Tahun 1428H bakal melabuhkan tirainya. Meninggalkan segalanya dalam lipatan kenangan dan catitan Rakib dan 'Atid. Entah apa komen mereka yang sangat tulus dalam melaksanakan tugas terhadap kita.
Bagi yang merayakan kehilangan 2007, akan menyambut lagi satu perayaan yang pada hemat saya lebih kurang sama.
Kedua-duanya meninggalkan tahun dan menyambut tahun.
Kedua-duanya menuntut koreksi segenap aspek.
Kedua-duanya memperbaharui azam dan perancangan.
Jadi apa istimewanya tahun baru Islam berbanding masihi? Kalau benar Islam sudah lengkap (dan melengkapkan yang lain) seharusnya tak ada dua perayaan yang serupa. Dan tak perlulah merayakan keduanya.
APA YANG DITINGGAL BUAT KITA
Sebelum kita melihat sama-beza tahun masihi dan tahun Islam, mari kita selak tirai yang bakal menghijab kita untuk melangkah ke belakang.
Suatu peristiwa yang menarik Allah sediakan buat kita sebelum melangkah lebih jauh. Hari Raya Korban atau Eidl Adha berdiri betul-betul di belakang tirai. Eidl Adha bukan sekadar satu perayaan dan peristiwa, tapi ia juga satu memo awal dari Allah untuk gerak kerja tahun hadapan.
Peristiwa keluarga Ibrahim diisytihar sebagai satu perayaan kerana Allah mahu semua mengambil ibrahnya pada setiap tahun. Kisah lelaki, suami, bapa, pemimpin, wanita, isteri, ibu, madu, serta seorang anak. Kisah yang menjangkau watak walau hanya diwayangkan oleh TIGA manusia. Lengkap untuk semua lapisan manusia.
BIASA YANG LUAR BIASA
Ya, Hajar hanya wanita biasa. Malah tarafnya sebelum dinikahi oleh Nabi Ibrahim adalah hamba, hadiah pemberian Raja Mesir. Selepas dinikahi pun, dia masih biasa. Malahan dia adalah isteri kedua, madu buat Sarah. Tiada apa yang menarik pada Hajar pada asalnya.
Namun Allah pilih dia untuk menerima tarbiyah hebat. Memegang status isteri kedua dan mampu melahirkan anak pasti menimbulkan cemburu buat Sarah, biarpun pada awalnya Sarah yang mengusulkan Nabi Ibrahim untuk memperisterikan Hajar. Mungkin itulah fitrah wanita (saya kata 'mungkin' kerana saya belum bermadu, jadi tak tahu perihal hati wanita yang dimadukan).
Lantas Allah mengilhamkan Nabi Ibrahim untuk membawa keluarganya yang satu itu jauh dari Sarah. Malah jauh dari sekalian manusia. Dan Hajar tak merungut biar sepatah. Dia sanggup mengorbankan haknya untuk tinggal selesa bersama suami tercinta, demi kebahagiaan madunya yang berjasa.
Dibawanya jauh dari kota Kan'an dan seterusnya disuruh tinggal berdua dengan bayinya di tengah lembah Bakkah yang kering. Dan dia masih tak merungut biar arahan itu seakan tak masuk akal dan boleh membahayakan nyawa. Mungkin mati dek tiadanya makanan dan air. Mungkin diculik dan dijual oleh pedagang yang lalu lalang.
Tapi dia tak mengungkap apa.
Yang keluar dari bibirnya hanya pertanyaan, "Ibrahim suamiku, benarkah engkau akan meninggalkan kami sendirian? Benarkah ini perintah dari Allah?" Apabila Nabi Ibrahim mengiyakannya, dia tak tanya apa-apa lagi.
Tak tanya bila suaminya akan datang semula.
Tak persoal adakah tempat itu selamat dihuni atau tidak.
Tak berkata apakah bekalan yang ditinggal.
Hajar meletakkan thiqohnya hanya pada Allah hingga tak terlintas di hatinya sangkaan buruk (suuz dzan) terhadap Allah mahupun suaminya.
Barang siapa menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang pada tali Allah yang kukuh. Dan hanya kepada Allah lah kesudahan segala sesuatu [Surah Luqman: 22]
Disinilah letaknya LUAR BIASA pada wanita biasa seperti Hajar. Kerana lasaknya diri (jiwa) demi Allah, suami, anak dan madunya dia diangkat ke darjat yang tinggi yang tak pernah dia banyangkan.
Juga pada Ismail yang sanggup 'dibunuh' oleh bapanya sendiri sewaktu dirinya masih kecil. Mungkin kita mempertikainya yang Ismail adalah seorang Nabi, jadi dia ada sedikit 'luar biasa'. Tapi hakikatnya dia jua manusia, malah seorang anak kecil yang masih banyak keletah.
Di sini letaknya peranan Nabi Ibrahim sebagai seorang pemimpin keluarga. Dia mampu mencorakkan hati keluarganya supaya benar-benar taat pada Allah. Walau ada ketikanya dia sendiri bermuram duka untuk menyembelih anaknya, tapi anaknya yang bakal 'dibunuh' itu pula yang memujuknya untuk melaksanakan suruhan.
SURAT PEKELILING DARI NYA
Alihkan pandangan kita pada segala gerak laku zahir dan batin sepanjang 2007 dan 1428. Apakah kita sudah layak melihat syurgaNya andai kita dijemput pada malam tahun baru hijrah ini.
Kononnya bangga dengan orang kampung kerana bergelar mahasiswa, tapi bila kita ditarbiyah olehNya, tak kira melalui siapa, pasti ada keluhan meniti dibibir. Kalaupun hebat bibir menahan rasa, tanya pula pada hati. Sedikit sebanyak pasti terasa berat menerima 'hadiah' musibah dariNya.
Maka apakah kita bangga diangkat darjat oleh manusia kerana status mahasiswa padahal kita sendiri meletakkan martabat kita pada tahap lebih rendah dari hamba sahaya kerana mempertikai caturan Maha Pencipta?
Ini berlaku pada anda dan saya. Kita serupa. Maka Allah mengirimkan kita sebuah kisah untuk memandu perjalanan HIJRAH. Pilihan memang terletak pada tangan kita. Samada ingin menerima manual ini ataupun tidak. DIA tak rugi walau sekecil zarah.
SAMA TAPI JAUH BEZANYA
Jadi apa beza tahun baru masihi dengan Islam?
Bezanya ialah dengan Islam kita diberi panduan. Dengan masihi kita masih meraba.
Dengan Islam kita dibawa kepada sirah (kisah keluarga Ibrahim dan perpindahan kaum muslimin membentuk dunia baru Islam). Dengan masihi kita asyik memandang ke depan.
Dengan Islam kita bertahun baru (beraya) sebagai hamba. Dengan masihi kita bergelak gila suka tanpa punca.
Dengan Islam kita dipesan olehNYA untuk BERKORBAN, MENDIDIK JIWA, dan sentiasa BERLAPANG DADA TERHADAPNYA (semuanya mengandungi keperitan!). Dengan masihi kita bongkak menongkah pembaharuan.
Maal Hijrah tidak disambut dengan sia-sia. Kita dituntut untuk membedah segala titik hitam dalam diri supaya tahun 1429H melihat seorang MUKMIN baru yang bukan sahaja penuh dengan azam tapi juga terkandung ketundukan terhadapNya.
Sesungguhnya pada hari ini aku memohon ampun dariMu, maka ampunilah aku dan segala yang aku lakukan pada tahun ini, yang Engau redhai dan Engkau janjikan pahala maka aku memohonnya dariMu"
Selamat tahun baru Hijri. Semoga tahun 1429H memperlihatkan manusia (MUKMIN) serba baru. Baru yang semakin ke arahNYA.
kelawarHijau
30 / 12 / 1428H
6.15 petang