skip to main |
skip to sidebar
Luka yang lama belum kita lupakan
Hangat terasa bahang yang menyakitkan
Harapan dan keyakinanmu membutakan segalanya
Hanyut dalam genggaman memusnahkan kita
Segala yang berlaku bukanlah niatku
Maafkanlah diriku keterlanjuran lalu
Masih belum lewat untuk kita bertaubat
Menilai dosa walau diri terhina
Redha dan keampunan-Nya mengatasi segalanya
Sirna dalam gelita
Harapan terbina
Dosa itu lebih baik seandainya ia membuatkan engkau merendah, berbanding pahala yang menjadikan rasa lebih bagus - Syeikh Hamza Yusuf
Tapi sampai bila nak merendah, harus ada juga kehormatan kita untuk dipersembahkan pada Allah bukan?
Pagi Jumaat.
Hidup di Jordan, Jumaat sentiasa terasa lebih indah dari biasa. Ada baunya, warna, lain rasa.
Walau Jumaat kali ini dianehkan dengan perangai pemandu teksi kami. Dari Syarie' Jamiah ke Mujamma' Amman (stesen bas), bayaran biasanya hanya JD0.75. Bila dihulur sedinar (JD1.00), kami menanti baki.
"Shu hadza?" (Apa ini?)
Kami kerut muka sambil senyum senget, nak sahaja dikata 'Duitlah!' Kami jawab kembali,
"Shu?" (Apa??)
"Liraten ammu!" (Dua dinarlah!)
Mahu tak terkujat kami di pagi itu?
"Wallahi daiman khamsu sab'ien bass" (Wallah, biasa 75 sahaja)
"La wallah! Ba'ieed, min hek ila hek. Liraten!" (Tidak! Jauh, dari sana, sana)
"Iza dinar wa nuss bissir ammu. Wallah haram lirten" (Kalau 1.50 boleh lah, 2 dinar melampau!)
Akhirnya, kami bayar juga 2 dinar. Berat juga hati untuk meredhakan. Tapi cepat kembali pada prinsip
Always be kind, for all are fighting a hard battle
Itu pesan Plato. Buat baik dengan semua, kerana masing-masing ada masalah yang tersembunyi. Mungkin pakcik (bila disebut pakcik oleh pelajar sini, bukanlah pakcik pun, pangkat abang pun ada) bangun on the wrong side of the bed.
Duduk selesa dalam coster menanti penumpang memenuhkan ruang. Sambil borak-borak pagi dengan teman pemusafiran, mata melilau sana sini.
Muncul dua orang. Seorang lelaki dan perempuan. Keduanya sekitar 60-an. Tapi sang atuk nampak masih gagah persis lelaki biasa. Cuma sang nenek, fizikalnya agak lemah dihanyut usia.
Atuk meninjau dari pintu coster, memastikan masihkah ada ruang untuk mereka. Sementara si nenek membebel dari belakang, lemah, tapi berbunyi, kerana dia rasa sudah tiada tempat
"Ada, ada. Awak naiklah", kata si atuk
Nenek jelas menggagahi lutut dan pehanya untuk memanjat tangga coster yang rendah itu. Mulutnya masih bergerak-gerak, masih ada yang dikumat-kamitkan, entah apa gusar di hatinya, diluah pada atuk. Ya, lemah, telinga aku tak menangkap apa.
Sang atuk hanya diam, memastikan isterinya duduk.
"Awak duduk dulu. Mahu makan atau minum apa-apa? Mari saya belikan" Kata-kata atuk sangat jelas, sesuai dengan sihatnya dia.
Sang nenek, masih begitu. Mengomel mengeluh itu ini. Atuk berlalu dan 10 minit kemudian pulang dengan seplastik bekalan perjalanan.
Sketsa indah di pagi Jumaat.
Kalau dahulu, si bunga dipuja dirayu sang teruna, kerana cantiknya dia, kerana manjanya dia, kerana gemersik gelak tawanya. Segala keindahan itu, si bunga dilamar menjadi taman di hati teruna. Kembang menghias. Satu-satunya.
Hingga satu masa, si bunga hilang warna. Baunya sudah tak seberapa. Gelak tawa diganti dengan rugutan berjela. Kudratnya tak lagi berdaya.
Masihkah sang teruna, menjadikan dia ratu di hatinya?
Atuk itu, begitu sabar melayan isterinya. Bagaikan cintanya pada sang nenek, bagai tak pudar seiring usia. Walaupun mungkin, nenek sudah pun tawar rasa pada cinta.
Usia dan masa.
Agaknya, mampu atau tidak kita terus setia?
Analisa siapa kita
Sudah Sunnah Orang Berjuang
Mengembara dan berkelana
Miskin dan papa jadi tradisi
Berenggang dengan anak dan isteri
Sudah Sunnah Orang Berjuang
Mengembara dan berkelana
Miskin dan papa jadi tradisi
Berenggang dengan anak dan isteri
Biasanya para pejuang
Rumah mereka merata-rata
Rezekinya tidak menentu
Tidur baringnya tidak berwaktu
Rezekinya tidak menentu
Tidur baringnya tidak berwaktu
Orang lain membuat harta
Tapi dia membuangnya
Orang lain kawan terbatas
Tapi pejuang kawan merata
Orang lain musuhnya kurang
Pejuang musuhnya tidak terbilang
Sudah Sunnah Orang Berjuang
Mengembara dan berkelana
Miskin dan papa jadi tradisi
Berenggang dengan anak dan isteri
Tidak kurang yang sayang padanya
Orang lain mati dilupa
Para pejuang tetap dikenang
Sejarahnya ditulis orang
Makamnya sentiasa diziarahi
Walau perjuangan tak berjaya
Sudah Sunnah Orang Berjuang
Mengembara dan berkelana
Miskin dan papa jadi tradisi
Berenggang dengan anak dan isteri
-terima kasih buat adik Balqis Samsudin yang memberi lagu ini. Kalau tidak, seperti tak teringat langsung pada jawatan hakiki ini. Masih terbayang raut muka Balqis waktu detik pertama akak tengok muka awak. Juga di malam hari menculik awak dari bilik, hu. Selamat berjuang di bumi Kiwi!
Hampir semuanya tak kena dengan siapa saya hari ini.
Berjuang di tanah orang, pasti jauh bezanya di tanah sendiri. Perbezaan budaya, bahasa dan cara, bukanlah sesuatu yang dirisaukan sangat.
Tapi berbeza keselesaan, itu membahayakan.
Tidur kita harus bertilam, kerana katanya nanti sakit dengan simen dan cuaca sejuk.
Tiada keperluan untuk 'membuang harta', kerana semuanya orang kaya-kaya.
Rezeki tak menentu? Menangis kerana lapar? Sungguh ajaib jika ia berlaku di sini
Musuh? SIapa yang mahu bermusuh dengan kita?
Tapi, semua di atas relevan di tanah air.
Tidur beralaskan sehelai kain nipis. Itu pun kalau cukup baik.
Pergi ke program-program musafir antara negeri. Tiket bertukar, kadang di tengah jalan kehabisan duit, terpaksa buat muka tebal telefon sahabat untuk masukkan duit ke atm. Sampai ke tapak program, bayar lagi untuk pendaftaran.
Jangan kata di tengah bulan, di awal bulan pun duit dah tiada. Ya, pernah menangis kerana kelaparan, tapi selalunya tak sempat kerana diisi dengan makanan sahabat.
Lama lagi akan berkelana di sini.
Bakal jadi manusia bagaimanakah aku?
Takut, risau. Entah pulang ke tanah sendiri, lembik dengan hujan dan matahari. Entah pulang nanti, semangat pemudi yang ada hilang dengan usia.
Ujian yang datang bukan lagi kepayahan, tapi ujian kesenangan.
Allah.. bantu kami, ikat kaki, badan dan tangan kami dalam perjuangan ini!
Malaysia, tetaplah menantiku, kerana aku sedang sabar kembali kepadamu.
p/s : Pilihanraya Umum dah dekat sangat sangat sangat.