>>test

Friday, September 19, 2008

Macaroni and Cheese. Alangkah...



Saya bukanlah pakar dalam bidang masakan. Tanyalah adik saya, berapa kali dia nampak saya memasak di rumah. Mesti dia jawab "Kakak aku masak? Lol!!" Tapi cuba tanya ahli bet N301 Perwira, siapa biasa duk sorang buat projek di dapur. Haha.. Walau masakan ku tidak sehebat Azim yang bakal menjadi MPM UTM Skudai, tapi atas rasa kasih-sayang kat ahli rumah, kita hantam saja. Diorang tak bising pun, asalkan ada benda nak dibuat makan. Em, macam tu kot omak-omak kita, atas nama CINTA mereka secara automatisnya memasak. Huhu..

Ah, cukup mengarot. Sebenarnya nak kongsi rasa, eh, resepi. Pernah dengar Macaroni and Cheese, atau waktu pertama kali saya dengar Mac & Cheese. Saya diperkenalkan oleh agen Booth dan Bones dalam siri "Bones". Hai, tak pernah tengok? Kesian.. Tak pe lah.



Kembali kepada Mac & Cheese. Huh, saya memang suke amat-amat dengan keju. Peh, lihatlah sendiri kekejuannya.. Huh, waktu puasa nih, memang jahat betul saya menguji iman anda. Keh keh keh..

Baik, jom kita mula studi tentang Mac & Cheese ini!

Bahan-bahan asas nak tambah bahan lain, terpulang
  • 115g macaroni
  • 55g butter/marjerin
  • 30g tepung gandum
  • 575ml susu segar
  • 170g cheddar cheese
  • garam dan lada sulah
  • 100g serbuk roti
  • 45g parmesan cheese-parut


Mari Mula!!!

Panaskan susu dan di dalam periuk kecil dengan api perlahan. Awas, jangan biarkan ia mendidih. Ketepikan.

Cairkan mentega di dalam periuk. Masukkan tepung, sebatikan. Masak selama 2-3 minit. Hati-hati agar tidak hangit. Tapiskan campuran susu tadi dan masukkan ke dalam adunan tepung tadi. Sebatikan dan gaulkan perlahan. Masak sehingga mendidih, kacau selalu. Masak selama selama 4-5 minit. Masukkan sedikit garam dan lada hitam. Padamkan api dan masukkan 30 ml cheese dan kacau hingga cheese cair dan sebati.

Panaskan oven 200 darjah C (400 darjah F). Sapukan sedikit mentega pada bekas casserole (oven proof) dan taburkan sedikit serbuk roti.

Sambil itu, rebus pasta dengan air yang dimasukkan sedikit minyak dan garam (atau salted butter) sehingga 3/4 masak atau "al dente". (Tip : kurang sedikit daripada masa yang dianjurkan di paket).

Buang air rebusan pasta dengan penapis. Masukkan ke dalam "sos" tadi, gaul rata. Masukkan ke dalam bekas casserole. Taburkan serbuk roti dan baki cheese tadi. Bakar selama 20 minit sehingga kekuningan dan cheese membuak.


Sekian resipi yg di copy and paste tanpa mencubanya dahulu. Huhu. Selamat bereksperimen!

AMARAN! Resipi ini tak sesuai dicuba oleh mereka yg mahu berdiet atau jaga body

Wednesday, September 10, 2008

Jalan Pulang Ke Pangkuan Tuhan Terlalu Luas

**Artikel lepas tulisan Dr Mohd Asri yang dicadangkan untuk bacaan bersempena dengan Ramadhan ini**


ANTARA keistimewaan Islam yang agung ini adalah jalan pulang ke pangkuan agama ini amat luas terbuka dan tidak membebankan. Peluang seorang insan kembali ke pangkuan keampunan dan keredaan Allah tidak pernah disekat oleh sebarang jarak waktu, latar diri, keturunan, atau harta.

Sesiapa yang ingin pulang ke pangkuan Allah tidak pernah dihalang oleh agama ini disebabkan jenis dosanya atau keturunan, usianya yang lanjut, atau apa sahaja.


Seseorang yang ingin kembali kepada Allah diterima oleh kerahmatan-Nya dengan syarat insan tersebut menyesali kesilapannya, benar-benar memohon keampunan dan berazam tidak mengulangi kesalahan lalu.

Jika kesalahan itu sesama insan lain, dia memohon maaf dari yang dizalimi. Jika tidak mampu, bimbang mudarat yang lebih besar jika permohonan maaf dibuat, serahkan sahaja urusannya itu kepada Allah dan Allah Maha Mengetahui kadar kemampuan hamba-hamba-Nya.

Firman Allah dalam surah Ali ‘Imran 135-136:

(maksudnya) Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah - dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang- orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.

Ampuan Yang Tidak Boleh Dibeli, Tanpa Pengantara



Islam bukan seperti sesetengah ajaran yang menyuruh seseorang yang berdosa membuat pengakuan di hadapan orang agama, atau melakukan upacara yang menyeksa diri demi penghapusan dosa seperti melukakan diri atau berjalan atas bara api atau membuat bayaran penebusan.

Demikian perbuatan sesetengah pihak mencari rezeki dengan mengambil upah untuk pelupusan dosa solat atau puasa atau ibadah yang lain, bukan dari ajaran Islam. Islam tidak pernah mengenal itu semua. Seperti Islam tidak pernah menerima sama sekalipun perbuatan sesetengah agama lain yang mengeluarkan surat berbayar untuk penghapusan dosa, demikian Islam tidak dapat menerima perbuatan penganutnya jika melakukan hal yang sama dengan mengeluarkan borang pahala yang dijual sempena Ramadan atau selainnya.

Keampunan dan rahmat Allah bukan dijual di jalanan. Ia sangat berkaitan dengan keluhuran jiwa yang ikhlas ingin kembali kepada Allah Yang Maha Pengampun. Jika keampunan hanyalah bayaran yang dibayar kepada pihak tertentu, tentulah semua orang kaya tempatnya di syurga.

Sementara si miskin yang tidak mampu membayar kepada golongan agama tiadalah habuan keampunan untuknya. Maka tidaklah perlu lagi seseorang berpegang dengan agama, cukuplah dengan membanyakkan ongkos, maka selamatlah dia di sisi Tuhan. Aduhai, tentu tidak demikian.

Firman Allah (maksudnya) Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan manfaat sesuatu apapun. Kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera. Dan (pada hari itu) didekatkan syurga bagi orang- orang yang bertakwa. Dan diperlihatkan neraka jelas nyata kepada orang-orang yang sesat. (surah al-Syu’ara 88-91).

Tutuplah Dosamu, Biar Allah Sahaja Yang Tahu

Seseorang yang berdosa pula, tidak disuruh mendedahkan dosanya kepada orang lain sekalipun di hadapan ulama atau siapapun di kalangan manusia. Bahkan dia disuruh bertaubat antara dia dengan Allah dan menutup keburukan dirinya daripada orang lain.

Nabi s.a.w. bersabda: Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang Muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat. (Riwayat Muslim).

Termasuk dalam perkataan Muslim itu diri insan yang berdosa itu sendiri, dia juga tentu seorang Muslim. Maka dia wajib menutup keaiban dirinya. Maka dalam Islam tidak ada ‘pengakuan dosa di hadapan paderi’. Sesiapa sahaja yang berasa berdosa dan ingin kembali kepada Allah, maka dia bertaubat di mana sahaja dia berada.

Sabda Nabi: Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya. (Riwayat al- Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Aduhai luasnya rahmat Allah dalam agama ini. Bahkan dalam sebuah hadis kudsi,

Allah berfirman: Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya aku datang kepadamu dengan penuh keampunan. (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Bahkan kita dilarang kecewa dengan hidup disebabkan dosa yang lalu. Sebaliknya, disuruh agar sentiasa memohon keampunan daripada Allah dan jangan kecewa dari rahmat-Nya.

Firman Allah dengan penuh syahdu dalam surah al-Zumar ayat 53: (maksudnya), Katakanlah: Wahai hamba- hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) ketika mentafsirkan ayat ini menyebut: “Ayat yang mulia ini adalah panggilan untuk semua pembuat dosa dari kalangan yang kufur dan selain mereka agar bertaubat dan kembali kepada Allah. Ayat ini juga adalah pemberitahuan Allah Yang Maha Berkat Lagi Maha Tinggi bahawa Dia mengampunkan segala dosa untuk sesiapa yang bertaubat dan meninggalkannya, walau bagaimana besar dan banyak sekalipun dosa tersebut. Sekalipun bagaikan buih di lautan”. (Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/74, Beirut: Mussasah al-Rayyan).

Maka tidak ada kecewa bagi insan yang berdosa. Sekalipun kadangkala ada dosa yang tidak dapat dimaafkan oleh perasaan insan lain, namun Allah tidak pernah menutup pintunya selagi insan yang berdosa itu insaf, benar-benar kembali kepada-Nya.

Saya bicarakan tajuk ini, sesuai dengan suasana puasa. Juga agar perbincangan agama, janganlah menyebabkan manusia ini kecewa dengan diri mereka dalam mencari jalan pulang ke pangkuan Tuhan.

Jalan Untuk Kembali Adalah Untuk SEMUA!!



Agama ini begitu lunak. Pintu untuk mendekati Tuhan tidak pernah hanya dikhususkan untuk orang tertentu semata. Bahkan sesiapa sahaja yang menerima Islam ini dan berusaha mendekatkan diri dengan jalan Rasulullah maka dia akan sampai ke dalam rahmat Allah.

Tiada perbezaan antara mufti, ustaz, imam dan orang biasa. Tuhan tidak pernah menilai insan dengan gelaran-gelaran yang diberikan oleh sesama manusia. Dia melihat keluhuran jiwa dan kesahihan amalan. Entah berapa ramai orang biasa lebih mulia di sisi Tuhan dibandingkan mereka yang bersandar dengan berbagai-bagai gelaran dan pangkat. Jalan pulang ke pangkuan Tuhan tidak pernah mendiskriminasikan manusia.

Kadangkala amat menakutkan kita mendengar ucapan sesetengah orang. Saya pernah mendengar seseorang menyebut “dosa- dosa si polan tidak akan diampunkan Allah.” Ringan perkataan itu di lidah kita, amat berat kesalahannya di sisi Allah.

Sejak bilakah pula kita menjadikan wakil Tuhan dalam memutuskan rahmat atau kelaknatan di kalangan hamba-hamba-Nya. Kita menolak manusia ingin kembali dataran keampunan Allah hanya kerana emosi kita, sedangkan Allah sendiri mengisytiharkan keluasan rahmat-Nya untuk semua.

Berperanan Dalam Kempen KeampunanNya

Marilah kita berkempen untuk manusia mendapatkan rahmat keampunan Allah ini. Bukan untuk orang masjid dan surau sahaja, tetapi juga semua muda-mudi di jalanan, artis di pentas, pemimpin di gelanggang politik dan seterusnya. Jangan menghukum seseorang itu sebagai tidak berpeluang menerima rahmat Allah sedangkan roh masih di jasadnya dan hukuman Allah belum pun kita tahu.

Nabi bersabda: Jika seseorang berkata: Binasalah manusia, maka dialah yang paling binasa. (Riwayat Muslim).

Hadis ini bermaksud apabila seseorang berkata dengan tujuan merendahkan orang lain dan membanggakan dirinya seakan orang lain tidak mendapat kerahmatan, maka dialah akan dibinasakan Allah. Dakwah agama hendaklah merentasi sempadan-sempadan yang dibikin oleh kita. Rahmat Allah mestilah disebarkan ke semua daerah hidup yang pelbagai. Sama ada yang berada di gelanggang sukan, di pentas filem, di medan politik atau apa sahaja.

Janganlah perbincangan agama hanya menggambarkan seakan semua manusia akan memasuki neraka semata, lalu kita lupa Allah ialah Tuhan Yang Maha Rahmat. Ungkapan-ungkapan agama ini adalah ungkapan memberikan harapan, bukan menimbulkan kekecewaan.

Sehingga dalam hadis Nabi bersabda: Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya – dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya-dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hamba-Ku in, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini bukanlah menggalakkan manusia melakukan dosa, tetapi menceritakan hal seorang hamba yang bertaubat bersungguh-sungguh namun gagal mengawal dirinya lalu tetap terjatuh ke dalam dosa. Setiap kali berdosa, dia ikhlas memohon keampunan dan dia tetap diampun oleh Allah s.w.t.

Hadis ini memberikan semangat kepada mereka yang telah bersalah berulang kali untuk terus bertaubat bukan berputus asa dan terus mengikut jejak langkah syaitan. Walaupun barangkali orang lain akan menyebut kepadanya “tidak guna kau bertaubat, sudah berapa kali kau tetap gagal kekal atas taubatmu”, namun Allah tidak berkata demikian. Dia Yang Maha Pengampun tetap membuka pintu selagi hamba-Nya itu jujur dan ikhlas merintih kepada-Nya.

Jika Allah menutup pintu, maka kekecewaan akan meliputi jiwa hamba yang seperti ini dan akhirnya dia akan terus tenggelam dalam kejahatan. Namun dengan dibuka seperti ini, insan akan terus berusaha kembali kepada Allah setiap kali tergelincir.

Saya amat hairan, ada agama tertentu yang dikatakan mempengaruhi emosi sesetengah anak-anak muda kita disebabkan unsur kasih sayang dan rahmat berkenaan yang ditonjolkan dalam agama. Seakan anak-anak muda kita tidak pernah mendengar tentang keluasan rahmat dan keampunan Allah dalam Islam ini. Lalu mereka pun kagum dengan agama lain dan melupai agama sendiri yang diturunkan Allah ini.

Adakah kerana mereka tidak mempelajari ajaran Islam yang betul? Ataupun kempen kita kepada Islam kurang menonjolkan unsur-unsur kerahmatan agama ini?

Hendaklah kita sedar, dalam dakwah baginda Nabi bukan hanya diceritakan balasan neraka, namun diceritakan juga kenikmatan syurga. Bukan hanya tentang kemurkaan Allah kepada yang menderhakai-Nya tetapi juga rahmat-Nya bagi yang kembali kepada kepada-Nya.

Firman Allah dalam surah al-Hijr 49-50: (maksudnya) Khabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku (Wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh). Dan bahawa azab-Ku, adalah azab yang tidak terperi sakitnya, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaan)

Di suasana Ramadan ini, semoga taubat mempunyai ruang yang besar dalam hidup kita. Manusia disuruh takut melakukan dosa. Namun jangan kecewa jika tersilap. Di samping insan juga hendaklah selalu beringat, bahawa dosa yang terlampau setelah diberi peringatan, boleh menghilangkan ingatan insan untuk kembali kepada Tuhan.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 6-7: (maksudnya) Sesungguhnya orang-orang yang ingkar itu, sama sahaja kepada mereka: Sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman. (Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka, pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.

Tuesday, September 2, 2008

Tiba Masa Untuk Implimentasi Ilmu!

Dipinjam dari blog Abah AKRINE

Dua orang anak saya, yang sulong dan yang kedua selesai pengajian masing2 pada tahun ini. AlhamduliLLAH beban sebagai seorang ayah berkurangan sedikit dimana sebelum ini 3 anak saya masih menuntut di pusat-pusat pengajian tinggi. Kini tinggal seorang yang berada di tahun 2 manakala anak yang ke 4 sedang mengikuti persiapan keluar negera tajaan MARA.


Muhammad Abdul Hadi lulusan sarjana muda kepujian dalam bidang filem animasi



Muhammad Afif Diploma perakaunan


Kalau ada diantara pengunjung blog ini mempunyai jawatan kosong dalam bidang berkenaan, saya harap bolehlah menghubungi saya di 017-3646461.

Terima kasih. Iklan sementara

Kelawar : Tahniah buat Along n Angah. Hari tu tak dapat join konvo, kene skolah (bahasa standart : ada kuliah). Masanya telah tiba untuk kalian menggunakan ilmu yang anda untuk ummah, diri dan keluarga. Jangan lupa tanggungan hutang Umi n Abah..

Lepas ni boleh tanggung Dida belajar pulak. Hutang Along kire setel la...

Ape agaknya nasib aku..?

Thursday, July 31, 2008

Profil Tuan Blog


"Lakukan sesuatu yang terus hidup setelah kamu mati" - Hukama

Saya bernama Nur Syahida Abdul Majid. Teman-teman kebanyakkannya memanggil saya 'Syie'. Dilahirkan di Batu Pahat, Johor pada 27 Mei 1988. Menetap di Kuang, Selangor sehingga kini.

Ayah saya bernama Abdul Majid Hasan (1961) pemegang ijazah Fizik Nuklear. Dulu bekerja sebagai pegawai penyelidik Institut Teknologi Nuklear Malaysia MINT. Kini bertugas sebagai ahli majlis bagi Majlis Perbandaran Selayang. Kerier yang lebih utama beliau adalah pengamal dan perawat perubatan Islam.

Ibu saya pula dinamakan Norleza Namin (1964) tapi nama ini hanya kekal pada IC. Nama yang beliau suka ialah Nor Liza Namin. Surirumah sepenuh masa, setiausaha dan personal asistan Abah juga sebagai Ketua Kewangan PAS Selangor.

Saya terselit dalam 5 orang hero. Waktu kecil kami selalu bermain perang-perang ala komando. Alhamdulillah akhirnya saya tersedar saya ini perempuan.
  1. Muhammad Abdul Hadi (1986) exMMU Cyber Jaya 08, Animasi
  2. Muhammad Afif (1987) Unisel, Akaun
  3. Muhammad Hilmi (1990) University of Auckland NZ, Mathematik
  4. Muhammad Azrul Azham (1997) SMK Bukit Gading
  5. Abdul Mujib (2003)

Pendidikan

1996 - 2000 : SRK Kuang Selangor
2001 - 2005 : MRSM Kem Terendak, Melaka
2006 - 2007 : Kolej Matrikulasi Pahang. Major Biologi
2008 - 2009 : Universiti Tun Hussein Onn Malaysia UTHM, Johor. Diploma IT
2009 - 2010 : Universiti Al al-Bayt, Mafraq Jordan. Usulludin
2010 - ???? : JUST, Irbid, Jordan. Perubatan

Keputusan PMR saya membanggakan seluruh orang kampung kerana muncul orang pertama 8A1. Oh, 8A dan 1 B bagi subjek Bahasa Arab Komunikasi. Pernah menjawat jawatan power di mata pelajar MRSM, iaitu Timbalan Presiden Badan Wakil Pelajar. Sangat suka dengan subjek sejarah menengah atas. Teringat kata-kata Cikgu Sejarah dulu, "Saya rasa Syahida satu hari akan jadi orang politik". Pandai-pandai saja cikgu ni.

SPM meruntunkan jiwa saya yang selama ini menjadi tutor dalam kebanyakkan subjek sains. Saya dapat B3 bagi semua subjek sains. Rupanya, Allah nak buka langkah saya ke KMPh, bertemu sahabat yang hebat dan di sanalah titik mula menjadi SAYA di hari ini. Tahun itu baru mengenakan tudung labuh, mengenali usrah dan kemanisan ukhuwah yang masih kekal hingga saat ini. MYTEAM, nama keluarga kecil kami.

Falsafah Hidup

"Lakukan sesuatu yang terus hidup setelah kamu mati"

Juga, kalau Ustaz Hasrizal dengan motonya Erti Hidup Pada Memberi, saya pula yang belum ada lesen, sangat berpegang pada moto Erti Hidup Pada BERKONGSI. Semua benda saya mahu kongsi, sampaikan hal peribadi pun nak kongsi juga. Adoi.

Misi Hidup

  1. Menamatkan bidang perubatan ini secepat mungkin
  2. Mendapatkan ijazah/diploma dalam bidang Usuluddin
  3. Membuka mobile clinic di pendalaman
  4. Membuka sebuah Kampung Buku
  5. Terlibat langsung dalam Fathul Malaysia
  6. Menjadi guru sejarah di Sabah! Ya, Sabah!

Pencapaian dan Kepimpinan

  1. Timb Pres Badan Wakil Pelajar 2004/2005
  2. Juara Silat MRSM SeMalaysia 2005
  3. Exco Akademik Jawatankuasa Perwakilan Pelajar 2006
  4. Pengarah Minggu Bahasa 2006
  5. Mewakili Matrik Pahang dalam Wilderness Camp Adventure Kolej Matrikulasi Se-Malaysia 2006
  6. Biro Badan Dakwah dan Hal Ehwal Semasa, Jawatankuasa Teman Pusat Islam JTPI 2008/2009
  7. Timb Unit Tarbiyah Majlis Kaunseling Pelajar 2010
  8. Timbalan Pengerusi PERMAI Intelectual Circle PINTAR 2011


Perhubungan

Email : syahidamajid@gmail.com

Tuesday, July 1, 2008

"Kalau Umi Pergi, Siapa Akan Doakan Kamu.."

Kemudi Hati
Ust Pahrol Mohamad Juoi


IBU MEMBERI, BUKAN MENERIMA

Saya benar-benar tersentuh. Air mata hampir menitis. Kata-katanya singkat, namun padat dan menyentuh. Tuan Syed (begitulah panggilan saya kepadanya) bercerita seadanya. Perlahan, seakan-akan berbual ringan.

"Cuba ceritakan apa keistimewaan ibu Tuan Syed?"
"Semua ibu istimewa"
"Tapi saya ingin dengar kisah ibu Tuan Syed. Ya, semua ibu istimewa.. Tapi keistimewaan seorang ibu dengan ibu lain pasti tidak sama. Apa keistimewaan ibu Tuan Syed?" pinta saya seakan merayu.

"Saya teringat..," Tuan Syed mula bercerita, "suatu hari semasa umi sangat uzur, dia ingin turun tangga melihat halaman rumah. Sakitnya kian berat. Badannya lemah. Saya papah umi menuruni tangga.."

Saya mendengar penuh minat.


"Tiba-tiba umi berkata, umi risau, kalau umi meninggal nanti, siapa lagi yang akan doakan kamu!"

Saya tersentak. Benar-benar tersentuh. Jika sayalah di tempat ibu Tuan Syed itu, mungkin kata-kata saya berbeza. Mungkin saya akan berkata begini, "Kalau umi meninggal nanti, siapa di antara anak-anak umi yang akan doakan umi. Jangan lupakan umi ya?" Tetapi sebaliknya bagi ibu Tuan Syed di depan saya. Dia bimbang kalau tidak dapat 'memberi' sedangkan saya bimbang kalau tidak dapat 'menerima'

SIAPA LEBIH BERTUAH


"Apa kesan daripada kata-kata ibu Tuan Syed?" cungkil saya.
"Semenjak itu hingga kini...selepas lima tahun kematiannya, saya tidak pernah luput daripada mendoakannya setiap kali selepas solat lima waktu. Kata-kata itu sangat berkesan di hati saya."

Matanya mula berair. Sebak. Jiwa saya 'terpukul'. Ah, lalainya aku, kekadang lupa juga mendoakan ibu seusai solat lima waktu.

Kini setelah hampir sebulan perbualan itu berlalu, hati saya masih sukar memutuskan... siapakah yang lebih bertuah, Tuan Syed yang mendapat ibu yang baik atau ibu Tuan Syed yang mendapat anak yang baik?

Tapi hakikatnya, siapa yang menyayangi, akan disayangi. Siapa yang paling tinggi kasihnya, dialah yang paling banyak memberi.. Ya, kita akan lebih banyak menerima jika kita memberi bukan untuk menerima!

Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. : 'Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussein bin Ali ra. Ketika itu Aqra bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda.

Berkata Aqra : "Ya Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka.!"

Rasulullah melihat kepada Aqra kemudian berkata : "Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi."

(Al-Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tarbiyah : Spicy or Original?



Pilih, mana yang lebih menepati tarbiyah

Seorang naqib memarahi anak usrahnya kerana hadir lewat ke perbincangan.

Organisasi masjid menyuruh anak buahnya mengisi borang SPA (sistem penilaian ahli) yang merangkumi solat dhuha, qiam, ma'thurat, tadabbur Al Quran.

K.Yati mengajak ahli bawahannya untuk mempelajari cara membuat kuah rojak.

Apa jawapan anda?


JENAYAH KITA TEHADAP TARBIYAH

Tarbiyah sering disalah tafsir. Ini bukan tentang salah siapa-siapa. Sesetengahnya didoktrin oleh satu golongan, ada juga yang menafsirnya melalui pembacaan.

Kita sering melihat tarbiyah sebagai rukuk sujud. Penilaian tarbiyah sering kali dilihat dari sudut spiritual. Maka dengan ini, kita sendiri menjadikan agenda tarbiyah itu jumud, tidak syumul.


Bukhari seorang pengerusi masjid. Dia memang tidak dikenali diluar masjid. Dia hanya menonjol pada kuliah Subuh dan Maghrib. Hanya yang kaki surau tahu akan hebatnya dia dalam ilmu dan berpidato. Sekiranya ada program besar yang perlu dilaksanakan oleh organisasi masjid, Bukhari akan mengarahkan anak buahnya menjadi penggerak. Dia hanya memantau.

Bukhari memang suka mengeluarkan arahan mengejut. "Zuraida, petang ini awak kena jadi penceramah dlm tajuk akhlak Islamiyah". Kelam kabut Zuraida mencari isi. Hujung minggu, Bukhari bawa anak buahnya ke tasik. Semua harus terjun, wajib belajar berenang. Jarang sekali dia menilai buahnya dari sudut ibadah, padahal anak buahnya suka tidur lepas subuh, suka dengar Hot FM.

Oh ya, pernah sekali dia keluarkan arahan untuk Ruhiyah Month (RM). Silap sikit, didendanya dengan zikir 1000 kali.

Azim yang awalnya takut-takut untuk mengurus karnival, hari ini menjadi aset penting kolej kediamannya. Afifah yang dahulunya tak mahu menyandang jawatan dalan JPP, hari ini juga wanita yg kuat di gelanggang mahasiswa kampusnya. Zuraida? Tak usah cerita lah, kagum benar manusia sekelilingnya. Ada juga yang dahulunya tak reti menulis, sekarang telah mengeluarkan beratus artikel, dek arahannya dulu menyuruh mengeluarkan buletin RM.

Apa yang kita lihat, Bukhari sedang melatih anak buahnya berani bercakap dan pandai mengurus dalam pimpinan.

Waktu cuti, K.Fuza ajak anak buahnya mengikuti program anak angkat. Bekerjasama dengan orang kampung, anak buahnya diajar cara membuat soya, maruku, muffin, malah ada bengkel enjin. Haha, muslimat belajar enjin, macam-macam jadinya.

K.Anie pula, sangat tegas dalam kerja.

"Unit Risalah! Mana laporan?!"
"Huh, laporan ni salah. Buat balik!"
"Habih orentasi, balik! Tak yah lame-lame duk kat situ!"

Anak buahnya tiap-tiap hari gugur rambut, dek pressure teramat.

Tapi hari ini anak buahnya punya menjadi mentor tentang ilmu pengurusan.

Kelab Iqra sangat menekan tentang ikhtilat (percampuran lelaki perempuan). Lajnah tarbiyahnya sangat menjaga hal ehwal ibadah serta komitmen ahli. Kalau silap, ha.. Paling kurang pun, malu juga si pesalah nak pandang muka lajnah tu.


APA ITU TARBIYAH


Tarbiyah adalah pendidikan yang menyediakan ahlinya untuk terjun ke lapangan ummah, memenuhi kehendak masyarakat, agar dapat menarik orang sekelilingnya kembali ke fitrah.

Maka tarbiyah itu meliputi semua aspek. Bukan setakat ibadah ritual; teknik komunikasi, pengurusan organisasi, bertani, membuat web, menjana ekonomi, latihan pemanduan, sukan, bersosial, pembacaan, semuanya!

Ekoran itu, Nisa' Malaysia menjadikan Unit Tarbiyah sebagai central unit yang mengeluarkan arahan tentang SEMUA program mereka. Tak kira program Nisa' Small Kindness (yang kita rasa diketuai oleh Unit Khidmat dan Kaunseling) hinggalah ke OK 2 Karaoke.

Kesempatan berbual bersama K.Mastura, pengarah Nisa' Malaysia tak dipersia. Banyak ilmu yang sudi dia cerita. Menurutnya, Unit Tarbiyah merangka segala-galanya. Unit yang lain berperanan sebagai pelaksana. Patutlah Nisa' semakin gah, walau pun baru berusia 3 tahun!


PERATURAN PERTAMA : FAHAM

Nah, sekarang pastinya kita merasakan "Beratnya bidang tarbiyah!" Ya. Sangat amat berat.

Sewajarnya kita salute manusia yang diamanahkan dengan bidang ini. Mereka manusia luar biasa!

Jangan salah faham maksud saya. Mereka sama seperti kita, tak pernah sempurna. Tapi kekuatan mereka menjayakan lapangan itu yang kita kagumi.

Dan kita sebagai manusia yang ingin dididik pula, berperanan untuk memudahkan mereka. Mudah bukan sahaja 'Sami'na wa ata'na' (kami dengar, kami ikut..). Hulurkan jua buah fikiran, cadangan atau kritikan membina. Kerana mereka ingin membina KITA.

Agenda tarbiyah ini dipulangkan kepada pemiliknya. Acuan apa yang ingin diguna, agar produknya menempati pasaran. Ianya tergantung pada selera pemilik, tak lupa pula dengan keadaan setempat. Ada kampung yang hanya suka berbentuk bulat. Ada pula yang ingin kelainan. Dan pasti ada yang mahu varaiti pilihan.

Perkukuhkan agenda tarbiyah, hasilkan produk untuk manusia. Yang kita pasti, apa jua elemen tarbiyah yg diberi, pasti membawa kepada khusnul khatimah.

Kalau ditanya; Tarbiyah, spicy or original? Jawapan saya, WHOLE SET!! Anda?


Nur Syahida Abdul Majid
Lajnah Penerbitan, Informasi dan Multimedia
Kelab Iqra
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia UTHM
MEMBINA GENERASI HOLISTIK


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2009 Terbang | Lihat | Tafsir. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates | Blogger Styles | WP by Masterplan