>>test

Wednesday, January 28, 2009

Sang Murabbi; Mengembalikan Spirit Yang TIDAK Hilang



Sebelum keberangkatan saya ke Mafraq, Jordan, saya ditanyakan hadiah apa yang saya mahu. Terus saya jerit "Cd Sang Murabbi!!"

Saya kira ramai sudah tahu tentang filem Indonesia ini. Trailernya sahaja bisa menyuntik dadah berguna buat saya, mabuk! Tapi untuk mendapatkan filem yang penuh, agak sukar setahu saya, kerana ia dikeluarkan hanya melalui tempahan.

Saya jumpa laman yang menerima tempahan, tapi apakan daya, jumpanya di akhir Disember, hampir kepada pemergian. Kalau pun cd/dvd itu dihantar, pasti ke alamat rumah di Malaysia. Alahai.. Sedihnya.

Tahu-tahu di KLIA, MYTEAM menyerahkan saya cd tersebut. Masya Allah.. Syukran kathir teman-teman. Tak sabar untuk keluar dari perut burung besi, tak sabar untuk menonton!


Bukan Cerita Manusia, Tapi Kemanusiaan

Filem Sang Murabbi bukan sekadar cerita biografi. Bukan hendak dicerita siapa itu KH Rahmat Abdullah, bukan hendak dicerita siapa adik-beradiknya, bukan hendak dikisahkan betapa dia diminati ramai.

Ini kisah berkisar akhlak seorang manusia. Ini kisah penuh ilmu. Ilmu yang bukan perlu dicatat, bukan perlu diingat. Tapi ilmu yang disemai di HATI.

Awal cerita, ditonjolkan AKHLAQnya. Dengan jirannya, dengan ibunya, dengan adik abangnya. Bicaranya tidak pernah keras, marahnya berisi pujuk nasihat.

Rahmat (lakonan Irwan Rinaldi) sangat menyanjungi dan menyantuni ibunya. Dia tempat ibunya mengadu cerita. Rahmat ditawarkan ke Mesir. Sudah pasti dia gembira kerana dapat mencedok da'wah dari sumbernya.

Ibunya bercerita, teringat kakak Rahmat yang baru lahir beberapa hari lantas meninggalkannya (meninggal dunia). Lalu suaminya pula. Kini, Rahmat pula mahu meninggalkan dirinya.



Rahmat buntu, dipinta jalan keluarnya di sepertiga malam. Sangkaan saya dia akan membaca surah At Taubah 24, yang boleh saya rumuskan seandainya keluarga lebih dicintai berbanding Allah, Rasul serta jihad fisabilih, maka ia mendatangkan murka Allah yang besar. Jesteru, Rahmat akan pergi juga ke Mesir, kerana bukankah dia ke sana untuk medan da'wah itu sendiri?

Dan sesungguhnya itu merupakan kesilapan yang saya kira pernah dilakukan oleh ahli da'wah. Dakwah dijadikan alasan untuk meninggalkan ibu ayah yang lebih memerlukan. Tidak hirau rayuan ibu yang kesunyian, kerana yakin bahawa itu ujian Allah yang mesti ditangani. Lantas menimbulkan fitnah, bahawa medan da'wah ini menyebabkan anak derhaka pada orang tuanya. Nauzubillah, besar dosa kita pada medan ini..

Berbeza dengan Ust Rahmat, dia lantas menolak tawaran dan lebih memilih untuk tinggal dengan ibunya. Baginya ibu yang pertama dan utama.

"Medanudda'wahtu wasi'. Wajibuna siqayatu hadil aradhil jaamidah"

Paling saya tertarik waktu Nawi (adiknya) bergaduh kerana sabung ayam.

Rahmat bergegas dari rumah apabila dikhabarkan perkelahian itu. Bila Nawi didepan matanya, hanya sepatah dikata dengan penuh lembut; 'Pulang'.

Sangkaan saya, pasti paling kurang ditanya, 'Buat apa ni?' atau dinasihat 'Astaghfirullah, tak baik bergaduh' (secara lembut pasti). Tapi langsung Rahmat tidak menyentuh isu itu.

Hingga tibanya malam, Rahmat membuat kandang untuk ayam Nawi. Sejuk malam dia bicara,

'Luka tamparan mu kelmarin, mungkin besok sudah hilang. Tapi luka di hati sukar bisa hilang. Biar kata lu sudah minta maaf. Mungkin di depan dimaafin kerna dia takut. Dua orang yang lu tampar kelmarin, akan sakit hati selama-lamanya, itu yang minta amalan lu di akhirat. Iya kalau amalan lu banyak'


Esoknya sewaktu naik motor bersama Nawi, Rahmat menyambung

'Ada dua perkara sahaja kau harus ingat; kebaikan orang padamu dan kejahatanmu pada orang'


Rahmat seorang yang sangat tawaduk. Bagaimana duduknya dia menghadap orang, menundukkan muka seolah-oleh lebih hina. Yang saya perasan, dia pantas menarik tangannya bila ingin dikucup orang.

Waktu dia dituduh menyebar ajaran sesat kepada masyarakat, dia lantas pergi ke rumah Kiyai (tempat fitnah disebarkan). Apa alasannya ke situ? 'Ana mahu bersilaturrahim dengan Kiyai'. Ya, memang ditanya pada Kiyai, apakah benar Kiyai menuduh dia mengadakan ajaran sesat?

Kiyai itu menjawab bahawa dia telah meneliti ajaran Rahmat, dan tiada yang songsang. Cuma satu, Kiyai khuatir bahawa method pengajian Ust Rahmat tidak diterima, kerana ia berbeza dengan pengajian lain.

Biasanya, kita akan menerangkan bahawa tak salah sesuatu yang baru asal benar. Kita akan menegakkan cara kita, kerana ia benar dan tidak mengganggu pun. Tapi Ust Rahmat akur dengan Kiyai, walaupun pada hemat saya tiada masalah pun andai Ust Rahmat meneruskan memberi ta'lim. Masyarakat kampung pasti akan terima kaedah baru itu, pasti akan biasa.

Pengajian umum diberhentikan. Bila ada permintaan dari murid-muridnya yang rindu tarbiyahnya, kuliah diadakan secara rahsia.

Ust Rahmat akur dengan Kiyai bukan kerana pandangannya betul (dan tidaklah salah sebenarnya), tapi kerana Kiyai adalah agamawan dihormati. Jesteru wajar pandangannya diambil kira oleh dirinya yang lebih muda. Tak mengapa beralah WALAU PUN KITA BENAR DAN SEKALIAN MEMBENARKAN KITA.

Sungguh menyentap perasaan saya!

Apakah tegar kita untuk mengundur sedangkan kita benar lagi dibenarkan? Apakah SAYA sendiri tegar??

Subhanallah... Filem ini memang menusuk. Merintih jiwa ini, bukan sekadar waktu Ust Rahmat meninggal dunia. Ia bukan Mengembalikan Spirit Yang Hilang, tapi sebenarnya spirit yang ADA dalam jiwa, cuma kita tak tahu akan lokasinya. Malah hampir dibunuh tanpa dibaja.



Bak kata penguin Big Z kepada Cody dalam Surf's Up, 'Remember, you are not making a surfing board, you just have to find it in this timber. It is already inside it, you just have to make it comes out'

Sang Murabbi, menemukan saya dengan spirit itu!

3 comments:

BADAR SBPI Sabak Bernam said...

Assalamualaikum...satu artikel yang baik.Saya pun tercari-cari mana CD filem ni,boleh saudari maklumkan pada kami.Salam ukhuwah.

arulz said...

cd ni citer psl aper? ade preview die kt mane2 ?

musafir lalu said...

salam alaik..
citer ni mmg menarik...merupakan citer yng berunsurkan Ilam dan perjuangan yag palib baik pernah ana tonton..kalau nak di bandingkan dengan ayat2 cinta, ana lebih memilih citer ni...citer ni betul2 menyuntik semangat juang siapa sahaja yang menontonnya.. moga Ruh Kiai Rahmat ditempatkan bersama orang2 Soleh.. al-Fatihah..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2009 Terbang | Lihat | Tafsir. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates | Blogger Styles | WP by Masterplan