>>test

Thursday, May 21, 2009

Kongres Rejuvenasi Pendidikan Islam Negara 2009



Pernah saya coretkan dalam journal subjek Bahasa Inggeris saya, sewaktu berada di awal tingkatan 4 , MRSM Terendak :

'I wish one day I could be Minister of Education of Malaysia. I'm tired of being lied, manipulated by my own history in the History Subjek. I wish I could change our education system, which made most of student strugled only for exam. After years learning Pendidikan Agama Islam, my friends still can't actually see the beauty of my religion, my sunnah. There must be something wrong, and I wish I could change it!'

Waktu itu hidayah baru sampai di hati saya. Hidayah cinta pada Islam, dan inginkan perubahan dalam pendidikan agar yang didik kenal, cinta dan ingin mempertahankan Islam.


Akan tetapi, semakin meningkatnya usia, saya merasakan ketermampuan saya untuk melakukan sendiri perubahan itu sesuatu yang agak mustahil. Dalam sebuah ketumbukan, terdapat 3 jenis kelompok. 1)Thinker (pemikir), 2)Organizer (pengatur), dan 3)Runner (pelaksana). Dalam beberapa siri latihan kepimpinan, saya mendapati saya berada dalam kelompok Thinker. Punyai bersiri-siri idea, tapi tak tahu menyusunnya dan sangat lemah dalam melicinkan gerak kerja.

Tapi saya sentiasa optimis, agar suatu hari nanti, pasti akan ada golongan yang merasakan kebobrokan pendidikan kita. Dan harapan saya, mereka sedaya upaya mengubatinya.

Alhamdulillah. Tahniah buat GAMIS kerana menganjurkan kongres ini. Itulah, anak muda, siapa kata fikirannya hanya kerja dan nikah kawin? Kalau boleh, ingin saya terbang dari Jordan ke Malaysia untuk turut serta.. Semoga kongres ini didengar oleh pihak Kerajaan Malaysia.

Klik sini untuk meneliti lampiran kertas kerja sebagai muqaddimah kongres, ditulis oleh Nurul Azma Binti Mat Ui, Darul Quran JAKIM.

Friday, May 15, 2009

15 Mei : Belia adalah Al 'Aadiyat



"Golongan BELIA adalah Al 'Aadiyat. Kalau kita baca surah itu, kita akan tahu bagaimana kuasa gerakan tempur kawanan kuda-kuda ini"


Dr Abu Hassan Hasbullah, seorang pensyarah media Universiti Malaya menyatakan dalam sidang forum Pemuda Nadi Harapan Malaysia;

"Apabila munculnya beberapa akta seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), golongan belia ini dimampatkan dan ditempurungkan dan akhirnya mereka hanya menjadi sebuah kumpulan yang tidak mempunyai pengaruh apa-apa, kecuali hanya dikerah untuk menuntut ilmu dengan definisi-definisi yang sangat terbatas."

"Akhirnya, berlaku satu peristiwa yang tersilap dalam perancangan pemodenan negara. Golongan belia menjadi suatu kumpulan yang tidak memiliki kekuatan dinamika, bagi bertempur dengan abad-abad mendatang yang sangat luar biasa, yang tidak mampu ditanggung oleh ilmu yang dipelajari di peringkat universiti sahaja"

"Pengalaman tidak cukup dalam kurun ke 21, kerana dalam kurun ke 21 adalah kurun STRATEGI. Golongan muda adalah pengurus strategi terbaik."

"Dalam abad ini, siapa yang lebih konstruktif (membangun), proaktif (cepat bertindak), pragmatis (melihat sesuatu melalui fungsi benda tersebut), dinamik (aktif), praktikal, akan membawa negara, bangsa, tanah air dan tamadunnya ke suatu tahap yang LUAR BIASA"

Beliau juga menyatakan bahawa, belia adalah megnet yang mampu menggerakkan sesebuah masyarakat. Lihat sahaja bagaimana AUKU itu sendiri tercipta. Ia hasil seorang anak muda bernama Anwar bin Ibrahim, yang berjaya menghimpunkan ribuan mahasiswa ke jalanan bagi menyedarkan kerajaan berkenaan isu kemiskinan di Baling, Kedah.

Lihat jua sejarah 7 orang pemuda yang memberi kesan kepada Kerajaan Dikyanus. Pada kisah Ghulam yang berguru dengan pendeta dan tukang sihir. Keberanian mereka mengakibatkan perubahan besar, momentum yang dinamakan AQIDAH.

Allah kirimkan pada anak muda, satu jiwa yang berani mencabar dan dicabar. Kiriman rasa itu bukan sekadar semangat, tapi lahir dari kecintaan Iman.

Di ceruk hingar mat rempit, penagih, kaki pukul, Malaysia sebenarnya mempunyai sekumpulan anak muda berjiwa besar. Cukuplah andai saya sebutkan dua nama, GAMIS dan PMRAM, ia sudah memberi tenaga hebat membentuk sebuah negara. Pandangan dan idea yang mereka miliki bukan lagi bersifat local (setempat) tapi menyeluruh secara global. Kelicikan strategi, kekemasan gerak kerja dan kesepaduan anak muda ini sudah tidak perlu dipertikai lagi.

Maka sudah tiba saat dan ketikanya, golongan ini diberi tempat dalam pembentukkan negara Malaysia. Bukan sekadar didengar suaranya, tapi diberi meja dan kerusi untuk melakar rencana. Tidak kira pemimpin dari kerajaan atau oposisi, kedua-duanya harus mengambil cakna akan perkara ini. Sekiranya tidak, kalian bakal memadam satu generasi, yang mana akhirnya menyumbang kepada kemusnahan ketamadunan. Saya berkeyakinan bahawa Fathul Malaysia (pembukaan Malaysia) akan terlaksana di tangan anak muda.

Bersempena dengan Hari Belia Negara, ayuh semua anak muda, usah lama-lama menjadi remaja. Sentiasalah optimis untuk MENAWAN MALAYSIA!











Tuesday, May 5, 2009

Suara Hati Pak Samad

Dari web kesukaan saya, UmmuHani.Com



Juga merupakan suara hati empat Sasterawan Negara lain berhubung dasar PPSMI yang masih belum mendapat kata putus Menteri Pelajaran baru, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dalam satu dialog yang diadakan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 baru-baru ini, penulis sempat merakamkan suara perit Pak Samad, walaupun nada suaranya beralun lembut tetapi mengandungi maksud amarah buat pemerintah yang masih berdegil meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris.



Kata Pak Samad:

“Anak-anak muda acap dengan internet, biasanya kalau mereka berbicara dalam internet,mereka akan menghantar fikiran-fikiran yang kritis. Cuma dalam bentuk buku barangkali masih belum agak menjadi, tetapi itu tidak bererti tidak ada hasil cipta yang kritis itu, kalau tidak ada maksudnya bukan penulis itu tidak menulis, namun penerbit itu yang tidak menerbitkan. Jadi kalau macam dalam akhbar terutama akhbar kerajaan seperti Berita Harian, Utusan, NST, The Star, memang tidak akan menyiarkan fikiran-fikiran kritis itu..

Jadi kalau kita mahu menulis yang menggugah, kita hanya hantar pada Siasah, Harakah, dekat oposisi (pembangkang), jika nak tahu ada tidaknya bantahan itu, kita jangan pergi ke akhbar arus perdana mesti tak ada, kena pergi ke akhbar oposisi, barulah kita dapat membandingkan.”

Syed Munawwar menyampuk:
“Itu sihat atau tidak?”

Kata Pak Samad:
“Itu sihat. Tidak diharamkan. Ingat, pilihanraya di dua bukit baru-baru ini (Bukit Gantang dan Bukit Selambau), tiba-tiba Harakah dan Keadilan di haramkan begitu saja dan media arus perdana itu dibenarkan untuk bercakap dari kawasan yang satu saja, ini memang tidak sihat. Jadi Alhamdulillah, barangkali kesedaran itu agak mendadak maka dibenarkan semula. Jadi sekarang ini ada imbangan walaupun akhbar oposisi itu hanya dua kali dalam seminggu misalan tak sempat untuk menangkis apa yang diselerakkan oleh akhbar arus perdana.

Jadi memang mereka yang kritis sedang menghadapi satu dunia yang terbelah dua, maksudnya yang kritis sukar untuk dapatkan suara yang sebenar tapi yang mengampu itu yang selalu mendapat hebahan melalui akhbar kerajaan, jadi, saya fikir ini yang harus dibetulkan dalam perjuangan memansuhkan perjuangan PPSMI, itu tidak dipandang oleh akhbar arus perdana, walaupun ada disiarkan tapi tak sepenuhnya, kalau ini dibiarkan akan menumbuhkan bibit-bibit ketidak- senangan secara tak nampak di merata-rata tempat misalnya saya.

Saya tidak pernah berada di pentas oposisi dulu, jarang, hampir 30-40 tahun dulu pentas saya adalah bukan pentas oposisi, tapi apabila saya lihat realitas ini tidak jujur, tidak membina, saya fikir, apa pentas pun yang diberi, saya akan hadir, misalnya PAS beri saya pentas, Keadilan beri saya pentas, saya pergi cuma saya bercakap tentang kecintaan bahasa saya. Jadi, saya harap ini akan dimengertilah. Bahasa kita menjadi pembina anak-anak kita semua. Yang berkusa di atas sekarang adalah niagawan dan bangsawan, mereka yang berfikir untuk kita sedangkan budayawan ditutup mulutnya. Dan ini tidak sihat,

Yang paling bawah saya fikir adalah buruh, petani, peladang, nelayan; suara mereka dari pada awal di rumah adalah suara Melayu yang mana mereka tak bercakap dengan angin, dengan alam dalam Bahasa Inggeris, mereka tak bercakap dengan ombak dengan menggunakan bahasa Inggeris. Mereka bercakap dengan Bahasa Melayu, jadi ini harus disedari. Ingat! Apabila kita mengetahui bahawa Bahasa Melayu sejak awal penubuhan Malaysia dilembagakan sebagai BAHASA RASMI hormatlah itu! Kalau tak pandai hormat itu memang sampai bila-bila akan ada usaha orang yang menentangnya.



Kerajaan telah mengiktiraf para sasterawan kita dengan memberi mereka gelaran tetapi tidak menghormati gelaran yang mereka kalungkan itu. Suara para sasterawan ditutup, yang dilaungkan adalah suara niagawan dan bangsawan. Sedangkan yang diripuh adalah soal bahasa, kalau begitu apa peranan gelar sasterawan negara?

Ingin tahu kenapa kami beriya-iya membantah PPSMI? Download ebook 'Mengapa Kami Bantah' di sini

Monday, May 4, 2009

Muslimat Serikandi Gerakan

(Minda saya berada dalam tempoh 'pending', hampir-hampir tiada tulisan keluar. Jesteru, saya hidangkan post yang saya ambil dari saudari Syuhada Hj Shuib, Timbalan Presiden II Maaruf Club UIAM)

sumber: http://ustazahmariam.blogspot.com


Rentetan tentang posting saya sebelum ini bertajuk "Gerakan Feminisme Islamik", saya melihat aspek pemerkasaan gerakan muslimat pada masa kini amat penting. Melihat komen yang diberikan oleh MarBu dalam posting tersebut, menyebabkan saya terus memaksa diri memikirkan dengan serius agenda pemerkasaan ini.

Namun, izinkan saya berkongsi gagasan idea tersebut pada posting yang akan datang dek kerana kesuntukan masa yang ada saat ini untuk sedikit 'research', menambahbaik gagasan idea tersebut. Posting ini, sekadar 'intro' (set induksi) sahaja. Meluah apa yang rasa.



Saya sudah lali, sudah mangli dengan ungkapan 'pelemah semangat' yang sering dituturkan muslimin tatkala melihat ada muslimat yang mungkin pada pandangan mereka 'agak menonjol' dan 'terkehadapan'.

Saya juga sudah biasa sangat dengan persepsi-persepsi kaum Adam, dengan pandangan dan lirikan sinis mereka tatkala saya bangun untuk memberikan pandangan dalam mesyuarat-mesyuarat yang dijalankan. Tak kurang ada yang senyum-senyum, gelak-gelak, berbisik-bisik. Pelbagai reaksi ditunjukkan.

Dalam sesi muhasabah muslimin-muslimat, pernah ada seorang muslimin menyatakan yang dia pelik dengan saya yang tak serik-serik untuk bangun dan bagi pandangan walaupun saya pernah dikritik dan kehadiran saya kadang-kadang 'tidak disenangi' muslimin kerana 'menggugat' mereka. Saya tak katakan semua muslimin begini. Ada segelintirnya memang absolutely macam ni!

Saya tak kata saya bagus sangat, sebab saya memang tak bagus sangatlah saya masih tidak boleh diterima oleh semuanya!

Salah satu sebab muslimat terus terkebelakang antaranya kerana inilah. Tak tahan dengan penangan dan kerenah muslimin yang jenis ni.

Tapi hakikatnya, sebab ini bukanlah 'real problem' kepada kelesuan gerakan muslimat, tapi hanya sekadar 'presented problem'. Realnya muslimat selalu berdepan dengan masalah krisis keyakinan diri, rasa rendah diri (inferior) yang tak bertempat, malu yang tak perlu dan juga dibuat-buat. Pergi lebih dalam lagi, muslimat sebenarnya selalunya sangat kurang membaca, kurang kemahiran.

Inilah antara penyebab utama pada pandangan saya, gerakan muslimat tak boleh sekencang gerakan feminisme liberal yang lain, tak mampu pergi jauh memimpin dan membuat perubahan.

Justeru, muslimat perlu 'sedar' dan 'terasa' akan hakikat ini.

Saya sendiri sebenarnya cukup-cukup terasa. Saya tahu ada insan-insan diluar sana yang mengatakan yang muslimat "POYO", bercakap je lebih dari tindakan. Bercakap pulak kosong, tak berisi. Itupun kalau bercakap, berdozen-dozen muslimat hanya mampu menjadi tukang angguk dan tukang geleng sahaja dalam mesyuarat-mesyuarat penting, hingga kadang kehadiran mereka tak dirasai pun.

Inilah antara agenda-agenda ujian yang menguji gerakan muslimat.


Pada saya, tak salah muslimat bermula dengan satu gagasan berjiwa besar terlebih dahulu, walau hanya sekadar slogan seperti "Muslimat POWER, POWER, POWER !!!" yang dilaungkan bermula dari STIGMA (Simposium Tindakan Gerakan MUslimat Muda) anjuran GAMIS tak lama dahulu. Tak mengapa mencetus semangat dahulu.

Yang penting, langkah seterusnya adalah mencetus 'kesedaran', elemen 'rasa' ini amat penting untuk kekalkan momentum agar ianya boleh melekat lama dalam hati dan minda , bukan sekadar tempelan semangat yang boleh pergi bila-bila masa sahaja. Dan seterusnya gunakanlah akal yang bijak untuk bertindak.

Sekadar sedikit luahan rasa saya buat semua muslimat, srikandi gerakan. Kita boleh melangkah jauh, yang penting sedar kenapa kita perlu melangkah, ke mana hendak melangkah dan bagaimana hendak melangkah. Mulakan dengan langkah yang pertama hari ini...


Thursday, April 9, 2009

Manuju Karisma'09



Hari itu ramai warga maktab yang mengeluh. Otak masih lagi terasa penatnya dibeban ilmu sepagi-pagi. Terik tengahari makin memamah-mamah hati yang sakit.

"Eida nanti 2.30 kejut. Aku nak tidur simpan tenaga"
"Kau tak nak pakai sun block dulu ke? Panas gile ni"
"Malas la. Tak de mood"

Sukan Tara!


Waktu saya di tingkatan satu, Sukan Tara ini berlangsung selang selepas minggu orentasi pelajar baru. Jesteru rasa berprogram itu masih tebal. Dan yang paling seronok, tidak dibebani dengan kerja rumah.

Terik mentari 3 petang benar-benar menguji pelajar. Waktu yang sesuai untuk kuak lentang atas katil. Tapi mungkin kerana semangat kesukanan yang tinggi, jua mungkin 50% adalah pelajar skema, serta selebihnya khuatir kalau-kalau kantoi dengan warden yang suka meronda, maka padang MRSM Terendak itu penuh jua.

Masing-masing mula berkumpul mengikut rumah masing-masing. Saya, rakan dan lebih-lebih lagi senior, dengan semangat Mansur Shah (rumah kuning) menyimpan azam untuk menang lagi. Sememangnya piala juara keseluruhan tradisinya milik kami. Bermulanya dari hari ini.

Pengiraan mata mudah. Semua boleh menyertai semua acara. Tidak kira cacat atau apa pun, terpulang. Sekiranya penyertaan menepati kehendak acara, maka indivu tersebut menyumbang 3 mata buat rumah sukannya. Contohnya acara 100m, syarat 3 mata seandainya menamatkan acara kurang dari 10 saat (kalau tak silap). Sekiranya tidak, 1 mata diperoleh, iaitu mata penyertaan.

Bukan susah pun hendak memberi 'hadiah' demi kemenangan rumah sendiri. Cukup seandainya ada KOMITMEN.

Begitulah rutin selama sebulan. Setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad.

Dan padang akan dimeriahi dengan latihan sorak. Dengan pelbagai lagu-lagu kontemporari, malah nasyid atau bollywood sekalipun, akan diolah kreatif.

"Eida, awak masuk 1500m ya."
"Eh, saya lari bukan laju pun kak"
"Dah, yang tiap petang awak lari keliling maktab tu ape? Cukup bagus la tu"
"Er... Itu suka-suka je"
"Ikut saja cakap akak. Jangan risau, akak Farah tu ada. Pastikan emas untuk Mansur. Kalau boleh dua-dua orang emas!"

Pernah saya berbicara dengan senior, kenapa lelaki sukakan bola sepak. Katanya, sambil keluar peluh, otak pun sama memerah strategi. Kaki dilatih mengelecek bola, minda sibuk memikir cara mancapai matlamat, ditambah lagi ukhuwah ke-bola-an boleh dibentuk.

Saya senyum. Patutlah kebanyakan perempuan kurang berminat dengan bola sepak. Kompleks!

"Habis tu perempuan suka apa?"
"Saya suka lari!"
"Bosan"
"Seronok, habis lari, rasa selesai masalah"

Larian memang bersifat individu. Mungkin namanya pun lari, ia bagaikan 'melarikan' diri dari yang lain. Lari dari orang dan suasana. Memberikan ruang untuk diri sendiri. Kadang saya berlari sebagai mengantikan keluhan yang memberatkan dada. Sambil berlari, otak memutar-mutar masalah.

Tidak jua jumpa penyelesaiannya, namun terasa seolah-olah masalah itu tertinggal jauh dibelakang. Rasa bebas!

"Lagi, apa yang seronok lari?"
"Sambil lari senyum sorang-sorang. Tak ada orang perasan"
"Eh, kenapa pulak??"
"Berangan! Haha, perempuan.."

Tulisan ini bagai tiada makna untuk yang tidak melalui zaman tersebut bersama saya. Ini sekadar manifestasi saya terhadap kerinduan akan sukan jarak jauh itu. Jua kerinduan terhadap terik mentari 3 petang untuk Sukan Tara

Satu lagi, sebagai pembakar semangat menuju KARISMA se Jordan 2009.



Entah macam manalah suasananya?

**Post ini kurang 'hidup' kerana gambar-gambar MRSM Terendak yang telah hilang dari simpanan saya. Harap-harap ada Terendakian yang sudi menderma gambar.

Sunday, February 8, 2009

Suci Dalam Debu



"Kak Chick, pinjam mafla, tak tahan, sesak nafas"

"Akak ada niqob lebih, nak pinjam?"

"Hehe, ade ke patut pakai niqob sebab habuk..."



Belum sebulan kaki ini suam-suam di Jordan, dengan izinNya saya dibawa ke Mesir. Masakan tidak, kos ditanggung serba sedikit oleh Jabatan Penuntut Malaysia Jordan serta Maljis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ). Perjalanan pada 29 Januari yang hanya mengambil masa 1 jam, hinggakan tergesa-gesa kru kapal terbang memungut makanan yang belum puas kami jamah.

Siapa tak kenal Mesir. Lebih-lebih lagi selepas fenomena Ayat-ayat Cinta. Mas Fahri menjadikan Mesir bagaikan syurga ilmu, sejuk biar dibahang matahari. Dengan lambakan pelajar Malaysia di Azhar, pusat para cendikiawan. Dengan sumber paling tepat pembinaan semula jemaah di dunia bawah pimpinan Al Banna.

Ah, bila tahu akan fakta ini, siapa yang tidak terliur untuk ke sana?

Nilai Yang Hilang

Pucat muka kami menaiki bas awam Mesir merupakan pengalaman pertama, pengalaman hitam pertama di bumi para Nabi. Pengalaman pertama yang memberi gambaran pelbagai akan Mesir di benak kami. Keadaan bas yang penuh sesak, tak sabar untuk menurunkan penumpang, hinggakan pabila 9 orang kami telah turun, seorang lagi masih dalam perut bas sedangkan bas sudahkan bergerak.

Bukan setakat pucat muka, tapi bergenang air mata!


Kerana sangkaan kami, dunia Arab adalah sama. Di Jordan, tak pernah pula ada yang berdiri di dalam bas. Yang lelaki akan mendahulukan wanita untuk duduk. Bukan setakat dalam bas, malah di mana-mana. Ketenangan yang kami pinta, yang tidak ada di Malaysia.

Melintas jalan sahaja, tak pernah menggusarkan kami. Berdiri saja dibahu jalan, pasti kenderaan akan perlahan lantas berhenti. Berbeza di Mesir, kami menjerit ketakutan dengan kereta yang main memecut sambil membunyikan hon.

Hari-hari berikutnya, hati kami dipujuk dengan menaiki tremco.




"Kalaulah bumi Mesir ini hilang keilmuannya, maka apa yang tinggal padanya hanyalah fitnah pada Islam itu sendiri"

Kak Husna mengangguk-angguk dengan bicaraku lewat hari itu. Sambil pipi kami ditampar debu-debu kota Kaherah.

Lorong-lorong sempitnya hanyir dengan bau air kencing. Berhimpit-himpit dan saling tolak menolak untuk masuk ke masjid. Hilang husnu dzan untuk beramah mesra dengan orang yang lalu lalang. Diri dan harta tak lagi dirasakan selamat.

"Syi letak mana dompet tu? Dalam beg Kak Aina kot.."
"Tak, memang dalam poket jubah ni tadi"
"Sabar Syi. Orang sini memang pakar bab seluk-seluk ni"

Hilang akhlak, hilang izzah.

Walhal seantero dunia tertanam di minda bahawa negara Arab itu Islam. Tapi realitinya, hampir tiada keislamannya yang tinggal. Entah apa pandangan masyarakat agama lain yang ingin belajar tentang agama yang indah ini, datang ke Mesir. Apa pula kata-kata orentalis dan musuh Islam terhadap kita.

"Nilai Islam hari ini tidak wujud lagi pada Arab, tapi ia sedang mekar di Eropah"

Ya Allah, Ya Rasul, ampunkan ummatmu yang melakar warna hitam pada agamamu. Dan aku pasti, bumi Mesir turut menangisi akan nasibnya!

Glosari
1. Mafla = sejenis selendang
2. Niqob = purdah, kain menutup separuh muka wanita
3. Izzah = kemegahan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2009 Terbang | Lihat | Tafsir. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates | Blogger Styles | WP by Masterplan