>>test

Tuesday, September 30, 2008

Eid Mubarak


Acara mengemas tahunan



Satu yang saya suka bila raya, rumah akan dikemas sekemas-kemasnya, walau nun jauh ceruk akan dikemasi. Sebab? Kerana awal-awal raya rumah akan menerima ramai pengunjung, lebih-lebih lagi tahun ini abah dah ramai pesakit. Confirm diorang ziarah punyelah. Jadi, bagi mengelaknya rumah (tuan rumah) diumpat dalam hati kerana rumah yang BERHABUK, maka tuan rumah akan bertungkus-lumus mengemas!

Kalau raya tiap 2 bulan sekali, mau rumahku kemas sokmos.. Yep, saya mengaku memang tak terlibat dalam bab kemas-kemas rumah saya. Macam saya kata dalam post tentang mac and cheese, power saya hilang bila di rumah. Beza bila berada dirumah sendiri, automatik mengemas sebab kita tahu rumah akan sepah teruk dan tak akan ada orang yang akan tolong kemaskan.

Jadi, saya merindui mengemas.. Huhu.. Walau dapat ruang yang agak kecil untuk di'make-up' (ruang tamu) tapi boleh la, ubat hilang rindu..

banyak sangat eksesori kot

boleh la, my little work place

adik saya pun pandai mengemas, eh, menyusun


Selamat Hari Raya buat semua yang sudi mengunjung blog saya. Maaf andai dalam penulisan dan perkenalan anda dengan saya, saya pernah meresahkan jiwa anda. Buat ahli bait Jannatul Ma'wa (dan jirannya), ampun maaf dari saya.

Jemput ke teratak saya, hutan Kuang, Selangor


rumah belakang tu dah runtuh kene hempap tanah. Hm..

Sunday, September 28, 2008

Bulan Itu Bulan Yang Memudahkan


KMPh diselimuti malamNya

Lewat malam itu aku dengar ketukan pintu bilik. Cahaya bilik suram, tanda penghuni sepatutnya tidur, paling tidak bermalasan atas katil. Ah, ketukan itu pasti dia, moga malam ini ada rezeki buat aku dan teman sebilik.

Pintu kami kuak dengan gembira. Benar, Zu, memang dia. 'Nah nasik lebih'. Kagum aku pada kesungguhannya, berniaga pada malam yang amat selesa untuk menelaah. Bungkus-bungkus nasi kami sambut dengan penuh suka. Bismillah, mula iftar dan pra sahur kami berempat. Aku, Syud, Tiki dan Rima si gadis orang Asli yang baik 'Melayu'nya.

Malam itu aku bangun dengan penuh cinta. Untung sungguh, surau benar-benar dihadapan bilik ku. Tanpa perlu menjejak koridor, aku langkah terus masuk ke perut rumahNya. Malam itu seperti malam-malam biasa bulan ini. Malam untuk bercanda melafaz cinta, hanya aku dan Dia.

Usai subuh ku ambil kitab suci. Kucup penuh ta'zim. Targetku mahu habiskan bacaannya bulan ini. Kalau benar, satu rekod baru buat aku yang selama ini sesat dengan fatamorgana. Ku belek tanda, ya, rekodku amat baik. Bulan ini cukup mudah. Lagi-lagi selepas fenomena Ayat-ayat Cinta, membaca kalamNya dimana-mana sudah menjadi budaya. Kadang menunggu sang pengerusi memulakan acarapun, aku dan Salihah sempat berlumba membaca.

Makan tengahari yang tiada, amat mendamaikan jiwa. Kalau tak, orang asyik bertanya 'Kenapa tak makan? Diet?'. Sahabatku mengerti, tapi tak mungkin aku tegar untuk menjadi tempat dia beramal mulia. Jika tidak, sekeping roti pengalas lapar akan dipandang hina. Tapi bulan ini bulan yang mendamaikan. Tengahari itu kami bersama mengisi rohani.

Ah, sungguh, damainya hari-hari yang dilewati.

Pabila petang mula menyinggah, yang lelaki sibuk membeli juadah. Kami hanya akan menanti di tangga masjid, menunggu arahan andai mereka perlukan dulang tambahan. Sana-sini dicelah rak Al Quran ada yang sedang berbicara sendirian, meneliti kata-kata dari Tuhan.


Kami akan beratur dikaki tangga, ada juga yang berlari-lari memakai sarung kaki untuk turut serta mengangkut dulang dibawah. Biar badan letih, tapi masing-masing berlumba beramal.

Bisik-bisik mula kedengaran, siapa imam malam ini? Ah, Rozi, pemuda yang lunak suaranya. Lembut jiwa mendengar dia mengalun pesan Sang Pencipta. Ruang masjid terasa bahang kerana penuh dengan mereka yang ingin mengaut pahala. Biar begitu, kamilah yang paling sukacita. Selama ini lantai masjid hanya dipenuhi oleh serangga, tapi kini oleh sang hamba.

Ah, indahnya bulan ini ya Illahi! Kenapa tidak Kau lanjutkan saja ia ke 11 bulan yang seterusnya?

Penghujungnya tetap tiba. Sang cinta merintih hiba, kerana tiada lagi yang seumpama ini, entah akan berjumpa kembali entah tidak.


27 Ramadhan 1427
Kolej Matrikulasi Pahang
Ramadhan ku yang pertama
Sejak diri ini diterima semula olehNya

Saidatina Khadijah Hanya Satu Dalam Semua


Dari ‘Aisyah r.a katanya:”Saya tidak cemburu kepada seorang perempuan seperti cemburunya saya kepada Khadijah. Sesungguhnya Tuhan telah menyuruh Nabi untuk menyampaikan berita gembira kepada Khadijah akan memperoleh rumah di dalam syurga.”

(Bukhari)

Ada satu hikmah besar apabila Nabi menikahi Khadijah yang pada masa itu dalam usia 40-an serta berstatus janda. Hasil usianya yang hampir mencecah setengah abad serta pengalaman merasai dua perkahwinan iaitu Abu Halah bin Zararah bin an-Nabbasy bin ‘Ady at-Tamimi, kemudian menikah dengan ‘Atiq bin ‘A’idz bin ‘Abdillah bin ‘Umar bin Makhzum; menyebabkan Khadijah sangat matang. Tambah lagi dengan bijaksananya, satu pembuktian seorang usahawan yang berjaya.


Matangnya dirinya hingga dia cukup yakin untuk memilih malah merisik pemuda bernama Muhammad sekaligus menolak seluruh pemuka Quraisy yang sedang sasau untuk menyuntingnya. Secara zahir, pemuka Quraisy itu jauh lebih baik dari anak muda yatim lagi miskin. Kerana dia yakin, dia seorang wanita yang menjaga kehormatan diri sehingga melekatlah sebutan ath-thaahirah pada dirinya, harta pangkat itu tidak setara dengan indah akhlak pemuda itu.

Ah, harta telah dimilikinya. Khadijah dambakan kedamaian jiwa!

Perkahwinan Khadijah dan Muhammad merupakan keuntungan buat dua belah pihak. Khadijah sangka dia yang beruntung kerana menjadi suri kepada lelaki yang baik budinya. Tapi sebenarnya, Muhammad juga adalah yang paling bertuah di alam semesta.

Khadijah mengisi kosongnya jiwa Nabi Allah itu dari belaian seorang ibu. Masakan tidak, seusia 40 layaknya adalah seorang ibu untuk yang berumur 25 pada zaman itu. Muhammad dilayan bagai anaknya, ditatang penuh sayang dan sabar.


Bila lelaki itu datang dengan peluh takutnya setelah bertemu makhluk bercahaya di Jabal Hira', Khadijah selimutkan dan peluk melerai resah dengan penuh kasih. Persis seorang ibu yang sangat cintakan anaknya, dia tenangkan penerima wahyu itu hingga dia tertidur dalam dakapannya. Persis seorang ibu yang sangat prihatin tentang apa-apa yang mengganggu anaknya, dia melangkah berani ke rumah Waraqah bin Naufal bin Asad bin ‘Abdil ‘Uzza walau tika itu malam gelita menutupi bumi Mekah.

Khadijah sudah masak dengan perkahwinan. Tidak akan ada adegan merajuk ngada-ngada meraih pujuk dan perhatian suami seperti pasangan yang masih segar dalam rumahtangga. Tidak akan ada rasa cemburu buta padanya andai lelaki itu keluar bertemu perempuan mana-mana. Bahkan bila ada wanita yang bertemu suaminya meminta diajari cara mandi wajib, Khadijah sudi sama-sama tunjukkan. Tak akan bising-bising bila Muhammad outstation lama-lama.

Ah, wanita ini. Dia bukan sekadar yang pertama membenarkan wahyu Tuhan, tapi jua yang terakhir memili peribadi yang sangat lumayan. Hingga sang Jibril menyampaikan salam buatnya dari Rabb dan darinya.

Benarlah, lelaki yang baik akan memiliki wanita yang baik. Mana mungkin Allah mahu sesakkan dada kekasihNya, yang tidak putus-putus dengan dugaan sebelum diri dilahirkan, hendak dipasangkan dengan wanita yang memeningkan benaknya. Jika dambakan pasangan yang baik, pastikan diri cukup hebat untuk mendampinginya.

Salam sayang, kagum serta rindu buat Ibu semua yang beriman. Sungguh, rumah di dalam syurga dari mutiara yang berlubang, yang tak ada keributan di dalamnya, dan tidak pula keletihan selayaknya buatmu. Sungguh tiada lagi yang sepertimu!

Kaulah lambang cinta sejati
Srikandi pertama tika Islam bermula
Hatimu menyalakan keyakinan
Hartamu membuktikan pengorbanan

Rasul keseorangan engkaulah teman
Dia tersisih engkau memilihnya
Dia terbuang engkau menyayanginya
Kerana iman kau sanggup berjuang

Siti Khadijah namamu indah
Qudwah hasanah tauladan ummah
Jikalau rasul terpinggir
Engkaulah insan terhampir

Siti Khadijah mujahidah solehah
Agung jasamu dipersada sejarah
Pemergianmu ditangisi nabi
Hingga kini tiada pengganti

Sunyi jalan menuju Allah
Menggamit hati mencari teman
Indah jalan menuju allah
Jika teman seperti Khadijah
Masih ada lagi...

Friday, September 19, 2008

Macaroni and Cheese. Alangkah...



Saya bukanlah pakar dalam bidang masakan. Tanyalah adik saya, berapa kali dia nampak saya memasak di rumah. Mesti dia jawab "Kakak aku masak? Lol!!" Tapi cuba tanya ahli bet N301 Perwira, siapa biasa duk sorang buat projek di dapur. Haha.. Walau masakan ku tidak sehebat Azim yang bakal menjadi MPM UTM Skudai, tapi atas rasa kasih-sayang kat ahli rumah, kita hantam saja. Diorang tak bising pun, asalkan ada benda nak dibuat makan. Em, macam tu kot omak-omak kita, atas nama CINTA mereka secara automatisnya memasak. Huhu..

Ah, cukup mengarot. Sebenarnya nak kongsi rasa, eh, resepi. Pernah dengar Macaroni and Cheese, atau waktu pertama kali saya dengar Mac & Cheese. Saya diperkenalkan oleh agen Booth dan Bones dalam siri "Bones". Hai, tak pernah tengok? Kesian.. Tak pe lah.



Kembali kepada Mac & Cheese. Huh, saya memang suke amat-amat dengan keju. Peh, lihatlah sendiri kekejuannya.. Huh, waktu puasa nih, memang jahat betul saya menguji iman anda. Keh keh keh..

Baik, jom kita mula studi tentang Mac & Cheese ini!

Bahan-bahan asas nak tambah bahan lain, terpulang
  • 115g macaroni
  • 55g butter/marjerin
  • 30g tepung gandum
  • 575ml susu segar
  • 170g cheddar cheese
  • garam dan lada sulah
  • 100g serbuk roti
  • 45g parmesan cheese-parut


Mari Mula!!!

Panaskan susu dan di dalam periuk kecil dengan api perlahan. Awas, jangan biarkan ia mendidih. Ketepikan.

Cairkan mentega di dalam periuk. Masukkan tepung, sebatikan. Masak selama 2-3 minit. Hati-hati agar tidak hangit. Tapiskan campuran susu tadi dan masukkan ke dalam adunan tepung tadi. Sebatikan dan gaulkan perlahan. Masak sehingga mendidih, kacau selalu. Masak selama selama 4-5 minit. Masukkan sedikit garam dan lada hitam. Padamkan api dan masukkan 30 ml cheese dan kacau hingga cheese cair dan sebati.

Panaskan oven 200 darjah C (400 darjah F). Sapukan sedikit mentega pada bekas casserole (oven proof) dan taburkan sedikit serbuk roti.

Sambil itu, rebus pasta dengan air yang dimasukkan sedikit minyak dan garam (atau salted butter) sehingga 3/4 masak atau "al dente". (Tip : kurang sedikit daripada masa yang dianjurkan di paket).

Buang air rebusan pasta dengan penapis. Masukkan ke dalam "sos" tadi, gaul rata. Masukkan ke dalam bekas casserole. Taburkan serbuk roti dan baki cheese tadi. Bakar selama 20 minit sehingga kekuningan dan cheese membuak.


Sekian resipi yg di copy and paste tanpa mencubanya dahulu. Huhu. Selamat bereksperimen!

AMARAN! Resipi ini tak sesuai dicuba oleh mereka yg mahu berdiet atau jaga body

Wednesday, September 10, 2008

Jalan Pulang Ke Pangkuan Tuhan Terlalu Luas

**Artikel lepas tulisan Dr Mohd Asri yang dicadangkan untuk bacaan bersempena dengan Ramadhan ini**


ANTARA keistimewaan Islam yang agung ini adalah jalan pulang ke pangkuan agama ini amat luas terbuka dan tidak membebankan. Peluang seorang insan kembali ke pangkuan keampunan dan keredaan Allah tidak pernah disekat oleh sebarang jarak waktu, latar diri, keturunan, atau harta.

Sesiapa yang ingin pulang ke pangkuan Allah tidak pernah dihalang oleh agama ini disebabkan jenis dosanya atau keturunan, usianya yang lanjut, atau apa sahaja.


Seseorang yang ingin kembali kepada Allah diterima oleh kerahmatan-Nya dengan syarat insan tersebut menyesali kesilapannya, benar-benar memohon keampunan dan berazam tidak mengulangi kesalahan lalu.

Jika kesalahan itu sesama insan lain, dia memohon maaf dari yang dizalimi. Jika tidak mampu, bimbang mudarat yang lebih besar jika permohonan maaf dibuat, serahkan sahaja urusannya itu kepada Allah dan Allah Maha Mengetahui kadar kemampuan hamba-hamba-Nya.

Firman Allah dalam surah Ali ‘Imran 135-136:

(maksudnya) Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah - dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang- orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.

Ampuan Yang Tidak Boleh Dibeli, Tanpa Pengantara



Islam bukan seperti sesetengah ajaran yang menyuruh seseorang yang berdosa membuat pengakuan di hadapan orang agama, atau melakukan upacara yang menyeksa diri demi penghapusan dosa seperti melukakan diri atau berjalan atas bara api atau membuat bayaran penebusan.

Demikian perbuatan sesetengah pihak mencari rezeki dengan mengambil upah untuk pelupusan dosa solat atau puasa atau ibadah yang lain, bukan dari ajaran Islam. Islam tidak pernah mengenal itu semua. Seperti Islam tidak pernah menerima sama sekalipun perbuatan sesetengah agama lain yang mengeluarkan surat berbayar untuk penghapusan dosa, demikian Islam tidak dapat menerima perbuatan penganutnya jika melakukan hal yang sama dengan mengeluarkan borang pahala yang dijual sempena Ramadan atau selainnya.

Keampunan dan rahmat Allah bukan dijual di jalanan. Ia sangat berkaitan dengan keluhuran jiwa yang ikhlas ingin kembali kepada Allah Yang Maha Pengampun. Jika keampunan hanyalah bayaran yang dibayar kepada pihak tertentu, tentulah semua orang kaya tempatnya di syurga.

Sementara si miskin yang tidak mampu membayar kepada golongan agama tiadalah habuan keampunan untuknya. Maka tidaklah perlu lagi seseorang berpegang dengan agama, cukuplah dengan membanyakkan ongkos, maka selamatlah dia di sisi Tuhan. Aduhai, tentu tidak demikian.

Firman Allah (maksudnya) Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan manfaat sesuatu apapun. Kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera. Dan (pada hari itu) didekatkan syurga bagi orang- orang yang bertakwa. Dan diperlihatkan neraka jelas nyata kepada orang-orang yang sesat. (surah al-Syu’ara 88-91).

Tutuplah Dosamu, Biar Allah Sahaja Yang Tahu

Seseorang yang berdosa pula, tidak disuruh mendedahkan dosanya kepada orang lain sekalipun di hadapan ulama atau siapapun di kalangan manusia. Bahkan dia disuruh bertaubat antara dia dengan Allah dan menutup keburukan dirinya daripada orang lain.

Nabi s.a.w. bersabda: Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang Muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat. (Riwayat Muslim).

Termasuk dalam perkataan Muslim itu diri insan yang berdosa itu sendiri, dia juga tentu seorang Muslim. Maka dia wajib menutup keaiban dirinya. Maka dalam Islam tidak ada ‘pengakuan dosa di hadapan paderi’. Sesiapa sahaja yang berasa berdosa dan ingin kembali kepada Allah, maka dia bertaubat di mana sahaja dia berada.

Sabda Nabi: Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya. (Riwayat al- Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Aduhai luasnya rahmat Allah dalam agama ini. Bahkan dalam sebuah hadis kudsi,

Allah berfirman: Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya aku datang kepadamu dengan penuh keampunan. (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Bahkan kita dilarang kecewa dengan hidup disebabkan dosa yang lalu. Sebaliknya, disuruh agar sentiasa memohon keampunan daripada Allah dan jangan kecewa dari rahmat-Nya.

Firman Allah dengan penuh syahdu dalam surah al-Zumar ayat 53: (maksudnya), Katakanlah: Wahai hamba- hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) ketika mentafsirkan ayat ini menyebut: “Ayat yang mulia ini adalah panggilan untuk semua pembuat dosa dari kalangan yang kufur dan selain mereka agar bertaubat dan kembali kepada Allah. Ayat ini juga adalah pemberitahuan Allah Yang Maha Berkat Lagi Maha Tinggi bahawa Dia mengampunkan segala dosa untuk sesiapa yang bertaubat dan meninggalkannya, walau bagaimana besar dan banyak sekalipun dosa tersebut. Sekalipun bagaikan buih di lautan”. (Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/74, Beirut: Mussasah al-Rayyan).

Maka tidak ada kecewa bagi insan yang berdosa. Sekalipun kadangkala ada dosa yang tidak dapat dimaafkan oleh perasaan insan lain, namun Allah tidak pernah menutup pintunya selagi insan yang berdosa itu insaf, benar-benar kembali kepada-Nya.

Saya bicarakan tajuk ini, sesuai dengan suasana puasa. Juga agar perbincangan agama, janganlah menyebabkan manusia ini kecewa dengan diri mereka dalam mencari jalan pulang ke pangkuan Tuhan.

Jalan Untuk Kembali Adalah Untuk SEMUA!!



Agama ini begitu lunak. Pintu untuk mendekati Tuhan tidak pernah hanya dikhususkan untuk orang tertentu semata. Bahkan sesiapa sahaja yang menerima Islam ini dan berusaha mendekatkan diri dengan jalan Rasulullah maka dia akan sampai ke dalam rahmat Allah.

Tiada perbezaan antara mufti, ustaz, imam dan orang biasa. Tuhan tidak pernah menilai insan dengan gelaran-gelaran yang diberikan oleh sesama manusia. Dia melihat keluhuran jiwa dan kesahihan amalan. Entah berapa ramai orang biasa lebih mulia di sisi Tuhan dibandingkan mereka yang bersandar dengan berbagai-bagai gelaran dan pangkat. Jalan pulang ke pangkuan Tuhan tidak pernah mendiskriminasikan manusia.

Kadangkala amat menakutkan kita mendengar ucapan sesetengah orang. Saya pernah mendengar seseorang menyebut “dosa- dosa si polan tidak akan diampunkan Allah.” Ringan perkataan itu di lidah kita, amat berat kesalahannya di sisi Allah.

Sejak bilakah pula kita menjadikan wakil Tuhan dalam memutuskan rahmat atau kelaknatan di kalangan hamba-hamba-Nya. Kita menolak manusia ingin kembali dataran keampunan Allah hanya kerana emosi kita, sedangkan Allah sendiri mengisytiharkan keluasan rahmat-Nya untuk semua.

Berperanan Dalam Kempen KeampunanNya

Marilah kita berkempen untuk manusia mendapatkan rahmat keampunan Allah ini. Bukan untuk orang masjid dan surau sahaja, tetapi juga semua muda-mudi di jalanan, artis di pentas, pemimpin di gelanggang politik dan seterusnya. Jangan menghukum seseorang itu sebagai tidak berpeluang menerima rahmat Allah sedangkan roh masih di jasadnya dan hukuman Allah belum pun kita tahu.

Nabi bersabda: Jika seseorang berkata: Binasalah manusia, maka dialah yang paling binasa. (Riwayat Muslim).

Hadis ini bermaksud apabila seseorang berkata dengan tujuan merendahkan orang lain dan membanggakan dirinya seakan orang lain tidak mendapat kerahmatan, maka dialah akan dibinasakan Allah. Dakwah agama hendaklah merentasi sempadan-sempadan yang dibikin oleh kita. Rahmat Allah mestilah disebarkan ke semua daerah hidup yang pelbagai. Sama ada yang berada di gelanggang sukan, di pentas filem, di medan politik atau apa sahaja.

Janganlah perbincangan agama hanya menggambarkan seakan semua manusia akan memasuki neraka semata, lalu kita lupa Allah ialah Tuhan Yang Maha Rahmat. Ungkapan-ungkapan agama ini adalah ungkapan memberikan harapan, bukan menimbulkan kekecewaan.

Sehingga dalam hadis Nabi bersabda: Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya – dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya-dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hamba-Ku in, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini bukanlah menggalakkan manusia melakukan dosa, tetapi menceritakan hal seorang hamba yang bertaubat bersungguh-sungguh namun gagal mengawal dirinya lalu tetap terjatuh ke dalam dosa. Setiap kali berdosa, dia ikhlas memohon keampunan dan dia tetap diampun oleh Allah s.w.t.

Hadis ini memberikan semangat kepada mereka yang telah bersalah berulang kali untuk terus bertaubat bukan berputus asa dan terus mengikut jejak langkah syaitan. Walaupun barangkali orang lain akan menyebut kepadanya “tidak guna kau bertaubat, sudah berapa kali kau tetap gagal kekal atas taubatmu”, namun Allah tidak berkata demikian. Dia Yang Maha Pengampun tetap membuka pintu selagi hamba-Nya itu jujur dan ikhlas merintih kepada-Nya.

Jika Allah menutup pintu, maka kekecewaan akan meliputi jiwa hamba yang seperti ini dan akhirnya dia akan terus tenggelam dalam kejahatan. Namun dengan dibuka seperti ini, insan akan terus berusaha kembali kepada Allah setiap kali tergelincir.

Saya amat hairan, ada agama tertentu yang dikatakan mempengaruhi emosi sesetengah anak-anak muda kita disebabkan unsur kasih sayang dan rahmat berkenaan yang ditonjolkan dalam agama. Seakan anak-anak muda kita tidak pernah mendengar tentang keluasan rahmat dan keampunan Allah dalam Islam ini. Lalu mereka pun kagum dengan agama lain dan melupai agama sendiri yang diturunkan Allah ini.

Adakah kerana mereka tidak mempelajari ajaran Islam yang betul? Ataupun kempen kita kepada Islam kurang menonjolkan unsur-unsur kerahmatan agama ini?

Hendaklah kita sedar, dalam dakwah baginda Nabi bukan hanya diceritakan balasan neraka, namun diceritakan juga kenikmatan syurga. Bukan hanya tentang kemurkaan Allah kepada yang menderhakai-Nya tetapi juga rahmat-Nya bagi yang kembali kepada kepada-Nya.

Firman Allah dalam surah al-Hijr 49-50: (maksudnya) Khabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku (Wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh). Dan bahawa azab-Ku, adalah azab yang tidak terperi sakitnya, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaan)

Di suasana Ramadan ini, semoga taubat mempunyai ruang yang besar dalam hidup kita. Manusia disuruh takut melakukan dosa. Namun jangan kecewa jika tersilap. Di samping insan juga hendaklah selalu beringat, bahawa dosa yang terlampau setelah diberi peringatan, boleh menghilangkan ingatan insan untuk kembali kepada Tuhan.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 6-7: (maksudnya) Sesungguhnya orang-orang yang ingkar itu, sama sahaja kepada mereka: Sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman. (Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka, pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.

Tuesday, September 2, 2008

Tiba Masa Untuk Implimentasi Ilmu!

Dipinjam dari blog Abah AKRINE

Dua orang anak saya, yang sulong dan yang kedua selesai pengajian masing2 pada tahun ini. AlhamduliLLAH beban sebagai seorang ayah berkurangan sedikit dimana sebelum ini 3 anak saya masih menuntut di pusat-pusat pengajian tinggi. Kini tinggal seorang yang berada di tahun 2 manakala anak yang ke 4 sedang mengikuti persiapan keluar negera tajaan MARA.


Muhammad Abdul Hadi lulusan sarjana muda kepujian dalam bidang filem animasi



Muhammad Afif Diploma perakaunan


Kalau ada diantara pengunjung blog ini mempunyai jawatan kosong dalam bidang berkenaan, saya harap bolehlah menghubungi saya di 017-3646461.

Terima kasih. Iklan sementara

Kelawar : Tahniah buat Along n Angah. Hari tu tak dapat join konvo, kene skolah (bahasa standart : ada kuliah). Masanya telah tiba untuk kalian menggunakan ilmu yang anda untuk ummah, diri dan keluarga. Jangan lupa tanggungan hutang Umi n Abah..

Lepas ni boleh tanggung Dida belajar pulak. Hutang Along kire setel la...

Ape agaknya nasib aku..?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2009 Terbang | Lihat | Tafsir. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates | Blogger Styles | WP by Masterplan