Usai peperiksaan, masing-masing teruja untuk jalan-jalan di Amman. Sedar tak sedar dah satu semester Amman tak jumpa kami. Matlamat utama adalah untuk membeli buah tangan buat keluarga di Malaysia. Wohoo, balik Malaysia!
Tapi, poket agak nipis, dah Ummi pun dah bagi warning jangan beli barang-barang. Jubah yang dulu dikirim pun tak dipakai lagi. Beli jubah untuk adik-beradik yang lelaki, semua tak mahu pakai. Akhirnya terpaksa jual. Cet
"PANDAI YA AWAK MENGAJI?"
Saya sebenarnya bertindak menjadi tourist guide buat adik-adik Geng Dulang yang tak pernah ke sana. Lagi-lagi saya tahu ada satu kedai jubah, yang semua jubahnya berharga hanya JD5 (RM25)!! Memang terujalah mereka ni.
Selesai beli jubah dan sedikit alas meja, Fasya nak melepak pula di Mecca Mall. Alah, tempat yang Aidil dalam NurKasih selalu shoping tu.
Niat di hati, mahu pulang, malas pula nak meronggeng sana-sini. Tapi raikan sajalah kawan-kawan. Sudahnya saya melepak di surau sambil memantapkan hafalan.
Sedang asyik membaca, ekor mata menangkap akan seorang mak cik yang memandang-mandang saya. Saya teruskan membaca, dengan suara rendah. Saya sedar dia bangun, tapi tak perasan pula ke mana.
Tiba-tiba Tiqah yang duduk di depan saya ditegur. Tiqah berkerut semacam, macam tu lah dia bila disapa orang Arab. Jadi saya cuba membantu, mana tahu mak cik itu perlukan apa-apa.
Rupanya dia nak beritahu Tiqah, bahawa dia beralih tempat ke situ (sebelah saya) untuk mendengar saya mengaji. Oh, mak cik tadi! Terus, segan rasanya untuk meneruskan bacaan.
Di Jordan, kejadian orang Arab terpikat dengan bacaan Al Quran pelajar Melayu memang sering terjadi. Satunya, yang saya perasan orang Arab tak berapa mahir melagukan bacaan. Bukan lagu taranum, tapi dari sudut lenggoknya. Rata-rata kita kalau baca Al Quran tak berlagu, memang tak masyuk.
Kedua, kerana mereka kagum pada orang bukan Arab tapi tahu membaca, malah mahir dan bertajwid. Kerap mereka bertanya, "Pandai ya awak baca Al Quran?". Dan kerap juga saya menjawab, "Di Malaysia, kami diajar mengaji sejak anak-anak lagi". Mungkin sangkaan mereka, hanya Arab yang boleh mengaji lancar kerana itu bahasa meraka.
MUSTAJABNYA DOA
Bila mak cik itu berlalu, saya teruskan semula bacaan. Dalam beberapa minit, saya disapa semula olehnya, "Boleh saya berborak dengan awak?"
Di Amman, kelibat orang Melayu sangat asing kerana kuantiti warga Malaysia di sana sangat minor. Jadi soalan yang ditanya agak tipikal, seperti 'orang Indonesia?, 'kerja atau belajar di sini', 'kenapa pilih Jordan', dan yang paling selalu mereka akan memuji orang Melayu, kata mereka Muslim Melayu bagus-bagus dari Muslim Arab. Kalaulah kalian tahu......
Dia tanya lagi, "Kenapa nak belajar di sini, bukankah pendidikan di Malaysia lagi bagus?". Kalau soalan begini, saya lebih suka jawab 'untuk cari pengalaman negara luar', tapi sampai hari ni tak tahu perkataan 'pengalaman' dalam bahasa Arab.
Yang saya jawab, pelajar Malaysia memilih Timur Tengah untuk mendekati dan memahami budaya dan bahasa Arab. Saya tambah lagi, bukankah Nabi Muhammad itu orang Arab, pasti melihat kalian bagai melihat susuk Nabi itu sendiri. Bagai. Selain untuk merasa negara yang bermusim-musim.
Dan yang selalu dikata, "Tambahan pula, sinikan Bumi Anbiya. Doa makbul di sini".
Tiba-tiba dia mencantas,
"Siapa kata doa di sini makbul?"
"Err.. Ramai yang kata. Kerana selain dari bumi para Nabi, ramai juga syuhada' di sini"
"Anakku, tempat yang paling didengar doanya pastilah di Kaabah. Tapi sebenarnya, bukan tempat yang menyebabkan doa itu terangkat"
"Maksudmu?"
"Yang menjadikan doa itu diterima, adalah akhlak pendoanya, bukan tempat. Kalau berdoa di hadapan Kaabah sekali pun, tapi dia tak melunasi tuntutan agama, menyakiti hati manusia, secara logik, layakkan doanya dimakbulkan begitu sahaja? Berbanding dengan seseorang yang menjaga agamanya, akhlaknya, di mana sahaja dia tadahkan tangan ke langit, Allah pasti ada jawapan untuk dia"
Saya termati di situ. Naam, kalam sahihah!
MALAYSIA, PERKHIDAMATAN TERBAIK DI DUNIA!
Esoknya saya bertolak ke Malaysia, menaiki penerbangan Egypt Air. Jutaan terima kasih buat sahabat-sahabat yang menaja tiket ini, moga kalian dibalas dengan ganjaran yang lebih baik!
Bila berada di luar negara, kita semakin menghargai negara sendiri. Dulu selalu menyumpah orang Melayu pemalas, lambat dan sebagainya. Tapi bila berdepan dengan kerenah perkhidmatan Arab, baru tahu!
Sebelum kami masuk ke perut kapal terbang, masing-masing mengisi perut terlebih dahulu kerana takut dan maklum akan perkhidmatan makanan di atas sana nanti. Dahulu semasa saya ke Mesir menaiki pesawat yang sama, dagingnya keras sejuk membatu! Baru sebentar makanan dihidang, makanan mula dikutip.
Kali ini, Bella sempat mengerling pada pramugarinya, "Pramugari dia tua-tua. Lawa pun tak". Yang paling terasa, seorang pun tak menghulur tangan untuk kami mengangkat beg ke dalam kabin kapal. Apa punya servis. Dan akhirnya keluar dari mulut, "Teringinnya naik MAS.."
Tapi yang saya suka pada lapangan kapal terbang di Arab, mereka menyediakan ruang khas untuk pemeriksaan wanita. Bukan seperti di Malaysia, diraba satu badan (walaupun oleh pegawai wanita) dan semua mata boleh memandang. Tambahan pula ramai wanita Arab yang berpurdah dan berhimar (mata pun tak nampak). Jadi ruangan itu sangat perlu bagi membolehkan mereka menampakkan wajah. Saya pun.
SEPANJANG PERJALANAN
Ramai juga warga Irbid yang pulang cuti ini. Sempat berkenalan dengan K.Fifi, pelajar Pergigian tahun 3, yang menjadi teman saya dalam kapal. Walaupun kedua-duanya orang Irbid, belajar di universiti yang sama, tapi itulah pertama kali kami bertemu dan bertukar-tukar cerita.
Banyak juga yang kami borakkan. Awalnya saya tak mahu membuka cerita yang saya ini dahulunya Mafraqian, nanti makin panjang pula cerita. Tapi K.Fifi sendiri bertanya, "Awak ye yang dulu Muktah tu". Eh, Mafraqlah kakak. "Oo, awaklah yang diorang selalu cerita tu..". Erk.
Akhirnya, mulalah cerita penglipur lara, dari matrik, uthm.. bla bla bla. Cerita yang sama.
"Awak, tak pernah akak dengar cerita orang macam awak ni. Terharunya.."
Haha. Kelakar betullah akak ni. Nak saja saya jawab, 'Tu la, lain kali masuk la blog saya, mesti akak bosan dengar cerita ni. Berjuta kali dah ulang'.
Dalam perjalanan, saya berusaha tak mahu tidur, supaya sampai Malaysia nanti tak mengalami jet lag. Transit dari Amman ke Mesir boleh juga saya mengulang-ngulang Al Quran. Tapi dari Mesir, saya duduk bersebelahan dengan warga Australia. Sempat juga berborak dengannya. Saya bimbang untuk mengaji, takut dia menyangka saya ekstrim. Tambahan pula saya berpurdah. Huh, alasan.
Akhirnya, memang tak tidur pun. Kapal pun menjamu saya dengan cerita yang sangat amat kena dengan jiwa dan sudah lama diidam-idam. Cerita yang boleh merangsang hormon adrenaline.
Memang minat saya lebih kepada cerita perang-perang. Yang paling suka adalah X-Men The Last Stand. Seronok melihat cerita sebegini, melihat kepada perlunya seorang kapten cepat berfikir dan bertindak, pada anak buah yang sangat setia berkorban, kerjasama dan patuh pada arahan.
Bagi saya, inilah manifestasi Arkanul Baiah. Menontonnya, akan menyegarkan kembali semangat jihad dalam jiwa, dan membuahkan rasa 'Aku nak jadi macam ni'. Dari dulu berangan nak masuk dalam skuad perang.
Oh ya, juga berjaya menamatkan bacaan buku Dr Zhivago semasa perjalanan Mesir-Kuala Lumpur. Ini pun cerita perang di zaman 1912 Rusia. Wahai PERMAI, ketahuilah saya menyahut kempen membaca kalian.
CUACA MALAYSIA
Tiba di Malaysia jam 3 petang waktu Malysia. Puasnya berada di tanah sendiri, melihat wajah-wajah Malaysia.
Dan yang kelakarnya, saya dan Bella teruja bila mendengar pengumuman di lapangan terbang, "Eh, bahasa Melayu!"
Banyak yang berubah. Suhu pun. Rasanya dahulu tak sepanas begini. Tak tahulah kalau benar dakwaan Zakwan, 'Orang balik oversea, negara dia ada salji..'.
Mujib sudah besar. Gigi pun sudah tumbuh yang baru. Tapi perangai masih sama, masih belum boleh bercakap.
Dan rumah, adoi, bersepahnya! Terasa macam pulang ke rumah nenek! Barang-barang melata sana sini. Masuk ke bilik sendiri, terkejut bila buka almari. Baju-baju saya sudah berkulat, bertompok tom hitam. Melampaunya, baru setahun tak balik!
Abah pun tak berhenti melanggan HBO, Star Movie dan sebagainya. Malah National Geographic, Discovey Channel pun tak dilanggan lagi. Sedihnya, semua gara-gara Azrul, adik saya (kini Tingkatan 1) yang suka tengok tv hingga tak mahu ke sekolah. Cis!
Masing-masing sudah merasa halawiyat Jordan. Dan komen yang mereka bagi, "Manisnyaaa!!!". Haha
Hm, perlu merancang dengan baik sepanjang 2 minggu lebih di Malaysia ini. Banyak perkara perlu diselesaikan.
Harap orang-orang Jordan tak kesepian. Kalau boring tu, bawak-bawaklah jalan ke ruman senior-senior..