>>test

Thursday, April 3, 2008

Fitnah si FITNA



JIKA ADA DI KALANGAN ANDA YANG MENYENARAIKAN BARANGAN DUTCH LADY UNTUK DIBOIKOT, ANDA MUNGKIN PERLU MENJUSTIFIKASIKAN TINDAKAN ITU DENGAN KENYATAAN RASMI YANG DIBUAT OLEH TAN SRI KAMARUL ARIFFIN MOHD YASSIN, PENGERUSI DUTCH LADY MILK INDUSTRIES BERHAD:

Klik di sini untuk membaca teks penuh.

Saya sinopsiskan sebagai berikut:

Dutch Lady membantah perbuatan Geert Wilders sebagaimana kerajaan Belanda juga. Dutch Lady sudah berada di pasaran semenjak 50 tahun yang lalu. Pemegang Saham Dutch Lady, 50% daripadanya adalah rakyat Malaysia Dutch Lady juga mempunyai 660 kakitangan rakyat tempatan. Produk Dutch Lady dihasilkan di kilangnya di Petaling Jaya.


Maka, sejauh manakah tindakan anda memboikot barangan Dutch Lady memberi kesan kepada Geert Wilders atau sesiapa sahaja di Belanda yang anda nak hukum? Saya khuatir, perbuatan boikot konteks kes Belanda ini, adalah suatu KEZALIMAN!

Dipinjam dari Saifulislam.COm

Saya sedang berfikir, bagaimanakah jika negara-negara dunia memboikot barangan Malaysia, disebabkan oleh ucapan buruk seorang ahli Parlimen Malaysia di media antabangsa. Apakah wajar tindakan begitu dan bagaimanakah kesannya ke atas rakyat Malaysia yang tidak pernah menyetujui perbuatan sumbang ahli Parlimen tersebut?

Inilah perbandingan awal yang saya lakukan, untuk menjustifikasi seruan pelbagai pihak agar kita semua memboikot barangan negara Belanda, hanya disebabkan oleh filem Fitna yang dibuat oleh seorang ahli parlimen Belanda, Geert Wilders.

Jika kita memandang Belanda dengan pandangan silam, bahawa Belanda itu bekas kuasa imperialisma yang menjajah Indonesia, kita tidak akan berfikir dua kali tentang tindakan memboikot itu. Ia adalah pandangan musuh terhadap musuh. Seolah-olah kaki Belanda masih berpijak dan memijak bumi kita.

Hakikatnya kita lupa, bahawa Belanda hari ini bukan Belanda yang itu. Belanda hari ini mempunyai sekurang-kurangnya sejuta penduduk Muslim. Siapakah Muslim itu? Saudara kita sendiri. Hatta jika tiada Muslim di Belanda sekali pun, di manakah rasionalnya untuk rakyat Belanda dihukum atas perbuatan sebiji pisang busuk dalam setandan pisang itu?

Malah ia seakan-akan sikap jahiliyyah Arab yang menyerang seluruh qabilah atas jenayah seorang ahli keluarga berkenaan!

ministerie-az.jpg

Perdana Menteri Belanda, Balkenende, telah pun membuat kenyataan rasminya berhubung dengan pendirian kerajaan Belanda terhadap filem Fitna oleh Geert Wilders itu:

On behalf of the Dutch government, I would like to respond to the online film by Mr Wilders.

The film shows images of violent acts and holds Islam and the Koran responsible for them. The government condemns such acts and those who commit them.

The film equates Islam with violence. We reject this interpretation. The vast majority of Muslims reject extremism and violence. In fact, the victims are often also Muslims.

We therefore regret that Mr Wilders has released this film. We believe it serves no purpose other than to cause offence. But feeling offended must never be used as an excuse for aggression and threats. The government is heartened by the initial restrained reactions of Dutch Muslim organisations.

Muslims, Christians and people of other convictions can easily live together in peace. The problem is not religion, but misuse of religion to sow hatred and intolerance. That is why we are calling for respect for everyone’s deepest convictions.

We are aware of the concerns and the sentiments about this film in the international Muslim community. We have recently spoken with many people at home and abroad to promote mutual understanding. We will continue to follow this course.

The Dutch government stands for a society in which freedom and respect go hand in hand. Such a society demands dedication and commitment. We oppose extremism. Anyone who breaks the law is dealt with firmly. Let us solve problems by working together. Let us reach out to others and build confidence and trust. Let us conquer prejudice. We shall surely succeed.’ [www.government.nl]

REAKSI SAUDARA MUSLIM DI BELANDA

Pertubuhan-pertubuhan Islam di Belanda sendiri telah memberikan reaksi yang mesti kita teliti sebelum sewenang-wenangnya melancarkan boikot itu.

Agensi Berita Belanda (ANP) telah melaporkan bahawa jurucakap National Committee of Maroccans (LBM) telah menggambarkan betapa kecenderungan untuk berlakunya rusuhan di Belanda adalah amat rendah, hasil tindakan efektif kerajaan Belanda menangani isu ini. ANP juga menyatakan bahawa Mustafa Biltunku, Imam dari Eyup Sultan Mosque di Amsterdam tidak menonton video itu dan memberikan komentar, “jangan pedulikan filem itu. Seandainya kita terus melayannya sedangkan ia tidak layak untuk diberi liputan, selagi itulah ia akan menjadi lebih penting. Itu nasihat saya kepada orang ramai”.

Imam Ali Kartal dari Mescid-i Aksa Mosque milik pertubuhan Milli Gorus yang terletak di Utrecht pula mengatakan bahawa beliau tidak akan mempedulikan isu filem tersebut untuk khutbah Jumaatnya. “Kita tidak sepatutnya menari mengikut rentak Wilders. Lelaki itu tidak berbaloi untuk dilayan. Dan jika jemaah masjid mempunyai sebarang persoalan, nasihat saya ialah jangan bertindak balas”. Kartal yang hanya menonton sebahagian filem itu mengatakan bahawa Geert Wilders sememangnya berniat mahu menghasilkan filem yang anti-Islam, dan semua orang mengetahuinya.

Bekas Imam Besar pertubuhan Milli Gorus itu tadi, M. Hulusi Uyne juga tidak berasa apa-apa terhadap filem itu. Katanya, “reaksi sebegini (seperti filem Fitna ini) sudah kita lihat semenjak turunnya wahyu al-Quran. Al-Quran dan Islam adalah cukup agung untuk menepis dakyah sebegini”.

ANP juga melaporkan bahawa seorang ilmuan Islam di Belanda, Sheikh Fawaz, telah menyeru umat Islam supaya bertenang. Beliau berucap kepada ratusan Muslim di Reormond. Katanya, “kita tidak sepatutnya pergi membaling batu ke tingkap hanya kerana filem ini, kerana itulah sebenarnya yang dimahukan oleh Geert Wilders”. Beliau menyampaikan ucapan ini di dalam sesi debat bersama kaum Kristian di dalam sebuah majlis yang diatur oleh gerakan Pemuda Salaf al-Feth.

Sheikh Fawaz menyimpulkan bahawa, “Geert Wilders telah memetik ayat-ayat al-Quran di luar konteks”.

PAKAI KASUT MUSLIM EROPAH

bic.jpg

Sebagai bekas Imam yang pernah bertugas beberapa tahun di Eropah, saya tidak akan sama sekali bertindak melulu mengambil jalan mudah dengan melancarkan boikot, hatta demonstrasi. Banyak perkara yang mesti dipertimbangkan, termasuklah mempersoalkan peranan Muslim dalam membina imej Islam itu sendiri di mata rakyat Eropah dan dunia umumnya.

Sejauh manakah integrasi Muslim di Belanda, di Eropah dan di dunia umumnya dengan masyarakat non Muslim di sekitarnya? Selarikah ajaran Islam yang tercatat di dalam al-Quran, dengan perlakuan Muslim di sana sini? Rasa hormat orang kepada kita tidak perlu dipaksa-paksa. Ia datang sendiri. Apabila kita layak menerimanya.

Saya mengendalikan Belfast Islamic Centre pasca kejadian September 11. Masjid kami dibaling batu, umat Islam dimaki hamun, tetapi ia hanya seketika. Sikap tenang dan keterbukaan kami dalam menyediakan dialog dan ruang belajar serta mengajar, telah banyak merawat persepsi buruk terhadap Muslim.

Ayat-ayat tentang peperangan yang dipetik oleh Geert Wilders itu sememangnya ada di dalam al-Quran. Tetapi ia perlu dihuraikan mengikut konteks yang betul. Apakah wajar misalnya Muslim berhujah, banyaknya tuduhan zina terhadap Nabi di dalam Bible sebagai punca kepada seks bebas di Belanda dan Barat? Hal-hal seperti ini memerlukan kepada engagement dan bukannya isolation atau segregation apatah lagi konfrontasi yang tidak kena tempat.

ASAS PERTIKAIAN

Saya mempertikaikan tindakan boikot bukan kerana mempersoalkan keupayaan melaksanakannya, atau kerana saya bergantung hidup kepada produk-produk Belanda. Saya mempertikaikannya kerana ia bertentangan dengan prinsip keadilan malah lebih cenderung kepada sentimen Jahiliyyah.

Geert Wilders bukan Belanda. Dia hanya SEORANG ahli politik radikal yang murahan. Apakah rasionalnya seluruh Belanda mahu dihukum atas tindakan satu individu? Saya gerun dengan ancaman Allah SWT ke atas perbuatan zalim yang diharamkan-Nya dengan ancaman.

Saya lebih terbeban dengan tanggungjawab mendidik.

Tetapi kerja seperti itu memang tidak nampak jantannya! Ia perlahan, ia mereda kocak emosi yang panas, tetapi bukankah itu yang selalu diajar oleh Rasulullah S.A.W sendiri?

REAKTIF ITU GAH TETAPI LEMAH

Janganlah pula kita ini bertindak semacam menggunakan template. Apabila ada sahaja pihak yang menghina Islam, kita pun tanpa perlu berfikir panjang, terus sahaja mengeluarkan template boikot dan demonstrasi. Kita seharusnya lebih teliti dalam membuat penilaian. Denmark dan isu karikatur Nabi Muhammad S.A.W disokong oleh kerajaannya. Yahudi pula ada Yahudi Zionis di Palestin, ada Yahudi yang sekadar orang awam di Amerika Syarikat, Britain dan lain-lain. Janganlah kita bermudah-mudah dalam hal ini kerana kesannya panjang ke atas survival umat Islam, khususnya bagi mereka yang bermastautin di negara Barat.

Dan untuk lebih memahamkan mengapa kita harus mengawal diri untuk tidak berkelakuan seperti yang mahu dibuktikan oleh Geert Wilders dan Fitna beliau, wajarlah kita merenung sabda Nabi SAW:

hadithmarah.jpg

Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda, “Bukanlah gagah itu pada gagahnya orang bergusti. Akan tetapi gagah itu ialah pada upaya mengawal diri ketika marah!”

Rasulullah SAW bukan menegah kita dari marah. Malah kemarahan terhadap perbuatan menghina Islam adalah tanda yang kita masih ada perasaan ‘cemburu’ terhadap agama. Bukan sedikit manusia Muslim yang kembung temboloknya dengan makan minum seharian tanpa peduli walau sedikit pun kepada isu ini.

Tetapi jangan bertindak berasaskan kemarahan itu. Jadikan kemarahan itu sebagai pencetus kepada momentum kita berusaha ke arah membetulkan keadaan.

Jantan sebenar menurut Islam, adalah pada upaya mengawal diri, dan memilih tindakan yang efektif bagi mencetus perubahan. Mahukah anda memikirkannya?

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur


Tuesday, April 1, 2008

Negeri Hok Mane Nih??





25 ribu hati yang ingin diisi solat Isyak dan hajat berjemaah di stadium

Lepas solat dengar ceramah (yang oposisi kata 'berunsur hasutan')

Tanpa polis peronda, tanpa polis berpakaian preman

Jauh lagi dari kecaman FRU dan air pancut

Eh, negeri mana nih??

SELANGOR BARU, TARBIYAH TERAJU!!



Buat pertama kalinya, Stadium Melawati Shah Alam diisi dengan zikrullah. Khabarnya sejumlah itu juga yang kecewa kerana tak dapat masuk atas asbab kuota stadium yang minimum.

Allah.. Bergenang air mata. Gembira berbaur sayu. Gembira kerana ia telah dimulakan. Sayu kerana aku tiada di sana!

Inilah bukti kuasa (politik) mampu menyuntik nilai aqidah kepada rakyat jelata.

Allah, rahmati dan limpahi pemimpinku (tidak kiralah belah mana pun) dengan taufik dan hidayahMU.

Gambar ihsan TranungKite.Net











Hm.. Rakyat Johor sekalian (tanah kelahiranku), masih teruja dengan pembangunan dan projek mega kah? Kalian tak mahukah munajat perdana diadakan di Danga Bay..

Wednesday, March 19, 2008

Tok Guru Haji Abdullah Lubok Tapah meninggal



Written by admin on Mar 19th, 2008



KOTA BHARU: Penguasa Pondok Lubok Tapah, Tuan Guru Haji Abdullah Abdul Rahman, telah kembali ke Rahmatullah pagi ini selepas keuzuran akibat penyakit angin ahmar dihidapinya sejak beberapa bulan lalu.

Tuan Guru Haji Abdullah meninggal dunia kira-kira jam 7.00 pagi ini dalam usianya yang menjangkau 74 tahun selepas mewakafkan sebahagian besar dari hayatnya mencurah ilmu agama tanpa henti dan turut bersama-sama mendukung perjuangan politik Islam di negeri Kelantan bersama PAS.

Sepanjang hayatnya Allahyarham seorang pejuang yang istiqamah mendukung perjuangan PAS dan sering dipanggil untuk mengimami solat hajat khususnya dalam mempertahankan kerajaan PAS di Kelantan.

Sejak akhir-akhir ini Allahyarham agak keuzuran menyebabkan beliau tidak menghadiri majlis-majlis anjuran PAS, termasuk ketika Munajat Perdana di Stadium Sultan Mohd Ke-IV sehari sebelum hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-12 baru- baru ini.



Jenazahnya dijangka dikebumikan jam 5 petang ini di tanah perkuburan Lubok Tapah. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Hajjah Kamariah Abdul Ghani dan lima orang anak iaitu dua lelaki dan tiga perempuan serta ribuan anak muridnya. Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah dan berdoa semoga roh Allahyaraham ditempatkan bersama roh para Anbia’ dan Solihin. Amin.

Wednesday, March 12, 2008

Sesat Dalam Hutan Kuasa Rakyat




PRU 12 melabuhkan tirainya. Menyaksikan kezutan-kezutan yang pelbagai. Bukan kezutan kemenangan yang saya maksudkan, tapi kezutan kekalahan.

Secara peribadi, kita telah gagal dalam pilihanraya kali ini, walaupun hakikatnya BA merampas 5 jajahan taluk BN. Tapi selagi tampuk pemerintahan dan undang-undang negara tak mampu kita miliki, PAS masih belum berjaya meraih matlamat DAULAH ISLAMIAH.

Saya sedih dan kecewa. Bukan pada keputusan, tapi atas lemahnya diri untuk menyumbang kemenangan. Ya, koreksi perlu dilakukan.

PAS MASIH BELUM LAYAK MEMILIKI

Pada hemat saya, Allah masih belum mengizinkan PAS (kita) untuk menyelia negara. Kenapa? Mari bersama kita renungkan, bukan sekadar dari sudut perancangan dan gerak kerja, tapi dari sudut yang lebih seni.

Sepanjang berkempen, kita membawa pelbagai isu yang sememangnya memanaskan hati rakyat pada BN. Harga barang, minyak, tol, pendidikan, korupsi, jenayah, dan berjuta-juta masalah yang telah Abdullah Badawi dan kroninya contengkan atas kanvas Malaysia.

Isu memang menarik. Maka poster semakin meriah. Gelombang-gelombang semakin rancak.

Tapi kita lupa untuk membawa masyarakat 'keluar dari dunia'. Kita terlalu tekad meraih undi dengan amarah rakyat melalui hal semasa. Dari mata kasar kita melihat mereka sudah bangkit. Namun, dari mata hati, apakah mereka sudah bangun?

NIAT AKAN MENYIMPULKAN SEGALA




Hadith yang biasa kita baca (mungkin sesetengah dah naik mual bila membacanya), tapi jarang-jarang kita guna untuk segenap perkara.

Tanpa sedar, kita sebenarnya telah mendidik masyarakat kali ini untuk keluar mengundi kerana dambakan kesenangan dunia. Tidak dinafikan segelintir jiwa yang benar-benar inginkan Islam dipelihara dan memelihara. Namun peratusannya amat kecil berbanding sebab yang pertama.

Maka dengan niat itu, Allah kabulkan pemintaan kita. Ya, BA menjadi pemerintah di 5 negeri. Kita bakal memiliki sedikit kesenangan dunia. Tapi bagaimana dengan kesenangan akhirat? Dua negeri diperintah oleh DAP yang kita sedia maklum bahawa tampuk pemerintahnnya adalah kaum Cina. Simpati saya pada umat Islam di Pulau Pinang dan Perak. Apakah iman akan turut dijaga dalam agenda pemerintahan mereka?

Fikirkan. Adakah masyarakat masih ingin memilih PARTI ISLAM sekiranya tiada lagi isu dunia yang timbul?

Suka saya mengambil contoh di Kelantan. Allah benar-benar memelihara mereka. Atas sebab mereka mengundi kerana ingin memelihara dan rindukan agama Allah. Mereka takut andai BN yang memerintah, tiada lagi kuliah-kuliah agama, takut dengan nasib pondok-pondok dan madrasah, risau tiada lagi munajat perdana, dan isu negara tidak dijadikan matlamat utama.

Mungkin selepas ini kempen kita ialah membawa rakyat jelata berkunjung seminggu dunia, menghirup udara kepimpinan ulama di Kelantan. Mungkin. Kerana mereka telah dibutakan mata, ditutup telinga oleh media massa.



Kuffar masih memerintah Malaysia. Memiliki segenap kuasa undang-undang dan media (dua kuasa besar yang amat berpengaruh) untuk memutar-belit dan menghancur akidah anak bangsa.

Masih ada 4 atau 5 tahun lagi untuk bekerja. Dan kerja itu bermula dari saat ini. Perjuangan tidak akan ternoktah selagi Islam tidak bertakhta di muka bumi Allah.

Tiba masanya, KITA, AGEN PERUBAH untuk menggembleng usaha, memerah tenaga, mengajak manusia merindui kemanisan iman dan belaian kasih sayang Allah. Fahamilah kembali hakikat BEGIN WITH THE END IN THE MIND. Ya, matlamat kita ialah redha dari NYA!

Walau apa pun, sejuta tahniah dan penghargaan buat jentera yang sudi memberi keringat demi anjakan Islam. Kemenangan dalam PRU 12 diharap menjadi titik tolak untuk kita menyemai nilai akidah kepada masyarakat.


kelawarHijau
Tanah hina yang hampir tak menyumbang apa-apa

Saturday, March 8, 2008

Entah Apa Di Hati Mereka,,,





Saya cemburukan rakyat Kelantan. Walau ditohmah dengan pelbagai kejian, mereka tetap memiliki sesuatu yang tiada galang gantinya di Malaysia.

Dulu saya juga termakan dengan propaganda media. Negeri miskin, kotor, kolot!

Tapi setelah saya jejakkan kaki ke sana sewaktu Muktamar Tahunan di Putik tahun lepas, saya jatuh cinta pada Kelantan!


PEMBANGUNAN MODAL INSAN

Rakyatnya tidak dibangunkan dengan bangunan mencakar langit, projek yang mencurah-curah, tapi mereka dibangunkan dari dalam. ROHANI



Lihatlah bagaimana Tuan Guru berjaya membawa ribuan hati ini untuk bersama memperhambakan jiwa pada Pencipta seawal 3 pagi!

Saya menangis, cemburu!



Tuan Guru bukan menangis kerana takutkan kekalahan pada PRU 12, tapi takut andai tidak selamat di hari akhirat.

Allah, indahnya andai AKU dipimpin oleh golongan sebegini.

PEMIMPIN MEMANG MENDIDIK RAKYAT

Pagi tadi saya berpeluang bertugas di lokasi pembuangan undi. Buat pertama kali saya menghadirkan hati dalam pilihanraya Malaysia. Saya memang dibesarkan dengan suasana parti, hingga saya meluat dengan isu politik.

Tapi setelah saya faham tentang Islam (yang semestinya bukan difahamkan oleh kurikulum pendidikan Malaysia), saya memandang suasana dari sudut berbeza.

Melihat seorang wanita Barisan Nasional, ku sangka dia berbangsa Cina. Berambut pendek berseluar ranggi. Rupaya Melayu Islam! Bersalam, pegang dengan semua, tak kira jantina, tak kisah suami orang mahupun berwajah ustaz.

"Kita hancurkan mereka, kuburkan mereka! Mereka pertualang negara!"

"Barisan Nasional pertualang agama!"

"Ah, bukan agama yang tadbir negara!"

Bila dikatakan padanya bahawa mufti telah memperingatkan, jari itu akan disoal depan Allah, dia menjawab. "Mufti pun manusia biasa, tak boleh percaya sangat".

Allah... Sungguh, saya simpati melihatnya.

Tidak adakah secebis hidayah dalam hatinya Ya Allah?

Atau ini yang ditarbiyahkan dari pimpinan mereka?

SISPAN : SEKITAR MUNAJAT PERDANA


Modal Insan




Rebung dilentur di 2/3 malam




Cukuplah mereka menzalimi kami Ya Allah




Dijulang rakyat tetap menghamba

Wednesday, January 9, 2008

Penjanaan MUKMIN Serba Baru




Tahun 1428H bakal melabuhkan tirainya. Meninggalkan segalanya dalam lipatan kenangan dan catitan Rakib dan 'Atid. Entah apa komen mereka yang sangat tulus dalam melaksanakan tugas terhadap kita.

Bagi yang merayakan kehilangan 2007, akan menyambut lagi satu perayaan yang pada hemat saya lebih kurang sama.

Kedua-duanya meninggalkan tahun dan menyambut tahun.

Kedua-duanya menuntut koreksi segenap aspek.

Kedua-duanya memperbaharui azam dan perancangan.

Jadi apa istimewanya tahun baru Islam berbanding masihi? Kalau benar Islam sudah lengkap (dan melengkapkan yang lain) seharusnya tak ada dua perayaan yang serupa. Dan tak perlulah merayakan keduanya.

APA YANG DITINGGAL BUAT KITA

Sebelum kita melihat sama-beza tahun masihi dan tahun Islam, mari kita selak tirai yang bakal menghijab kita untuk melangkah ke belakang.

Suatu peristiwa yang menarik Allah sediakan buat kita sebelum melangkah lebih jauh. Hari Raya Korban atau Eidl Adha berdiri betul-betul di belakang tirai. Eidl Adha bukan sekadar satu perayaan dan peristiwa, tapi ia juga satu memo awal dari Allah untuk gerak kerja tahun hadapan.

Peristiwa keluarga Ibrahim diisytihar sebagai satu perayaan kerana Allah mahu semua mengambil ibrahnya pada setiap tahun. Kisah lelaki, suami, bapa, pemimpin, wanita, isteri, ibu, madu, serta seorang anak. Kisah yang menjangkau watak walau hanya diwayangkan oleh TIGA manusia. Lengkap untuk semua lapisan manusia.

BIASA YANG LUAR BIASA

Ya, Hajar hanya wanita biasa. Malah tarafnya sebelum dinikahi oleh Nabi Ibrahim adalah hamba, hadiah pemberian Raja Mesir. Selepas dinikahi pun, dia masih biasa. Malahan dia adalah isteri kedua, madu buat Sarah. Tiada apa yang menarik pada Hajar pada asalnya.

Namun Allah pilih dia untuk menerima tarbiyah hebat. Memegang status isteri kedua dan mampu melahirkan anak pasti menimbulkan cemburu buat Sarah, biarpun pada awalnya Sarah yang mengusulkan Nabi Ibrahim untuk memperisterikan Hajar. Mungkin itulah fitrah wanita (saya kata 'mungkin' kerana saya belum bermadu, jadi tak tahu perihal hati wanita yang dimadukan).

Lantas Allah mengilhamkan Nabi Ibrahim untuk membawa keluarganya yang satu itu jauh dari Sarah. Malah jauh dari sekalian manusia. Dan Hajar tak merungut biar sepatah. Dia sanggup mengorbankan haknya untuk tinggal selesa bersama suami tercinta, demi kebahagiaan madunya yang berjasa.

Dibawanya jauh dari kota Kan'an dan seterusnya disuruh tinggal berdua dengan bayinya di tengah lembah Bakkah yang kering. Dan dia masih tak merungut biar arahan itu seakan tak masuk akal dan boleh membahayakan nyawa. Mungkin mati dek tiadanya makanan dan air. Mungkin diculik dan dijual oleh pedagang yang lalu lalang.

Tapi dia tak mengungkap apa.

Yang keluar dari bibirnya hanya pertanyaan, "Ibrahim suamiku, benarkah engkau akan meninggalkan kami sendirian? Benarkah ini perintah dari Allah?" Apabila Nabi Ibrahim mengiyakannya, dia tak tanya apa-apa lagi.

Tak tanya bila suaminya akan datang semula.

Tak persoal adakah tempat itu selamat dihuni atau tidak.

Tak berkata apakah bekalan yang ditinggal.

Hajar meletakkan thiqohnya hanya pada Allah hingga tak terlintas di hatinya sangkaan buruk (suuz dzan) terhadap Allah mahupun suaminya.

Barang siapa menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang pada tali Allah yang kukuh. Dan hanya kepada Allah lah kesudahan segala sesuatu [Surah Luqman: 22]

Disinilah letaknya LUAR BIASA pada wanita biasa seperti Hajar. Kerana lasaknya diri (jiwa) demi Allah, suami, anak dan madunya dia diangkat ke darjat yang tinggi yang tak pernah dia banyangkan.

Juga pada Ismail yang sanggup 'dibunuh' oleh bapanya sendiri sewaktu dirinya masih kecil. Mungkin kita mempertikainya yang Ismail adalah seorang Nabi, jadi dia ada sedikit 'luar biasa'. Tapi hakikatnya dia jua manusia, malah seorang anak kecil yang masih banyak keletah.

Di sini letaknya peranan Nabi Ibrahim sebagai seorang pemimpin keluarga. Dia mampu mencorakkan hati keluarganya supaya benar-benar taat pada Allah. Walau ada ketikanya dia sendiri bermuram duka untuk menyembelih anaknya, tapi anaknya yang bakal 'dibunuh' itu pula yang memujuknya untuk melaksanakan suruhan.

SURAT PEKELILING DARI NYA

Alihkan pandangan kita pada segala gerak laku zahir dan batin sepanjang 2007 dan 1428. Apakah kita sudah layak melihat syurgaNya andai kita dijemput pada malam tahun baru hijrah ini.

Kononnya bangga dengan orang kampung kerana bergelar mahasiswa, tapi bila kita ditarbiyah olehNya, tak kira melalui siapa, pasti ada keluhan meniti dibibir. Kalaupun hebat bibir menahan rasa, tanya pula pada hati. Sedikit sebanyak pasti terasa berat menerima 'hadiah' musibah dariNya.

Maka apakah kita bangga diangkat darjat oleh manusia kerana status mahasiswa padahal kita sendiri meletakkan martabat kita pada tahap lebih rendah dari hamba sahaya kerana mempertikai caturan Maha Pencipta?

Ini berlaku pada anda dan saya. Kita serupa. Maka Allah mengirimkan kita sebuah kisah untuk memandu perjalanan HIJRAH. Pilihan memang terletak pada tangan kita. Samada ingin menerima manual ini ataupun tidak. DIA tak rugi walau sekecil zarah.

SAMA TAPI JAUH BEZANYA

Jadi apa beza tahun baru masihi dengan Islam?

Bezanya ialah dengan Islam kita diberi panduan. Dengan masihi kita masih meraba.

Dengan Islam kita dibawa kepada sirah (kisah keluarga Ibrahim dan perpindahan kaum muslimin membentuk dunia baru Islam). Dengan masihi kita asyik memandang ke depan.

Dengan Islam kita bertahun baru (beraya) sebagai hamba. Dengan masihi kita bergelak gila suka tanpa punca.

Dengan Islam kita dipesan olehNYA untuk BERKORBAN, MENDIDIK JIWA, dan sentiasa BERLAPANG DADA TERHADAPNYA (semuanya mengandungi keperitan!). Dengan masihi kita bongkak menongkah pembaharuan.

Maal Hijrah tidak disambut dengan sia-sia. Kita dituntut untuk membedah segala titik hitam dalam diri supaya tahun 1429H melihat seorang MUKMIN baru yang bukan sahaja penuh dengan azam tapi juga terkandung ketundukan terhadapNya.

"Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku telah melakukan laranganmu tapi aku masih belum bertaubat. Sedangkan Engkau tidak redha dan aku lupai perkara itu. Engkau telah menangguhkan azabMu yang telah ditetapkan untukku. Engkau telah memerintahkan supaya aku bertaubat dari kesalahan itu.

Sesungguhnya pada hari ini aku memohon ampun dariMu, maka ampunilah aku dan segala yang aku lakukan pada tahun ini, yang Engau redhai dan Engkau janjikan pahala maka aku memohonnya dariMu"


Selamat tahun baru Hijri. Semoga tahun 1429H memperlihatkan manusia (MUKMIN) serba baru. Baru yang semakin ke arahNYA.


kelawarHijau
30 / 12 / 1428H
6.15 petang
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2009 Terbang | Lihat | Tafsir. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates | Blogger Styles | WP by Masterplan