>>test

Sunday, September 5, 2010

Re-Post : Jemu Yang Bertamu


Langit sakan yang memberi damai. Foto oleh Raja Maimunah


Post ini ditulis 12 May, setahun lepas. Banyak yang sudah berubah. Tapi entah kenapa hari ini rasa yang sama masih tergema-gema

Pukul 8 pagi aktiviti bermula. Beberapa minit sebelumnya, berlari-lari anak ke Markaz Lughah yang jaraknya lebih kurang 1 km dari sakan. Mengisi diri dengan ilmu bahasa Arab di sana, hingga matahari berada tegak di atas kepala. Tengahari, samada terus menjamah 'lunch' yang sudi dimasak oleh sesiapa, atau saya dan Ida menyediakannya. Tengoklah rezeki apa hari itu. Makaroni atau spegeti dibuat pasta, mahupun dicampak ke dalam sup cendawan. Mudah dan pantas.


Sambil-sambil perut memproses makanan, mata mengintai bilik internet untuk dicerobohi. Ya, dicerobohi. Kerana hanya yang menyewa sahaja sebenarnya diizin masuk. Tapi, kuota penyewa bagi pelajar Malaysia hanya TIGA, dinisbahkan dengan sejumlah 22 yang menetap di sakan. Pasti yang berjawatan kami dahulukan. Puas sudah berbalah dengan warden, akan keperluan kami untuk akses internet. Tapi berurusan dengan warga Arab sememang dijangka akan suatu kehampaan.

Jesteru, menceroboh sahajalah jalan kami untuk 'keluar' dari Jordan ini dan merisik kabar dari Malaysia. Untuk mengubat rindu akan penulisan berkualiti berbahasa Melayu.

Waktu petang, beramai-ramai meredah ladang zaitun dan bermujahadah berebut bas awam untuk keluar mengaji bersama Syeikhah. Belajar tajwid serta tasmi' hafalan. Selesai mengaji mulalah berpusing-pusing di pekan Mafraq membeli barang-barang dapur. Roti, laban dan sandwich falafil wajib masuk dalam senarai barangan. Menjelang maghrib baru kami sampai.

Malam waktu berhempas pulas dengan buku-buku. Saya yang masih berada di Markaz Lughah cuma, tidaklah seteruk sahabat-sahabat lain. Cemburu datang melihat mereka membaca kitab tafsir, fiqh dan sebagainya. Saya cuba ambil satu, Fiqh Manhaji. Aduh.. Sakit benar kepala, langsung tak mampu membacanya!

Sudah 5 bulan saya mendiami dunia asing ini. Itulah aktiviti saya sehari-hari.

Jemu mula menguasai diri. Tiada adventure selama 5 bulan.


KELAWAR YANG SUKA TERBANG

Awal-awal saya tiba ke sini dahulu, merupakan awal cuti semester mahasiswa di Jordan. Setelah berpenat lelah mereka memerah ilmu ke atas kertas peperiksaan, rehlah menjadi penawar tekanan. Saya sempat untuk menyertainya. Alhamdulillah, 3 hari cuma, tapi hingga ke selatan Jordan telah saya jelajahi.

Pantai Aqabah, selatan Jordan


Pulang dari jaulah Jordan, 2-3 hari berikutnya saya terbang pula ke Mesir. Jaulah-jaulah ini memberi 1001 nikmat buat saya. Bukan nikmat bersuka-ria, tapi nikmat BERFIKIR.

Di Malaysia, usah pelik kalau hari ini saya berada di Johor, esoknya di Pahang, lusa di Selangor.

Allah biasakan saya turun-naik bas merentasi negeri. Pertamanya, dengan mentaqdirkan saya bersekolah di lain-lain negeri (menengah di Melaka, matrik di Pahang dan universiti di Johor).

Ke dua, Allah taklifkan saya yang hina ini dengan pelbagai tugasan. Panggilan tugas membawa saya ke merata negeri. Samada di bawah universiti mahu pun yang lain.

Ketiga, Allah berikan saya ramai kenalan. Kalau bukan kerana tugas, biasanya saya akan ambil bas ke Johor Bharu dan turun di UTM Skudai. Kadang kala bila kuliah saya tamat pukul 3 petang, terus saya ambil bas dan 7 pagi esoknya baru saya pulang ke Batu Pahat. Masuk ke kuliah pada pukul 9 pagi. Perjalanan hanya 1 jam, sangat nikmat.


NIKMAT BERFIKIR DENGAN BERMUSAFIR

Setiap kali saya bermusafir, sebelum menaiki bas, saya pastikan diri saya memiliki sekurang-kurangnya sebuah buku. Samada buku yang telah saya miliki tapi belum sempat dihabiskan, atau biasanya akan saya beli di stesyen bas. Kegemaran saya adalah Milenia Muslim, Anis, Majalah I, dan Al Islam.

Jesteru, sepanjang perjalanan saya kenyang dengan bacaan. Kenyang dengan ilmu, dengan buah fikiran, dengan isu, dengan gaya penulisan.

Bermusafir memberikan ruang buat diri saya sendiri. Berada dalam keadaan senyap, membaca sambil menyuruh otak menganalisi, satu kepuasan. Apabila pulang menghadap buku akademik, saya tambah bersemangat. Dengan idea-idea baru, memotivasi diri untuk menjadi seseorang. Menghasilkan tulisan-tulisan yang boleh saya kongsi dalam blog ini.

Pulang dari UZLAH, sentiasa membuah sesuatu.

'Uzlah' sebegini juga memberi pengalaman yang berharga. Ia suatu 'adventure'. Masalah kehabisan tiket, kehilangan wang, tak tahu arah, semuanya sangat bernilai dalam mendewasakan saya. Membiasakan otak saya kuat bekerja dan cepat berfikir. Pulangannya, menghasilkan satu kualiti dalam kerja-kerja saya.


JORDAN YANG MENCABAR DIRI

Cabaran saya yang pertama adalah berpisah dari buku-buku.

Silap saya kerana sewaktu datang ke sini tidak bersedia dengan membawa bersama buku-buku serta majalah.

Sewaktu ke Mesir, girang benar saya kerana tujuan utama kami ke sana adalah disebabkan Pesta Buku Antarabangsa Mesir. Sejak kecil, umi dan abah akan membawa kami sekeluarga ke KLIBF. Minat membaca dipupuk sejak kecil. Saya bercita-cita untuk memborong buku-buku sebanyak mungkin. Pastinya buku berbahasa Inggeris, saya tahu keupayaan bahasa Arab saya sangat amat lemah.

Setibanya di sana, kepala saya pusing. Tapak pamerannya lebih besar dari sebuah stadium. Cubaan untuk membaca tajuk buku sahaja telah 'mencabar' otak saya. Bukan setakat tidak memahami maknanya, tapi butir hurufnya pun tak mampu saya lihat!

Hari pertama di pesta buku Mesir. Benar-benar buntu dan letih!


Kebanyakkan buku-bukunya berbahasa Arab. Bukan seperti di Malaysia, pesta buku kita bercampur dengan buku berbahasa Inggeris. Mungkin ada di pesta buku Mesir itu, tetapi nak mencarinya pula.. Aduhai. Akhirnya, demi melunaskan ketagihan, saya beli jua satu set buku cerita kanak-kanak. Itu pun hingga hari ini masih sukar untuk saya baca.

Maka duduklah saya selama 5 bulan ini tanpa buku disisi. Berbeza dan siksa sungguh rasanya. Di Malaysia setiap minggu saya beli buku baru. Di sini, kadang kala saya beli jua buku, tapi setakat untuk diselak-selak.

Rasa menyesal pun ada terhadap kecintaan membaca ini. Jadi gila buku.

Cabaran kedua, melupakan 'uzlah' saya. Siswi pergi berjaulah seorang diri sesuatu yang sangat dilarang. Tentulah, Jordan bukan Malaysia. Dengan bahasa amminya, mudah untuk mereka menipu. Jangankan ammi, fushah sekali pun tidak saya fahami. Maka, wajib untuk siswi membawa mahramnya walaupun untuk keluar membeli barang dapur. Seandainya perjalanan hingga ke malam, wajib diiringi oleh muraqib.

Tambah lagi dengan matawang disini yang 5 ganda dari ringgit Malaysia, menjadikan aktiviti saya seperti di Malaysia itu, sesuatu yang tidak mungkin!

Akhirnya, jemu jua yang bertandang..

Saya gagahi menulis entri ini. Ramai dikalangan sahabat meminta saya mengemaskini cerita, malah risikan penulis terkenal Azizi Abdullah, menggigit-gigit hati saya. Saya bagaikan hilang upaya menulis. Hilang struktur kata.

Memang internet menjadi sumber bacaan saya. Tapi membaca pada skrin komputer, jauh bezanya dengan memegang sebuah buku. Kerana sesiapa sahaja menulis di web atau blog, dengan gaya bahasa bermacam rupa. Tetapi menulis buku, ah, buku, pasti kalian tahu nilainya. Nilai tulisan dan bahasanya.

Ketiadaan pembacaan menyebabkan ayat saya berserabai, kehilangan 'uzlah' menyebabkan saya kurang berfikir.

Maka jadilah saya seorang yang tidak dinamik, hingga keluar frasa-frasa "Awak memang macam ni ke dari Malaysia? Kualiti kerja awak teruk sangat!"

Aduh.. Tuhan, ampunkan aku atas keluhan ini. Saya tahu, dihantarNya saya ke Jordan agar saya menjadi sesuatu. Cuma, janganlah SESUATU itu adalah manusia yang lembab otaknya, tidak kreatif ideanya, dan menyusahkan orang dalam gerak kerjanya.

Tidak lama lagi sesi saya di Markaz Lughah bakal tamat. Kalau permohonan ibu saya untuk saya ditukar ke jurusan perubatan ditolak, saya akan menghabiskan 4 tahun di tanah Mafraq ini.

Moga Allah menemukan saya dengan hikmah, agar jemu ini menghasilkan maju!


Glosari:
1. Markaz Lughah : Pusat Bahasa; perhentian wajib buat pelajar asing mahasiswa Al Bayt
2. Sakan : Asrama universiti
3. Laban : Susu masam, semacam yogurt
4. Sandwich Falafil : Campuran bebola kacang+sayur yang digoreng, terung, kentang, tomato dan sosnya, dibalut dengan roti pita.
5. Bahasa ammi : Bahasa arab rojak yang mengikut masyarakat setempat
6. Bahasa fushah : Bahasa arab baku
7. Muraqib : Pengiring lelaki; di Mesir dikenali sebagai musyrif


4 comments:

Luqman Al- Hakim Bin Foaad said...

assalam.
seronok nye dapat belajar bhse arab.
menyesal btol tinggalkan sekolah arab dulu..
mnyesal x sudah..
rugi2..
:(

azlanshah said...

UTM Skudai,kemudian di al-Bayt dan kini di JUST?

Luar biasa sungguh kembara ilmu saudari...

Syahida Majid said...

Azlan, sebenarnya waktu itu menuntut di UTHM Batu Pahat. UTM Skudai tempat saya melepak, 1 jam perjalanan kalau menggunakan highway.

Mohd Afiq Mohd Saleh said...

rutin seorang wanita amat rumit dengan 'disiplin ciptaan' sendiri.

pagi sebelum ke kuliah mesti makan.

belajarnya bersistem, tak boleh semberono.

good luck sis!

p/s: dah dua kali saya baca post ni, tapi kali ini lebih dengan feel dan emosi. hihi,

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2009 Terbang | Lihat | Tafsir. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates | Blogger Styles | WP by Masterplan