Seronokkah bila orang bersetuju dengan apa yang dikata?
Tatkala hati sedang alpa, pasti ada rasa sebegitu.
Tapi bagaimana pula jika semua yang disampaikan diterima?
Dengan teknik kreatif iblis alaf 21, takut-takut akan bercambah pula rasa hebat dalam diri.
Bukan ujub yang saya risaukan. Bukan jua saya tak ambil kisah ancaman Nabi pada orang yang ujub.
HOBI : MENULIS????
Saya menulis bukan untuk menghilangkan bosan. Bukan suka-suka untuk mengikut rentak semasa yang giat dalam blogging. Bercakap bukan suruh didengar, menyebar pengaruh, menunjuk hebatnya berbicara.
Tapi saya ingin MEMBERITAHU. Menyampaikan apa yang ramai terlupa, mahupun tak tahu. Menyatakan apa yang saya rasa, saya fikir, yang susah untuk saya luahkan apabila berhadapan dengan manusia. Saya ingin berdiskusi, mengeluarkan cetusan baru yang selalu saya dapat.
Benarlah apa yang dipesan Nabi. Diam lebih baik. Kerana tiap kali saya diam, 'beruzlah' dari suasana, pasti ada lintasan di minda.
Tapi saya pernah terlupa. Dan kini saya ingat, bahawa lintasan bukan hanya dariNya. Iblis, makhluk terkutuk juga mampu, dengan izinNya. Siapa lagi yang mencetuskan ilham kepada Einstein, manusia yang dianggap paling genius, yang menganggap keamanan hanya boleh diperoleh melalui peperangan?
Justeru, bukan semua yang saya katakan adalah benar. Kalaupun ia benar, tidak semestinya ia wajar dipersetujui mengikut waqi, suanana dan sosio setempat.
Kebenaran dan kesesuaian bagi sesuatu yang kita TAK PASTI adalah melalui perbincangan. Sebab itu Nabi suruh kita syuro, bermesyuarat, hatta sekecil mana perkara itu.
Malangnya itu jarang saya dapat. Hendak berbincang bab ragam muslim di kafateria, pendamping saya diam tanpa kata. Bukan sahaja dia, selalunya sayalah yang tak tahu bagaimana hendak memulakan acara.
Atas sebab ini, lama saya tidak menulis. Bila menulis, segalanya mudah bagi saya. Banyak yang telah saya sediakan, hanya menunggu masa untuk dihidang. Ya, pasti saya akan menulis apa yang sedap dibaca, apa yang mudah diterima. Tapi hakikatnya, dalam apa jua pasti ada cela.
Dan atas sebab inilah, saya ingin mendalami ilmu Hadith dan Quran. Sekularisasi sedikit sebanyak berjaya memisahkan pemusatan akal saya dari Al-Quran dan Sunnahnya. Padahal dalamnya pasti terkandung pesan untuk melorongkan fikiran saya. Pesan yang luar biasa, datangnya dari Pencipta Agung dan kekasihNya.
Apapun, saya tak mahu hal ini menghentikan saya dari berkata-kata. Hendak tunggu saya menelaah pesan MEREKA bakal mengambil masa. Dan ia takkan pernah ada akhirnya. Apakah saya perlu berdiam dari berfikir, semata-mata takut akan silap?
Esok dan seterusnya, saya masih akan bercakap. Dan atas pengaruh saya yang entah apa, akan ada yang bersetuju tanpa usul periksa. Menulis? Itu belum saya pasti. Kerana apabila saya bercakap, selalunya ia akan cuma melibatkan seorang-dua individu.
Tapi menulis ke dalam blog, mata dan hati dari Mesir juga mampu membaca, dan boleh menggangguk kepala. Lebih saya risaukan, dia akan mempromosi kepada orang sekitarya untuk membaca sama, dan bersetuju ramai-ramai.
Entahlah, saya sendiri tak pasti apa yang patut saya lakukan.. Apakah saya perlu melakukan seperti mana Imam-imam terdahulu. Setiap kali ingin mengeluarkan hujah pada awam, mereka akan terlebih dahulu mandi, membuat sunat taubat, istikharah dan beberapa ibadah lain. Mampukah saya untuk berbuat begitu, demi meng'upload' satu karangan?