Malah gejala Riddah yang amat membimbangkan itu, banyak berpunca dari kekeliruan dan salah faham mereka terhadap Islam dewasa ini. Riddah merupakah manifesta pemberontakan terhadap kefahaman Islam dan bukan solid sebagai permusuhan terhadap kebenaran Islam semata-mata.

Kegagalan kita untuk mengamalkan prinsip teras Seek First to Understand, Then to be Understood, atau dalam bahasa Islamnya “menyeru manusia ke jalan Allah dengan HIKMAH”, bukan sahaja menjadikan penerangan kita tentang Islam semakin tidak relevan, kita juga sewenang-wenangnya tidak berlaku adil terhadap orang lain.

Jika kita selama ini mendakwa bebas bahawa Orientalis bertanggungjawab terhadap penghuraian yang salah terhadap Islam, tidak pernahkah kita terfikir yang kita juga telah begitu banyak menyalah tafsirkan Barat?

Selaklah jutaan naskhah buku yang ada di perpustakaan, kita mungkin runsing dengan huraian tentang Islam oleh Orientalis, rimas dengan Snouck Hurgronje, Bernard Lewis, Arberry, Toynbee dan Gibbon. Tetapi jangan lupa untuk menghitung buku-buku dan makalah yang ditulis oleh Muslim, tentang Barat… secara melulu dan tidak tepat?

JANGAN PERSOALKAN OTORITI

Jangan mulakan soalan tentang otoriti Karen Armstrong dan sesiapa sahaja untuk bercakap tentang Islam, kelak nanti kita yang kepenatan untuk menjawab, siapakah yang memberikan otoriti kepada Muslim untuk mengkritik Barat… tambahan pula dengan hujah-hujah yang menyimpang dari kebenaran?

Jika selama ini kita mencela Barat sebagai membuang Tuhan, tidak pernahkah kita terfikir titik buta yang terselindung di sebaliknya? Lebih sulit jika ada yang bertanya, jika Barat yang ‘membuang Tuhan’ boleh bersatu dan maju, apa yang telah ‘hidup Bertuhan’ di kalangan Muslim hasilkan? Selesai masalah, atau makin banyak masalah? Jangan main-main dengan soalan ini…

Jika selama ini kita menghafal huraian teks Islam 1980an tentang kecelaan Sekularisma, tidak pernahkah kita terfikir betapa hairannya Barat dengan kebencian kita terhadap Sekularisma? Sedangkan mereka mempertahankan Sekularisma untuk menjamin kebebasan umat Islam beragama di Eropah, Amerika dan Australasia hari ini? Tidak mungkinkah ada definisi kedua dan ketiga terhadap Sekularisma selain yang dihafal dari teks yang telah berdekad diulang cetak?

Jika selama ini kita begitu fasih memetik tasbih mencela ism-ism yang datang dari Barat, tidak terfikirkah kita dari mana datangnya ism itu dan bagaimanakah ia berfungsi membantu orang Eropah membetulkan cara mereka bertuhan lagi beragama? Apakah semua ism itu lawan Tuhan, atau bagaimana?

Jika selama ini kita begitu cepat mengharamkan buku Karen Armstong semata-mata kerana beliau tidak layak untuk bercakap tentang Islam, tidak terfikirkah kita betapa ramainya orang Eropah yang akhirnya memilih Islam hasil sentuhan buku Karen Armstrong itu sendiri?

Dan berapa banyak salah faham tentang Islam dicetuskan oleh Muslim sendiri di media perdana? Bandingkan pembelaan Karen Armstrong terhadap Islam, dengan ‘pembelaan Islam oleh Muslim yang menghalau kami dari masjid yang kami lawati itu?

Siapa yang menaikkan Islam dan siapa yang menjatuhkannya?

Hidup ini penuh dengan blind spot… sudut-sudut yang kita sebagai manusia lemah ini gagal melihatnya. Kita perlu selalu mengadap cermin, dan menjadi cermin untuk saling lihat melihat, faham memahami.

Andaikata semua soalan ini kita pejamkan mata dari cuba memikirkannya, amat jauhlah untuk kita melaksanakan satu lagi tugas besar umat Islam hari ini…

Mengemukakan Tafsiran Islam terhadap Barat!


Jika Orientalis telah menterjemahkan Islam dengan kerangka mereka, kita pula bagaimana?

Bagaimanakah kita membimbing pembaca Muslim untuk membaca dan menafsir sejarah dan falsafah Eropah ? Atau semuanya mahu diselesaikan dengan bakul sampah simplistik itu?

Inilah cabaran yang menanti saya sebagai student of History, untuk berusaha membangunkan disiplin Occidentalism. Bukan secara reaktif mahu bersilat dengan Orientalism di gelanggang, tetapi untuk berlaku adil kepada saudara seiman, kawan dan lawan… kerana itulah intipati saya beragama… berlaku adil di hadapan Tuhan.

Kepada SEMUA, kata kunci bila soalan “Apa rasanya disalah erti” ditimbulkan ialah…
  • “None of you truly believes until he loves for his brother what he loves for himself.” — Muhammad (c. C.E. 571 - 632) in a Hadith.
  • “When an alien lives with you in your land, do not mistreat him. The alien living with you must be treated as one of your native-born. Love him as yourself, for you were aliens in Egypt. I am the LORD your God.” — Torah Leviticus 19:33-34


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Sunday, July 1, 2007

Salman Rushdie dan Buku Setannya


Hampir 20 tahun nama Salman Rushdie tidak dikenali oleh bayi-bayi lewat 90-an, kini kontroversi mengenainya dilaungkan semula di jalanan, dewan parlimen, malah di serata dunia.


16 Jun yang lalu, Salman Rushdie disenaraikan sebagai penerima anugerah tertinggi Britain yang membawa gelaran "Sir" sempena ulang tahun kelahiran Ratu Elizabeth II yang ke-81.

Tindakan British pada penganugerahan itu menimbulkan tanda tanya kepada dunia, apakah sebab utama Salman diangkat sedemikian? Lebih menghairankan, Pesuruhjaya British tidak mempunyai jawapan pabila diajukan soalan ini oleh Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob.

Penulis buku Murder in Samarkand, Craig Murray, turut menganggap nilai karya Salman tidak melayakkannya menerima anugerah.

“Persoalannya siapa yang mencalonkan Rushdie dan sebab percalonannya? Sekiranya kita berasa perlu untuk mewujudkan Kesatria dalam bidang kesusasteraan, Alexander McCall Smith atau George MacDonald Fraser, lebih asli dan prolifik berbanding Rushdie.

“Rushdie sebenarnya tidak layak untuk diangkat melebihi pengarang lain di Britain yang tidak bergelar Kesatria dan saya akan makan malam di Dundee, Ireland dengan Phillip Pullman serta Jacqueline Wilson yang lebih baik daripadanya,” tulisnya dalam blog.

Ternyata insiden ini sengaja diprovokasikan bagi mengapi-apikan lagi semangat permusuhan antara umat Islam dengan pihak lain.

BERTA'ARUF DENGAN SALMAN RUSHDIE

Ahmed Salman Rushdie yg dilahirkan pada 19 Jun 1947 merupakan penulis dan novelist berbangsa British-India. Salman mula dikenali setelah memenangi Booker Prize melalui novel keduanya, Midnight's Children (1981). Kebanyakan dari karyanya berlatar belakangkan kehidupan di Benua India.

The Satanic Verses (surah2 syaitann) (1988) merupakan novelnya yg ke-4, menjadi kontroversi kepada Muslim sedunia. Atas penghinaan Salman terhadap Rasulullah, Quran dan Islam, Ayatollah Ruhollah Khomeini, Pemimpin Tertinggi Iran mengeluarkan fatwa hukuman bunuh terhadapnya.

"In the name of God Almighty. There is only one God, to whom we shall all return. I would like to inform all intrepid Muslims in the world that the author of the book entitled The Satanic Verses, which has been compiled, printed, and published in opposition to Islam, the Prophet, and the Qur'an, as well as those publishers who were aware of its contents, have been sentenced to death. I call on all zealous Muslims to execute them quickly, wherever they find them, so that no one will dare insult the Islamic sanctities. Whoever is killed on this path will be regarded as a martyr, God willing."


Sebagai umat Islam yg bertamadun, mari tingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris kita :D

Beberapa hari selepas pengeluaran fatwa ini, ganjaran terhadap pembunuhan Salman turut ditawarkan. Salman terpaksa hidup dibawah perlindungan polis 9 tahun kemudiannya. Pada 7 Mac 1989, United Kingdom dan Iran memutuskan hubungan diplomatik negara atas kontroversi ini.

Pada masa yg sama, beberapa serangan dilaksakan terhadap mereka yg terlibat dalam penerbitan buku Satanic Verses. Hitoshi Igarashi, yg menterjemahkan buku ini ke Bahasa Jepun telah ditikam mati pada 11 Julai 1991.

Ettore Capriolo, menterjemah ke Bahasa Itali turut cedera parah ditikam pada bulan yg sama Hitoshi dibunuh. William Nygaard, penerbit di Norway, terselamat dari cubaan bunuh di Oslo pada October 1993. Penduduk Muslim dikebanyakan negara mengadakan perhimpunan membakar buku setan Salman.

Setiap 14 Febuari, Salman akan menerima 'kad cinta' yg menyatakan umat Islam masih belum memaafkannya.

ADA APA DENGAN SATANIC VERSES

Tidak banyak yg sy tahu mengenai kandungan buku ini, kerana sy sendiri tergolong dalam bayi era lewat 90-an. Malah buku ini dikeluarkan pada tahun 1988, tahun kelahiran sy.

Buku ini diharamkan penerbitannya dikebanyakkan negara Islam, tidak terkecuali Malaysia (yg kononya negara Islam). Jenuh juga sy buat research untuk melihat sendiri ayat-ayat penghinaan terhadap kekasih, Rasulullah. Ternyata, tidak byk dan setakat ini sy msh belum menemuinya (buat sesiapa yg ada maklumat, minta dikhabarkan).

Apa yg pasti buku ini dikarang seperti suatu novel, mempunyai watak-watak, plot dan jalan ceritanya. Tajuk buku merujuk kepada wahyu-wahyu dari Allah kepada Nabi melalui Jibril, dan wahyu ini telah digelar surah syaitan oleh Salman.

Di permulaan cerita, "Gibreel Farishta" dan "Saladin Chamcha" terperangkap dalam kapal terbang yg dirampas (hijacked) sewaktu dalam perjalanan dari India ke Britain. Kapal terbang ini meletup di Selat Inggeris, tapi mereka dgn ajaibnya selamat. Dalam satu perubahan pelik, keduanya dilahirkan semula (kepercayaan biasa penganut Hindu); Farishta membawa personaliti Gibreel (Malaikat Jibril) dan Chamcha menjadi hantu (tak pasti hantu, setan atau org jahat, yg penting "devil")

Satu jujukan dalam novel ini mengandungi unsur yg membawa sakit hati kepada Muslim. Ia mempunyai transformasi penceritaan semula kehidupan Nabi Muhammad SAW (diberi watak "Mahound" atau "Messengger" dalam novel ini) di Mekah ("Jahilia"). Di tengah episod Satanic Verses, dimana pengumuman pertama dibuat tentang suatu pendedahan atas suruhan politheistic lama (pemujaan banyak tuhan) untuk mendapatkan pengaruh penduduk (pendapat peribadi : sy rasa ini berkaitan dgn dakwah secara terang-terangan pertama di bukit ), tapi kemudiannya diumumkan sekali lagi bahawa pendedahan itu adalah kesilapan yg dipengaruh oleh Syaitan (sy xpaham jugak :D).

Terdapat dua penentang "Messanger", seorang paderi perempuan jahiliyah yg jahat, "Hind" (isteri "Sufyan") dan penyajak sindirian, "Baal". Apabila nabi pulang ke kota dgn kemenangannya, Baal membuat sebuah rumah pelacuran sulit di mana pelacur-pelacur diandaikan sbg isteri-isteri nabi (!!!!!)

Ada juga dimuatkan watak "Ayesha" (tak pasti samada ini adalah Aisyah, isteri Nabi) dan "Imam" yg membawa watak menyerupai kisah hidup Ayatollah Khomeini.

Inilah serba sedikit maklumat yg saya peroleh tentang buku setan ini. Buku yg mengatakan Nabi Muhammad adalah penzina. Laknatullah 'alaika ya Salman!!

PERANAN KITA?

Di Malaysia, PAS telah menyerahkan memorandum bantahan kepada Ketua Bahagian politik, ekonomi dan diplomasi awam, Pesuruhjaya British di Malaysia, James Paver. Memorandum bagi pihak Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang antara lain menyatakan kekesalan di atas penganugerahan yang membawa gelaran 'Sir' kepada Salman Rushdie.

Ramai pula yg mempersoalkan tunjuk perasaan yg diadakan relevan atau tidak. Yg ni, sy sendiri tak mahu mengulas lanjut. Tapi yang pasti, kita sebagai umat Islam patut bangun, tidak menikus dan menunjukkan pendirian kita terhadap sensitiviti atas penghinaan Nabi.

Ramai juga yg menggesa Pengerusi OIC, Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, agar bangun dan menegur kerajaan British, mewakili seluruh negara Islam bagi menyatakan bahawa seluruh Muslim tersinggung dengan anugerah itu.

Saya sebagai rakyat di bawah naungannya hanya mampu berharap agar pemimpin kita ini turut lantang menyuarakan pendapat (seperti kelantangan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang digeruni kawan dan lawan sewaktu menyandang keruti PM Malaysia), terutamanya dalam isu sensitif yang melibakan agama Islam.

Hayati sabda Nabi ini

"Di akhirat kelak, manusia akan dihimpunkan bersama orang yg mereka cintai.."


Semoga kita dihimpun bersama Rasul tercinta, Nabi Muhammad SAW..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2009 Terbang | Lihat | Tafsir. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates | Blogger Styles | WP by Masterplan