>>test

Sunday, February 8, 2009

Suci Dalam Debu



"Kak Chick, pinjam mafla, tak tahan, sesak nafas"

"Akak ada niqob lebih, nak pinjam?"

"Hehe, ade ke patut pakai niqob sebab habuk..."



Belum sebulan kaki ini suam-suam di Jordan, dengan izinNya saya dibawa ke Mesir. Masakan tidak, kos ditanggung serba sedikit oleh Jabatan Penuntut Malaysia Jordan serta Maljis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ). Perjalanan pada 29 Januari yang hanya mengambil masa 1 jam, hinggakan tergesa-gesa kru kapal terbang memungut makanan yang belum puas kami jamah.

Siapa tak kenal Mesir. Lebih-lebih lagi selepas fenomena Ayat-ayat Cinta. Mas Fahri menjadikan Mesir bagaikan syurga ilmu, sejuk biar dibahang matahari. Dengan lambakan pelajar Malaysia di Azhar, pusat para cendikiawan. Dengan sumber paling tepat pembinaan semula jemaah di dunia bawah pimpinan Al Banna.

Ah, bila tahu akan fakta ini, siapa yang tidak terliur untuk ke sana?

Nilai Yang Hilang

Pucat muka kami menaiki bas awam Mesir merupakan pengalaman pertama, pengalaman hitam pertama di bumi para Nabi. Pengalaman pertama yang memberi gambaran pelbagai akan Mesir di benak kami. Keadaan bas yang penuh sesak, tak sabar untuk menurunkan penumpang, hinggakan pabila 9 orang kami telah turun, seorang lagi masih dalam perut bas sedangkan bas sudahkan bergerak.

Bukan setakat pucat muka, tapi bergenang air mata!


Kerana sangkaan kami, dunia Arab adalah sama. Di Jordan, tak pernah pula ada yang berdiri di dalam bas. Yang lelaki akan mendahulukan wanita untuk duduk. Bukan setakat dalam bas, malah di mana-mana. Ketenangan yang kami pinta, yang tidak ada di Malaysia.

Melintas jalan sahaja, tak pernah menggusarkan kami. Berdiri saja dibahu jalan, pasti kenderaan akan perlahan lantas berhenti. Berbeza di Mesir, kami menjerit ketakutan dengan kereta yang main memecut sambil membunyikan hon.

Hari-hari berikutnya, hati kami dipujuk dengan menaiki tremco.




"Kalaulah bumi Mesir ini hilang keilmuannya, maka apa yang tinggal padanya hanyalah fitnah pada Islam itu sendiri"

Kak Husna mengangguk-angguk dengan bicaraku lewat hari itu. Sambil pipi kami ditampar debu-debu kota Kaherah.

Lorong-lorong sempitnya hanyir dengan bau air kencing. Berhimpit-himpit dan saling tolak menolak untuk masuk ke masjid. Hilang husnu dzan untuk beramah mesra dengan orang yang lalu lalang. Diri dan harta tak lagi dirasakan selamat.

"Syi letak mana dompet tu? Dalam beg Kak Aina kot.."
"Tak, memang dalam poket jubah ni tadi"
"Sabar Syi. Orang sini memang pakar bab seluk-seluk ni"

Hilang akhlak, hilang izzah.

Walhal seantero dunia tertanam di minda bahawa negara Arab itu Islam. Tapi realitinya, hampir tiada keislamannya yang tinggal. Entah apa pandangan masyarakat agama lain yang ingin belajar tentang agama yang indah ini, datang ke Mesir. Apa pula kata-kata orentalis dan musuh Islam terhadap kita.

"Nilai Islam hari ini tidak wujud lagi pada Arab, tapi ia sedang mekar di Eropah"

Ya Allah, Ya Rasul, ampunkan ummatmu yang melakar warna hitam pada agamamu. Dan aku pasti, bumi Mesir turut menangisi akan nasibnya!

Glosari
1. Mafla = sejenis selendang
2. Niqob = purdah, kain menutup separuh muka wanita
3. Izzah = kemegahan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2009 Terbang | Lihat | Tafsir. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates | Blogger Styles | WP by Masterplan