Ini kali pertama saya berpuasa di luar Malaysia.
Ramai sahabat yang bertanya, "Best puasa di sana?", "Apa bezanya?".
Hm, apa saya nak jawab ye?
Prolog Ramadhan : Pindah Memindah
Beberapa hari sebelum Ramadhan, kami bersusah-payah menjayakan proses pembasmian pelajar Malaysia dari Sakan 4. Musyrifah Arab beriya-iya mahu kami keluar dari Sakannya itu. Kalau orang tak hendak, kita lagilah tak mahu. Tapi yang kami rungutkan ialah barang-barang yang belambak. Bayanglah, barang selama empat tahun. Dengan rak-raknya. Aduh.. Tambah lagi ramai yang telah pulang ke Malaysia. Maka kami diwasiatkan kami harta-harta mereka. Kalau duit seronoklah juga..
Dalam satu hari, 5 kali trak ulang-alik mengangkut barang kami. Bayaran pengangkutang kadang mencecah 10 dinar (RM50). Padahal jaraknya tak sampai 1 kilometer. Selesai diangkut, proses mengemas pula menanti. Ah, sebelum mengemas, membersih. Memang penat!
Kepenatan sebegini hingga hampir membuat kami lupa akan ketibaan Ramadhan. Hampir-hampir kami lupa malam itu bermulanya terawikh.
Catatan Awal Ramadhan
Untungnya duduk di sakan baru ialah jaraknya yang dekat dengan kebanyakkan tempat. Dekat dengan masjid, pejabat pos, dan lalu-lalang kenderaan. Jadinya, untuk bergerak ke masjid di malam pekat tidak terlalu 'mendebarkan'.
Sebelum masuknya waktu maghrib, kami semua berkumpul di bilik tv bagi membaca surah Yasin dan Assaffat sebagai tanda perasmian kediaman baru. Kemudian pembahagian kumpulan tadarus dibahagikan. Tahniah buat timb pengarah Ihya Ramadhan, cik Masyithoh kita. Badan saja kecil, wibawanya besar sungguh.
Solat berimamkan orang Arab, tak jauh pun bezanya. Cuma selepas solat tiada zikir dan doa seperti kita. Di Malaysia, selepas setiap empat rakaat solat terawikh akan ada zikir dan doa. Tapi di sini, sesi tazkirah menggantikannya.
Pulang dari terawikh, masing-masing berkumpul mengikut kumpulan tadarusnya. Alhamdulillah, belum pun berpuasa sudah selesai setengah juz pertama. Rancangannya satu juz terus, tapi melihatkan mata masing-masing yang kuyu, bacaan disambung ke pagi esok.
Pagi itu, kami bersahur agak mewah. Nasi mandi (seakan briani) berlauk ayam. Sebenarnya makanan lebih semalam.
Selesai subuh, kami melangsaikan hutang setengah juz semalam. Di tambah lagi dengan juz dua. Dengan mata yang mengantuk dek tak tidur semalam (semangat macam nak sambut raya), habis tungang-langgang huruf dibaca..
Satu hari berpuasa tak terasa mana. Mungkin kerana berpuasa di musim cuti, aktiviti tidak memenatkan. Tak sedar jam berputar, tahu-tahu sudah petang. Bermula projek menyediakan juadah berbuka.
Saya dan K.Raja begitu teliur hendak minum air sirap. Di Jordan tiada perisa ros untuk air sirap. Rupanya ada dikalangan kami yang menyimpannya. Apa lagi, saya dan K.Raja terus mula. Air yang kami namakan sirap selaseh kasih-kekaseh, hehe.
2 Ramadhan, Gangguan
Hari kedua Ramadhan saya gembira dengan kehadiran barangan dari Malaysia. Cubaan Umi menghantar bungkusan ke sini berjaya nampaknya. Dapatlah saya satu set baju, tudung dan kasut raya. Gembiranya!
Waktu petang pula kami menghadiri mesyurat Sekretiat Sambutan Pelajar Baru. Ha, ini baru terasa penat. Untuk ke tempat mesyuaratnya perlu mendaki tangga sebanyak.... tak ingat. Tapi sampai ke atas, gigil juga lutut.
Pulang dari mesyuarat kami melawat 'bazar' Ramadhan Mafraq. Hm, mana ada bazar kat Jordan. Pasar ini ada tiap-tiap hari.
Moreh semalam K.Sodiq perkenalkan kami dengan sejenis menu yang lazim ada di bulan Ramadhan. Qutayf (قطيف) namanya. Hari ini kami sempat melihat sendiri proses membuatnya. Pada saya, bancuhannya tak jauh beza dengan lempeng (pancake). Cuma rasanya sedikit tawar. Mungkin tak diletak gula. Orang Arab kata, gula hanya untuk air, bukan masakan.
Sesampainya di sakan, kepala mula berat. Badan terasa seperti di awangan, umpama naik sampan biarpun waktu duduk. Fikir saya, takkanlah baru berjalan sedikit waktu puasa ini dah keletihan sampai begini sekali. Usai solat Asar saya tidur, hajatnya hendak menghilangkan perasaan-perasaan pelik ini.
Saya terbangun bila K.Hanisah gerakkan saya. Hati memberontak untuk bangun sebenarnya, masih mahu tidur. Tapi K.Nisah berkeras mahu saya bangun dan berbuka. Terpaksa saya ke tandas dan basuh muka. Sengaja saya lambat-lambatkan pergerakan, harapannya K.Nisah bosan menunggu lantas meninggalkan saya. Dengan itu saya akan kembali ke bilik dan menyambung tidur.
Hampa, K.Nisah memang tegar.
Sesampainya ke depan juadah, tekak benar-benar protes. Air hanya diteguk setitis dua. Duduk depan dulang, saya hanya memandang. Pandang dengan perasaan semacam geram dan benci. Lantas saya bangun, mencari-cari bilik yang boleh saya baring.
Sedar-sedar (separuh sedar) ada orang sedang meruqyah saya. Langsung tak upaya untuk bangun dan buka mata. Sambil gigi saya terketap-ketap dan mata asyik menangis. Lama saya begitu, hingga selesai orang solat terawikh. Trimas buat yang sudi menjaga.
Dan hari ini, ada seorang lagi yang terkena gangguan. Lebih teruk, jinnya bercakap. Dari Banting katanya.
Aduh, bulan puasa pun nak kacau orang.
Hm, jin pun kena puasakah? Kena tanya Abah ni..