>>test

Sunday, September 28, 2008

Saidatina Khadijah Hanya Satu Dalam Semua


Dari ‘Aisyah r.a katanya:”Saya tidak cemburu kepada seorang perempuan seperti cemburunya saya kepada Khadijah. Sesungguhnya Tuhan telah menyuruh Nabi untuk menyampaikan berita gembira kepada Khadijah akan memperoleh rumah di dalam syurga.”

(Bukhari)

Ada satu hikmah besar apabila Nabi menikahi Khadijah yang pada masa itu dalam usia 40-an serta berstatus janda. Hasil usianya yang hampir mencecah setengah abad serta pengalaman merasai dua perkahwinan iaitu Abu Halah bin Zararah bin an-Nabbasy bin ‘Ady at-Tamimi, kemudian menikah dengan ‘Atiq bin ‘A’idz bin ‘Abdillah bin ‘Umar bin Makhzum; menyebabkan Khadijah sangat matang. Tambah lagi dengan bijaksananya, satu pembuktian seorang usahawan yang berjaya.


Matangnya dirinya hingga dia cukup yakin untuk memilih malah merisik pemuda bernama Muhammad sekaligus menolak seluruh pemuka Quraisy yang sedang sasau untuk menyuntingnya. Secara zahir, pemuka Quraisy itu jauh lebih baik dari anak muda yatim lagi miskin. Kerana dia yakin, dia seorang wanita yang menjaga kehormatan diri sehingga melekatlah sebutan ath-thaahirah pada dirinya, harta pangkat itu tidak setara dengan indah akhlak pemuda itu.

Ah, harta telah dimilikinya. Khadijah dambakan kedamaian jiwa!

Perkahwinan Khadijah dan Muhammad merupakan keuntungan buat dua belah pihak. Khadijah sangka dia yang beruntung kerana menjadi suri kepada lelaki yang baik budinya. Tapi sebenarnya, Muhammad juga adalah yang paling bertuah di alam semesta.

Khadijah mengisi kosongnya jiwa Nabi Allah itu dari belaian seorang ibu. Masakan tidak, seusia 40 layaknya adalah seorang ibu untuk yang berumur 25 pada zaman itu. Muhammad dilayan bagai anaknya, ditatang penuh sayang dan sabar.


Bila lelaki itu datang dengan peluh takutnya setelah bertemu makhluk bercahaya di Jabal Hira', Khadijah selimutkan dan peluk melerai resah dengan penuh kasih. Persis seorang ibu yang sangat cintakan anaknya, dia tenangkan penerima wahyu itu hingga dia tertidur dalam dakapannya. Persis seorang ibu yang sangat prihatin tentang apa-apa yang mengganggu anaknya, dia melangkah berani ke rumah Waraqah bin Naufal bin Asad bin ‘Abdil ‘Uzza walau tika itu malam gelita menutupi bumi Mekah.

Khadijah sudah masak dengan perkahwinan. Tidak akan ada adegan merajuk ngada-ngada meraih pujuk dan perhatian suami seperti pasangan yang masih segar dalam rumahtangga. Tidak akan ada rasa cemburu buta padanya andai lelaki itu keluar bertemu perempuan mana-mana. Bahkan bila ada wanita yang bertemu suaminya meminta diajari cara mandi wajib, Khadijah sudi sama-sama tunjukkan. Tak akan bising-bising bila Muhammad outstation lama-lama.

Ah, wanita ini. Dia bukan sekadar yang pertama membenarkan wahyu Tuhan, tapi jua yang terakhir memili peribadi yang sangat lumayan. Hingga sang Jibril menyampaikan salam buatnya dari Rabb dan darinya.

Benarlah, lelaki yang baik akan memiliki wanita yang baik. Mana mungkin Allah mahu sesakkan dada kekasihNya, yang tidak putus-putus dengan dugaan sebelum diri dilahirkan, hendak dipasangkan dengan wanita yang memeningkan benaknya. Jika dambakan pasangan yang baik, pastikan diri cukup hebat untuk mendampinginya.

Salam sayang, kagum serta rindu buat Ibu semua yang beriman. Sungguh, rumah di dalam syurga dari mutiara yang berlubang, yang tak ada keributan di dalamnya, dan tidak pula keletihan selayaknya buatmu. Sungguh tiada lagi yang sepertimu!

Kaulah lambang cinta sejati
Srikandi pertama tika Islam bermula
Hatimu menyalakan keyakinan
Hartamu membuktikan pengorbanan

Rasul keseorangan engkaulah teman
Dia tersisih engkau memilihnya
Dia terbuang engkau menyayanginya
Kerana iman kau sanggup berjuang

Siti Khadijah namamu indah
Qudwah hasanah tauladan ummah
Jikalau rasul terpinggir
Engkaulah insan terhampir

Siti Khadijah mujahidah solehah
Agung jasamu dipersada sejarah
Pemergianmu ditangisi nabi
Hingga kini tiada pengganti

Sunyi jalan menuju Allah
Menggamit hati mencari teman
Indah jalan menuju allah
Jika teman seperti Khadijah
Masih ada lagi...

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2009 Terbang | Lihat | Tafsir. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates | Blogger Styles | WP by Masterplan