"Kenapa Abang Bob sertai PAS?"
"Sebab, anak saya ada masalah dengan sistem kehidupan"
Badan-badan dakwah tumbuh bak cendawan hari ini. Pelbagai cara dan latar.
Tapi saya sangat kagum (dan kaget) bila pelawak terkenal, Bob Lokman secara terang mengumumkan penyertaannya dalam satu badan dakwah yang paling digeruni. Bukanlah sangat digeruni musuh, tapi gerun untuk memberitahu yang kita bersamanya. PAS.
Saya fikir dalam jawapan Bob Lokman. 'Anak saya ada masalah dengan sistem kehidupan'.
Ia, sebenarnya, juga jawapan saya kenapa saya memilih Islam.
Ya, pilih Islam!
Selama 18 tahun saya bernama Muslim, berpakaian seperti Muslim, belajar subjek agama. Tapi apabila umur mencecah 18, saya mula berfikir akan nilai hidup.
Selama ini, sungguh, saya jujurnya meragui agama Islam. Yang dicanang-canang hebat, indah, lengkap. Tapi di mata (dan hati saya) merasakan itu sekadar slogan. Hakikat yang berada di hadapan semuanya hidup jauh dari beragama.
Saya selalu cemburu dengan penganut Kristian, yang maju, yang nampak bangga dengan agama mereka, beragama tapi masih bebas.
Perkara ini dipendam lama, sejak sekolah menengah. Tapi dek tiada rakan se'jiwa' yang boleh diajak mengupas idea, ia kekal dalam lembaran-lembaran journal saya waktu itu. Yang saya coretkan cita-cita, mahu menjadi Menteri Pendidikan. Atau sebagai penggubal isi pembelajaran. Mujur, di matrikulasi lambakan pelajar agama memberi sedikit cerah buat saya. Ada rakan yang sanggup bersengkang mata tengah malam berbincang dengan saya di sudut tangga.
Yang silap bukan pada agama. Tapi pada rangka yang mewajahkannya.
Kita cuma belajar rukun Islam dan rukun iman. Belajar syarat sah dan tertib solat. Rangka mengajar kita menjadi muslim cukup syarat.
Tapi, tak cukup iman.
Saya bertudung dalam tak rela. Solat dalam tak memahami kenapa. Bertuhan, tapi tak rasa menghamba. Tahu ada syurga neraka, tapi tak rasa apa-apa.
Soal tauhid LANGSUNG tidak ditanam pada kita.
Mujur, mujur! Allah beri peluang pada saya untuk kenal kembali Islam. Apa itu hakikat beragama. Apa istimewanya. Mana asal-usulnya. Kenal apa erti menjadi muslim seluruhnya.
Mana tidak di sini tumpahnya sayang. Masjid Al Muttaqin KMPh Gambang
Julai 2006 saya melafazkan ikrar baru, menjadi muslim baru. Mungucapkan 'Aku redha Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku, dan Muhammad itu Nabi juga Rasulku' dengan penuh jiwa.
Selesai. Yang tinggal adalah menyempurnakannya. Juga bukan satu tanggujawab mudah, kerana masih berada dalam dunia fitnah.
Sekiranya tiada rakan yang rajin menjawab soalan, tiang-tiang yang penuh dengan majlis usrah, dan saya kekal berada dalam sistem yang asal itu, siapa agaknya saya hari ini?
Allah.
Mungkin ada yang sinis, PAS terlalu mahukan kemenangan pilihanraya, dan menganggap itulah kemenangan hakiki. Umpama segi tiga terbalik, bermula dari Daulah Islamiah dan turun ke Fardu Muslim.
Terpulang pada corak pemikiran individu. Apa yang saya faham (dan nampak), kemenangan dalam pilihanraya adalah satu langkah untuk menyediakan landasan maratib amal yang lebih baik. Menang pilihan raya bukan noktah segalanya. Bukan bermakna kita sudah sempurna. Di situlah tempat bermula segala kerja.
(Tapi tidaklah saya menidakkan cara kerja badan dakwah lain. Kita bergerak atas landasan berbeza, tapi pasti jalan akhir yang mahu kita tuju tetap sama)
Saya cemburu dengan Kelantan, kerana mempunyai ruang yang sangat mesra iman. Dalam PRU lepas, Kelantan diasak dengan hebat. Barisan Nasional beriya-iya mahu merampas Kelantan. Hinggakan Tuan Guru Nik Aziz sendiri lelah, akhrinya hanya mampu menadah tangan pada langit, minta dipeliharakan.
Walau ditekan begitu kuat, Kelantan tetap mengekalkan pemerintahan. Sebaliknya berlaku pada negeri-negeri sasaran. Kenapa?
Kerana rakyat Kelantan mahukan sistem beragama. Mereka mengundi bukan kerana isu naik harga, bukan kerana payahnya mencari sesuap nasi, tapi kerana mahu mempertahankan pondok-pondok dan pengajian sedia ada. Itu, saya dengar sendiri bila wartawan di media massa menemuramah rakyat sana.
Cemburu.
Kita ada kuasa untuk memilih sistem hidup. Malah itu adalah hak kita sebagai manusia. Kalau bukan untuk kita, untuk anak-anak yang kita tak tahu cabaran apa yang menanti mereka.
Jangan jadi hamba pada yang tak selayaknya.
1 comments:
bagus nye ucapan bob lokman tu.
hee.
Post a Comment