Bulan cuti, bulan kenduri, dan bulan berpogram. Tak mampu untuk saya mencoret apa-apa.
Saya sajikan artikel ini buat pengunjung yang setia. Dirompak dari blog senior saya, JerungSakti. Trimas Abg Shak ;)
Mayor John Tyler Hammons
Saya berasa tertarik tatkala membaca mengenai kejayaan seorang mahasiswa berusia 19 tahun memenangi kerusi Datuk Bandar Muskogee dalam sebuah pilihan raya yang diadakan baru-baru ini. Berita ini tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 15 Mei 2008 yang lalu.
MAHASISWA USIA 19 TAHUN JADI DATUK BANDAR MUSKOGEE
MUSKOGEE, Oklahoma 14 Mei - Seorang mahasiswa berusia 19 tahun dipilih sebagai Datuk Bandar Muskogee, sebuah bandar kecil di timur laut negeri ini yang mempunyai penduduk seramai 38,000 orang.
John Tyler Hammons menerima 57 peratus undi menewaskan bekas Datuk Bandar, Hershel Ray McBride, kata Setiausaha Lembaga Pilihan Raya Perbandaran Muskogee, Bill Bull.
"Ini merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna dalam hidup saya apabila orang ramai memberi kepercayaan tinggi kepada saya," kata Hammons yang sedang mengikuti pengajian tahun pertama di universiti di Norman.
Dua calon itu bertarung pada pilihan raya tersebut bagi merebut jawatan bukan politik, dengan pusingan pertama menyaksikan tidak ada seorangpun berjaya memperolehi 50 peratus undi dalam pertandingan enam penjuru pada 1 April lalu.
Hammons yang akan mengangkat sumpah jawatan minggu depan berkata, beliau merancang untuk meneruskan pengajiannya dan bercadang untuk berpindah ke kolej yang berdekatan dengan Muskogee.
Hammons yang akan mengetuai sembilan anggota majlis perbandaran itu berjanji akan membentuk sebuah kerajaan yang telus dan terbuka dan akan memastikan penduduk mendapat maklumat tentang semua aktiviti dan operasi yang dijalankan oleh Majlis Perbandaran itu.
Yang pasti, saya berasa sangat cemburu terhadap kehidupan mahasiswa di sana, yang menghirup udara segar demokrasi, hinggakan mereka, disamping menunaikan tanggungjawab menimba ilmu di menara gading, turut berpeluang memainkan peranan sebagai salah seorang warga komuniti Muskogee secara aktif.
Bandar Muskogee, yang dihuni seramai 38,000 penduduk, jika di Malaysia, mungkin boleh disamakan sebagai salah sebuah kawasan Parlimen. Mungkin inilah yang cuba disahut oleh Parti Mahasiswa Negara melalui kontroversi percubaan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-12 baru-baru ini ; bahawa suara mahasiswa sudah layak diketengahkan ke peringkat penggubal dasar negara, dan bukan lagi sekadar berteriak menyuarakan kebenaran di pinggiran bangunan Parlimen sahaja. Dalam hal ini, ternyata Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding Bandar Muskogee dalam aspek demokrasi, dimana mahasiswa di Malaysia dipasung mindanya melalui Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU), sehingga mengakibatkan peranan mahasiswa semakin terpinggir dan tidak relevan mendepani massa.
Partisipasi mahasiswa secara aktif di dalam masyarakat dan negara walaupun masih di bangku pengajian, menepis segala tanggapan tidak berasas ; bahawa 1) mahasiswa hanya perlu menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian, 2) mahasiswa wajib bersyukur terhadap kerajaan yang telah menganugerahkan biasiswa dan PTPTN kepada mereka, 3) mahasiswa tidak boleh berpolitik, kerana dibimbangi terpengaruh dengan dakyah parti pembangkang, serta seribu satu macam lagi hikayat yang direka-reka oleh pihak yang tidak senang melihat mahasiswa mengembangkan potensi mereka.
Selaku salah seorang warganegara Malaysia yang dijamin haknya oleh Perlembagaan Malaysia, mahasiswa sepatutnya diberi peluang untuk berpartisipasi dalam politik dan hal ehwal negara, kerana ia tidak sedikitpun merugikan negara untuk jangka masa yang panjang. Seorang negarawan berpolitik adalah sebagai manifestasi kecintaannya terhadap tanah airnya dan generasi mendatang, bebas daripada kepentingan peribadi. Inilah yang nampaknya gagal difahami oleh kerajaan kini, sehinggakan mereka masih mempertahankan kerelevenan AUKU yang telah melumpuhkan minda mahasiswa selama ini.
Saya masih lagi menunggu perkembangan janji Menteri Pengajian Tinggi yang baru, untuk meminda AUKU. Adakah ianya sekadar meraih publisiti murahan daripada mahasiswa, atau beliau benar-benar serius mahu menyaksikan generasi mahasiswa yang menyumbang kepada negara, sama-samalah kita saksikan kelak.
Akhir kata, mungkin mahasiswa di Malaysia boleh menjemput Datuk Bandar Muskogee, John Tayler Hammons untuk berkongsi pengalaman beliau menghirup udara segar demokrasi di sana disamping berpeluang memikul amanah selaku pemimpin di peringkat masyarakat. Jangan lupa menjemput Dato Khaled Nordin juga bagi membuka minda beliau terhadap kesan kehidupan mahasiswa tanpa belenggu AUKU.
“MAHASISWA MEMIMPIN PERUBAHAN”
Ahmad Shakir bin Salleh
Exco Lajnah Penyelidikan & Pembangunan
Ikatan Studi Islam 2008/2009
Universiti Kebangsaan Malaysia
0 comments:
Post a Comment