>>test

Wednesday, May 2, 2007

Nilai Bulan MEI


Bulan MEI. Apa ertinya bulan ini pada saya? Bulan ini terisi dengan pelbagai sambutan.
  • 1 mei : hari buruh, ulangtahun perkahwinan umi+abah
  • 5 mei : ulangtahun kelahiran roomate saya, Nurul Shuhada Saperi
  • 13 mei : ulang tahun kelahiran homeroom-mate, Nur Izyan Syahila Hamzah
  • 15 mei : ulangtahun kelahiran sahabat sekerja, Mohd Zakwan Nawi
  • 16 mei : sambutan hari guru
  • 19 mei : sambutan hari ibu (kalau xsilap)
  • 21 mei : ulangtahun kelahiran roomate diMRSM, Rose Marhaini Ismail; seorang sahabat, Mohd Azizi Zubir
  • 30 mei : ulangtahun kelahiran roomate, Rima Shadira A/P Ramlee
Banyak lagi sebenarnya. Samada saya tidak mahu mengingatinya, atau sendiri terlupa.

Ulangtahun perkahwinan umi + abah ke-20

Tahun ini saya langsung tidak teringat tarikh istimewa ini. Kalau dulu, rajin juga saya mengepos kad ucapan. Mungkin disebabkan saya berada dirumah, tarikh menjadi bagai tak begitu penting. Hari ini sama seperti semalam, esok mungkin juga begitu (tapi saya berharap agar bukan 100% sama, kerana saya tidak mahu menjadi manusia yang rugi kerana 'hari ini sama seperti semalam').

Pada tarikh tersebut keluarga saya keluar makan malam, BBQ kata mareka. 'kata mereka' membawa maksud saya tidak menyertainya. Hari itu kesihatan saya tidak berapa baik dengan sakit kepala yang agak menyeksa. Namun setelah mereka bertolak, kesal juga saya. Seolah-olah saya enggan turut serta meraikannya.

Mungkin ini dalam keadaan saya ada sebab. Sebab lupa tarikh dan kurang sihat. Malam ini saya terfikir, andai saya teringat akan tarikh ini, dan saya sihat walafiat, dalam keadaan ibu bapa saya di depan mata, adakah saya sudi mengucapkan 'tahniah'?

Saya bukanlah seorang manusia yang dihiasi dengan lidah yang mudah mengorak kata-kata indah, lebih-lebih lagi pada orang yang saya sayangi. Keluarga saya juga bukan jenis yang akan meraikan hari-hari istimewa dengan fenomena 'bunga-bunga indah'. Sekadarnya sahaja. Saya turut dihiasi dengan satu macam ego yang saya kira agak menyeksa diri dan orang sekeliling.

Ya, ego saya akan semakin menyerlah pada orang-orang yang saya sayangi, pastilah terutamanya keluarga. Jujur, saya tidak pernah mengucapkan selamat hari lahir kepada ahli keluarga saya secara berdepan. Segalanya diluah melalui sesuatu. Kad ucapan, emel, hadiah, paling mudah, sms.

Mungkin ada yang terdetik, 'Manusia apa dia ni? Macam tak tahu menghargai orang, tu kan keluarga sendiri!'.

Sayang dan menghargai pada saya, terlalu complicated dan sukar untuk dibual bicara. Janganlah dikecam nilai kasih sayang saya atas kebisuan diri ini. Inilah kelemahan saya yang utama (saya rasa).

Ego ini menyebabkan saya gelisah, sedih, serba salah, marah dan lain-lain. Mana pergi rasa gembira saya terhadap 'ego' ini? Bukankah segalanya anugerah ALLAH? Di waktu saya melalui saat getir suatu ketika dahulu yang menyebabkan saya hampir gila (untuk mebaca ceritanya,klik di sini), hari ini saya semakin nampak jelas akan hikmah atas 'anugerah' saat getir itu. Tapi pada 'ego' ini, saya masih samar dan kabur.

Saya resah, andai 'ego' membawa saya semakin jauh dari mereka yang saya sayangi. Kerana 'ego', saya mengguris, mencalar, mungkin mengoyak-ngoyak hati mereka. Kerana itu saya ingin menjauhi mereka, agar saya dan mereka tak 'sakit'.

Persoalannya, sampai bila?

Bulan Mei ini, saya sendiri terisi dengan pelbagai aktiviti luar. Hampir sebulan saya akan meninggalkan rumah dan keluarga. Legakah saya?

Perjuangan menuntut berjuta pengorbanan. Dan pengorbanan jiwa itulah yang paling berat. Dalam melangkah ke jalan Allah dengan penuh semangat, dengan perasaan apa pula harus saya ada, meninggalkan rumah pada waktu yang sama? Saya gusar, andai Syahida menjadi syahidah di jalan Allah, manusia mengangkat saya kerana nampak saya melangkah atas jalanNya dengan penuh semangat. Tapi dihadapan DIA, DIA menjadikan diri ini sehina-hinanya kerana berlari ke medan juang sekaligus lari dari rumah!



Buat umi dan abah, salam mahabbah, mawaddah dari anak yang hina ini. Tiada ucapan indah dari bibir ini. Moga Allah mengangkat doaku buatmu berdua. Moga inilah 'suprise' buat kalian berdua di akhirat kelak.

Buat sahabat-sahabat (dan diri sendiri) yang bakal menyambut ulangtahun kelahiran, ku mohon keampunan Allah atas dosa ketelanjuran kita selama hayat diamanahkan kepada kita. Moga Bulan Mei ini memberi nilai pada semua.

Ya Allah, Berikan kami pengampunan kerana kesalahan dan kejahilan kami,
Kerana berlebih-lebihkan kami dalam apa jua urusan,
Dan apa sahaja yang Engkau lebih mengetahuinya dari kami.
Ampunkan kesalahan kami
atas apa yang kami bersungguh-sungguh atau sambil lewa,
atas ketidak-sengajaan kami atau yang memang kami sengajakan
Ampunkanlah kesalahan kami yang dahulu, mahupun sesudah ini,
jua yang kami sembunyikan, atau kami zahirkan
Dan apa jua yang Engkau mengetahuinya dari kami,
Engkaulah Yang Mendahului dan Yang Mengakhiri,
Engkaulah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.




0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2009 Terbang | Lihat | Tafsir. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates | Blogger Styles | WP by Masterplan