>>test

Saturday, February 27, 2010

Mencari Diri Dalam Misi Allah




Siapa kita dalam agenda Khalifah?

Soalan itu seharusnya sentiasa ada dalam kepala, sejak kepala dan hati disumbat dengan kefahaman dalam kepimpinan

Soalan itu semakin panas bila jawatan sedang menjerut leher


BEBERAPA TAHUN TERDAHULU

Sejak kecil saya memang selalu dan suka ke depan. Darjah satu saya mengalahkan kaum lelaki dalam 'pilihanraya' ketua darjah.

Di MRSM mendapat undian kedua tertinggi dalam pilihanraya yang paling digeruni warga Maktab, menjadi First Lady di sana.

Di Matrikulasi, baru tamat seminggu berorentasi, saya sudah naik pentas bermanifesto.

Waktu itu saya masih bertanding kerana 'saya suka kepada kepimpinan'.

Beberapa bulan selepas itu, otak diasak dalam tamrin kepimpinan, "Kenapa nak sangat pegang jawatan???" Akhirnya saya menyerah, saya tak punya jawapan!

Bila mana abang Taufik mendesak saya untuk melepaskan jawatan, saya masih enggan. Kerana dalam hati saya tahu, saya pilih untuk menjadi pemimpin bukan kerana sesuatu, tapi itu sudah tanggungjawab saya.

"Dan Allah berfirman : Sesungguhnya Aku ciptakan bagi dunia itu KHALIFAH!


Hari ini.

Setelah kira-kira 4 tahun kefahaman itu disulam dalam, saya masih tercari-cari kedudukan saya dalam agendaNya.

Bila menyedari hakikat ini, kita mula untuk menyempurnakannya. Tapi satu persatu kelemahan diri muncul, yang selama ini tak terlihat oleh mata, tak terfikir dalam kepala.

Saya lemah dalam membuat keputusan. Itu yang paling utama. Kedua, tiap kali nama saya tercatat atas kertas menyandang sesuatu, kalut akan tiba. Saya mula tidak teratur, saya mudah lupa, malah lebih teruk, pertuturan saya sekali pun kadang kala terganggu.

Untuk masalah pertama, saya masih belum jumpa jalan keluarnya. Tapi buat yang kedua, saya cuba menyediakan To Do List, Check List agar kerja saya tersusun dan agar kerja tidak ada yang tertinggal.

Sampai tika ini, saya masih belum berupaya keluar dari 'penyakit' itu.

PEMIMPIN 360 Darjah



K.Dayah, senior UTHM saya, merangkap mantan Timb Presiden organisasi saya dahulu, pernah menyarankan satu buku dari John C Maxwell.

Katanya, pemimpin yang baik ialah mereka yang punya kelemahan, tapi mengoptimumkan kelebihan dan menampal kelemahannya dengan kelebihan rakan setugasnya.

Teringat. Nabi Muhammad SAW juga seorang yang UMMI, tidak pandai membaca apa lagi menulis. Itu sesuatu yang mustahil untuk memimpin. Tapi kelemahan itu Baginda penuhi dengan kebijaksanaan. Baginda tidak mampu membaca, maka sahabatnyalah yang menjadi 'mata'. Baginda tak mampu menulis, maka temannyalah yang menjadi 'tangan'.

Hal ini pernah saya kecapi sewaktu berorganisai bersama K.Dayah, dalam Jawatankuasa Teman Pusat Islam JTPI. Sinergi terbaik, melahirkan organisasi terbaik dalam hidup saya setakat ini.

Ah, bukankah sini dunia, tidak kekal lama. Mana mungkin selamanya saya dan JTPI.

Srikandi JTPI dalam kenangan


Kita terjun dalam bidang ini, kerana kita mengerti akan tanggungjawab dan keperluan. Tanggungjawab sebagai khalifah yang memberi (juga mencari) tarbiyah, dan keperluan di tempat semasa.

Matlamat tarbiyah adalah demi menyelamatkan kawan, keluarga, masyarakat, malah semua, dari azab dunia, juga azab akhirat.

Azab dunia, dari ditipu dengan manusia-manusia yang korup, dari sistem yang rosak.

Azab akhirat, pastinya hasil tuaian kita dalam sistem dunia.

Dari sudut keperluan, tanyalah dalam hati, siapa yang mampu membawa masyarakat di tempat kita. Secara tepatnya, siapa yang boleh diangkat menjadi pemimpin? Kalau bukan kita, sudah wujudkan orang lain itu?

Melibatkan diri dalam organisasi rasmi, adalah satu jalan pintas melangsaikan hutang tuntutan tanggungjawab khalifah. Kerana tanggungjawab itu sentiasa tergalas di bahu kita, maka landasan persatuan memudahkan kita untuk itu. Sistem yang telah tersedia, cuma memerlukan insan untuk menggerakkan, atau mungkin membaik pulih sistem tersebut.

Ya, dan kita akan terus mencari, siapa kita dalam agenda ini. Di peringkat manakah kita akan paling memberi manfaat?

Dan saya, pasti terkadang terjatuh menangis juga, terasa tak mahu lagi memegang apa-apa, kerana 'penyakit' itu sering menyusahkan organisasi. Tapi bila memandang kembali FirmanNya, saya beranikan diri untuk bertatih kembali.

Saya memohon maaf kepada semua badan yang telah dan sedang saya sertai kerana menyebabkan KITA dalam keadaan terumbang-ambing. Izinkanlah saya, saya ini masih berlatih.

Berlatih menjadi Khalifah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2009 Terbang | Lihat | Tafsir. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates | Blogger Styles | WP by Masterplan