>>test

Thursday, October 1, 2009

Cerita Tiga Jilid

Perjalanan panjang. Sampaikah saya ke destinasi?

Sejak penghijrahan saya baru-baru ini, bertali arus soalan sama menerjah saya. Ala-ala Terjah Melodi tu lah.

Soalannya berbunyi, "Macam mana boleh bertukar bidang, dari Usuludin ke Perubatan? Cerita lah sikit.."

Jawapan saya selalu saya beri, dek terkadang terasa akan kepenatan mengurai kisah, "Panjang ceritanya.. Kalau dibukukan boleh jadi tiga jilid. Hah, kalau difilemkan pun, mahu kalah Ketika Cinta Bertasbih!"

Lepas tu, adalah tangan-tangan ketam mencubit saya..


Permulaan Kisah Panjang

Memang kisahnya amat panjang. Kronologinya bermula sejak kejatuhan saya di zaman matrikulasi. Yang mana hari ini saya dapat lihat hikmah di sebalik luka berdarah pada itu.

Luka dalam diri, luka kepada ibu sendiri.

Zaman matrikulasi saya tidak sehebat sahabat-sahabat MYTEAM saya. Malah terlalu jauh, hingga menyebabkan saya tidak layak untuk mendaftar ke mana-mana universiti.

Atas kegagalan ini, saya ingin lari ke bidang lain, bidang agama. Di zaman itu, saya baru sahaja kembali ke fitrah. Baru kenal kembali Allah, baru kenal kembali Islam, dan baru mengenali diri sendiri. Fitrah ini saya ingin suburkan. Sebelum ini saya banyak meragukan agama sendiri. Nauzubillah.

Saya ajukan cadangan kepada ibu saya bahawa saya memilih untuk ke kolej yang menawarkan bidang tersebut, malah yang paling saya idamkan adalah untuk ke Darul Quran.

Ummi membantah sekerasnya.

Hal ini menyebabkan kami bergaduh panjang, bermasam muka dan jarang berbicara. Kerana hasil perbicaraan akan membawa rasa yang perit.

Saya senyap-senyap memohon beberapa IPTA secara online.

Ummi juga bukan calang-calang. Dia menulis dan menghantar surat ke SELURUH IPTA di semenanjung, menggunakan nama saya, meminta diterima dimasukkan ke universiti dalam apa-apa bidang. Turut disertakan keputusan SPM dan sijil-sijil saya yang menggunung.

Saya terpana.

Proses Kedua

Akhirnya satu universiti menjawab permohonan Ummi. Universiti Tun Hussien Onn Malaysia, UTHM, Batu Pahat. Pihak administrasi UTHM begitu berminat melihatkan keputusan SPM saya, tapi 'saya' memohon untuk mana-mana bidang. Lantas saya dihubungi dan mereka tawarkan pada saya untuk memilih bidang yang saya sukai.

Universiti teknikal, bukanlah minat saya. Setelah dipaksa berkali-kali oleh Ummi untuk melayan panggilan admistrasi itu, saya memilih bidang Teknologi Maklumat. Sekurang-kurangnya, sesuai jugalah kot dengan saya yang kaki komputer ni.

Tapi Ummi bising juga, "Kenapa tak ambil engineering? Kan lagi bagus?"

Sehari sebelum pendaftran, sepatutnya kami sudah bertolak ke Johor. Kebetulan Abah pun ada urusan di sana. Tapi saya masih membatu di atas katil. Satu baju pun tak dikemas. Waktu hendak bertolak, Abah mengeluarkan statement, "Dah, biarlah. Saya (kepada Ummi) takde masa nak tunggu-tunggu"

Abah kurang campur dengan urusan tarik-menarik universiti ini. Bila saya mendapat tawaran dari Unisel jurusan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Abah lantas setuju.

Ummi masuk ke bilik saya, "Tak payah kemas ape-ape. Masuk kereta terus. Nanti baju Ummi bawakkan". Saya buat-buat pekak, dalam hati serba salah, dibalut ego yang tebal.

Dan berlalulah mereka ke Johor tanpa saya. Sunyi rumah itu menambah bekas di hati. Saya menangis semahu-mahu. Keliru! Saya maklum tindakan saya itu adalah derhaka, tapi saya juga mahu diberi ruang. Selama ini, sejak saya kecil, saya menentukan segala keputusan sendiri. Ummi langsung tak masuk campur. Alih-alih hidup saya diatur, terasa dipaksa.

Dalam kekalutan itu, hanya internet yang dapat menghubungkan saya dengan luar. Telefon rumah rosak, telefon bimbit kosong kredit. Saya YM dengan seorang teman yang sedang berada di Mesir. Kata-katanya melembutkan hati saya. Pernah saya nukilkan dalam Kembara Solo Kembali Bermula.

Dan rakan itulah yang menghubungi Ummi, meminta agar abang saya menghantar saya ke Komuter.

Sejak hari itu, saya tidak bercakap lagi dengan Ummi selama dua bulan (kalau tak salah)

Belajar Erti Ikhlas dan Redha

Awalnya UTHM langsung tidak mempersonakan mata saya. Suasana universiti, rupa bentuk bangunan yang agak usang.

Walau hati saya perit menelan pahit, tapi Allah taqdirkan kemudahan dalam akademik. Semester satu saya amat memberangsangkan. Saya sering menjadi sebutan pensyarah Fakulti.

Tapi, hati masih belum boleh ikhlas sepenuhnya. Maka tiap langkah masih terasa berat. Bila hati sudah tak bahagia, kita mula menjadi bukan-bukan. Semester dua saya sibukkan diri saya dengan persatuan. Kesibukan yang melampau, hingga menjejas akademik. Bukan salah persatuan pun, saya memilih begitu. Kerasa saya terasa lebih 'hidup' dalam persatuan. Jujur, itulah persatuan TERBAIK yang pernah saya libati.

Lari Dari Universiti

Semester dua akademik merudum. Prestasi ke kuliah mengecewakan. Sering kali saya terlepas kuliah kerana terlajak tidur. Natijahnya, 1.92 untuk semester itu.

1.92 itu bagaikan tiket untuk saya lari. Banyak kali saya mengusul untuk undur diri. Banyak kali menangis seorang diri di balkoni. Seminggu sebelum Ramadhan saya pulang ke rumah bercuti. Asalnya cuti seminggu, tapi entah macam mana, saya tak pulang-pulang ke UTHM selama sebulan setengah.

Semakin hari terasa semakin takut untuk pulang. Menjadi makin keliru, penyenyap. Saya hanya duduk di rumah menghadap laptop. Ummi bagaikan dah hilang punca, biarkan saya begitu.

Saya terinspirasi untuk berhenti dari UTHM setelah menonton Oprah. Cerita tentang seorang jurutera di Microsoft, meninggalkan kerjayanya semata-mata untuk menghantar buku-buku ke ceruk dunia, buat tatapan anak miskin di sana. Dia jumpa bahagianya.

Selepas seminggu raya, saya pulang ke sana dengan satu tujuan, menarik diri secara 'gentleman'.

Jin Dari Perak

Sebelum berhenti, saya sudah menyediakan bank jawapan terhadap soalan-soalan Kenapa, Apa Perancangan Seterusnya, dll.

Saya merisik Kolej Daarul Hikmah dan Kolej Jaiputra, bidang Usuludin, yang saya impi-impi. Ummi diam tak kata apa-apa.

Rupanya Ummi sedang berusaha 'merawat' saya. Katanya, saya 'dibuat' orang. Orang tersebut kecewa kerana saya menolaknya. Diberi beberapa maklumat tentangnya, dalam kepala saya terpapar satu nama. Tapi saya diamkan pada Ummi, tak mahu dia rasa menang dengan dakwaannya (ego punya pasal..).

Kata Ummi, sebab itulah saya payah ke kuliah. Kerana dia tak mahu saya dilihat orang. Entah, saya malas nak percaya.. (Tapi perawatnya ialah Abah sendiri.. uhu).

Abah saya lepasan dari Darus Syifa, sekarang membuka klinik dan menawarkan khidmat latihan kepada perawat baru. Dalam rawatannya, ada seorang pesakit dari Terengganu. Entah macam mana kisah saya dikongsikan. Lalu pesakit ini menawarkan untuk membawa saya ke Indonesia, mengaji agama disana, kerana dia yang membiayai institusi tersebut.

Dia tanya lagi, SPM dapat berapa (penting sungguh SPM rupanya)? Setelah dijawab, dia ajak untuk ke Jordan. Kebetulan dalam masa terdekat ada pelajar yang ditajanya akan ke sana.

Masa terdekat, adalah seminggu!

Perjalanan Jauh Yang Membuka Pintu

Di Jordan, baru saya tahu bahawa kedatangan saya adalah secara haram. Sepatutnya perlu memohon dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dahulu. Maka berulang-aliklah saya ke Jabatan Pelajar Malaysia (MSD) untuk bersoalan jawab.

Sekali lagi, sijil SPM saya dibelek. "Eh, SPM awak bagus. Tapi tak ada Bahasa Arab, Quran. Macam mana nak ambil bidang agama, tak cukup syarat. Awak boleh ambil medik sebenarnya"

Saya geleng kepala. Ini kali kedua tawaran medik datang. Yang pertama selepas SPM, di Universiti Gadjah Mada Indonesia. 'Ah, saya bukan kaki study, kantoi la kalau ambil medik', fikir saya.

Bila saya khabarkan ke Ummi, aduh, semakin-semakin suka. "Kalau dia dah cakap macam tu, mestilah dia boleh tolong. Kakak usahakanlah"

"Kan dah bagus ambil agama kat Jordan ni.."
"Yela, ambil medik lagi bagus!"

Awalnya saya tak kisah sangat dengan saranan Ummi. Tapi sewaktu permusafiran saya di Mesir, saya banyak memikirnya. Memikirkan betapa lama saya menolak permintaan Ummi. Sedangkan Nabi pesan, dalam keputusan, dahulukan Ibu berbanding Bapa. Jauh, berbanding diri.

Sekali lagi Mesir mengubah fikiran saya (dulu rakan di Mesir..).

Permohonan secara sah dibuat dengan KPT. Saya pasrah. Dapat tak dapat, saya teruskan dahulu hidup di Universiti Al al-Bayt, Usuludin.

Bermula di Markaz Lughah, dengan bahasa saya di tahap 0, saya lepas dengan mudah. Sungguh saya tak percaya! Kemudian mengambil dua subjek, yang saya rasa amat damai dengannya. Sekali lagi saya lepas peperiksaan Bahasa Arab, sedangkan saya hentam sahaja.

Terdetik, mungkin ini petanda baik bila diturutkan kehendak Ummi.

Ramai yang agak menghalang untuk saya pergi dari Al Bayt. Saya pun. Semakin cinta pada tempat yang gersang, kampung lagi sederhana itu. Tapi ukhuwah di sana bukan calang-calang.

Akhirnya, keputusan datang. Saya diterima ke JUST. Saya pasrah. Banyak hikmah berlalu di depan mata. Hubungan saya dan Ummi yang semakin akrab, dan yang paling mahal, akrabnya saya dengan Penulis Cerita.

Perubatan atau Usuludin, yang menarik saya ke kedua-dua bidang ini adalah peluangnya dalam dakwah. Usuludin mendapat ilmu, Perubatan adalah aproah mahal kepada mad'u. Kedua-duanya baik untuk agama dan perjuangan saya.

Insya Allah.. Moga-moga khusnus khatimah. Amin!

Lepas ni, boleh la dijilidkan ye..

8 comments:

Shazwani Mazuki said...

Salam syg buat syi di sana..
syi..terpaku kwani pd kisah syi ni..
terasa cukup terkesan di hati..

benar,bg kwani sendiri,sbg anak sulung,segala perintah mak abah yg diturutkn,dan alhamdulillah..

alhamdulillah..kata2 'taat la perintah mak abah' mmg kwani terapkan pd adik2..
dgrlah ckp mak ayah,insyaAllah, berkat dunia akhirat..

slmt berjuang ya ukhti..mg rahmat Allah sentiasa bsamaMu..

seha said...

insyallah... Allah akan membantu kita sekiranya kita membahagiakan org lain..walaupun pahit sebenarnya untuk di telan

Miss X said...

Kalo yang pahit kuih raye akak buat.. syi sanggup telan.. Ngeh~

ummu said...

Assalamualaikum.Amin.
Terharu membaca perjalanan 'cerita 3 jilid' ini...Bagai mengimbau kenangan remaja saya dulu.

Kadang-kadang untuk mendapatkan sesuatu,kita perlu korbankan sesuatu. Semoga saudari terus berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi...

Miss X said...

Ameen, ameen ya ummu masyita..

Senior saya pernah menyampaikan kata-kata dari sahabat Arabnya;
"In the end, everything will be ok. If it's not ok, then it isnt the end yet"

Semoga kita dijalankan atas jalan yg menuju redhaNya

Siti Umairah said...

assalamualaikum kak syi..
hmm,menarik cter ni(ceh.cam juri je=p)
bestnye blaja dr pengalaman kan??
saya suka!saya suka!ahaa

dulu sya pon ade konflik ngn ummi..
tp alhamdulillah saya memang seorg yg pemalas nk fikir pape~tibai je la,medic pon medic la.sukati ko la labu..haha

k,teruskan perjuangan anda!
*saya x buat mekap lg..haha!

Anonymous said...

Assalamualaikum wrm sahabat,

Begitulah alkisahnya kamu. Saya dicampak ke manchestaq pun kerana doa seorang ibu, lari-lari tidak dapat ku lari :)

Benarlah,
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra katanya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi saw lalu berkata: “Siapa yang paling berhak untuk aku melakukan ihsan dalam persahabatan dengannya?” Nabi saw menjawab: “Ibu kamu.” Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: “Ibu kamu.” Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: “Ibu kamu.” Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: “Bapa kamu.”

Tambahan lagi,
Abdullah ra, katanya: “Aku bertanya Nabi saw apakah amal yang paling disukai oleh Allah?” Nabi menjawab: “Solat dalam waktunya.” Aku bertanya lagi kemudian apa lagi?”. Nabi saw menjawab: “Kemudian berlaku ihsan kepada kedua ibubapa.” Aku bertanya lagi kemudian apa lagi?” Nabi saw menjawab: “Berjihad fi sabilillah.” [Bukhari]

Lihatlah, berbuat baik kepada ibubapa, seafdhal-afdhal amal selepas solat yang merupakan tiang agama yang terpenting *wOw*

Tetapi yang paling best! Alhamdulillah saya lebih memahami Islam dan tarbiyah di bumi christian ini, semoga thabat dan istiqamah, inshAllah. "Aku lihat bumi yang kurang Muslim mengamalkan cara hidup Islam tetapi aku lihat bumi yang banyak Muslim tidak mempraktikan Islam" *PELIK*

When Allah wishes good for someone, He bestow upon him the understanding of religion [Bukhari And Musim]

p/s: May Allah guide us all :)

Miss X said...

Waalaikum salam sahabat..

Menchestaq ye? Nampaknya UK telah dijajah oleh Ust Azizan..

Alhamdulillah, sekali ditarbiyah jangan disampah. Kerana entah bila tarbiyahNya akan tiba. Moga-moga sahabat dikurnia khusnul khatimah.

Jangan lupa, pulang ke Malaysia merawat dan membangunkan ummah.

Oh ya, kalau sudi khabarkanlah nama. Saya ada kawan di sana, Efa.

Ke.. Ni Efa..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2009 Terbang | Lihat | Tafsir. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates | Blogger Styles | WP by Masterplan