Semalam (27 Mei) genap umur saya 21 tahun mengikut kalendar gregori. Yang paling awal memberi ucapan pastilah sahabat-sahabat dari Malaysia. Masakan tidak, 5 jam lebih awal dari Jordan. Tepat menurut jangkaan, seperti kebiasaan saya dari kecil, tiada sambutan. Tarikh 27 Mei selalunya merupakan waktu cuti sekolah atau musim peperiksaan. Saat ini kalau saya fikir-fikir bentuk kek yang pernah saya dapat.. Em, entah, tak ingat.
Dahulu di MRSM, saya sering borak-borak dengan kawan-kawan, umur 21 adalah umur emas. Umur di mana kunci kebebasan telah pun diserahkan padanya. Belia yang berumur 21 sudah layak mengundi, dengan kata lain Malaysia meletakkan kematangan belianya pada usia begini.
Tapi malam itu, sewaktu K.Husna membukakan lagu Selamat Hari Lahir nyanyian kumpulan Saujana buat saya, tanpa sedar saya menangis. Kerana memikirkan, hingga usia ini apa jasa saya pada Ummi Abah? TIADA. Malah sayalah yang paling banyak membentak dari kalangan adik beradik yang semuanya lelaki. Sayalah yang paling keras dan degil. Paling banyak mengikis duit Abah.
Apa berian saya pada Islam? Dari sudut dakwah, saya hanya menyinar di alam matrikulasi. Tika itu ilmu saya sesudu cuma, tapi atas kebersamaan dan keyakinan MYTEAM kepada saya, saya menonjol. Tapi setelah hilang tongkat sakti, hilang bahu untuk berkongsi beban, akhirnya saya yang menjadi beban pada jalan dakwah. Sejak di UTHM hinggalah ke Al-Bayt ini.
Dulu saya pernah merancang untuk meniru langkah ummi, menamatkan zaman bujangnya pada usia ini. Malah kalau dikira-kira, waktu itu Ummi belum lagi 21, masih berbaki 7 bulan ke angka itu.
Tapi siapalah saya untuk meniru Ummi. Dalam usia 21 tahun, Ummi sudah pun menggenggam ijazah Fizik Gunaan. Dalam malas-malas Ummi (Ummi yang kata), tapi otak Ummi cukup geliga. Geliga hingga boleh melompat darjah, menambah pecutan menghabiskan tahun belajar. Malas-malas Ummi sempat berniaga keliling kampung. Tak lupa tangannya cukup sakti di dapur.
Dibanding dengan saya, jauh benar bezanya. Umur 21 masih terkial-kial belajar. Tambah lagi, semakin hari semakin takut membicarakan soal nikah kahwin. Borak-borak petang bolehlah, tapi untuk sirius, ish, tak mahulah saya. Boleh buat sakit kepala.
Makin banyak perancangan dalam kepala. Malah, terlalu banyak dan mencapah. Sengaja saya cabangkan banyak-banyak, kerana hidup saya pun sering berubah-ubah. Dari Sains Tulen melompat ke IT. Dari IT ke bidang agama. Kalau saya kekal dalam bidang ini, cadangnya mahu ambil jurusan Media di UK. Biar jauh dari rumah, sebab kalau saya lekat di rumah saya makin kurang dinamik.
Sebolehnya biarlah saya menetap dalam 5-6 tahun di UK. Ceduk ilmu betul-betul dari mereka. Ada jodoh boleh jumpa Syeikh Yusuf Estes, yang hari ini giat menyebar Islam dengan rancangannya, yang hanya diusahakan dia sebagai pengacara dan seorang camera man. Agar nanti saya boleh kongsikan ke Malaysia, yang pada waktu itu sudah pun agak merdeka media kita.
Kalau bulan 9 ini saya ditukarkan ke bidang perubatan, impian saya untuk membuka Pusat Rawatan AKRINE. Biar saya bergabung kuasa dengan Abah, yang hari ini makin gelamour dengan buku Berdialog Dengan Jin terbitan Hijjaz. Dengan laman blognya yang jauh lebih sensasi dari blog saya.
Biar pusat rawatan itu, menghubung jalinkan rawatan moden dan rawatan Islam. Biar klinik saya jadi pusat perubatan dan dakwah, buat jin dan manusia.
Tapi kalau saya kekal dalam bidang agama, pulang ke Malaysia saya mahu jadi wakil rakyat di Sabah. Sabah sekarang ini menjadi negeri kesukaan saya, kerana potensi dakwahnya yang sangat gilang gemilang, dengan kesucian anak-anak Sabah yang jauh dari pencemaran. Pencemaran hiburan terlampau dan maksiat.
Ha.. Seronok betul menulis impian ni. Wallah hu 'alam, entah ke mana Dia hendak jalankan saya.
Dan kira-kira pukul 11.30 tengahari tadi, saya telah pun selesai menduduki Imtihan Kafaah (peperiksaan penilaian). Peperiksaan ini saya kita yang paling hangat dikalangan pelajar asing. Kerana peperiksaan ini menentukan samada pelajar asing seperti kami, layak atau tidak ke kuliah. Pagi-pagi lagi bangunan Markaz Lughah di penuhi senior-senior yang terkumat kamit dengan jampi serapah mereka.
Untuk saya yang tidak mempunyai asas dalam Bahasa Arab, saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk keluar dari Markaz Lughah. Biarlah lama sikit, asalkan betul bahasa saya. Kata K.Arda, "Ada duit ke?". Memang patut soalan itu ditanya, yuran sekali fasa Markaz Lughah ialah JD270, bersamaan RM1350!
Saya jawab dengan selamba, "Insya Allah..". Untuk orang yang menuntut ilmu, Allah akan lapangkan rezekinya. Kan saya dah kata, saya paling suka kikis duit Abah..
Hampir-hampir menangis juga saya dibuatnya, tak mampu saya fahami petikan dan kehendak soalan.
Ada pula orang tanya, "Kalau tiba-tiba lepas macam mana?"
Jawab saya, "Saya akan mohon masuk balik ke Markaz Lughah!"
Apa pun, sekeping SMS dari Ummi saya genggam erat-erat :
Moga berjaya dalam SEMUA bidang yang diceburi dan tertunai apa yang dihajati. Hidup dalam redha Allah sentiasa mendapat hidayahNya. Huh! Nak anto gambar kek pun tak leh!
Erk, begitulah bunyi mesejnya..
4 comments:
assalamualaikum, shie
sanah helwa ya gamilah=)
haha,
miss U!
selamat Hari Lahir...moga thabat di atas jalan kebenaran dan sentiasa ikhlas dalam perjuangan...
assalamualaikum...rindunyaaa!!!!!!!..2 je ucapan yg leh diungkap..hepi belated bufday..smga tabah hadapi khidupan sbgai pljr di sana...dr T IPI,KKP,KKTF,KKTSN,KKTDI,KI,JTPI...(pss..k.za8 yg taip)
Hahaha..!
Cakap dengan K.z8, nak kek Pt Raja. Kalau tak pun, nak kueh tiow kungfu kedai Hang Tuah!
Rindu kat kalian.. Rindu kat Bait Jannatul Makwa...
Post a Comment