Mengapa begitu sukar untuk menyatukan satu bangsa dalam satu pendirian? Malah kesatuan ini bagaikan amat mustahil. Sedangkan terlalu banyak persamaan yang telah kita kongsi bersama. Kita sama-sama menentang kezaliman Israil, sama-sama mempertahankan Islam, sama-sama cinta kepada negara. Tapi apabila politik menjadi tajuk, Melayu akan saling berpaling muka.
1. Rasa macam kena lempang dengan kenyataan penyoal pertama, "Allah SWT bersifat dengan ilmu. Bila meletakkan agama suku politik suku (tidak boleh disamakan), adakah manusia lebih tahu dari Allah taala tentang politik?"
2. Rasa malu dengan pakcik-pakcik yang berani kehadapan untuk bersoal jawab di dalam satu majlis besar. Tak tahu kenapa, sejak sampai ke Syam, jiwa makin kecut.
3. Cemburu dengan cara penghujjahan Ustaz Mujahid Yusuf Rawa. Tiap hujahnya tenang tanpa emosi, malah tanpa perlu menekan suara untuk menarik perhatian mahupun menguatkan isi. Ya Allah, jadikan aku lebih baik darinya!
4. Tahniah buat Ust Mujahid dan Ust Asri. Wacana ini sebenarnya lari dan kurang berisi. Tapi dua panel ini sekurang-kuranya menampal kelompangan tersebut dengan mesej dakwah. Pasti, bukan Islam juga akan menonton wacana ini. Dan semoga mereka sedikit sebanyak dapat memahami atau mendapat pengenalan tentang pendirian Islam tentang perpaduan. Perpaduan yang bukan asabiah mana-mana puak.
5. Mengalu-alukan wacana ilmiah sebegini. Rakyat perlu dididik supaya berfikir, tidak kisahlah ke pihak mana yang mereka fikirkan, asalkan otak ligat mencerna fakta. Bukan disumbat dengan hiburan yang bukan-bukan. Kalau wacana sebegini boleh menggantikan Konsert Jom Heboh, alangkah 'heaven'nya Malaysia!
6. Datuk dan nenek sebelah ayah saya berasal dari Sumatera, Indonesia. Belah ibu saya pula tidak berapa pasti, kerana ibu saya anak angkat. Tapi jika tak salah, belah ibu saya ada jalur Cina. Saya lahir, saya menjadi Melayu dan mendapat segala hak keistimewaan berdasarkan artikel 153 Perlembagaan Malaysia.
Nun jauh di kawasan perumahan saya, satu keluarga berbangsa Cina. Moyang dan datuk mereka pernah terlibat langsung dalam membebaskan Malaysia dari penjajah. Malah ramai di kalangan ahli keluarga mereka pernah ditangkap dan dibunuh dalam usaha tersebut. Mereka fasih berbahasa Melayu. Hingga hari ini mereka kekal sebagai bangsa Cina dan tidak ada satu pun hak istimewa yang mereka peroleh.
Soalan saya, anda rasa anda Melayu?











