>>test

Wednesday, January 9, 2008

Penjanaan MUKMIN Serba Baru




Tahun 1428H bakal melabuhkan tirainya. Meninggalkan segalanya dalam lipatan kenangan dan catitan Rakib dan 'Atid. Entah apa komen mereka yang sangat tulus dalam melaksanakan tugas terhadap kita.

Bagi yang merayakan kehilangan 2007, akan menyambut lagi satu perayaan yang pada hemat saya lebih kurang sama.

Kedua-duanya meninggalkan tahun dan menyambut tahun.

Kedua-duanya menuntut koreksi segenap aspek.

Kedua-duanya memperbaharui azam dan perancangan.

Jadi apa istimewanya tahun baru Islam berbanding masihi? Kalau benar Islam sudah lengkap (dan melengkapkan yang lain) seharusnya tak ada dua perayaan yang serupa. Dan tak perlulah merayakan keduanya.

APA YANG DITINGGAL BUAT KITA

Sebelum kita melihat sama-beza tahun masihi dan tahun Islam, mari kita selak tirai yang bakal menghijab kita untuk melangkah ke belakang.

Suatu peristiwa yang menarik Allah sediakan buat kita sebelum melangkah lebih jauh. Hari Raya Korban atau Eidl Adha berdiri betul-betul di belakang tirai. Eidl Adha bukan sekadar satu perayaan dan peristiwa, tapi ia juga satu memo awal dari Allah untuk gerak kerja tahun hadapan.

Peristiwa keluarga Ibrahim diisytihar sebagai satu perayaan kerana Allah mahu semua mengambil ibrahnya pada setiap tahun. Kisah lelaki, suami, bapa, pemimpin, wanita, isteri, ibu, madu, serta seorang anak. Kisah yang menjangkau watak walau hanya diwayangkan oleh TIGA manusia. Lengkap untuk semua lapisan manusia.

BIASA YANG LUAR BIASA

Ya, Hajar hanya wanita biasa. Malah tarafnya sebelum dinikahi oleh Nabi Ibrahim adalah hamba, hadiah pemberian Raja Mesir. Selepas dinikahi pun, dia masih biasa. Malahan dia adalah isteri kedua, madu buat Sarah. Tiada apa yang menarik pada Hajar pada asalnya.

Namun Allah pilih dia untuk menerima tarbiyah hebat. Memegang status isteri kedua dan mampu melahirkan anak pasti menimbulkan cemburu buat Sarah, biarpun pada awalnya Sarah yang mengusulkan Nabi Ibrahim untuk memperisterikan Hajar. Mungkin itulah fitrah wanita (saya kata 'mungkin' kerana saya belum bermadu, jadi tak tahu perihal hati wanita yang dimadukan).

Lantas Allah mengilhamkan Nabi Ibrahim untuk membawa keluarganya yang satu itu jauh dari Sarah. Malah jauh dari sekalian manusia. Dan Hajar tak merungut biar sepatah. Dia sanggup mengorbankan haknya untuk tinggal selesa bersama suami tercinta, demi kebahagiaan madunya yang berjasa.

Dibawanya jauh dari kota Kan'an dan seterusnya disuruh tinggal berdua dengan bayinya di tengah lembah Bakkah yang kering. Dan dia masih tak merungut biar arahan itu seakan tak masuk akal dan boleh membahayakan nyawa. Mungkin mati dek tiadanya makanan dan air. Mungkin diculik dan dijual oleh pedagang yang lalu lalang.

Tapi dia tak mengungkap apa.

Yang keluar dari bibirnya hanya pertanyaan, "Ibrahim suamiku, benarkah engkau akan meninggalkan kami sendirian? Benarkah ini perintah dari Allah?" Apabila Nabi Ibrahim mengiyakannya, dia tak tanya apa-apa lagi.

Tak tanya bila suaminya akan datang semula.

Tak persoal adakah tempat itu selamat dihuni atau tidak.

Tak berkata apakah bekalan yang ditinggal.

Hajar meletakkan thiqohnya hanya pada Allah hingga tak terlintas di hatinya sangkaan buruk (suuz dzan) terhadap Allah mahupun suaminya.

Barang siapa menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang pada tali Allah yang kukuh. Dan hanya kepada Allah lah kesudahan segala sesuatu [Surah Luqman: 22]

Disinilah letaknya LUAR BIASA pada wanita biasa seperti Hajar. Kerana lasaknya diri (jiwa) demi Allah, suami, anak dan madunya dia diangkat ke darjat yang tinggi yang tak pernah dia banyangkan.

Juga pada Ismail yang sanggup 'dibunuh' oleh bapanya sendiri sewaktu dirinya masih kecil. Mungkin kita mempertikainya yang Ismail adalah seorang Nabi, jadi dia ada sedikit 'luar biasa'. Tapi hakikatnya dia jua manusia, malah seorang anak kecil yang masih banyak keletah.

Di sini letaknya peranan Nabi Ibrahim sebagai seorang pemimpin keluarga. Dia mampu mencorakkan hati keluarganya supaya benar-benar taat pada Allah. Walau ada ketikanya dia sendiri bermuram duka untuk menyembelih anaknya, tapi anaknya yang bakal 'dibunuh' itu pula yang memujuknya untuk melaksanakan suruhan.

SURAT PEKELILING DARI NYA

Alihkan pandangan kita pada segala gerak laku zahir dan batin sepanjang 2007 dan 1428. Apakah kita sudah layak melihat syurgaNya andai kita dijemput pada malam tahun baru hijrah ini.

Kononnya bangga dengan orang kampung kerana bergelar mahasiswa, tapi bila kita ditarbiyah olehNya, tak kira melalui siapa, pasti ada keluhan meniti dibibir. Kalaupun hebat bibir menahan rasa, tanya pula pada hati. Sedikit sebanyak pasti terasa berat menerima 'hadiah' musibah dariNya.

Maka apakah kita bangga diangkat darjat oleh manusia kerana status mahasiswa padahal kita sendiri meletakkan martabat kita pada tahap lebih rendah dari hamba sahaya kerana mempertikai caturan Maha Pencipta?

Ini berlaku pada anda dan saya. Kita serupa. Maka Allah mengirimkan kita sebuah kisah untuk memandu perjalanan HIJRAH. Pilihan memang terletak pada tangan kita. Samada ingin menerima manual ini ataupun tidak. DIA tak rugi walau sekecil zarah.

SAMA TAPI JAUH BEZANYA

Jadi apa beza tahun baru masihi dengan Islam?

Bezanya ialah dengan Islam kita diberi panduan. Dengan masihi kita masih meraba.

Dengan Islam kita dibawa kepada sirah (kisah keluarga Ibrahim dan perpindahan kaum muslimin membentuk dunia baru Islam). Dengan masihi kita asyik memandang ke depan.

Dengan Islam kita bertahun baru (beraya) sebagai hamba. Dengan masihi kita bergelak gila suka tanpa punca.

Dengan Islam kita dipesan olehNYA untuk BERKORBAN, MENDIDIK JIWA, dan sentiasa BERLAPANG DADA TERHADAPNYA (semuanya mengandungi keperitan!). Dengan masihi kita bongkak menongkah pembaharuan.

Maal Hijrah tidak disambut dengan sia-sia. Kita dituntut untuk membedah segala titik hitam dalam diri supaya tahun 1429H melihat seorang MUKMIN baru yang bukan sahaja penuh dengan azam tapi juga terkandung ketundukan terhadapNya.

"Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku telah melakukan laranganmu tapi aku masih belum bertaubat. Sedangkan Engkau tidak redha dan aku lupai perkara itu. Engkau telah menangguhkan azabMu yang telah ditetapkan untukku. Engkau telah memerintahkan supaya aku bertaubat dari kesalahan itu.

Sesungguhnya pada hari ini aku memohon ampun dariMu, maka ampunilah aku dan segala yang aku lakukan pada tahun ini, yang Engau redhai dan Engkau janjikan pahala maka aku memohonnya dariMu"


Selamat tahun baru Hijri. Semoga tahun 1429H memperlihatkan manusia (MUKMIN) serba baru. Baru yang semakin ke arahNYA.


kelawarHijau
30 / 12 / 1428H
6.15 petang

Wednesday, December 26, 2007

MUKMIN : Semuanya Boleh!!


Dengan nama Allah, Tuhanku, Tuhan kamu, dan Tuhan segala spesis.

Ku berlindung dari fitnahnya syaitan, galaknya emosi dan diri yang tak mungkin sempurna.



Suatu ketika dulu, sewaktu menonton drama bersiri Islamik dari Indonesia, saya merasa pelik melihat wanita (muslimah) menyanyikan lagu yg sangat menginsafkan, tapi gayanya seperti menyanyikan lagu balada; memakai jaket, berseluar jeans, dan tak bertudung! (Drama Anak Cucu Adam) Lalu saya dengan ceteknya maklumat menyimpulkan bahawa begitulah rupa dan nilai Islam di Indonesia.

Padahal hakikatnya, ada beberapa ceruk di sana yang mengamalkan cara hidup Islam jauh lebih baik dari Malaysia. Indonesia juga banyak pesentren (di sini pondok agama). Cumanya hal ini tak pernah ditonjolkan kepada masyarakat luar.

Teringat kata-kata Asri Rabbani, sewaktu mereka berkunjung ke sana, mereka kagum dengan reaksi rakyat jiran kita terhadap nasyid, zikir dan selawat. Terujanya mereka sangat luar biasa, mampu menangis tersedu-sedu tika Rabbani mengalunkan lagu keinsafan, bertahmid dan bertakbir dengan penuh semangat tika mereka melagukan lagu kemenangan. Ini tak berlaku di sini, kerana hati kita masih terlalu kebal. Cuba dengarkan ikim.fm lewat malam, selalu seorang muslimah Indon akan menalifon, lantas tanpa rasa segan dan takut dengan 'apa kata orang' menyampaikan tazkirah/ilmu dalam bentuk nasyid.

Kalau saya (kita) boleh tersalah pandang terhadap Islam di Indonesia, bagaimana pula tanggapan orang luar kepada kita?

Lihat sahaja filem-filem arahan makhluk Allah, diiktiraf oleh antarabangsa, mempersembahkan nilai akhlak Islam (kononnya) yang memberi salah tanggap kepada sesiapa jua yang menonton.



Gubra : Imam & ustazah yang jirannya melacur, tapi tak pernah teringin berkata JANGAN kepada jirannya terhadap kerja haram itu. Siap tolong jagakan lagi anak jiran mereka sewaktu keluar 'bekerja'. Anak gadis (isteri orang) pula sibuk bermain cinta dengan pemuda cina kafir, dengan rambut panjang terurai yg sakai (tapi baru ni dia tumbuh).

Sepet : Mempromosikan cinta anak gadis Islam dengan sorang apek. Ditambah lagi mak bapaknya yg amat 'sporting' dgn cinta anak gadisnya. Romantis suami isteri yg terlalu dipertontonkan, menari hingga akhirnya terlucut kain sarung menampakkan seluar kicik.

Rabun : Sekali lagi mak bapak yang sporting teramat. Tersenyum kambing apabila tahu boifren anaknya sedang mandi di rumah anak dara (kot) mereka.

Bukan salah tanggapan terhadap pengahayatan Islam di Malaysia yang kita hiraukan. Yang patut dirisaukan ialah fahaman salah terhadap Islam secara umumnya.

Pada saya, filem ini dianugerahkan oleh antarabangsa bukan kerana nilai yang ada dalamnya. Tapi atas sokongan golongan liberal kepada salah seorang agen pemutar belit Islam di Malaysia (pengarah filem-filem ni le).

Dan kita tak terasa tercabar pun dengan anugerah itu. Kalau ada pun, seperti cukup hanya memberi kutukan+sumpah seranah, yang sebenarnya tak beri sedikit kesan pun pada pengarah/gol. liberal nuh. Betapa mudah mereka mempermainkan pemikiran masyarakat, memperlekehkan Islam, kerana mereka tahu MEREKA BELUM ADA PESAING untuk digusarkan.

Jesteru, saya masih mengharap agar ada seorang MUKMIN (bukan sekadar muslim) tampil dan berminat untuk mengarahkan filem/drama yg menghidangkan tasawur (gambaran) Islam yg sebenar. Tak perlulah cerita tentang jihad bersenjata, kerana rakyat masih belum cukup bersedia untuk menerima kisah seumpama itu. Cukup sekadar cerita tentang suasana budaya semasa, tapi berkesan dari sudut plot dan penyampaiannya.

Itu cerita tentang filem/drama.

Bagaimana pula dengan hiburan? Siapa yg bertanggungjawab hendak meraikan ketagihan manusia terhadap 'dadah' ini? Pendidikan mesti ada hiburan, hinggakan ceramah agama pun memerlukan hiburan! Begitu teruk ketagihan kita terhadap hiburan.



Benar, hiburan tak ada salahnya, andai pemilihan di buat dengan bijak mengikut caturan agama. Lantas kita mengutuk rakan yg asik mendengar A.C.A.B (kumpulan underground, tapi glamer dikalangan remaja tak siqoh mcm yg nules ni). Menyalahkan dirinya yg tak nak memilih hiburan Islamik.

Tapi bagi saya, hiburan alternatif yg sebenarnya kurang berjaya mempromosikan 'barangan', tapi lebih suka mempromosikan DIRI mereka. Nasyid seperti iklan TV. Kalau barang yg diiklankan kurang diingati dari modelnya, maka iklan itu gagal mencapai objektif. Kalau pun modelnya huduh teramat, tapi kalau kena pada penyampaiannya, maka tak mustahil barang yang diiklankan berjaya dipromosi kepada pelanggan.

Suatu ketika dulu In Team pernah berjaya menembusi Carta Era, menakjubkan mereka dipilih pendengar sebagai JUARA CARTA. Barang yg In Team jual berunsur cinta, satu pakej yg pasti mendapat sambutan tak kira usia dan zaman. Mungkin ada yg sinis, 'alah, yg dengar tetap tujukan lagu tu buat marka diorang'.

Kalau In Team boleh menembusi corong telinga pendengar awam, tak mustahil mereka mampu menembusi hati pendengar pula, suatu hari nanti. Saya bukan bermaksud memuja muji In Team, cuma sebagai satu contoh yg baik, andai usaha diteruskan oleh munsyid yg lain. Beransur-ansur memenuhi demand.

Kalau dahulunya lagu cinta sampai ke telinga orang biasa, tak mustahil lagu cinta itu akhirnya dapat dipindahkan buat Al-Wadud. Bagaimana? Itu saya serahkan kepada penulis lirik, lagu dan penyampainya.

Lihatlah betapa kuasa media memainkan peranan besar dalam mempengaruhi pemikiran manusia. Ya, apa yg saya sampaikan nampak seperti angan-angan yang indah, memandangkan kita bagaikan tak punya kuasa untuk mengubah segala.

Ada juga yg pernah berkata pd saya, 'Daripada sekadar menyeru dan berharap, apa kata anda yg jadi pemulanya'. Kalau boleh, saya ingin jadi semua. Pengarah yg menonjolkan indahnya Islam, arkitek yg membina bangunan yg mendekatkan penghuninya kepada yg Esa, pereka fesyen yg mempromosi pakaian sebenar Islam, Menteri yang mengubah sistem pendidikan, penyanyi yg menguatkan rohani yg lesu, pakar IT yg menghambakan teknologi untuk kebangkitan Islam, segala-galanya!

Tapi saya yakin kita telah dikhususkan untuk menggalas sesuatu. Bukan semua ditulis menjadi pengarah filem. Bukan semua dicipta untuk menjadi arkitek. Malah ada yg dikhususkan menjadi yg kurang bijak, supaya yg pandai boleh berfungsi.

Jadi saya akan terus seru dan menyeru. Kalau ada yg membaca terasa bertanggungjawab untuk menggalas tugas yg saya sebutkan, teruskanlah, Walaupun pada waktu ini anda sedang menuntut civil engrg. Bukan suatu yang pelik andai jurutera merangkap penyanyi. Bukan suatu yang mustahil arkitek merangkap seorang pelakon. Malah, biarpun anda layak digelar ustaz, tidak ada salahnya terjun ke bidang sebegini.

Secara peribadi, saya menyanjungi Saudara Faisal Tehrani. Biarpun berlatar belakangkan pendidikan Islam (bekas KISAS dan Nilam Puri (UM) Kelantan), tetapi akhirnya ke bidang sastera dan seni. Dia pernah menjadi pensyarah kepada Farid Kamil, menyuruh pelajar-pelajarnya menyelitkan unsur akidah dalam persembahan.



Juga kepada Ustaz Akil Hayy, dari bidang rock ke ustaz rock. Dan apa yang saya nampak, Ust Akil Hayy lebih mudah 'masuk' dengan artis-artis biasa kerana penampilannya yg tidak terlalu skema sbg artis nasyid. Terbaru, Muzik @ Ria Istimewa Aidil Adha, nampak sungguh artis-artis lain begitu terkesan dgn kata-katanya.

Ingatlah, Islam bukan sekadar melakukan amal ma'ruf nahi mungkar. Suruh benda baik, tegah benda buruk. Islam juga sepatutnya menyediakan alternatif, jalan keluar dan pilihan yg lebih baik.

Pesanan buat pengarah filem, penulis lirik, dan artis sedia ada; teruskanlah dengan kelebihan yg anda miliki, tetapi ikutlah acuan yg digariskan Islam. Anda juga adalah seorang DA'IE (pendakwah).

Akhir kata, andai TAQWA dan ILMU tersemat dalam jiwa, berilah benda yg haram sekali pun, dia mampu mencapai redha Allah dengannya. Tapi kalau TAQWA dan ILMU tiada, berilah benda yg halal sekalipun, dia akan mendatangkan murka dariNYA.

Diri ini hamba yang lemah. Banyak cakap banyak silapnya. Sekadar menyampaikan apa yang dirasa. Kritikan amat dialukan. Hanya melalui perbincangan (musyawarah) kebenaran dan kesilapan dapat diserlahkan.

KepadaNya aku pohon ampun.

Thursday, November 29, 2007

Makan Untuk Hidup, Hidup Untuk ALLAH!


Aku mulakan tiap patah kata dengan NAMANYA, satu-satunya TUHAN, tiada dua mahupun setengah.

Dan aku juga berlindung dari syaitan yg telah berbaiah untuk menyesatkan kita hingga akhirnya.



Senario & gaya pemakanan hari ini tak langsung membenarkan ungkapan itu. Tak usah angkat jari atau muncung mulut menunjuk pada orang lain, tapi nilailah nasi+lauk-pauk di pinggan sendiri.

Mungkin kita sendiri silap pertimbangan. Benarkah makan banyak, banyak tujahan tenaga kita? Dan apakah makan sikit, maka lesulah badan untuk beraktiviti? Ini yang perlu kita perbetulkan.

Bukan banyak atau sikit makanan yang menjana tenaga seseorang, jauh sekali pada rasa makanan itu sendiri.

Lihatlah bagaimana Nabi dan para sahabat mampu untuk menggali parit dalam cuaca yg cukup mencabar dan tempoh yg singkat. Tenaga mereka hanya dibekalkan dari sebiji kurma. Itu pun bagi yg benar-benar mewah, selalunya sebiji kurma akan dibelah-bahagikan buat sahabat2.

Nah. Silap mata apa yg digunakan oleh mereka? Tanpa kopi Radix HPA, tanpa tongkat ali mahupun karbohidrat yg secukupnya, mereka mampu menghasilkan tenaga yg menakjubkan.

Dan kita? Dengan nasi berlauk ayam goreng, sambal petai, belacan - sebutlah apa sahaja, semua kita telan! Benar, Islam turut menyuruh kita hidup mengikut sosio semasa. Bukan saya menggesa semua untuk makan setengah biji kurma satu hari, makanlah mengikut budaya kita. Tapi cukuplah sekadarnya.

Apa pula yg dimaksudkan 'sekadarnya'? Apakah nasi+kicap adalah zuhud yg baik? Makanlah makanan yg cukup zatnya, tapi tidak menggnggu kualiti ibadah kita. Sedih sekali andai rezeki yg Allah beri kita gunakan untuk tersengguk-sungguk semasa bekerja, malah tenaga lebih banyak diguna untuk memproses makanan berbanding mengeluarkan buah fikiran dan keringat.

Kita juga silap mendidik manusia yg lain. Ok, bukan silap, tak perasan mungkin. Saya tak berhajat mengecilkan hati sesiapa, lebih-lebih lagi pada org yg menyediakan makanan - Kredit buat golongan ini, kerana pahala mereka berganda-ganda andai makanan itu diguna oleh pemakan untuk beribadah secara optimum.

Seringkali dalam kem, apa jenis kem, peserta dihidang dengan makanan yg agak banyak. Pengalaman sebagai pemakan dan pemerhati, rata-rata terseksa untuk menghabiskan makanan! Nabi suruh kita berhenti sebelum kenyang, tapi sabda itu bukan tiket untuk membazir. Lantas dipaksa juga tangan menyuap, tak larat ke mulut sendiri, mulut orang lain jadi mangsa. Otak disuruh fikir benda lain supaya tak ingat bahawa perut sudah kata JANGAN.

Dan bila peserta mengeluh atau tak habih makan, kita marah (kalau kita urusetia) atau dimarah (bila jadi mangsa). Lantas keluarlah pendoktrinan; "Aktiviti banyak+berat, nanti tak larat kalau tak habis makan!". Iye ke? Kalau aktiviti selepas makan itu adalah menuntut telinga untuk mendengar, otak untuk memahamkan, saya rasa makanan menjadi sia-sia. Kerana oksigen lebih tertumpu untuk memproses makanan, bukannya untuk otak.

Natijahnya, peserta tersengguk-sengguk, menguap mungkin. Lagi dasyat sepanjang waktu hingga ayat "Sekian, wassalam" mata tertutup rapat. Hasilnya, satu pembaziran waktu (dan makanan). Yg dapat ialah mimpi, gelap atau perut kembung dengan air garam. Kadang-kadang didenda kerana kesalahan tertidur, kononnya tak mahu berkomitmen.

Adilkah itu?

Sekali lagi ditegaskan, bukan bermaksud menyalahkan sesiapa. Kita guna win-win situation. Tukang masak puas hati, urusertia tak pening kepala, peserta dapat input yg mereka idam. Saya percaya bahawa setiap peserta sedaya-upaya menggagahkan diri untuk 'turut serta secara sedar'. Maksudnya roh mereka tak menerawang ke mana-mana. Cumanya apakan daya, mata sudah terlalu berat, dek kesemputan oksigen ke anggota.

Mungkin selepas ini kita patut mendidik diri dan orang lain hakikat makan. Lebih2 lagi makan dalam dulang, kenyang+berkat lebih terasa. Masaklah sesedap rasa, dengan apa jua modul, cuma jangan pula dicemar dengan hal KETERLAMPAUAN.

Pada hemat saya, cukuplah makanan itu sekadar memastikan kelangsungan hidup dan kebolehan beribadah, bukan untuk kenyang. Atas sebab ini di matrikulasi dahulu saya sanggup membeli roti berharga RM2.30 seketul di bakeri, yg nampak seperti lebih kurang harganya dengan sepinggan nasi berlauk sederhana. Tapi atas asbab saya tak mahu terlepas satu patah perkataan dari mulut pensyarah, dan atas asbab tak mahu TERmalas, saya nilai makanan dari sudut berbeza. (Situasi saya sekarang kurang mengizinkan, kerana susah jumpa roti & selalu dipaksa makan oleh ahli bait yg suka makan & masak. Hinggakan terpaksa pura2 tak balik rumah demi menjaga perut)

Biar lapar dari kenyang, kerana saya tak pernah lagi rasa lapar yg menyebabkan otak susah berfungsi dan anggota tak mampu nk diangkat. Tapi lapar selalunya menjadikan makanan seterusnya lebih nikmat. Tak tahulah pada orang lain.

Tak mahu bercakap panjang. Banyak cakap banyak silapnya. Memadai sampai mesej yg hendak diberi.

Memetik kata-kata As-Syahid Hassan Al-Banna : "Setiap kata manusia boleh ditolak, kecuali manusia itu yg diberi wahyu".

Wallah hu 'alam wa astaghfiruka wa atubu ilaik.

"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, matiku, tambah satu lagi : MAKANKU; hanya untuk Allah"

Penglipur lara,
Nur Syahida Abdul Majid
Pelajar tahun pertama sem I
UTHM Johor

Monday, October 29, 2007

Betul Kerana Pengaruh




Seronokkah bila orang bersetuju dengan apa yang dikata?

Tatkala hati sedang alpa, pasti ada rasa sebegitu.

Tapi bagaimana pula jika semua yang disampaikan diterima?

Dengan teknik kreatif iblis alaf 21, takut-takut akan bercambah pula rasa hebat dalam diri.

Bukan ujub yang saya risaukan. Bukan jua saya tak ambil kisah ancaman Nabi pada orang yang ujub.

HOBI : MENULIS????

Saya menulis bukan untuk menghilangkan bosan. Bukan suka-suka untuk mengikut rentak semasa yang giat dalam blogging. Bercakap bukan suruh didengar, menyebar pengaruh, menunjuk hebatnya berbicara.

Tapi saya ingin MEMBERITAHU. Menyampaikan apa yang ramai terlupa, mahupun tak tahu. Menyatakan apa yang saya rasa, saya fikir, yang susah untuk saya luahkan apabila berhadapan dengan manusia. Saya ingin berdiskusi, mengeluarkan cetusan baru yang selalu saya dapat.

Benarlah apa yang dipesan Nabi. Diam lebih baik. Kerana tiap kali saya diam, 'beruzlah' dari suasana, pasti ada lintasan di minda.

Tapi saya pernah terlupa. Dan kini saya ingat, bahawa lintasan bukan hanya dariNya. Iblis, makhluk terkutuk juga mampu, dengan izinNya. Siapa lagi yang mencetuskan ilham kepada Einstein, manusia yang dianggap paling genius, yang menganggap keamanan hanya boleh diperoleh melalui peperangan?

Justeru, bukan semua yang saya katakan adalah benar. Kalaupun ia benar, tidak semestinya ia wajar dipersetujui mengikut waqi, suanana dan sosio setempat.

Kebenaran dan kesesuaian bagi sesuatu yang kita TAK PASTI adalah melalui perbincangan. Sebab itu Nabi suruh kita syuro, bermesyuarat, hatta sekecil mana perkara itu.

Malangnya itu jarang saya dapat. Hendak berbincang bab ragam muslim di kafateria, pendamping saya diam tanpa kata. Bukan sahaja dia, selalunya sayalah yang tak tahu bagaimana hendak memulakan acara.

Atas sebab ini, lama saya tidak menulis. Bila menulis, segalanya mudah bagi saya. Banyak yang telah saya sediakan, hanya menunggu masa untuk dihidang. Ya, pasti saya akan menulis apa yang sedap dibaca, apa yang mudah diterima. Tapi hakikatnya, dalam apa jua pasti ada cela.

Dan atas sebab inilah, saya ingin mendalami ilmu Hadith dan Quran. Sekularisasi sedikit sebanyak berjaya memisahkan pemusatan akal saya dari Al-Quran dan Sunnahnya. Padahal dalamnya pasti terkandung pesan untuk melorongkan fikiran saya. Pesan yang luar biasa, datangnya dari Pencipta Agung dan kekasihNya.

Apapun, saya tak mahu hal ini menghentikan saya dari berkata-kata. Hendak tunggu saya menelaah pesan MEREKA bakal mengambil masa. Dan ia takkan pernah ada akhirnya. Apakah saya perlu berdiam dari berfikir, semata-mata takut akan silap?

Esok dan seterusnya, saya masih akan bercakap. Dan atas pengaruh saya yang entah apa, akan ada yang bersetuju tanpa usul periksa. Menulis? Itu belum saya pasti. Kerana apabila saya bercakap, selalunya ia akan cuma melibatkan seorang-dua individu.

Tapi menulis ke dalam blog, mata dan hati dari Mesir juga mampu membaca, dan boleh menggangguk kepala. Lebih saya risaukan, dia akan mempromosi kepada orang sekitarya untuk membaca sama, dan bersetuju ramai-ramai.

Entahlah, saya sendiri tak pasti apa yang patut saya lakukan.. Apakah saya perlu melakukan seperti mana Imam-imam terdahulu. Setiap kali ingin mengeluarkan hujah pada awam, mereka akan terlebih dahulu mandi, membuat sunat taubat, istikharah dan beberapa ibadah lain. Mampukah saya untuk berbuat begitu, demi meng'upload' satu karangan?

Saturday, September 22, 2007

Takziah Buat Keluarga Nurin



Suatu insiden yang menyayat hati dibulan penuh rahmah ini. Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin,8 kanak-kanak mangsa culik yang kemudian ditemui mati dibunuh secara kejam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, Gombak, selepas solat Jumaat 21 September 2007. Jenazah Nurin dimandi dan dikafankan di Madrasah Assa'Adah, Seksyen Satu, Wangsa Maju.

Pagi itu bapa Nurin Jazlin , Jazimin Abdul Jalil, dengan linangan air mata menuntut mayat anaknya dari Hospital Kuala Lumpur untuk dikebumikan selepas solat Jumaat. Jazimin, 33, sebelum ini menafikan mayat itu adalah anaknya yang hilang diculik sejak 20 Ogos lepas walaupun ujian asid deoksiribonukleik (DNA) membuktikan sebaliknya, dilihat sebak dan berterusan mengalir air mata sepanjang proses menuntut mayat Nurin Jazlin. Dia terdahulu mendakwa bahawa mayat itu bukan anaknya menurut kata hatinya yang merasakan Nurin masih selamat di luar sana.

Buat Adik Nurin, semoga dikau berbahagia bersamaNya. Beruntunglah dikau kerana dijemput olehNya, meninggalkan dunia yg serba tidak aman ini.

~Al-Fatihah~

DIANCAM DAKWAAN

Sudah sebulan keluarga Nurin menanti kepulangannya. Dan dia dipulangkan dalam keaadaan tragis, di dalam beg sukan! Tragisnya lagi kerana Allahyarhamah Nurin dijumpai pada bulan Ramadhan.

Belum reda tagisan mereka, kini mereka dimomokkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang akan mendakwa andai wujud elemen kecuaian hingga membolehkan Allahyarhamah diculik! Kalau saya menjadi En. Jazimin, sudah saya lempang mulut celupar Tan Sri Musa Hassan.

Sudahlah Polis Negara gagal menjamin keselamatan rakyat, rakyat pula dituduh cuai, membenarkan insiden jenayah berlaku. Berjalan di Malaysia sudah tidak selamat lagi. Manusia sewenangnya di bom, beg dengan mudah diragut, dan maruah pun langsung tak selamat.

Maklumat lanjut, bacalah sendiri di : TranungKite Online

Hm.. Dirgahayu Malaysia

Monday, August 27, 2007

Mengintai Tabir, Menghitung Hari Berbulan Madu


Mungkan Kita Akan Sampai Padanya?

27 Ogos 2007, bersamaan 14 Sya'ban 1428H. Bermakna ada 16 hari lagi.

Kita menghitung detik. Dalam sekalian warganegara ternanti akan perayaan ke 50 Malaysia, ada satu perayaan lagi yang semacam tak diendah kehadirannya.

Ramadhan, kami seru kedatanganmu.

Mengimbas Ramadhan yang lalu, saya masih ingat pesanan saya buat anak-anak usrah, "Jangan-jangan ini Ramadhan kita yang terakhir. Nikmatilah ia dengan sepenuh jiwa..". Kata-kata itu masih saya pegang. Siapa tahu, jemputan ajal kita lebih awal dari menjelmanya anak bulan, walaupun dalam waktu sesaat dua sebelum Ramdhan datang.

Sungguh, hati ini rindukan Ramadhan. Bulan yang merupakan temu janji eksklusif buat seorang hamba yang mahukan rahmat dan maghfirah (keampunan) dari Nya. Sebenarnya, dari dulu saya impikan untuk melaksanakan ibadah ini, suatu lafaz cinta untuk Nya di rumah Nya sendiri, Baitullah hil Haram. Menziarah makam kekasihNya, Muhammad Bin Abdullah.

Tapi cukupkah sekadar rindu untuk menyambut bulan mulia ini?

Andaikata anda yang bakal mendirikan rumah tangga, bagaimana dengan persiapannya?

Rumah dibersihkan, diwangikan, diubah suai.

Diri dimanjakan, dihantar ke spa.

Kemahiran dipertingkat, memasak, mengemas rumah, tutur kata diperbetulkan.

Ekonomi diperkukuh, kerja semakin bersungguh, demi memastikan orang tercinta tak 'sakit' dengan serangan kewangan masa kini.

Tips-tips kebahagiaan rumahtangga dicari, buku-buku dibaca, orang tua dirujuk.

Semua persediaan dirapikan, dipastikan kesempurnaannya.

Beribu-ribu ringgit dihabiskan, membeli keperluan, memenuhi temujanji.

Semakin menjengah hari itu, hati semakin berbunga, jiwa semakin bergelora, debaran semakin memuncak.

Segalanya demi menyambut ketibaan hari bahagia, mengikat hati, melafaz cinta, menuruti fitrah manusia berlandaskan garis panduan Nya.

Bandingkan persediaan kita dengan ketibaan Ramadhan. Nilailah diri kita masing-masing dari sudut iman secara peribadi. Rata-rata sibuk melebihkan persiapan Syawal sebelum munculnya Ramadhan lagi.

Ramadhan tak seharusnya dipandang sebagai bulan yang melaparkan, melelahkan. Sebenarnya, Ramadhan ialah bulan sejuta kekenyangan, buat yang pandai 'cari makan'.

Apa yang kenyang? Rohani kita! Kenyang dengan apa? Kenyang dengan amal, kembung dengan air mata taubat, senak dengan ketenangan, sendawa dengan kalimah zikir buat Allah yang kita CINTA. Inilah Ramadhan yang sebenarnya!

Biarlah yang lapar bukan kita, tapi NAFSU. Biar NAFSU itu letih, kurus, dan moga-moga ia tunduk dengan iman. Mendidiknya bukan mudah, sedangkan Allah, Tuhan yang Maha dalam segalanya-galanya, NAFSU dengan bongkaknya tidak mengaku yang ia adalah hamba, sedang DIA adalah tuhannya.

Bulan yang bakal tiba adalah hari saringan buat Jundullah (tentera Allah). Bulan ketenteraan untuk melihat kemampuan tentera (kita), menilai siapa yang layak untuk berdiri megah di barisan hadapan di mahsyar nanti. Barisan pertama untuk melepasi mizan dan berlari kencang menuju yang dirindu, ALLAH.

Moga kita berjaya melepasi saringanNya ini. Dan pastinya, satu-satunya cara untuk berjaya ialah membuat persediaan awal, samada secara peribadi mahupun berjemaah.

Saya sendiri masih tercari-car, apakah persembahan terbaik perlu saya sediakan, perlu saya biasakan agar saya tak canggung untuk bulan madu yg bakal menjelang.

Ia hampir tiba. Ya Allah, sampaikan kami ke bulan Ramadhan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2009 Terbang | Lihat | Tafsir. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates | Blogger Styles | WP by Masterplan