>>test

Thursday, April 22, 2010

Si Kecil Yang Memegang Dunia


Anak yang sedang bermain pasir itu. Rupanya dia seorang ibu!

Pensel dalam kemaluan mangsa rogol
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
2010/04/22

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua sebuah sekolah di Rawang yang dirogol rakan sekelasnya dalam bilik darjah, minggu lalu, bukan saja disahkan sudah mengandung sebulan, malah sebatang pensel sepanjang empat sentimeter turut ditemui dalam kemaluannya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan, berkata berdasarkan hasil laporan pemeriksaan hospital yang diterima semalam, polis percaya mangsa sudah lama dijadikan bahan pemuas nafsu beberapa pelajar serta didera sewaktu diperkosa.

“Kes ini disiasat secara menyeluruh kerana mangsa yang tinggal di sebuah rumah kebajikan di Rawang, bukan saja dirogol ketika waktu persekolahan, malah didera,” katanya kepada pemberita di sini. Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 petang, 13 April lalu, pelajar itu yang bersendirian dalam kelas, dikatakan dirogol seorang rakan sekelasnya manakala beberapa lagi pelajar lelaki mengepung mangsa bagi mengelak insiden itu disedari pelajar lain termasuk guru.

Mangsa hanya memberitahu mengenai kejadian itu kepada seorang kakitangan di rumah kebajikan berkenaan, Ahad lalu sebelum membuat laporan di Balai Polis Rawang pada hari sama.

Rosly berkata, sebaik menerima laporan itu, mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan, manakala suspek ditahan di sekolahnya pada keesokannya.

“Siasatan awal mendapati mangsa sudah banyak kali dirogol suspek sejak beberapa bulan lalu. Kita percaya mangsa turut diperkosa lebih daripada seorang pelajar.

“Namun, mangsa takut untuk membuat laporan kerana dipercayai diugut suspek yang akan bertindak lebih teruk sekiranya perkara itu didedahkan,” katanya.

Beliau berkata, polis akan mengambil keterangan beberapa pelajar yang dipercayai bersubahat dalam kejadian itu.

Katanya, mangsa yang ditempatkan di hospital, kini mengalami trauma teruk dan hanya berdiam diri.


Saya baca kali kedua, memastikan mata ini tak rabun lagi

Pelajar Tingkatan DUA

Bulan lalu saya membaca nota Dr Lo'lo dalam Facebooknya

Info yang dia peroleh dari seorang guru sekolah RENDAH

Guru itu mendakwa setiap kelas yang diajarnya mempunyai anak luar nikah

SETIAP KELAS

Tahun lepas saya dikejutkan dengan satu suara dari corong telefon, nun jauh di Kuang sana

"Siapa ni??"

"Azrul la kakak"

"What????!!"

Terkejut kerana suaranya dah pecah, dan waktu itu dia baru Darjah 6!


DUNIA YANG MENGUJI

Kasihan sebenarnya

Dalam terkejut dengan perubahan dahsyat anak-anak KECIL sekarang, segumpal besar kasihan buat mereka

Usia sangat muda, tapi cobaan buat mereka sudah pun banyak

Buka TV, cukuplah dengan tengok iklan semata

Macam-macam ada

Iklan krim buang bulu kaki, kasi tayang hingga ke bawah pinggul

Jangan-jangan nanti ada iklan kondom pula

Si kecil itu, matanya besar, otaknya rancak

Kasihan mereka, mencapai akil baligh dalam keadaan masih belum akil sebenarnya!

Sekecil itu, dosa-pahala sudah pun dibebankan ke bahu mereka

Akil baligh bukan proses biologi badan semata

Tapi akil baligh adalah tempoh menandakan dia sudah bergelar khalifah dunia

Bermakna seharusnya ilmu-ilmu fardu ain, bersuci, semua itu sedah lengkap di dada

Ah, tapi dia masih kecil!

Bersediakah kalian untuk memegang dunia?

Selamat Memulakan Kembara Sayangku



Hari ini internet baru masuk ke dalam komputer ni. Terima kasih buat Cik Hakimas (Kimah+KISAS) yang sudi menalifonkan Abu Usamah buatku yang pemalu tahap gaban toncet.

Maka hari ini pun pulun membuka surat-surat yang dah terjatuh-jatuh dalam inbox.

Tiba-tiba mata tertancap pada satu tajuk

UNDANGAN WALIMATUL URUSY!!



Aku tak ingat mana dan bila kita bertemu. Bukan bertemu mata, tapi bersatu jiwa.

Merasakan kau adalah sebahagian dari aku.

Sedang aku menulis kalam ini, aku selak-selak gambar lama.

Mana tahu memori daun pisang kita ada.

Tak banyak rupanya gambar kau dalam simpanan aku

Tapi yang paling ku ingat, kisah delegasi Mesir.

Kita hantar mek Haneh dan mek Ha jadi dukturah

Aku ingat sangat, sebab kita masing-masing jadi ala-ala........................

Aku dan kau, sama-sama menapak ke KLIA, bak kata Kimi, main redah je.

Naik bas tu, dah nak sampai pun rasa sesat lagi.

Dan habis misi KLIA, kita pakat tak tahu nak tidur mana, sebab esoknya nak terus balik ke kampus.

Kau di USM, aku di UTHM

Last-last kau, aku, Jue, tidur kat UM. Di seludup oleh Sae
.
.
.
Ingat tak pulak kau kisah aku kene kejar dua kereta?

Gara-gara lari dari kampus, pergi USKAM kat UTM, alih-alih malam tu Abang We SMS ayah kau dah meninggal.

Terus aku tak jadi balik kampus esok paginya, walaupun tahu aku bakal bawak bala bila tak balik hari tu.

On da way ke Muar, pangilan berhantu dah sampai. Mesej berbunyi "Enti ke mana? Bagi alamat rumah tu, kami nak hantar dua kereta"

Kalut punya kalut, kita pun goreng la yang kita ni adik beradik. Haha. Ni bukan helah, ni bukan tipu, betul la kita adik beradik kan?
.
.
.
Bila pilihanraya kampus dah mula, kita semua senang hati. Ye la, semua laskar siasah, suka la dengan pilihanraya.

Aku buka web Pro Mahasiswa USM. Fuh, rupanya kau jadi speaker. Dasat!

Aku yang jauh beribu batu tu, sengeh je la, tumpang bangga. Buah hati aku glamour rupanya.
.
.
.
Sesampainya aku ke Jordan, kita jarang-jarang berhubung. Bukan apa, sebab aku tahu kau makin sibuk. Dah jadi wakil rakyat la katakan...

Tapi, sampai hari ni aku masih tak lupa suara kau, senyum kau.

Entah-entah, dah berubah?

Bila aku baca email walimah kau, kawan-kawan aku menjadi saksi bahawa aku sangatlah histeria

Berkali-kali aku baca, dengan harapan nama tu nama lain

Hajarul Aswad ke..

Tapi, kenyataannya, itulah ENGKAU!

Sungguh, terasa umpama satu kehilangan

Kerana kita, lepas ini dah tak sama

Kau punya tanggungjawab lain, kau punya keutamaan lain

Tapi satu hal yang aku yakin, kau akan jadi wakil yang lebih rakyat (eh apa ayat ni?). Tengoklah, kawin dengan siapa

Dan mesti walimah kau extra vaganza punya ramai

Selamat memulakan kembara wahai sayangku


Siti Hajjar Hassan || Zainulfaqar Yaacob
16 Mei 2010


Wallahi, aku mencintai kau setulus jiwaku

Kerana cinta kita, kerana DIA

Ni zaman kita muda-muda dulu. Time aku takdak kerja, boleh la duk ngadap laptop wat menda ni


Ni gambar kat API UM, yang Saie seludup kita masuk. Hah, UM! Skandolous betul


p/s : Mula aku ingat nak letak gambar hang sebelah dengan Pakaq, tapi bila pikir balik, mana bleh. Hampa belum nikah lagi.. Huhu

p/s : Apa-apa hal, rasa nak merajuk dengan Pakaq, mai la umah kami. Tak dak hal. Aku solo manjang


Sunday, April 4, 2010

Tua Dari Usia



Jangan selalu rasa nak jadi adik
Jangan selalu rasa nak jadi muda
Jangan selalu rasa berjiwa remaja

Kerana itu semua melembabkan pemikiran
Kerana itu semua membantutkan tindakan
(Malah sebenarnya ia terkadang menjengkelkan!)

Pemuda-pemudi Islam
Perlu cepat dewasa dari usianya!


Bila pemuda itu DEWASA pemikirannya
Lidahnya membuah BAHASA

Bila pemuda itu DEWASA hatinya
Tingkahnya membuah RASA

Berhentilah bermuda-muda
Berhentilah terlalu banyak bersuka-suka
Berhentilah berkata 'Ah itu urusan orang tua-tua'

Kelak, sampai bila pun, engkau tak akan merasa menjadi MANUSIA

*Manusia makin hilang common sense, makin hilang rasa manusiawi. Mungkin kerana terlebih berteknologi.

*Buatku wahai agamaku, yakin, pemuda berjiwa dewasa, masih ada untukmu. Benarlah, memang mereka itu ASING

Thursday, April 1, 2010

Gelap


Sudah dua minggu perasaan ini tak dapat dikawal.

Sudah macam-macam cara dibuat, tapi ia masih begitu.

Ah, jiwa kacau!



Entahlah, jangan ditanya KENAPA, aku sendiri remuk mencari puncanya.

Remuk lagi untuk melawannya.

Memang manusia biasa begini, kadang-kadang.

Rasa berkecamuk, hidup tidak terurus, senyum pun payah nak melekat pada mulut.

Tapi ini sudah masuk dua minggu.

Serasa tak boleh memaaf dan membiarkan rasa kacau ini lagi.

Ia bukan hanya mengacau jiwa sendiri, tapi turut menikam hati insan lain.

Kata-kata makin menjadi tajam dan sinis.

Ketahuilah, gurauan yang kalian dengar, ia hanya sedaya upaya demi menopengkan perasaan ini, agar kalian yang sedang bersenda tak merasa hampa.

Ketahuilah, aku sendiri tak mahu begini!

Oh, berapa harga untuk mendapat damai?

Aku sangka, ia rasa yang biasa.

Boleh aku ubat andai aku tukar atmosfera, tukar warna.

Boleh aku ubat dengan aiskrim, coklat, makan sebanyaknya.

Boleh aku ubat dengan berbelanja bagai nak gila.

Atau mungkin boleh aku ubat andai aku ubah gaya.

Tapi rasa ini degil!

Mungkin benar, aku tak kuat padaNya.

Tapi hakikatnya, sejak mentajdidkan jiwa perjuangan hari itu, aku semakin pulih.

Makin bersenandung denganNya.

Tapi entah kenapa, rasa ini datang. Akhirnya semua hilang!

Serasa tak kenal lagi diri sendiri.

Inikah sebenarnya aku? Inikah?

Ya Allah, Engkau yang memegang hati.

Aku minta Kau genggam hati ini

Kau belai biar lunak

Bukan damai yang sebenarnya aku mohon

Tapi demi damai itu menjadikan aku hamba

Menjadikan aku anak dan sahabat

Dan menjadikan aku khalifah

Yang mana kini, semuanya kian hilang

Jangan Ya Allah, hingga aku jadi manusia yang paling berdosa

Menjadi makhluk yang angkuh padaMu

Jadi anak yang tak berguna

Jadi rakan yang kurang ajar tingkah dan bahasanya


Aku pohon maaf buat sahabat yang memutari ku. Lebih-lebih lagi yang sedulang denganku. Maafkan aku, kelakuan dan mulutku amat celupar akhir ini.

Terima kasih buat Wan yang berusaha menarik ku keluar dari gua. Tapi akhirnya aku terpaksa hantar kau keluar, kerana aku takut kau akan tetap di situ, bersama aku. Aku masih belum mampu merangkak melihat langit! Sebak, kau kata mahu kita sama-sama berjaya. Ketahuilah sahabat, aku tak tahu samada aku mampu menoktahkan jalan ini sebetulnya!

Buat Umi, tika itu anakmu cuba meluah rasa. Tapi ia tak mahu menunjuk dirinya. Kerana itu aku kata aku telefon saja-saja. Awal ini anakmu mohon ampun, andai akhir nanti, jalan yang Ummi dan Abah cuba bina, terpaksa aku kambus. Dan jadilah aku nanti anak yang paling gagal. Maafkan..

Tuhan, izinkan aku keluar menatap cahaya!

Saturday, February 27, 2010

Mencari Diri Dalam Misi Allah




Siapa kita dalam agenda Khalifah?

Soalan itu seharusnya sentiasa ada dalam kepala, sejak kepala dan hati disumbat dengan kefahaman dalam kepimpinan

Soalan itu semakin panas bila jawatan sedang menjerut leher


BEBERAPA TAHUN TERDAHULU

Sejak kecil saya memang selalu dan suka ke depan. Darjah satu saya mengalahkan kaum lelaki dalam 'pilihanraya' ketua darjah.

Di MRSM mendapat undian kedua tertinggi dalam pilihanraya yang paling digeruni warga Maktab, menjadi First Lady di sana.

Di Matrikulasi, baru tamat seminggu berorentasi, saya sudah naik pentas bermanifesto.

Waktu itu saya masih bertanding kerana 'saya suka kepada kepimpinan'.

Beberapa bulan selepas itu, otak diasak dalam tamrin kepimpinan, "Kenapa nak sangat pegang jawatan???" Akhirnya saya menyerah, saya tak punya jawapan!

Bila mana abang Taufik mendesak saya untuk melepaskan jawatan, saya masih enggan. Kerana dalam hati saya tahu, saya pilih untuk menjadi pemimpin bukan kerana sesuatu, tapi itu sudah tanggungjawab saya.

"Dan Allah berfirman : Sesungguhnya Aku ciptakan bagi dunia itu KHALIFAH!


Hari ini.

Setelah kira-kira 4 tahun kefahaman itu disulam dalam, saya masih tercari-cari kedudukan saya dalam agendaNya.

Bila menyedari hakikat ini, kita mula untuk menyempurnakannya. Tapi satu persatu kelemahan diri muncul, yang selama ini tak terlihat oleh mata, tak terfikir dalam kepala.

Saya lemah dalam membuat keputusan. Itu yang paling utama. Kedua, tiap kali nama saya tercatat atas kertas menyandang sesuatu, kalut akan tiba. Saya mula tidak teratur, saya mudah lupa, malah lebih teruk, pertuturan saya sekali pun kadang kala terganggu.

Untuk masalah pertama, saya masih belum jumpa jalan keluarnya. Tapi buat yang kedua, saya cuba menyediakan To Do List, Check List agar kerja saya tersusun dan agar kerja tidak ada yang tertinggal.

Sampai tika ini, saya masih belum berupaya keluar dari 'penyakit' itu.

PEMIMPIN 360 Darjah



K.Dayah, senior UTHM saya, merangkap mantan Timb Presiden organisasi saya dahulu, pernah menyarankan satu buku dari John C Maxwell.

Katanya, pemimpin yang baik ialah mereka yang punya kelemahan, tapi mengoptimumkan kelebihan dan menampal kelemahannya dengan kelebihan rakan setugasnya.

Teringat. Nabi Muhammad SAW juga seorang yang UMMI, tidak pandai membaca apa lagi menulis. Itu sesuatu yang mustahil untuk memimpin. Tapi kelemahan itu Baginda penuhi dengan kebijaksanaan. Baginda tidak mampu membaca, maka sahabatnyalah yang menjadi 'mata'. Baginda tak mampu menulis, maka temannyalah yang menjadi 'tangan'.

Hal ini pernah saya kecapi sewaktu berorganisai bersama K.Dayah, dalam Jawatankuasa Teman Pusat Islam JTPI. Sinergi terbaik, melahirkan organisasi terbaik dalam hidup saya setakat ini.

Ah, bukankah sini dunia, tidak kekal lama. Mana mungkin selamanya saya dan JTPI.

Srikandi JTPI dalam kenangan


Kita terjun dalam bidang ini, kerana kita mengerti akan tanggungjawab dan keperluan. Tanggungjawab sebagai khalifah yang memberi (juga mencari) tarbiyah, dan keperluan di tempat semasa.

Matlamat tarbiyah adalah demi menyelamatkan kawan, keluarga, masyarakat, malah semua, dari azab dunia, juga azab akhirat.

Azab dunia, dari ditipu dengan manusia-manusia yang korup, dari sistem yang rosak.

Azab akhirat, pastinya hasil tuaian kita dalam sistem dunia.

Dari sudut keperluan, tanyalah dalam hati, siapa yang mampu membawa masyarakat di tempat kita. Secara tepatnya, siapa yang boleh diangkat menjadi pemimpin? Kalau bukan kita, sudah wujudkan orang lain itu?

Melibatkan diri dalam organisasi rasmi, adalah satu jalan pintas melangsaikan hutang tuntutan tanggungjawab khalifah. Kerana tanggungjawab itu sentiasa tergalas di bahu kita, maka landasan persatuan memudahkan kita untuk itu. Sistem yang telah tersedia, cuma memerlukan insan untuk menggerakkan, atau mungkin membaik pulih sistem tersebut.

Ya, dan kita akan terus mencari, siapa kita dalam agenda ini. Di peringkat manakah kita akan paling memberi manfaat?

Dan saya, pasti terkadang terjatuh menangis juga, terasa tak mahu lagi memegang apa-apa, kerana 'penyakit' itu sering menyusahkan organisasi. Tapi bila memandang kembali FirmanNya, saya beranikan diri untuk bertatih kembali.

Saya memohon maaf kepada semua badan yang telah dan sedang saya sertai kerana menyebabkan KITA dalam keadaan terumbang-ambing. Izinkanlah saya, saya ini masih berlatih.

Berlatih menjadi Khalifah.

Saturday, January 30, 2010

Perjalanan Tiga Hari


Masjid Hussein, Amman

Usai peperiksaan, masing-masing teruja untuk jalan-jalan di Amman. Sedar tak sedar dah satu semester Amman tak jumpa kami. Matlamat utama adalah untuk membeli buah tangan buat keluarga di Malaysia. Wohoo, balik Malaysia!

Tapi, poket agak nipis, dah Ummi pun dah bagi warning jangan beli barang-barang. Jubah yang dulu dikirim pun tak dipakai lagi. Beli jubah untuk adik-beradik yang lelaki, semua tak mahu pakai. Akhirnya terpaksa jual. Cet


"PANDAI YA AWAK MENGAJI?"

Saya sebenarnya bertindak menjadi tourist guide buat adik-adik Geng Dulang yang tak pernah ke sana. Lagi-lagi saya tahu ada satu kedai jubah, yang semua jubahnya berharga hanya JD5 (RM25)!! Memang terujalah mereka ni.

Selesai beli jubah dan sedikit alas meja, Fasya nak melepak pula di Mecca Mall. Alah, tempat yang Aidil dalam NurKasih selalu shoping tu.

Niat di hati, mahu pulang, malas pula nak meronggeng sana-sini. Tapi raikan sajalah kawan-kawan. Sudahnya saya melepak di surau sambil memantapkan hafalan.

Sedang asyik membaca, ekor mata menangkap akan seorang mak cik yang memandang-mandang saya. Saya teruskan membaca, dengan suara rendah. Saya sedar dia bangun, tapi tak perasan pula ke mana.

Tiba-tiba Tiqah yang duduk di depan saya ditegur. Tiqah berkerut semacam, macam tu lah dia bila disapa orang Arab. Jadi saya cuba membantu, mana tahu mak cik itu perlukan apa-apa.

Rupanya dia nak beritahu Tiqah, bahawa dia beralih tempat ke situ (sebelah saya) untuk mendengar saya mengaji. Oh, mak cik tadi! Terus, segan rasanya untuk meneruskan bacaan.

Di Jordan, kejadian orang Arab terpikat dengan bacaan Al Quran pelajar Melayu memang sering terjadi. Satunya, yang saya perasan orang Arab tak berapa mahir melagukan bacaan. Bukan lagu taranum, tapi dari sudut lenggoknya. Rata-rata kita kalau baca Al Quran tak berlagu, memang tak masyuk.

Kedua, kerana mereka kagum pada orang bukan Arab tapi tahu membaca, malah mahir dan bertajwid. Kerap mereka bertanya, "Pandai ya awak baca Al Quran?". Dan kerap juga saya menjawab, "Di Malaysia, kami diajar mengaji sejak anak-anak lagi". Mungkin sangkaan mereka, hanya Arab yang boleh mengaji lancar kerana itu bahasa meraka.


MUSTAJABNYA DOA

Bila mak cik itu berlalu, saya teruskan semula bacaan. Dalam beberapa minit, saya disapa semula olehnya, "Boleh saya berborak dengan awak?"

Di Amman, kelibat orang Melayu sangat asing kerana kuantiti warga Malaysia di sana sangat minor. Jadi soalan yang ditanya agak tipikal, seperti 'orang Indonesia?, 'kerja atau belajar di sini', 'kenapa pilih Jordan', dan yang paling selalu mereka akan memuji orang Melayu, kata mereka Muslim Melayu bagus-bagus dari Muslim Arab. Kalaulah kalian tahu......

Dia tanya lagi, "Kenapa nak belajar di sini, bukankah pendidikan di Malaysia lagi bagus?". Kalau soalan begini, saya lebih suka jawab 'untuk cari pengalaman negara luar', tapi sampai hari ni tak tahu perkataan 'pengalaman' dalam bahasa Arab.

Yang saya jawab, pelajar Malaysia memilih Timur Tengah untuk mendekati dan memahami budaya dan bahasa Arab. Saya tambah lagi, bukankah Nabi Muhammad itu orang Arab, pasti melihat kalian bagai melihat susuk Nabi itu sendiri. Bagai. Selain untuk merasa negara yang bermusim-musim.

Dan yang selalu dikata, "Tambahan pula, sinikan Bumi Anbiya. Doa makbul di sini".

Tiba-tiba dia mencantas,
"Siapa kata doa di sini makbul?"

"Err.. Ramai yang kata. Kerana selain dari bumi para Nabi, ramai juga syuhada' di sini"

"Anakku, tempat yang paling didengar doanya pastilah di Kaabah. Tapi sebenarnya, bukan tempat yang menyebabkan doa itu terangkat"

"Maksudmu?"

"Yang menjadikan doa itu diterima, adalah akhlak pendoanya, bukan tempat. Kalau berdoa di hadapan Kaabah sekali pun, tapi dia tak melunasi tuntutan agama, menyakiti hati manusia, secara logik, layakkan doanya dimakbulkan begitu sahaja? Berbanding dengan seseorang yang menjaga agamanya, akhlaknya, di mana sahaja dia tadahkan tangan ke langit, Allah pasti ada jawapan untuk dia"

Saya termati di situ. Naam, kalam sahihah!


MALAYSIA, PERKHIDAMATAN TERBAIK DI DUNIA!




Esoknya saya bertolak ke Malaysia, menaiki penerbangan Egypt Air. Jutaan terima kasih buat sahabat-sahabat yang menaja tiket ini, moga kalian dibalas dengan ganjaran yang lebih baik!

Bila berada di luar negara, kita semakin menghargai negara sendiri. Dulu selalu menyumpah orang Melayu pemalas, lambat dan sebagainya. Tapi bila berdepan dengan kerenah perkhidmatan Arab, baru tahu!

Sebelum kami masuk ke perut kapal terbang, masing-masing mengisi perut terlebih dahulu kerana takut dan maklum akan perkhidmatan makanan di atas sana nanti. Dahulu semasa saya ke Mesir menaiki pesawat yang sama, dagingnya keras sejuk membatu! Baru sebentar makanan dihidang, makanan mula dikutip.

Kali ini, Bella sempat mengerling pada pramugarinya, "Pramugari dia tua-tua. Lawa pun tak". Yang paling terasa, seorang pun tak menghulur tangan untuk kami mengangkat beg ke dalam kabin kapal. Apa punya servis. Dan akhirnya keluar dari mulut, "Teringinnya naik MAS.."

Tapi yang saya suka pada lapangan kapal terbang di Arab, mereka menyediakan ruang khas untuk pemeriksaan wanita. Bukan seperti di Malaysia, diraba satu badan (walaupun oleh pegawai wanita) dan semua mata boleh memandang. Tambahan pula ramai wanita Arab yang berpurdah dan berhimar (mata pun tak nampak). Jadi ruangan itu sangat perlu bagi membolehkan mereka menampakkan wajah. Saya pun.


SEPANJANG PERJALANAN

Ramai juga warga Irbid yang pulang cuti ini. Sempat berkenalan dengan K.Fifi, pelajar Pergigian tahun 3, yang menjadi teman saya dalam kapal. Walaupun kedua-duanya orang Irbid, belajar di universiti yang sama, tapi itulah pertama kali kami bertemu dan bertukar-tukar cerita.

Banyak juga yang kami borakkan. Awalnya saya tak mahu membuka cerita yang saya ini dahulunya Mafraqian, nanti makin panjang pula cerita. Tapi K.Fifi sendiri bertanya, "Awak ye yang dulu Muktah tu". Eh, Mafraqlah kakak. "Oo, awaklah yang diorang selalu cerita tu..". Erk.

Akhirnya, mulalah cerita penglipur lara, dari matrik, uthm.. bla bla bla. Cerita yang sama.

"Awak, tak pernah akak dengar cerita orang macam awak ni. Terharunya.."

Haha. Kelakar betullah akak ni. Nak saja saya jawab, 'Tu la, lain kali masuk la blog saya, mesti akak bosan dengar cerita ni. Berjuta kali dah ulang'.

Dalam perjalanan, saya berusaha tak mahu tidur, supaya sampai Malaysia nanti tak mengalami jet lag. Transit dari Amman ke Mesir boleh juga saya mengulang-ngulang Al Quran. Tapi dari Mesir, saya duduk bersebelahan dengan warga Australia. Sempat juga berborak dengannya. Saya bimbang untuk mengaji, takut dia menyangka saya ekstrim. Tambahan pula saya berpurdah. Huh, alasan.

Akhirnya, memang tak tidur pun. Kapal pun menjamu saya dengan cerita yang sangat amat kena dengan jiwa dan sudah lama diidam-idam. Cerita yang boleh merangsang hormon adrenaline.

G.I Joe Rise of The Cobra (2009)


Memang minat saya lebih kepada cerita perang-perang. Yang paling suka adalah X-Men The Last Stand. Seronok melihat cerita sebegini, melihat kepada perlunya seorang kapten cepat berfikir dan bertindak, pada anak buah yang sangat setia berkorban, kerjasama dan patuh pada arahan.

Bagi saya, inilah manifestasi Arkanul Baiah. Menontonnya, akan menyegarkan kembali semangat jihad dalam jiwa, dan membuahkan rasa 'Aku nak jadi macam ni'. Dari dulu berangan nak masuk dalam skuad perang.

Oh ya, juga berjaya menamatkan bacaan buku Dr Zhivago semasa perjalanan Mesir-Kuala Lumpur. Ini pun cerita perang di zaman 1912 Rusia. Wahai PERMAI, ketahuilah saya menyahut kempen membaca kalian.

CUACA MALAYSIA

Tiba di Malaysia jam 3 petang waktu Malysia. Puasnya berada di tanah sendiri, melihat wajah-wajah Malaysia.

Dan yang kelakarnya, saya dan Bella teruja bila mendengar pengumuman di lapangan terbang, "Eh, bahasa Melayu!"

Banyak yang berubah. Suhu pun. Rasanya dahulu tak sepanas begini. Tak tahulah kalau benar dakwaan Zakwan, 'Orang balik oversea, negara dia ada salji..'.

Mujib sudah besar. Gigi pun sudah tumbuh yang baru. Tapi perangai masih sama, masih belum boleh bercakap.

Dan rumah, adoi, bersepahnya! Terasa macam pulang ke rumah nenek! Barang-barang melata sana sini. Masuk ke bilik sendiri, terkejut bila buka almari. Baju-baju saya sudah berkulat, bertompok tom hitam. Melampaunya, baru setahun tak balik!

Abah pun tak berhenti melanggan HBO, Star Movie dan sebagainya. Malah National Geographic, Discovey Channel pun tak dilanggan lagi. Sedihnya, semua gara-gara Azrul, adik saya (kini Tingkatan 1) yang suka tengok tv hingga tak mahu ke sekolah. Cis!

Masing-masing sudah merasa halawiyat Jordan. Dan komen yang mereka bagi, "Manisnyaaa!!!". Haha

Hm, perlu merancang dengan baik sepanjang 2 minggu lebih di Malaysia ini. Banyak perkara perlu diselesaikan.

Harap orang-orang Jordan tak kesepian. Kalau boring tu, bawak-bawaklah jalan ke ruman senior-senior..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2009 Terbang | Lihat | Tafsir. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates | Blogger Styles | WP by Masterplan