>>test

Friday, May 27, 2011

Eat, Pray, Love




Di hari lahir,
Ada orang mengharapkan ucapan,
Ada juga yang menanti kek berlilin,
Tak kurang yang bayangkan hadiah, berangan,

Tapi,
Baru aku sedar,
Hadiah terindah kita sebagai insan,
Adalah kawan-kawan



Al kisahnya, dah lama mengajak Nad makan di kedai steak kegemaran saya. Tapi tiap kali dia mengingatkan, pada waktu-waktu genting. Tengah malam lah, tengah exam lah.

26 Mei,

Saya : Nad, nak makan steak tu tak? Jom, lepas Asar
Nad : Boleh! Tapi lepas exam terus la, malas nak tunggu-tunggu

Nad datang rumah, saya ketiduran.. Batal kejadian hari itu.


27 Mei,

Saya : Sorry for yesterday.. Tindakan luar sedar. Hari ni jom?

(tanpa ada niat nak meraikan apa-apa. Sekadar memenuhi janji sekian lama)

Nad : Takpe je. Nak habiskan Al Kahfi kejap. Petang nanti kan?

Terdetik dalam hati, pernah cerita tentang niat ini ke Syaza. Dan teringat yang rumah mereka tu sangat kasihan. Kalau tak megi, pesan makanan luar.

'Ajak sekali lah Nana dengan Syaza'

Sudah ajak Nana dan Syaza, terfikir juga Bella dengan Asmat. Tapi, budak dua orang ini tak makan daging. Er, senyap-senyap ajelah.


Petangnya, hampir terpanjang lelap juga.

Nana telefon banyak kali.

"Kedai tu dekat mana? Saya dekat Tatoo ni"
"Bla.. bla.. bla (memberi arahan)"

Kiranya, saya bayangkan Nana dan Nad sudah ada di sana, sementara Syaza menanti saya solat Asar.


Bila tiba di kedainya, 'Eh, Bella. Nabil', getus hati, belum ada rasa apa-apa.

Saya minta tukar tempat duduk, duduk di bahagian dalam. Lebih privasi bagi saya. Saya mulakan langkah dahulu.

Setelah selesa duduk-duduk, seorang demi seorang datang, dan, mata melihat,

BUNGA! KEK!

Maka berlagulah 'Happy Birthday to youuu~'.

Ahaha! Tersegan seketika. Sungguh tak sangka.


Cerita Sebelah Mereka

Nana : Bella, hari ni birthday K.Syi.
(nana pun baru tahu sebab terbaca sesuatu)

Bella : Alah K.Syi selalu macam tu, lari-lari masa birthday dia.

Nana : Agak-agak dia tahu tak? (nak buat surprise)

Bella : K.Syi tu bukan budak-budak, mesti die dah boleh agak dah

.
.
.

Naif seketika hari ini.

Cuma, cantik sungguh, kan? Kalaulah saya tak tertidur lena semalam, pasti hari ini tak ke kedai makan sana. Pasti akan tidur lena (lagi) di rumah. Dan pastilah tiada apa yang berlaku hari ini.


Diorang dok kata muka saya matang waktu ni. Chait! Itu mengeji dalam pujian rasanya. Huu


Terima kasih atas doa-doa, facebook mahu pun doa dalam diam. Doa sebegitu selayaknya dipulangkan berganda-ganda lebih baik untuk kalian.

Dengan adanya kawan-kawan,
kita pasti,
rasa setiap hari dilahirkan!


Sudilah, Untuk 23 Tahun Lagi




Saya jarang meluahkan ini. Maka dengarlah.

Sewaktu melihat kawan-kawan menelaah Respiratory System untuk exam, aku pun, meraba tangan ke dada, merasakan adanya udara. Lantas aku bertanya, apakah yang mengisi jasad ini hingga aku bernyawa?


Terlintas depan mata, video-video mayat yang ditoreh-toreh, keras kaku, sewaktu pembelajaran anatomi.

Yang keras itu, dahulunya seperti aku. Tapi sewaktu dadanya dibelah, di manakah 'dia'?

Dan itulah juga, bakal diriku.

Lantas aku bertanya lagi, Tuhan, kenapa kau beri aku nyawa? Tidakkah aku ini sia-sia? Tidak menghamba, tidak juga memberi makna pada dunia. Ada atau tiada, bukankah sama?

Atau, akukah dulu yang beriya, merayu dihantar ke dunia, berjanji suatu yang hebat, hingga terbelakang nyawa-nyawa, hingga aku yang Engkau pilih masuk ke rahim ibuku?

Menyesalkah aku pada permintaan aku dahulu itu?


Di saat usia mencecah 23, entah apa yang aku buktikan.



Dalam keluarga, aku satu-satunya puteri. Sering juga aku tertanya, adakah aku istimewa?

Perempuan, biasanya dia lebih warna. Lebih beri ceria, lebih juga beri derita. Rencah pelbagai diadun segala rasa, itu yang menyebabkan dia lebih berharga.

Budak perempuan, kecil-kecil dah pandai mengada, memeningkan kepala.

Merajuk sedikit, gedegangggg! Habis pintu dihempasnya. Aku lah tu.

Bergaduh dengan Umi, itu selalu.

Kena buli dengan abang, menangis, Abah kurung abang di luar rumah, menangis pula merayu bagi abang masuk. Complicated feelings

Dalam ramai-ramai, akulah yang sering naik pentas. Oh, bukan banyak anugerah, tapi segala pertandingan aku sertai.

Bermula dari bercerita, solo nasyid, drama, debat, public speaking, mewarna peringkat negeri, hingga Abah berkata 'Banyak sangat sijil kakak ni, penat photostet'.

Dalam ramai-ramai, mungkin kerana aku perempuan, akulah yang terpilih untuk memilih hidup dalam dakwah. Yang mana, satu legasi Umi Abah. Ya aku, satu-satunya yang mewarisi.

Dalam ramai-ramai, aku jugalah yang suka buat masalah. Along yang blur-blur, paling kurang habis belajar. Angah yang merempit, paling kurang rajin di kuliah. Pandai bawa kereta, memudahkan mak ayah. Mimi yang emo, keputusan peperiksaannya boleh menghilangkan segala gundah. Azrul yang, er, dia dengar kata kan? Mujib, tak payah cerita lah.

Aku?

Masuk matrik buang duit. Habis matrik bergaduh besar dengan Umi. Masuk universiti lari kuliah tanpa sebab sebulan lamanya. Sudah berada di sini tak lepas-lepas juga. Paling memeningkan kepala, lagi menipiskan poket.

Kan?

Itu belum masuk bab nak menikah (uhukk). Nasib baik.

In short, aku tak selayak jadi anak pada dua insan, anugerah terindah.

Selama 23 tahun, masih sabar dan setia. Masih sudi untuk menjaga dan memelihara. Walaupun bila berhadapan, **** (nama panggilan di rumah, seganlah nak cakap di sini *.*) keras, pemalas, macam tak ada perasaan, kejam, bila cakap semua yang lawan balik, er, jarang (macam tak pernah pun ada) bercakap kat rumah, busuk; tapi sungguh, **** sangat sayang Umi Abah.


*er Along, pinjam gambo grad. Boleh la mencapap sekali

Selaut, segunung cinta dan terima kasih atas segala yang tak terbalas.

Sudilah lagi kiranya 23 tahun mendatang, bersabar, berpening, mengeluh, tersenyum yang kejap, menerima **** sebagai anak.

Redha kalian, itulah syurga terindah buat ****.

Semoga, rasa kalian hari ini, adalah rasa sewaktu menerimaku 23 tahun dahulu. 27 Mei, 11.30 pagi, Batu Pahat, Johor.

Er.. harap rasa itu bahagia lah kan. hoho

*kenapa kata jarang meluahkan benda begini? Sebab sebenarnya, seboleh mungkin sorokkan tarikh hari lahir. Selalu-selalu orang salah wish, sebab saya main tukar-tukar tarikh. Awal tahun hari tu dah check kalender, 27 Mei hari Jumaat, 'Yes! Boleh lari tempat lain, menyorok!'.

Saya boleh kata, tak pernah wish orang, jadi tak mahulah orang buat sweet dekat saya. Eleh, macam lah ade kan? Seganlah, heh.

Tahun ini berjaya! Hanya seorang yang wish lewat malam tadi, dan seorang lagi baru sekejap tadi. Tahun depan, kita tengok nanti. Hehe.

*selalu berharap lupa akan tarikh ini, supaya tak mengelabah tak memasal seperti malam semalam dan sekarang ni. Haha



Wednesday, May 25, 2011

Marvelous Mouth-Melting


Terima kasih ^^,


It's not just that,
It's marvelous heart-melting too


*dah, itu aje nak post. Tak reti lah nak buang Read More bawah ni kalau post pendek. Hish buat segan!

Sunday, May 15, 2011

Ibuku Guru




Siapa guru kita?

Kalau disenaraikan orang yang mendidik kita, berapa panjangkan senarai itu?

Saya melalui 2 sekolah tadika. Bilangan subjek tak ingat.
2 sekolah rendah. Bilangan subjek mungkin 8. Tapi ada 6 tahun.
Satu sekolah menengah. Bilangan subjek berbelas, 5 tahun.
Setahun matrikulasi, 5 subjek.
Setahun setengah diploma IT, tiga semester, 5-6 subjek
Setahun di Al Bayt, 3 subjek
Dan kini tahun ke dua di JUST

Berapa?


Belum dikira yang memberi kita ilmu, samada akademik atau pun ilmu tentang hidup.
Yang kita jumpa tepi jalan
Rakan-rakan di alam maya
Termasuk alam, gunung, pokok dan burung yang memberi makna

Betapa, terlalu ramai guru kita!

Maka layakkah, untuk kita berlagak sombong atas sesuatu?

Ada satu kata-kata, yang saya lupa dinukilkan oleh siapa,


"Hebatnya saya yang anda kenal dan lihat hari ini, adalah 100% hasil 'ciptaan' orang-orang yang hebat"





Hari Guru kali ini saya tujukan buat ibu, guru yang paling lama, paling setia.

Sejak belum melahirkan, malah pasti sejak beliau belum menikah sekali pun, beliau telah mendidik, kan?

Umi lulusan Fizik Gunaan UKM, bergelar graduan di usia seawal 21 tahun. Terus berkahwin dan menemani Abah ke Jepun bagi bidang Fizik Nuklearnya.

Pulang ke Malaysia Umi menjadi guru PASTI.

Kamilah anak muridnya yang pertama. Along ke PASTI, kami semua join sekaki. Hatta persembahan pentas pun kami sertai. Maka berPASTIlah kami adik beradik bertahun-tahun.

Tak lupa, didikan di PASTI dibawa balik ke rumah.

Teringat, adik saya Hilmi tidak ditadikakan. Hanya Umi yang mengajar di rumah. Menampal abjad dan gambar di lelangit katil dua tingkat kami, mengajar flash kad, membeli video-video Bahasa Inggeris. Ah, sampai kini buku bersiri awal bacaan novel Bahasa Inggeris tersusun di almari. Juga Hikayat Rakyat, Ensiklopedia Sains, semua!

Kalau mengajar mengaji, saya selesa mengaji dengan Abah. Kerana Abah cool lebih tentang bacaan. Tapi tidak pada Umi, tajwid, cara sebut, kalau salah, siaplah!


Dalam selamba-selamba Umi, terlalu banyak yang saya pelajari, tanpa beliau sedar.

Cuma satu, yang tak dapat saya kuasai, ilmu masaknya!


Umi, setiap hari adalah harimu!






Pagiku cerahku matahari bersinar
Ku gendong tas merahku di pundak
Slamat pagi semua ku nantikan dirimu
Di depan kelasku menantikan kami..

Guruku tersayang
Guru tercinta
Tanpamu apa jadinya aku
Tak bisa baca tulis mengerti banyak hal
Guruku terima kasihku

Nakalnya diriku kadang buatmu marah
Namun segala maaf kau berikan

Guruku tersayang
Guru tercinta
Tanpamu apa jadinya aku
Tak bisa baca tulis mengerti banyak hal

Guruku terima kasihku...





Wahai Allah, Tuhan segala Rahmah, pulangkan segala kebaikan, pada insan-insan yang pernah memberi faham dan erti pada diri. Mudahkan mereka jalan, dunia dan akhirat. Seterang ilmu di hati kami, seterang itu juga rumah mereka di syurga nanti.


*eh exam lagi 3 hari, sempat update ya? Doakanlah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2009 Terbang | Lihat | Tafsir. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates | Blogger Styles | WP by Masterplan