>>test

Tuesday, July 27, 2010

Wacana Perdana : Bolehkan Melayu Bersatu?




Mengapa begitu sukar untuk menyatukan satu bangsa dalam satu pendirian? Malah kesatuan ini bagaikan amat mustahil. Sedangkan terlalu banyak persamaan yang telah kita kongsi bersama. Kita sama-sama menentang kezaliman Israil, sama-sama mempertahankan Islam, sama-sama cinta kepada negara. Tapi apabila politik menjadi tajuk, Melayu akan saling berpaling muka.



























1. Rasa macam kena lempang dengan kenyataan penyoal pertama, "Allah SWT bersifat dengan ilmu. Bila meletakkan agama suku politik suku (tidak boleh disamakan), adakah manusia lebih tahu dari Allah taala tentang politik?"

2. Rasa malu dengan pakcik-pakcik yang berani kehadapan untuk bersoal jawab di dalam satu majlis besar. Tak tahu kenapa, sejak sampai ke Syam, jiwa makin kecut.

3. Cemburu dengan cara penghujjahan Ustaz Mujahid Yusuf Rawa. Tiap hujahnya tenang tanpa emosi, malah tanpa perlu menekan suara untuk menarik perhatian mahupun menguatkan isi. Ya Allah, jadikan aku lebih baik darinya!

4. Tahniah buat Ust Mujahid dan Ust Asri. Wacana ini sebenarnya lari dan kurang berisi. Tapi dua panel ini sekurang-kuranya menampal kelompangan tersebut dengan mesej dakwah. Pasti, bukan Islam juga akan menonton wacana ini. Dan semoga mereka sedikit sebanyak dapat memahami atau mendapat pengenalan tentang pendirian Islam tentang perpaduan. Perpaduan yang bukan asabiah mana-mana puak.

5. Mengalu-alukan wacana ilmiah sebegini. Rakyat perlu dididik supaya berfikir, tidak kisahlah ke pihak mana yang mereka fikirkan, asalkan otak ligat mencerna fakta. Bukan disumbat dengan hiburan yang bukan-bukan. Kalau wacana sebegini boleh menggantikan Konsert Jom Heboh, alangkah 'heaven'nya Malaysia!

6. Datuk dan nenek sebelah ayah saya berasal dari Sumatera, Indonesia. Belah ibu saya pula tidak berapa pasti, kerana ibu saya anak angkat. Tapi jika tak salah, belah ibu saya ada jalur Cina. Saya lahir, saya menjadi Melayu dan mendapat segala hak keistimewaan berdasarkan artikel 153 Perlembagaan Malaysia.

Nun jauh di kawasan perumahan saya, satu keluarga berbangsa Cina. Moyang dan datuk mereka pernah terlibat langsung dalam membebaskan Malaysia dari penjajah. Malah ramai di kalangan ahli keluarga mereka pernah ditangkap dan dibunuh dalam usaha tersebut. Mereka fasih berbahasa Melayu. Hingga hari ini mereka kekal sebagai bangsa Cina dan tidak ada satu pun hak istimewa yang mereka peroleh.

Soalan saya, anda rasa anda Melayu?

Friday, July 23, 2010

Kenapa Perlukan Agama?


Beruntung sungguh kita yang sudah beragama ini. Tak perlu lagi pening memikirkan agama mana yang perlu dipilih. Lebih beruntung kerana kita sememangnya Islam sejak dalam perut. Bahkan dalam perut lagi sudah diberi nama yang sungguh Islami.

Pemilihan agama itu satu hal. Tapi hal yang lebih besar, sekiranya manusia tidak jelas kenapa dia beragama.


Menawarkan Islam Kepada Jepun

Katakan suatu hari kita dilantik oleh khalifah untuk memerdekakan satu umat yang cukup maju dan cantik dalam dunia ini. Khalifah berpendapat, penduduk ini sangat Islam dari tiap sudut kehidupan mereka. Sayangnya, mereka bukan beragama Islam.

Penduduk Jepun.

Untuk meyakinkan orang 'menggunakan' sesuatu produk, sudah pasti segala kebaikan produk itu akan dipromosikan.

Maka kita mempromosikan Akhlaq Islami kepada orang Jepun.

Orang Jepun mencebik. Kalau saya jadi orang Jepun pun, saya gelakkan sekali. Umpamanya salesman mahu menjual water filter pada kita, tapi bila diuji kualti air, jaaauuuh lagi hebat air di dapur saya tu.

Bagi saya, orang Jepun adalah kaum yang paling berakhlaq. Hormat pada tetamu, guru, rokok pun bila habis dihisap akan disimpan dalam satu beg khas, kemudian baru dibuang dalam tong sampah.

Orang Jepun lebih dahulu beramal dengan kebersihan sebahagian dari iman.

Apa lagi yang boleh Islam tawarkan? Kemajuan?

Mereka sudah terlalu, malah lebih maju dari Eropah.

Orang Jepun.

Mereka bagaikan ada segalanya.


"Bosan Dengan Kebaikan"



Di sebuah kota bernama Akihabara, yang juga dinamakan kota elektronik, seorang lelaki ditangkap kerana menikam orang ramai di suatu kawasan umum.

Bila disoal-siasat motif lelaki itu membunuh, katanya

"Saya dah bosan jadi baik"


Semalam saya menonton filem Jepun, Departure. Kisah seorang lelaki yang dari kecil bermain cello, akhirnya menjadi seorang pengurus mayat.

Ada satu ayatnya yang menarik.

"Kalau kita akan mati akhirnya, kenapa kita kerja kuat-kuat?"


Lelaki itu tersedar hakikat ini bila melihat mayat. Dan dia tahu, segala kekayaan serta kejayaan yang dikumpul di dunia tak dapat dibakar bersama apabila mati.


Agama Memaknakan Hidup

Inilah satu-satunya yang tidak akan dimiliki orang orang yang tidak beragama. Tujuan hidup.

Kerjalah kuat macam mana pun, tapi hasilnya tak boleh dibawa ke mati.

Berkawanlah setia dan baik tinggi mana pun, tak akannya kawan tu mahu mati sama-sama.

Ada anak, isteri/suami, sayang habis kasih sayang. Tapi bila dah mati, dia cari pengganti.

Kalau mencipta sesuatu, akhirnya ia untuk dimusnahkan, maka kenapa perlu ia diwujudkan? Sia-sia!

Bagi orang yang tak punya tujuan hidup, segala apa yang dilakukan atas bumi ini adalah sia-sia. Tiada sebab atas segala kebaikan yang mereka lakukan. Mereka itu adalah orang yang tidak beragama. Kerana hanya agama yang menawarkan satu kehidupan selepas mati.

Kerja kuat, 'duitnya' sampai ke akhirat. Cuma, negeri akhirat tidak menerima matawang, menukarkannya kepada pahala.

Berkawan, beranak-pinak, kalau mereka ditempatkan di syurga, mereka pasti akan bertemu kembali.

Kata-kata Ir Tifatul Sambiring, bekas presiden Parti Keadilan Sejahtera PKS Indonesia ditujukan kepada almarhum Ustaz Rahmat Abdullah Ketua Umum Parti dalam filem khusus untuk allahyarham, Sang Murabbi,

"Ustaz Rahmat, kita tidak berpisah. Kita cuma sedang mempersiapkan diri untuk bertemu di alam yang kekal"

Islam adalah agama terbaik yang menawarkan kriteria ini.

"Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepadaKu" Az Zariyat 56

Islam memberikan fungsi kepada manusia. Buatlah apa sahaja, semua yang dibuat itu adalah ibadah, bekal di akhirat sana.

Bukan sahaja meletakkan manusia sebagai 'pekerja' yang 'bertuan' dan 'bergaji', tapi Islam melantik manusia sebagai CEO Allah. Pekerja yang bukan bertaraf kuli. KHALIFAH

Tugas khalifah ini adalah sama seperti hubungan pekerja dengan pekerja serta alam sekitarnya. Buat kerja bukan sahaja demi Tuan, tapi perlu juga berbaik-baik sesama pekerja. Malah saling membantu pekerja lain untuk mendapat posisi yang baik dalam pekerjaan. Khalifah ini sama-sama mengatur strategi, dan mengimpimentasikan kaedah kerja terbaik demi syarikat mereka, mahupun demi gaji mereka, dan akhirnya, demi Tuan yang telah sudi membuka peluang pekerjaan untuk mereka.


Selamat menjadi hamba kepada Allah dalam melaksanakan ketaatan

Selamat menjadi khalifah kepada dunia untuk memberi manfaat kepada semua.


tulisan ini berdasarkan audio pengisian Ustaz Hasrizal di Motivasi Pagi yang tersiar di Radio IKIM.FM jam 7:30 pagi, Selasa 20 Julai 2010: : Saifulislam.Com Ibrah Dari Akihabara


Wednesday, July 21, 2010

Kenapa Ke Sekolah?



Bukan semenjak dua menjak saya fikir soalan ini

"Kenapa aku ambil Medik"


Saya bukan pelajar yang rajin, jauh lagi pelajar yang genius. Markah saya tak setinggi mana, dalam kebanyakkan peperiksaan.

Tapi saya tahu saya cerdik. Ramai guru-guru yang suka melayan soalan saya yang pelik-pelik. Tak kurang juga yang mengherdik 'Tak payah fikir dalam-dalam sangat, nanti awak yang pening. Tak masuk periksa pun!', yang akhirnya membuatkan saya phobia untuk tanya soalan one-by-one dengan guru. Em, saya masih terbayang wajahnya.

Sampai sekarang takut itu masih ada.

Keputusan peperiksaan pula makin lama makin menurun. Tekanan untuk menghabiskan pengajian di tempoh yang sepatutnya semakin mendesak.

Akhirnya saya SMS pada ibu saya

'Medik ni bukan boleh macam dulu. Asalkan faham dalam kelas, lepas tu studi lebih kurang. Tapi kena telan satu buku! Dida mana mampu macam tu, Dida bukan jenis letak hidung dekat buku, tak boleh! Tak sanggup kalau yang ni pun (pengajian ini) tak selesai'

Ini jawapan ibu saya,

'Kami tak paksa, ikutlah keputusan sendiri. Kalau rasa nak tukar balik ke Al Bayt ke, boleh la intai-intai'

Macam ada pisau menikam jantung.

Jawapannya menyebabkan saya berfikir lama. Kenapa nak belajar Medik?

Aku tak boleh patah balik, malu! Semua kawan-kawan dah menggelarkan aku doktor.

Aku tak boleh patah balik, entah-entah mana-mana pun sama sahaja. Rugi!


Tapi ini masih tak memuaskan hati.

"KENAPA AKU NAK BELAJAR MEDIK?"


Gambaran Tentang Dunia Perubatan

Tanyalah sesiapa, siapa berani kata Medik itu mudah?

Tanyalah sesiapa, bagaimana rupa hidup seorang doktor?

Tanyalah sesiapa, apa nilai seorang doktor?

Ada yang bunuh diri kerana di tahun akhir dia gagal diijazahkan.

Ada pinangan yang batal bila mengetahui calon wanita itu adalah seorang doktor

Ada manusia tak pulang-pulang ke Malaysia kerana katanya doktor dilayan seperti sampah.

Ada pasangan bercerai berai kerana pasangannya bersuami/beristerikan pesakit dari dirinya sendiri.

Ada apa sangat dengan 'Nak jadi Doktor' sampaikan bila mana dapat keputusan cemerlang, semuanya nak jadi doktor!

Duit?

Duit tak dapat bayar segala apa yang hilang di atas ini.

Mungkin nanti duitlah yang akan menjadi pengelap air mata di saat diri terlalu sepi


Cerita Tiga Budak Bodoh

Ada seorang sahabat (Omar Begharib Ali, ex-Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia) mencadangkan pada Ust Syaari Abd Rahman untuk menonton filem hindustan 3 Idiots.



Di saat saya merasakan terlalu 'kosong' untuk menelaah, saya membuangkan masa dengan menonton filem ini.

Cerita seorang pemuda bergelar Rancho, yang lain dari yang lain.

Falsafahnya tentang pembelajaran adalah pemahaman. Manusia bukan mesin, yang akan menyalin bulat-bulat apa yang ada di dalam buku. Tapi manusia adalah manusia, yang akan mengolah dapatan itu kepada sesuatu yang mudah, sesuatu yang difahami.

Tapi pemikirannya ditolak oleh pensyarah. "Kalau itu yang awak jawab dalam peperiksaan, awak ingat awak boleh lulus?"

Rancho mula bersahabat dengan Raju dan Farhan.

Raju seorang pemuda miskin, ayahnya sakit teruk, ibunya menyara keluarga dan kakaknya tidak boleh berkahwin kerana tidak mampu membayar harga yang diminta oleh pihak lelaki. Raju diharapkan agar menjadi seorang jurutera, merubah keluarganya.

Farhan pula sejak kecil diletakkan harapan untuk menjadi seorang jurutera oleh ayahnya. Padahal jiwanya sentiasa mahu menjadi seorang jurugambar hidupan liar.

Ada juga satu adegan seorang pelajar tahun akhir bercakap dengan Prof Virus, ingin mendapatkan tarikh konvokasyen, agar ayahnya dapat menempah tiket dengan lebih awal.

Prof Virus meminta dia menghubungi bapanya. Bila telefon diserahkan kepada Prof Virus, sebaliknya beliau memaklumkan bahawa pelajar tersebut tidak akan bergraduasi, kerana lambat menghantar projek.

Pelajar tersebut merayu agar diberi lebih masa, dan yang paling penting dia risau akan ayahnya sakit mendengar berita itu.

Prof Virus tak bagi muka

Akhirnya pelajar tersebut ditemui mati menggantung diri di dalam bilik.

Kata Rancho pada Prof tersebut, 'This is not a suicide. This is a murder'

Rancho menyakinkan rakan-rakannya, bahawa pembelajaran adalah untuk pengetahuan. Bukan khusus untuk cemerlang dalam peperiksaan, mendapat kerja yang baik.

Dia juga akhirnya berjaya meyakinkan Prof Virus. Rancho muncul sebagai pelajar terbaik institut tersebut.

Selepas 10 tahun, rakan-rakan Rancho cuba menjejakinya. Lebih-lebih lagi Chatur, orang yang paling berusaha untuk menyainyi Rancho. Janjinya, selepas 10 tahun, mereka akan bertemu semula, membandingkan siapa yang lebih berjaya.

Tapi usaha mereka hanyalah bertemu Rancho yang lain. Nama yang sama, menuntut di institut yang sama, malah pernah bergambar dengan Prof Virus di tahun pengajian mereka.

Rupanya, Rancho yang mereka kenali meminjam nama anak Tuannya. 'Rancho' sebenarnya hanya seorang anak pekebun, yang sangat berminat untuk belajar. Tuan 'Rancho' menyedari kelebihannya, dan meminta dia untuk menggunakan nama anaknya bagi mendapatkan segulung ijazah. Selepas itu, dia perlu hilang dari sesiapa yang mengenalinya.

Rakan-rakan 'Rancho' akhirnya jelas. Matlamat 'Rancho' ke kuliah bukan kerana ijazah.

Tapi kerana dapatan ilmu itu bukan boleh diperoleh tepi jalan

Akhirnya mereka menemui 'Rancho' di sekolah ceruk yang miskin. Tapi anak-anak di sana sangat kaya dengan penciptaan.

'Rancho' rupanya telah menjadi seorang saintis, yang rupanya si Chatur tu dok cari untuk buat usaha sama.

Habis tengok cerita, terpaksa minum air. Banyak sangat menangis.

..........................................................................


Hari ini, saya belajar Medik bukan kerana nak lulus periksa

Hari ini, saya nak jadi doktor bukan kerana kerajaan menggajikan saya

Saya belajar kerana ilmu perubatan adalah aset yang sangat mahal. Dan ia sangat seronok! Sirius tak tipu

Saya akan jadi doktor kerana kemahiran saya, bukan kerana adanya klinik atau arahan mana-mana

Saya mahu jadi doktor, kerana saya mahu serve the ummah!

Insha Allah.

Sabah, nantikan kehadiran manusia pelik bernama Syahida
(eh, Sabah..?)

Jom ke sekolah dengan perspektif baru!

Friday, July 16, 2010

Pasca Pembuangan Undi

E = mc2


Jam sekarang menunjukkan 5.30 petang. Bermakna 30 minit pusat mengundi telah ditutup.

Alhamdulilllah, rekod orang Kampung Parit Kuning setakat ini, gemilang juga. Hanya seorang yang gagal hadir ke pusat pengundian atas asbab yang saya kira munasabah.


Matlamat saya berkempen pada kali ini sebenarnya bukanlah hendak mempengaruhi sangat ahli PERMAI mengundi calon-calon yang saya kempenkan, tapi supaya ahli cakna akan politik semasa Irbid. Kalau cuma memikirkan 'siapa aku hendak undi pun' saya kira sudah cukup bagus. Daripada pergi ke pusat mengundi, main pangkah suka suki macam tikam judi.

Kalau sengaja tak mahu mengundi? Oh inilah ahli yang malang. Nasihat saya, lain kali, hm, tak mahulah nasihat.

Melihatkan kepada kempen, saya gembira kerana rata-rata ahli sudah faham akan kepentingan pilihanraya. Masing-masing mencadangkan nama-nama tertentu, berdasarkan kewibawaan calon. Dan yang paling penting, kerana mereka yakin calon tersebut bakal mengemudi kapal PERMAI ke arah redha Allah.

'Sahaja aku mengundi kerana Allah taala'


Pun begitu, saya pelik seandainya ada di kalangan yang berkempen ini, menjadi sepi bila di Malaysia nanti. Pilihan raya umum, katanya demokrasi itu tidak syar'ie.

Apa beza pilihan raya di jamieah dan juga PERMAI ini?

Mesej ini untuk orang di Alabama sana. Orang Irbid tak ada yang berfikiran macam ini, insha Allah :D

Apa pun, marilah kita sama-sama berhajat pada Allah, agar Allah sendiri yang memilih pemimpin yang akan membawa agamaNya pada PERMAI sesi depan. Walau siapa pun dia, doa kita itulah dia pilihan Allah, Islam akan permai di bawah naungannya. Ameen.

Kami sayang PERMAI!


Lagi berita hari pembuangan undi

Lagi berita hari pembuangan undi II

Thursday, July 15, 2010

Kabinet Bayangan PERMAI 10/11



My hope and change towards PERMAI 2010/2011


Presiden
Zaid Bin Daud
Fiqh Usul Tahun 3
Universiti Yarmouk

Timb Presiden
Muhd Arif Hakimi Bin Mohd Nor
Perubatan Tahun 2
Jordan University of Science and Tech

Ketua HELWI
Farhanah Binti Tajuruddin
Perubatan Tahun 2
Jordan University of Science and Tech

Timb. Ketua HELWI
Anisatul Qalbi Binti Mohd Sofiyuddin
Fiqh Usul Tahun 2
Universiti Yarmouk

Pengerusi Majlis Mahasiswa JUST, MMJ
Muhd Hashemi Dahaln Bin Md Razif
Perubatan Tahun 2
Jordan University of Science and Tech

Pengerusi Majlis Mahasiswa Yarmouk, MMY
Azlan Shah Bin Nabees Khan
Ekonomi dan Perbankan Islam Tahun 3
Universiti Yarmouk

Setiausaha
Ahmad Hidayat Hasni Bin Mad Isa
Perubatan Tahun 2
Jordan University of Science and Tech

Timb. Setiausaha
Nur Hamizah Binti Md Fuzi
Perubatan Tahun 2
Jordan University of Science and Tech

Bendahari
Ammar bin Ismail
Usuluddin Tahun 2
Universiti Yarmouk

Timb Bendahari
Nadiha Sakina Binti Ismail
Ekonomi dan Perbankan Islam Tahun 3
Universiti Yarmouk




Wednesday, July 14, 2010

Pilihanraya Mahasiswa Malaysia Irbid, Jordan



Antara banyak-banyak pelajar, saya rasa saya yang paling beruntung. Kerana dapat menyaksikan pelbagai warna pilihanraya kampus. Dari kampus Malaysia hingga ke Jordan ini.

Kali ini giliran Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid Jordan, PERMAI.


Satu perkara yang menyebabkan saya sangat selesa berada di bawah PERMAI adalah, ahli-ahlinya sangat matang dalam apa jua perkara. Selain dari kelebihan kami yang mempunyai kepelbagaian bidang seperti perubatan, pergigian, perngajian Islam, dan ekonomi. Ok, tak lupa fizik juga. Alhamdulillah, kepelbagaian ini dijadikan satu sinergi yang sangat optimum.

Berbalik kepada kematangan ahli PERMAI, kali ini ia dipamerkan pada pilihanraya sesi ini.

Melihatkan kepada kempen serta perang poster, saya dan rakan-rakan ketawa girang melihat fenomena ini.

Zaman ini zaman laju dan pantas. Kempen-kempen tak perlu lagi dari rumah ke rumah, berlelah memaku poster di pokok-pokok. Sekarang zaman berkempen melalui Facebook, Twitter dan Yahoo Messenger.

Poster kempen 'sabab'. Gah-gah belake!





Poster kempen 'akhrowat'. Kami memang zuhud


Calon-calon yang bertanding bukan calang-calang. Walaupun di pihak akhawat terbitnya calon freshie dari tahun pertama pengajian, tapi bila ditinjau latar belakang mereka, ah, memang layak menjadi calon.

Ikutkan saya rambang juga mata untuk mengundi, mereka semua layak! Dan bagi tukang kempen pula, kerambangan ini bagaikan satu bonus untuk mereka untuk memeningkan lagi pengundi lantas memberi pengaruh untuk mengundi calon faveret mereka.

Alhamdulillah, ini tiada di Irbid.

Sedih melihat kempen-kempen yang bagi saya adalah satu kekejian, dengan meletak gambar calon tersebut di Facebook lalu tag orang lain, sambil memburuk-burukkan calon.

Tak dapat dinafikan, pilihan raya di Malaysia ada yang sebegitu. Mempermainkan isu peribadi calon untuk menghilangkan pengaruh.

Apa kata kita sebagai mahasiswa menunjuk qudwah kepada mereka. Katakan YA, MAHASISWA matang dalam berpolitik!


p/s : Buat rakyat Malaysia yang boleh sudah berumur 21 tahun, pastikan mendaftar sebagai pengundi Pilihan Raya Umum. Sibuk berkempen di Jordan, harapnya di Malaysia pun begitu juga

p/s lagi : Ini bukan satu kempen, cuma mempamerkan kerancakan perang poster sahaja. Oh yang calon Ketua Hewi tu benar saya mengempen. Undi Farhanah!

Sunday, July 4, 2010

Kenapa Tudung Labuh


Fatimah Syarha


Tudung Labuh - Pengalaman menarik Fatimah Syarha, penulis novel Seindah Mawar Berduri dan Musafir Syabab Kasih, menerusi kolum Remaja Majalah Solusi isu no 21.

“Akak, kenapa akak pakai tudung labuh?”

Soalan ini sudah banyak kali dilontarkan oleh remaja kepadaku. Adik bongsuku, Asiah Yusra yang sedang mekar meniti usia remaja, turut bertanya. Melihat wajahnya yang saling tidak tumpah dengan iras wajahku, aku terasa bagaikan sedang melihat diriku sendiri. Aku pernah remaja dan terpesona melihat kakak sulung bertudung labuh. Kufahami, remaja bertanya kerana mereka sedang tercari-cari identiti diri.


Kali pertama aku memilihnya sebagai imej diri ketika usiaku remaja. Saat itu, aku bertudung labuh kerana keindahannya menghiasi wanita-wanita berakhlak mulia yang kukenali. Ibuku, kakakku, kakak-kakak naqibahku, ustazah-ustazahku semuanya bertudung labuh. Hingga aku mensinonimkan tudung labuh itu dengan keindahan, keperibadian dan kebaikan. Walaupun aku turut mengenali teman-teman bertudung labuh yang akhlaknya bermasalah namun aku masih menemui keindahan jiwanya, ingin menjadi lebih baik. Hari ini, aku memilih tudung labuh kerana aku yakin ia lebih istimewa pada pandangan-Nya.

Ketika remaja, aku hampir tidak sedar banyak pertanyaan yang terpendam. Mungkin saat itu aku tidak tahu apa yang aku perlu tahu. Hinggalah persoalanku terjawab satu demi satu. Hikmah bicara kakak-kakak naqibahku menerangkan pelbagai soalan yang kutagihkan pengertian. Yang paling kuingati, Kak Siti Aisyah Mohd Nor (kini merupakan bidadari kepada seorang tokoh agama terkenal). Jasa kalian selamanya harum dalam ingatan.

Yang Tertutup Itu Indah

Ketika kubertanya tentang tudung labuh, mudah jawapan yang pernah kuterima, “Yang tertutup itu indah!” Jawapan yang membawaku mengkaji surah al-Ahzab ayat 59, maksud dan tafsirannya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, ‘hendaklah mereka melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali sebagai wanita baik agar mereka tidak diganggu.’”

Ya, sedangkan buku yang kita sayangi, kita sampulkan seindahnya. Inikan pula bentuk tubuh wanita, takkan tiada sampulnya? Kuperhatikan kulit bukuku yang bersampul lebih terjaga berbanding kulit bukuku yang tidak bersampul. Kuperhatikan langsir yang cantik menghias pintu dan tingkap. Kuperhatikan kain yang mengalas meja dan perabot. Benar, yang tertutup itu indah! Begitu juga cara Allah menghargai keindahan wanita dengan menggariskan perbatasan aurat. Agar keindahan itu hanya dinikmati oleh insan yang berhak. Bukannya diratah-ratah oleh pandangan yang sakit.

Istimewa Bertudung Labuh

Di sini, aku tidak mahu berbicara panjang tentang kewajipan menutup aurat. Apa yang ingin kukongsi di sini adalah tentang beberapa peristiwa dalam hidupku yang membuatkan aku berasa tudung labuh itu benar-benar istimewa. Allah banyak kali menyelamatkan dan memudahkan urusanku dengan asbab tudung labuh.

Dikejar Tebuan Tanah

Dalam satu program motivasi remaja, aku menyertainya sebagai salah seorang fasilitator. Antara aktiviti yang dilakukan ialah jungle trekking. Aku mengetuai barisan remaja puteri yang siap sedia memasuki hutan. Taklimat dan doa dimulakan.

Menderap ke tengah belantara, tiba-tiba peserta puteri paling depan terlanggar sarang tebuan tanah. Tebuan tanah berterbangan garang. Sedia menyerang. Peserta itu menjerit kesakitan kerana disengat. Peserta di belakangnya turut menjerit ketakutan. Aku yang turut berada di barisan depan ketika itu melaungkan takbir. Lantas mengarahkan peserta yang lain berundur. Mereka bertempiaran lari.

Sementara aku tetap bertahan di situ. Kututup sebahagian wajahku dengan tudung labuhku. Tangan turut kusembunyikan di bawah tudung labuh. Kulindungi beberapa peserta yang terkepung dengan tudung labuhku agar tidak disengat lagi. Segera kubawa mereka berundur. Ajaibnya, seekor tebuan pun tidak berjaya menyengatku. Subhanallah! Maha Suci Engkau yang menyelamatkan aku dengan secebis kain buruk ini.

Terlindung daripada Mata Mat Rempit

Suatu hari, aku ingin pulang ke kampusku di UIA setelah bercuti pertengahan semester di kampung halaman. Seperti biasa, aku membeli tiket bas dan berusaha mencari bas yang mempunyai tempat duduk seorang. Request. Ini penting bagi mengelakkan aku terpaksa bermalam di dalam bas dengan bertemankan seorang lelaki asing di sebelah.

Akhirnya kumembeli tiket dengan sebuah syarikat bas yang belum pernah kunaiki . Sebelum menaiki bas, aku berpesan kepada pemandu kedua agar menurunkan aku di Greenwood. Semua mata terlena melepaskan kelelahan hidup dengan mengembara ke alam mimpi yang seketika. Kedengaran sayup-sayup suara pemandu bas mengejutkan aku dari tidurku. Lantas aku terjaga separuh sedar. Ketika itu, aku duduk di kerusi seorang paling depan, tidak jauh dari pemandu.

Jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Badanku amat penat dan urat kepala terasa merenyuk. Aku bangkit dari kerusiku dalam keadaan mamai menuruni bas. Ketika berada di luar bas, aku masih sangat mengantuk. Terasa secepat kilat bas meninggalkanku.

Ya Allah! Aku terkejut kerana hanya aku seorang yang menuruni bas. Lagipun, tempat bas itu memberhentikan aku bukannya tempat perhentian bas di Greenwood seperti kebiasaan. Aku langsung tidak mengenali tempat itu. Tiada peluang untukku bertanya atau membatalkan saja tempat perhentian itu. Nyata aku sudah terlewat. Asap bas pun sudah tidak kelihatan.

Aku berada di sebuah perhentian bas. Jalan raya di hadapannya lurus. Lengang. Sunyi. Kawasan sekitarnya adalah kawasan perumahan yang sedang bergelap. Jalur-jalur cahaya hanya sedikit. Kupandang ke belakang dan mendapati tidak jauh dari situ terdapat sebuah masjid. Namun, ia kelihatan gelap. Sunyi. Kelihatan seekor anjing berwarna hitam, besar dan garang sedang berlegar-legar di luar pagar masjid. Ya Allah, pada-Mu aku bertawakal.

Aku segera menelefon kenalan rapatku, Puan Norliza Mohd Nordin untuk mengambilku. Pada masa yang sama, mataku melilau mencari kayu atau besi yang akan kugunakan sebagai senjata seandainya anjing itu mendekatiku.

“Di mana?” Tanya Puan Norliza. Susah-payah aku cuba menerangkan lokasi yang asing itu. Tambahan pula, aku tidak dapat melihat papan tanda yang menunjukkan nama masjid. Kehadiran anjing itu membuatkan aku tidak berani menghampiri masjid. Sukar Puan Norliza mentafsirkan lokasi aku berada.

Tiba-tiba, sekumpulan samseng jalanan dengan pelbagai aksi motosikal yang berbahaya berhenti beramai-ramai di seberang jalan tempatku berada. Bagaikan ada mesyuarat penting di situ. Aku tiada tempat bersembunyi. Apa yang mampu kulakukan adalah tetap berdiri di tempatku dan membaca segala ayat al-Quran yang pernah kuhafal. Tawakalku memanjat langit dunia. Kebetulan, aku berjubah hitam dan bertudung labuh warna hitam. Aku menggunakan kesempatan itu untuk menyembunyikan diriku di balik warna malam. Cebisan kain turut kututup pada wajahku yang berkulit cerah.

Saat yang amat mendebarkan dalam hidupku, kelihatan anjing yang garang sedang berlari ke arahku. Kupujuk hati, anjing itu akan baik padaku kerana ia tidak menyalak. Samseng jalanan pula seakan sedang memandang-mandang ke arah lokasiku. Ketika itu, aku mengucapkan dua kalimah syahadah berkali-kali. Aku siapkan emosi untuk berjihad mempertahankan diri. Biar nyawa jadi taruhan, menyerah tidak sekali!

Allah menjadi saksi. Aku bagaikan tidak percaya apabila melihat anjing itu sekadar melintasiku seolah-olah langsung tidak melihatku di balik kegelapan. Walau bagaimanapun, aku masih resah melihat samseng jalanan asyik memandang ke arahku. Aku bertambah risau membayangkan Puan Norliza mungkin tidak dapat mengagak lokasiku itu kerana dia asyik menelefonku. Tiba-tiba samseng jalanan itu beredar. Bunyi ekzos mengaum pergi, pelbagai aksi. Mereka seakan-akan memandang dengan pandangan yang kosong sahaja ke arahku sebentar tadi. Puan Norliza pula sampai, menambahkan syukurku. Hatiku yakin, Allah telah menyelamatkanku di balik tudung labuh berwarna gelap itu. Alhamdulillah!

Menyelamatkan Beg Tanganku daripada Ragut

Seorang temanku dari Brunei sudah beberapa hari tidak datang ke kelas sarjana. Aku risaukan keadaannya. Apabila dia datang kembali, aku segera bertanya. Dia menunjukkan pipinya yang calar sambil bercerita dengan juraian air mata.

Dua orang pemuda yang menunggang laju meragut beg tangannya. Dia ikut terseret. Ketika itu pula dia sedang mengandung dua bulan. Hampir-hampir keguguran. Kedua-dua lututnya terluka. Pipi dan tangannya tercalar. Berdarah.

Aku sedih mendengar ceritanya. Dia memegang hujung tudungku sambil menyimpulkan, “Jika akak pakai tudung labuh macam ni, tentu diorang tak nampak beg tangan akak.” Kata-kata itu membuatkanku benar-benar berfikir jauh. Aku bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana tidak pernah menjadi mangsa ragut. Baru aku sedar, rupa-rupanya antara faktor yang menyelamatkanku adalah kerana beg tanganku sentiasa tersembunyi di bawah tudung labuh. Cuba anda bertanya kawan-kawan anda yang menggalas beg tangan di bawah tudung labuh, pernahkah mereka menjadi mangsa ragut?

Mendekatkan Jodoh dengan Lelaki Soleh

Aku hairan melihat beberapa orang temanku yang mulanya bertudung labuh tapi akhirnya menukar penampilan kerana takut tidak dipinang. Aku hormati penampilannya selagi masih menutup aurat namun jika itu alasannya, dia mungkin tersilap. Aku yang tetap bertudung labuh ini juga akhirnya yang agak cepat menerima pinangan.

Suamiku mengakui antara faktor yang meyakinkannya pada agamaku saat memilih bunga untuk disunting adalah kerana nilai tudung labuhku. Wanita bertudung labuh lumrahnya hanya berani dirisik oleh lelaki yang mempunyai persiapan agama. Jika malas hidup beragama, mereka akan berfikir beribu kali untuk memiliki seorang suri yang bertudung labuh. Rasa tidak layak. Rasa perlu membaiki diri terlebih dahulu.

Pernah juga aku dan suami cuba memadankan beberapa orang temanku dengan lelaki-lelaki soleh yang kami kenali. Apabila biodata bertukar tangan, gadis bertudung labuh rupa-rupanya menjadi kriteria penting seorang lelaki soleh. Malang bagi temanku yang sebenarnya baik dan berbudi bahasa, namun kerana penampilannya itu melambatkan jodohnya.

Benar, kita tidak boleh menilai seseorang hanya melihat luarannya. Namun, realitinya, kadang kala masa terlalu singkat dan peluang tidak ada untuk kita mengkaji dalaman seseorang sehingga terpaksa menilainya hanya melalui luarannya. Contoh realiti, jika kita ingin membeli nasi lemak di gerai. Kelihatan penjual di gerai yang pertama ialah seorang makcik bertudung labuh. Penjual di gerai kedua pula seorang wanita tidak bertudung dan rambutnya menggerbang lepas. Mana yang kita pilih? Kenapa cepat membuat pilihan sebelum mengkaji dalaman kedua-duanya dahulu? Apa nilaian kita ketika itu? Fikir-fikirkan.

Hormatilah Selagi Masih Menutup Aurat

Ya! Ya! Ya! Kudengari suara-suara hatimu yang sedang berbisik, “Ramai saja yang bertudung labuh tapi tak baik.” “Tudung tak labuh pun masih tutup aurat.” “Don’t judge people by its cover.” Kuhormati semua kata-kata ini sepertimana kuhormati dirimu yang masih bertudung. Alhamdulillah. Aku cuma berkongsi secebis pengalaman dalam hidupku yang menyebabkan kurasakan tudung labuh terlalu istimewa. Buat adik-adik remaja yang pernah bertanya, akak harap adik menemui jawapannya.

.............................................


Sejak kecil, Abah sangat melarang saya memakai tudung tiga segi yang labuhnya sedikit cuma dari bahu. Tapi kerana biah saya di MRSM yang mewajahkan tudung labuh sebagai jumud, saya protes.

Saya mula bertudung labuh dengan kerelaan sendiri sejak mendaftarkan diri ke Matrikulasi pada 15 Mei 2006. Dimulakan dengan tudung empat segi bidang 60.

Kenapa saya melabuhkan tudung?

Saya takut melihat iklan-iklan dan tayangan di televisyen tentang mahasiswi di IPT. Pakaian ketat, pergaulan bebas. Itulah bayangan saya tentang universiti.

Jesteru, saya mahu tudung menjadi perisai diri, secara tidak langsung sebagai tanda 'Hey, treat me like a proper muslimah!'

Tudung Sebagai Pelindung

Boleh kata setiap hujung minggu saya perlu keluar ke negeri-negeri lain sewaktu menuntut dulu. Pasti, kenderaan awam seperti bas dan keretapi akan saya guna.

Tudung labuh bulat akan saya kenakan bila bermusafir dengan kenderaan awam. Ia banyak menyelamatkan saya.

Dalam bas atau keretapi, selalunya lelaki tak akan duduk disebelah saya. Yang peliknya, dia boleh selamba duduk dengan perempuan lain. Mungkin dia segan pada penampilan saya. Alhamdulillah, selamat.

Kalau naik keretapi waktu puncak di KL Sentral atau lebih lagi di Bank Negara, saya tak risau dihimpit lelaki. Ramai yang akan beri ruang kepada saya, dan mereka tak berani untuk merapat. Alhamdulillah, selamat!

Tudung Labuh Sebagai Pemberi Hormat

Percaya atau tidak, saya dan rakan-rakan pernah diberi tempat duduk di dalam keretapi, hanya kerana kami bertudung labuh dan berjubah, sedangkan lebih ramai manusia sedang berdiri.

Bila membeli belah, peniaga akan menjaga tangan mereka sewaktu menghulurkan wang baki. Lucu juga, tapi itulah tandanya dia hormat.

Tudung Labuh Sebagai Warden

Satu hal saya perasan, pakaian akan mengawal tingkah laku saya. Bila saya memakai T-Shirt dan seluar, saya suka berlagak lelaki. Hatta di dalam rumah sekali pun.

Tapi bila memaki tudung labuh, berjubah atau baju kurung, saya rasa lebih feminin. Langkah saya lebih terjaga, tidak melompat ke sana ke mari.

Ya, tidak dinafikan ada sahaja sebilangan bertudung labuh yang akhlaqnya lebih teruk dari yang tidak bertudung. Tapi sekurangnya dia berani untuk bermujahadah dengan persepsi orang terhadapnya, sekurangnya dia telah selesai bahagian auratnya.

Moga tindak tanduk kita semuanya digerakkan oleh Allah.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2009 Terbang | Lihat | Tafsir. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates | Blogger Styles | WP by Masterplan