>>test

Monday, June 7, 2010

SIO : Rehlah Mencari Faham Dalam Agama



Macam mana kalau terlepas kenduri kahwin adik beradik?

Soalan seperti ini timbul. Saya baru sahaja menerima surat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Jordan. Tempatnya jauh. Perginya, tidak mudah untuk kembali.

Tetapi jika soal majlis kenduri kendara sahaja yang timbul, saya tidaklah terlalu teragak-agak untuk membuat pendirian.

“Insya Allah, sanggup” saya menjawab dengan tenang.

Abang saya yang sulung tersenyum.


“Bagaimana pula jika semasa di perantauan, bonda yang semakin uzur kembali ke Rahmatullah?” soalan ini timbul.

Tersentap jantung saya memikirkannya.

Usahkan bonda, bisa sahaja saya yang mati di perantauan. Dihantar ke pengajian dengan harapan pulang bersama segulung ijazah, tetapi yang pulang sekujur jenazah! Mati di mana-mana dan boleh sahaja untuk sesiapa.

Namun dengan persoalan itu, saya memaksa diri berfikir panjang. Mengapa saya mahu ke Jordan? Harganya bukan murah, selain wang ringgit, pilihan ini perlu dibayar dengan kesunyian seorang ibu bertahun-tahun lamanya, terpisah dari keluarga, kehilangan rakan sebaya dan semakin tidak kenal saudara mara. Mengapa saya perlu ke Jordan?

Adakah semata-mata mahu menaiki kapal terbang?

Sekadar mahu menggomol salji?

Menghantar gambar ke ruangan Salam Perantauan di akhbar-akhbar menjelang hari raya?

Sekadar itu?

Lembaran mushaf diselak, mencari jawapan-jawapan daripada Allah. Kalau-kalau ada panduan tempat berpegang.

MENCARI MANUSIA PALING BERILMU

“Siapakah manusia yang paling berilmu?” seorang lelaki daripada kalangan Bani Israel bertanya.

“Aku!” Musa ‘alayhi al-Salaam menjawab.

Jawapan Musa itu ditegur oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala.

“Sesungguhnya, seorang hamba di kalangan para hamba-Ku yang tinggal di pertemuan dua laut, dialah yang lebih alim daripada kamu,” Allah mewahyukannya kepada Musa.

“Wahai Tuhanku, bagaimanakah caranya aku dapat bertemu dengannya?” Musa meminta panduan.

“Bawalah seekor ikan (sebagai bekalan makanan di dalam perjalanan) dan letakkanlah ia di dalam raga. Apabila ia hilang, di situlah tinggalnya dia (Khidir)” Allah memberi panduan.

Hadith riwayat al-Bukhari itu, adalah muqaddimah yang menjelaskan tentang perjalanan Musa bersama pembantunya Yusha’ bin Noon pada mencari ilmu. Rehlah menuntut ilmu adalah Sunnah yang mesti diambil pada mencari FAHAM dalam AGAMA.

Rehlah menuntut ilmu bukan rehlah sebarangan.

Ia seumpama seorang mujahid keluar ke medan perang. Justeru Allah namakan ia sebagai NAFAR (Al-Taubah : 122).

Justeru, kemahuan pada memulakan langkah kembara menuntut ilmu memerlukan kepada kesungguhan yang mutlaq. Bukan mencuba-cuba, bukan hangat-hangat tahi ayam.



“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya (Yusha’ bin Noon): “Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus ke suatu masa yang tidak pasti” [al-Taubah 18: 60]

Perjalanan Musa mencari Khidir bukanlah pada mencari ilmu biasa-biasa.

Apa yang dicari adalah HIKMAH.

Ilmu yang bukan bertulis dan terus difaham, tetapi ilmu yang dibentuk oleh laku untuk dihadam.

Bukan sekadar menjadi alim, tetapi mahu menjadi hakim, yang bijaksana.

AZAM YANG BESAR

Justeru Musa meletakkan azam yang besar.

Beliau memberitahu temannya Yusha’ bin Noon:

“Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu…”


Sekali kaki dilangkah, perjalanan akan diteruskan hingga sampai ke destinasi. Cirinya sudah diberitahu, namun lokasinya tiada siapa yang tahu. Musa harus mencari Khidir, untuk belajar ilmu besar tentang kehidupan. Ilmu yang menuntut sabar dan tekun. Ilmu yang perlu kepada melihatnya dengan mata hati yang bertaakul dan bukan ilmu segera yang biasa-biasa.

Andai apa yang dicari tidak ditemui?

“… atau aku berjalan terus ke suatu masa yang tidak pasti!”


Musa tidak akan berhenti.

Beliau akan terus berjalan.

Dalam satu tempoh masa yang luar biasa. Tempoh masa yang tidak pasti.

Huquba yang digunakan di dalam ayat itu, memberi erti satu tempoh masa yang tidak ditentukan penghujungnya.



“Mereka (Ahli Neraka) itu tinggal di dalamnya berkurun lama…!” [al-Naba' 78: 23]




“Sabar ya, emak. Insya Allah empat tahun lagi anakanda pulang” saya memeluk ibu dalam tangisan dan air mata.

Lapangan Terbang Antarabangsa Abdul Aziz Shah, Subang menyaksikan perpisahanku daripada keluarga.

Perjalanan yang kujanjikan empat tahun.

Namun ia adalah sebuah HUQUBA yang tidak dapat ditentukan hujungnya.

Ia bukan empat tahun.

Perpisahan selama 11 tahun.

Dan aku masih meneruskan perjalanan mencari hikmah kehidupan itu. Berbekalkan lidah yang mesti dididik pada bertanya dan berkata.

Mencari hikmah dalam pelbagai keajaiban hidup.

Pada rehlah mencari faham dalam agama.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

4 comments:

Najib Daud said...

la. ingatkan kak shi . baru nak puji ayat dah mantap.

-_-"

Miss X said...

Cis. Cisdale
Penghinaan.

Dulu rajin la buat ayat skem-A ni. Tak caye http://bintunmajid.blogspot.com/2007/12/hiburan-pilihan-no-1-rakyat-malaysia.html.

Tapi disebabkan pengaruh rakan sebaya (sebaya??) berubah gaya.

Aiceh

Miss X said...

Ni satu lagi (tak puas hati)
http://bintunmajid.blogspot.com/2008/01/penjanaan-mukmin-serba-baru.html

Najib Daud said...

ouh.thnx.ni post mase sebaya la ni ye.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2009 Terbang | Lihat | Tafsir. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates | Blogger Styles | WP by Masterplan