Apa rasanya jika diri anda disalah tafsirkan?
Lain yang dicakap, lain pula yang difaham.
Memang mengecewakan. Apatah lagi jika suara kita untuk membetulkan tafsiran itu tidak diendahkan. Jika dalam kehidupan secara personal, kita akan meronta dan memberontak untuk membetulkan persepsi orang terhadap kita, maka kehidupan berkelompok akan menjadikan perasaan itu berganda.
ISLAM DAN MUSLIM YANG DISALAH ERTIKAN
Tidak ada pihak yang lebih disalah erti selain Islam dan Muslim.
Salah faham terhadap Islam dan Muslim amat berleluasa.
Ia bukan isu baru. Sudah sejak sekian lama. Sejak zaman gelap Eropah, hinggalah ke era Islamophobia hari ini.
Allah dan Muhammad disalah fahami…
Solat dan Zakat disalah erti…
Jihad dan hudud diputar belit pada definisi…
Malah janggut dan tudung pun menjadi mangsa persepsi…
BUKAN SOAL ILMU DAN MAKLUMAT SEMATA
Salah faham seperti ini bukan berpunca daripada kekurangan ilmu dan maklumat semata-mata, tetapi juga kerana pemikiran yang berbeza rangka. Cara fikir dan cara faham yang berlainan.
Demi menepatkan penjelasan tentang Islam terhadap cara faham yang berbeza-beza, maka pelbagai metodologi telah berkembang. Ada yang sejauh Ilmu Kalam, ada yang selurus Mazhab Dhahiri. Kesemuanya adalah reaksi kepada cabaran salah faham manusia yang pelbagai terhadap Islam.
Semasa IYEP berlangsung, saya tekun meneliti bilah-bilah kata Karen Armstrong.
Huraiannya tentang Islam, kepada Muslim dan non-Muslim yang hadir, sungguh teliti, tetapi tidak dijumudkan oleh istilah dan terminologi. Penuh bersahaja, sesekali lucu dan mengundang ketawa, tetapi hati dan akal bekerja keras menyatu faham terhadap huraiannya tentang Islam.
Tetapi…
”Why should a non-Muslim speaks about Islam??? I don’t understand”, soalan ini terngiang-ngiang kembali di telinga saya.
Ia hanya hearsay. Saya tidak mendengar sendiri. Saya mendengar rakan-rakan bercerita. Tetapi khabarnya Karen Armstrong telah ditempelak dengan soalan ini oleh seorang Muslim yang hadir ke majlis ucapannya sehari sebelum IYEP berlangsung.
”I’m doing this because you are not here!”, jawab Karen Armstrong dengan tenang.
“Jika kamu boleh bercakap tentang Islam dalam bentuk yang boleh difahami oleh Kongres dan Senat Amerika Syarikat, oleh orang Barat, maka saya dan orang seperti John Esposito boleh berundur dan tidak lagi diperlukan”, katanya lagi.
Kenyataan ini ditegaskan oleh Karen Armstrong di dalam temuramahnya bersama akhbar New Straits Times bertarikh 18 Jun 2007.
BERFIKIR SECARA ADIL
Pelajaran paling berharga yang saya perolehi hasil membaca karya-karya Karen Armstrong adalah kaedah berfikir tentang agama tanpa prejudis dan prasangka. Bersikap adil terhadap diri sendiri dan rakan, kawan dan lawan.
Buku pertama Karen Armstrong telah saya baca pada tahun 1999 iaitu semasa di Ireland. Ia adalah hadiah pertama bekas tunang saya (yang kini bergelar isteri) kepada saya selepas majlis pertunangan kami. The Battle for God, telah menyebabkan saya ‘tersangkut’ dengan Karen Armstrong dan mula merangkak keluar dari disiplin pengajian saya di dalam Pengajian Islam, kepada rangka Eropah menganalisa politik vs. agama.
Buku kedua Karen Armstrong yang saya baca adalah Muhammad: A Biography of the Prophet yang dihadiahkan oleh teman saya Anthony yang memeluk Islam kerana buku itu.
Karen Armstrong mempertahankan Islam tanpa meletakkan dirinya sebagai seorang Muslimah. Namun, prinsipnya yang menghormati kebenaran, itulah yang menjadi motif untuk beliau bertahan mempertahankan Islam.
Sikap inilah yang wajar diteladani oleh kita semua, dan saya tidak berasa malu untuk memperkatakannya.
ADIL TERHADAP KEBENARAN
Bukankah ini ajaran Allah yang Maha Adil itu?
Ketika Permaisuri Saba’ mendapat tahu akan kedatangan Sulaiman ’alayhi al-Salaam ke negerinya, beliau telah memberikan komen yang dirakamkan Allah di dalam al-Quran. Kenyataan itu menyebut:
Kenyataan Permaisuri Saba’ yang merupakan seorang penyembah matahari, telah diiktiraf oleh Allah SWT dengan firman-Nya yang melengkapkan ayat itu:
(An-Naml 27 : 34)
Penyebut kenyataan itu adalah Permaisuri Saba’ yang agamanya berpaksikan matahari. Namun apabila beliau bercakap benar, maka yang benar mesti dibenarkan. Lantas Allah SWT sendiri mengiyakannya.
Inilah keluhuran syariat Tuhan yang mengajar manusia berlaku adil. Adil terhadap kebenaran.
Apabila Karen Armstrong berhempas pulas berusaha menerangkan kepada masyarakat Barat tentang Islam yang dipelajarinya, adalah suatu kemalangan akal apabila orang Islam melatah-latah mengkritik dan mengharamkan bukunya.
MELIHAT DIRI SEBELUM ORANG LAIN
Sama ada kita sedar atau tidak, salah faham terhadap Islam dewasa ini semakin disulitkan oleh ketidak upayaan kita sendiri menerangkan Islam dengan betul. Kita bukan sahaja gagal memahamkan Islam kepada non Muslim, malah ramai umat Islam sendiri yang gagal memahami Islam yang ada di dalam buku dan ceramah yang berlambak di arus perdana.
Malah gejala Riddah yang amat membimbangkan itu, banyak berpunca dari kekeliruan dan salah faham mereka terhadap Islam dewasa ini. Riddah merupakah manifesta pemberontakan terhadap kefahaman Islam dan bukan solid sebagai permusuhan terhadap kebenaran Islam semata-mata.
Kegagalan kita untuk mengamalkan prinsip teras Seek First to Understand, Then to be Understood, atau dalam bahasa Islamnya “menyeru manusia ke jalan Allah dengan HIKMAH”, bukan sahaja menjadikan penerangan kita tentang Islam semakin tidak relevan, kita juga sewenang-wenangnya tidak berlaku adil terhadap orang lain.
Jika kita selama ini mendakwa bebas bahawa Orientalis bertanggungjawab terhadap penghuraian yang salah terhadap Islam, tidak pernahkah kita terfikir yang kita juga telah begitu banyak menyalah tafsirkan Barat?
Selaklah jutaan naskhah buku yang ada di perpustakaan, kita mungkin runsing dengan huraian tentang Islam oleh Orientalis, rimas dengan Snouck Hurgronje, Bernard Lewis, Arberry, Toynbee dan Gibbon. Tetapi jangan lupa untuk menghitung buku-buku dan makalah yang ditulis oleh Muslim, tentang Barat… secara melulu dan tidak tepat?
JANGAN PERSOALKAN OTORITI
Jangan mulakan soalan tentang otoriti Karen Armstrong dan sesiapa sahaja untuk bercakap tentang Islam, kelak nanti kita yang kepenatan untuk menjawab, siapakah yang memberikan otoriti kepada Muslim untuk mengkritik Barat… tambahan pula dengan hujah-hujah yang menyimpang dari kebenaran?
Jika selama ini kita mencela Barat sebagai membuang Tuhan, tidak pernahkah kita terfikir titik buta yang terselindung di sebaliknya? Lebih sulit jika ada yang bertanya, jika Barat yang ‘membuang Tuhan’ boleh bersatu dan maju, apa yang telah ‘hidup Bertuhan’ di kalangan Muslim hasilkan? Selesai masalah, atau makin banyak masalah? Jangan main-main dengan soalan ini…
Jika selama ini kita menghafal huraian teks Islam 1980an tentang kecelaan Sekularisma, tidak pernahkah kita terfikir betapa hairannya Barat dengan kebencian kita terhadap Sekularisma? Sedangkan mereka mempertahankan Sekularisma untuk menjamin kebebasan umat Islam beragama di Eropah, Amerika dan Australasia hari ini? Tidak mungkinkah ada definisi kedua dan ketiga terhadap Sekularisma selain yang dihafal dari teks yang telah berdekad diulang cetak?
Jika selama ini kita begitu fasih memetik tasbih mencela ism-ism yang datang dari Barat, tidak terfikirkah kita dari mana datangnya ism itu dan bagaimanakah ia berfungsi membantu orang Eropah membetulkan cara mereka bertuhan lagi beragama? Apakah semua ism itu lawan Tuhan, atau bagaimana?
Jika selama ini kita begitu cepat mengharamkan buku Karen Armstong semata-mata kerana beliau tidak layak untuk bercakap tentang Islam, tidak terfikirkah kita betapa ramainya orang Eropah yang akhirnya memilih Islam hasil sentuhan buku Karen Armstrong itu sendiri?
Dan berapa banyak salah faham tentang Islam dicetuskan oleh Muslim sendiri di media perdana? Bandingkan pembelaan Karen Armstrong terhadap Islam, dengan ‘pembelaan Islam oleh Muslim yang menghalau kami dari masjid yang kami lawati itu?
Siapa yang menaikkan Islam dan siapa yang menjatuhkannya?
Hidup ini penuh dengan blind spot… sudut-sudut yang kita sebagai manusia lemah ini gagal melihatnya. Kita perlu selalu mengadap cermin, dan menjadi cermin untuk saling lihat melihat, faham memahami.
Andaikata semua soalan ini kita pejamkan mata dari cuba memikirkannya, amat jauhlah untuk kita melaksanakan satu lagi tugas besar umat Islam hari ini…
Jika Orientalis telah menterjemahkan Islam dengan kerangka mereka, kita pula bagaimana?
Bagaimanakah kita membimbing pembaca Muslim untuk membaca dan menafsir sejarah dan falsafah Eropah ? Atau semuanya mahu diselesaikan dengan bakul sampah simplistik itu?
Inilah cabaran yang menanti saya sebagai student of History, untuk berusaha membangunkan disiplin Occidentalism. Bukan secara reaktif mahu bersilat dengan Orientalism di gelanggang, tetapi untuk berlaku adil kepada saudara seiman, kawan dan lawan… kerana itulah intipati saya beragama… berlaku adil di hadapan Tuhan.
Kepada SEMUA, kata kunci bila soalan “Apa rasanya disalah erti” ditimbulkan ialah…
- “None of you truly believes until he loves for his brother what he loves for himself.” — Muhammad (c. C.E. 571 - 632) in a Hadith.
- “When an alien lives with you in your land, do not mistreat him. The alien living with you must be treated as one of your native-born. Love him as yourself, for you were aliens in Egypt. I am the LORD your God.” — Torah Leviticus 19:33-34
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
0 comments:
Post a Comment